Mesej Poyo dari Adialuze

Assalammualaikum w.b.t

Bismillahirrahmannirrahim ...

Thanks for those that have the time to come by to this blog whether accidentally or intentionally. Thanks a bunch!

As an introduction, I'm a wife and a daughter to a wonderful husband and family that ALLAH have lend me. Syukur, Alhamdulillah ... I'm truly feel bless always ... 24 by 7.

To be a writer one should have the gift to write ... That what 'they' say. But for me, I'm writing because I love to write. Gifted or not, I will continue to write as long as ALLAH gave me the ideas an inspirations to do so ...

I do apologize for any error or discomfort feeling that cause by my writing ...

Please drop your comment for a better me as a writer ... and please do comment in a civilize way cause I believe we all yearn for love and peace not hatred and war.

HAPPY READING ^_^

-Aidaluze-
Showing posts with label Izz Zayani. Show all posts
Showing posts with label Izz Zayani. Show all posts

Monday, December 2, 2013

Izz Zayani : BAB 23 (FINAL ... At Last! ^_^)

PETANG itu, balik sahaja dari tempat kerja, Laila mengajakku ke Giant untuk memberi barang keperluan dapur yang banyak telah habis.

Selesai mandi, aku menyarungkan sepasang jeans fitting cut berwarna biru laut dan kemeja polos berwarna putih berpotongan labuh. Rambut kuikat tinggi.

Dalam pukul 6 petang, kami terus bergerak ke Pasaraya Giant di Seksyen 13, Shah Alam.

Selesai membeli belah kami terus menunaikan solat maghrib yang tinggal dihujung-hujung waktu sahaja. Memandangkan perut yang sudah berkeroncong, kami terus mengalas perut di medan selera yang terdapat di dalam Giant terlebih dahulu sebelum bergerak pulang.

Sampai sahaja di hadapan rumah sewa kami, sebaik sahaja kereta diberhentikan, aku terus keluar untuk membuka pintu pagar bagi membolehkan Laila membawa masuk keretanya ke dalam perkarangan rumah. Mujur rumah kami lot paling tepi. Makanya, dengan halaman yang ada, cukup untuk memuatkan 2 buah kereta sekaligus.

"Eh, kereta siapa tu Izz?" pertanyaan Laila yang baru turun dari kereta membuatkan pandangan mataku tertumpu pada kereta Audi T9 yang  diparkirkan di hadapan rumah sewa kami. Mataku kecilkan untuk cuba mengecam wajah pemandu yang sedikit diterangi limpahan lampu jalan.

"Bukan ke itu Bos kau?" belum sempat aku bersuara Laila telah terlebih dahulu menjawab soalannya sendiri. Terus membulat mataku apabila sesusuk tubuh yang kelihatan sedang duduk bersandar semankin jelas kelihatan dan mengesahkan tekaan Laila.

"Err La, kau masuklah dulu. Brang-barang tu biarlah dulu dalam kereta. Nanti aku tolong angkat. Kau angkatlah barang-barang basah dulu kay" aku bersuara sambil mengatupkan pintu pagar dari luar. Laila hanya mengangguk-anggukkan kepalanya tanpa suara.

Perlahan langkahku atur menuju ke kereta Raziq Hanan yang diparkirkan di seberang jalan, betul-betul bertentangan dengan rumahku dan Laila

Melihatkannya yang sedang nyenyak terlena sambil berpeluk tubuh, cermin di pintu bahagian pemandu aku ketuk beberapa kali.

Pada ketukan ketiga dia membuka matanya. Dia tersenyum apabila terpandangkan wajahku dan matanya digosok-gosok perlahan. Pintu dibuka luas.

"Awak tunggu saya ke?" pandanganku tertumpu pada Raziq Hanan yang sudah berdiri sambil merenggangkan badannya di hadapanku.

"I have promise you didn't I? pandangan mata kami bersatu. Tak tahan dengan panahan matanya, aku melarikan pandangan ke tempat lain.

Dia menyandarkan tubuhnya ke kereta. Senyuman yang kukira ada maksud yang tersembunyi menghiasi bibirnya.

"So .. sekarang saya dah ada kat sini. Boleh saya tahu jawapan Izz?" dia berpeluk tubuh dengan matanya masih merenung wajahku.

Serba salah aku dibuatnya. Mulalah aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Pandanganku silih berganti antara rumah sewaku dan wajah Raziq Hanan yang tampak sedikit keletihan saat ini.

Kasihan pula aku padanya. Hanya kerana menagih jawapan dariku, sanggup dia terus ke sini dari Lapangan Terbang yang jaraknya aku tahu bukannya dekat. Aku menghela nafas panjang. Aku memberanikan diri menatap wajahnya semula.

"Raz. Saya masih tak pasti jawapan apa yang perlu saya berikan pada awak. Saya rasa, biarlah kita berkawan dulu. Rasanya tak perlu terlalu tergesa-gesa kot. Kita ada banyak lagi masa untuk lebih mengenali hati budi masing-masing kan ..?" redup pandangan matanya padaku saat ini.

"Izz, Izz ... " perlahan dia bersuara. Sebuah keluhan halus keluar dari mulutnya. "Salah ke kalau saya nak menjadikan awak halal untuk saya?" pertanyaannya membuatkan aku kembali resah.

"Saya takut kalau dalam masa berkawan ni, saya melakukan apa-apa yang tak sepatutnya pada awak" anak rambut yang jatuh kedahi,di kuak ke belakang. Kedua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar. Pandangan matanya yang masih khusyuk menjelajah keserata wajahku membuatkan aku tertunduk malu.

"Emmm .. kalau itu yang awak risaukan, apakata, kita tak perlu kerap sangat berjumpa? Saya boleh je pergi kerja naik teksi atau bas. Kita jumpa bila awak ada urusan kat Rasydan Elektronic sahaja. Senang kan macam tu?" lancar sahaja aku mengemukakan cadangan yang bagi aku paling rasional saat itu.

Aku menoleh kembali kearahnya apabila tiada reaksi yang aku terima darinya. Perubahan ketara diriak wajahnya dapat kukesan. Dingin. Ya. Aku pasti begitulah riak yang terpamer diwajahnya ketika ini.

"Well .. If you still insist. Ok. This time, saya ikut rentak awak. Cuma, saya tak setuju awak naik teksi atau bas ketempat kerja. Just use my car. Saya pinjamkan untuk awak. I've got to go. Takut mak saya risau pulak. I've promise her before 9 saya balik. Assalammualaikum" aku agak terkejut apabila dia menerima kata-kataku tanpa sebarang debatan.

Aku hanya mampu melihat dia masuk ke dalam kereta dan terus memandu pergi meninggalkanku tanpa sedikit pun memandang kearahku.

Merajukkah dia padaku? Salahkah apa yang aku cadangkan padanya tadi? Kejamkah aku padanya? Aarrghhh !! Aku benar-benar tidak suka berada di dalam situasi seperti sekarang ini. Dengan langkah longlai aku menapak pulang ke rumah. Pasti Laila risau jika dilihatnya aku terus berdiri di tepi jalan itu seorang diri.

********************************

PAGI itu, aku dan Laila sempat bersarapan bersama memandangkan Laila tidak ada kelas yang perlu dihadiri pada sessi pagi. Kami hanya menikmati hidangan mee goreng yang di sediakan oleh Laila yang semestinya dihidangkan juga bersama dengan air nescafe o panas kegemaran kami berdua.

Setibanya aku di Rasydan Electronic, suasana hiruk-pikuk menyambutku di lobi. Dari jauh sudah kutangkap kelibat Kak Sal terkocoh-kocoh menghampiriku.

"Izz!" Termengah-mengah Ibu beranak tiga itu bersuara ketika aku sudah ada di hadapan matanya. "Isk. Kenapa ni Kak Sal? Panik semacam je saya tengok. Apa yang semua orang dok kecoh-kecoh sangat ni?" berkerut-kerut keningku memandang wajah Kak Sal yang seperti biasa, dirias dengan cukup cantik. Lengkap dengan eyeshadow, eyeliner , lipstick dan juga blushernya.

"Encik Raziq accident!"

Tubuh terasa bagai dipanah petir apabila sebaris ayat itu dilontarkan oleh Kak Sal. Buat kali kedua, aku terasa separuh nyawaku seolah - olah melayang pergi. Terimbas kembali di depan mataku saat berita kemalangan Abang Zack aku terima dulu. Kini, lagi sekali, berita yang serupa aku terima.

"Bi .... Bila?" aku memandang tepat keanak mata Kak Sal. Keduabelah lengannya sudah kejap dalam genggaman tanganku. "Malam tadi. Kitaorang baru tau pagi ni. Tupun sebab Encik Raif telefon bagitau kat Alice HR. Err ... Izz ok ke ni?" berkerut dahi Kak Sal memandangku.

"Sa ... Saya ok Kak Sal. Encik Raziq ada kat Hospital mana sekarang Kak?" pandangan mataku sudah terasa kabur. Seboleh mungkin aku cuba menahan daripada airmata ini keluar. Aku tak mahu nanti Kak Sal mengesyaki yang bukan-bukan terhadap aku dan Raziq Hanan.


"Hmmmm .. Tadi Akak dengar Alice cakap, Sime Darby Medical Centre kalau tak silap" pantas tangan Kak Sal aku lepaskan dan segera ku meluru keluar tanpa mempedulikan reaksi Kak Sal yang agak terpinga-pinga melihatku.


Airmata sudah mengalir laju tanpa boleh ditahan-tahan. Habis lengan baju kurungku lencun dengan airmataku. Hari ini juga dalam sejarah aku memandu kereta melebihi 100 km/jam. Mujur kenderaan tidak terlalu banyak. Lebih mudah untuk aku memecut laju untuk segera sampai ke destinasi.

Selepas memparkir kereta di ruang tempat letak kereta pelawat, langkah kuatur pantas menuju ke kaunter pertanyaan.

"Cik, Boleh tolong saya semakkan pesakit bernama Encik Raziq Hanan ada di wad berapa?" kelam kabut aku bertanya kepada Jururawat yang bertugas.

"Err .. boleh saya tahu bila dia admit Puan?" lembut Jururawat itu bertanya. "Malam tadi" penuh yakin aku menjawab. Jururawat itu kulihat menaip sesuatu di papan kekunci komputer di hadapannya dan tetikus diklik beberapa kali dan discroll ke atas dan ke bawah mencari sesuatu.

"Encik Raziq Hanan Bin Datuk Rasydan ke?" tepat pandangan Jururawat yang memakai tag nama 'Aliya' itu kearahku memohon pengesahan. Keningku sedikit berkerut. Tak pernah pula aku ambil tahu Raziq Hanan berbinkan siapa selama ini. Tiba-tiba aku teringat nama tempat kerjaku. Rasydan Electronic. Ya. Pasti Rasydan itu nama bapanya. Perlahan-lahan kepala kuanggukkan.

"Ok. Puan naik lif kat sebelah kanan tu, naik ke tingkat 5. Suami Encik ada dlm VIP Suite, bilik nombor 5B." kerana terlalu panik aku malas ingin membetulkan persepsi Jururawat tersebut yang menyangka Raziq Hanan adalah suamiku. Setelah mengucapkan terima kasih, aku terus meluru kearah lif yang ditunjukkan oleh Jururawat tersebut.

Melangkah keluar sahaja ke tingkat 5, mataku meliar mencari nombor bilik yang telah diberi. Aku menarik nafas lega setelah pintu bilik yang kucari sudah berada di hadapanku. Perlahan-lahan tombol pintu kupulas. Sedikit lega apabila tiada sesiapa di dalam bilik itu ketika kakiku melangkah masuk ke dalam VIP Suite yang kelihatan  mewah itu.

Mengalir lagi airmataku saat wajah yang penuh dengan luka dan kepala yang berbalut rapi menyapa pandangan mataku. Kakinya yang tergantung aku tatap sayu. Aku melangkah longlai kearah Raziq Hanan yang sedang terbaring lesu dengan mata terpejam.

Kerusi kutarik perlahan dekat ke katilnya. Mataku yang sudah basah dengan linangan airmata masih tertumpu pada wajah Raziq Hanan yang kelihatan lebam di sana-sini.

Rasa menyesal tiba-tiba menebak dadaku apabila teringatkan perbualan kami malam tadi. Ya Allah. Janganlah Kau ambil dia dariku dulu. Bukan seperti sekarang. Bukan dalam keadaan hati dan jiwaku belum merelakannya. Aku menundukkan kepala cuba mengawal perasaan sendiri yang bercampur baur ketika ini.

Andai dia 'pergi' dalam keadaan begini, aku takkan mampu memaafkan diriku kerana menyakiti hatinya dengan sikap degilku selama ini.

Aku menyintainya.

Ya! Kini baru aku sedar perasaanku yang satu ini. Tak pernah aku berasa sebegini yakin dengan perasaan sendiri. Walau dengan Abang Zack sekalipun dulu.

"Izz?"

Segera aku mengangkat kepala apabila terdengar namaku dipanggil. Lemah saja nada suaranya. Bagai sudah terlupa siapa di hadapanku ketika ini, tangannya kucapai lalu kukucup dan kuletakkan dipipi. Aku tersenyum dalam tangisan apabila melihat Raziq Hanan sudah membuka mata.

"Shuuuu .. Jangan menangis sayang" dalam keadaan sakit begini, dia masih cuba menenangkanku. Airmataku diseka, lembut. Aku cuba tersenyum. Tanggannya kugenggam lebih erat.

"Macamana boleh jadi macam ni?" dalam esak yang semankin reda aku bertanya. Dia cuba tersenyum walaupun luka dipenjuru bibirnya menyukarkannya untuk berbuat demikian.

"Mengantuk sangat agaknya. Sedar-sedar je saya dah ada kat sini" lemah dia menjawab. Suaranya agak serak kedengaran di telingaku.

"Semua ni salah saya. Kalau sa ..." pantas tangannya menutup mulutku sebelum habis ayat penyesalan aku luahkan padanya. Dia menggeleng perlahan. "Don't blame yourself. Kita tak mintak pun benda macam ni jadi kan?" Airmataku mengalir lagi. Bertambah sayu rasanya hati aku mendengar pujukannya.


"Saya terima lamaran awak ... " perlahan namun penuh yakin kusuarakan keputusan yang sudah nekad kuambil. Aku tak mahu lagi terus-terusan ditimpa rasa bersalah tiap kali kehilangan orang yang menyayangiku dan yang aku sayang.

"Raz ... Awak dengar tak .. " belum sempat ayatku habiskan tubuhku sudah dirangkulnya erat. Terkedu aku dibuatnya. "Terima kasih sayang. Minggu depan, Raz suruh Ibu masuk meminang. Kita bertunang sebulan je. Lepas tu kita terus nikah" teruja nada suaranya membisikkan perancangannya ditelingaku.

Setelah 2 minit setengah kami dalam keadaan begitu, pelukannya pantas kurungkaikan apabila tersedar keterlanjuran perbuatan kami berdua. Aku menjarakkan diriku sedikit darinya. Genggaman tangan turut kulepaskan. Mukaku sudah terasa membahang. Malu di atas keterlanjuran diri.

"So, sebelum tiba masa tu, awak tak bolehlah nak suka-suka peluk saya" dia tersengih mendengar kata-kataku.

"Ok! Agree! Tak sabarnya saya! Kalau saya masuk pinang awak esok lepastu kita terus nikah boleh tak?" pantas pinggangnya aku cubit apabila mendengar kata-kata yang menambahkah lagi bahang diwajahku. Dia menggeliat kesakitan.

"Janganlah Yang. Lebam yang ada ni pun dah cukup banyak tau" dia merengek manja.

"Gatal!" getusku, geram. Kami berpandangan sesama sendiri sebelum ketawa kami sama-sama meledak.

Semankin terasa kebahagian menyelubungi hati kami berdua saat ini. Kepada Allah kupanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana berpeluang dipertemukan dengan Mr.Right. Terima Kasih Ya Allah. Semoga bahagia yang baru datang menjengah ini akan berkekalan ke Ahirat hendaknya. Amin.


-TAMAT-

Friday, November 15, 2013

Izz Zayani : BAB 22

SUDAH seminggu Raziq Hanan di Dubai. Ini bermakna, sudah seminggu juga aku ketempat kerja menaiki kereta Mini Coopernya.

Rasa rindu pada jejaka itu semankin kuat aku rasakan. Aku jadi keliru dengan perasaanku sendiri. Adakah sudah ada secebis rasa buatnya? Entahlah. Aku masih tak pasti.

Sewaktu hari  pertama kereta ini kupandu ketempat kerja, agak kecoh jugalah pemberita-pemberita tak bertauliah di Rasydan Eletronic bertanya itu dan ini kepadaku. Sebagai jawapan selamat, aku hanya memberitahu mereka yang kereta itu adalah peninggalan arwah Abang Zack untuk adiknya Laila.

Dengan penuh yakin aku menjelaskan kepada mereka bahawasanya kereta itu kupinjam daripada Laila. Mujur mereka memang sudah sedia maklum yang aku sememangnya tidak mempunyai kenderaan ke tempat kerja. Almaklumla, selama ini, arwah Abang Zack yang menjemput dan menghantarku pulang ketempat kerja.

Kasihan Laila. Seharian namanya aku jaja. Tak sangka juga aku apabila mereka semua dengan mudah percaya dengan cerita rekaan ekpress yang kukarang secara spontan itu.

Tengahari itu, selesai makan bersama Kak Sal dan beberapa Juruteknik bawahanku yang lain, aku terus menuju ke surau untuk menunaikan solat zohor. Memandangkan waktu zohor masih awal, surau agak lengang ketika itu. Tanpa berlengah aku terus mengambil wuduk dan menunaikan kewajipanku kepada yang Esa dalam keadaan tenang.

Mujur aku sudah selesai bersolat ketika telefon yang kuletakkan bersama dengan uniformku di hujung sejadah berbunyi mendendangkan lagu 'Takkan Terpisah' dari Black.

"Assalammualaikum Mak" tersenyum girang aku dibuatnya apabila ternampak nama 'My Mom' terpamer di skrin telefon sebelum punat hijau kutekan.

'Waalaikummusalam. Izz sihat?'

"Alhamdulillah, sihat mak. Mak dengan Abah macamana? Semuanya ok ke kat kampung?"

'Alhamdulillah. Kami sihat je. Izz dah masuk kerja ke?'

"Dah mak. Hari ni baru mula"

'Baguslah. Lagipun, tak elok kalau Izz layan sangat perasaan sedih tu. Mak dengan Abah kat kampung ni hari-hari risaukan Izz'

Aku menghela nafas panjang. "Ye mak. Izz tahu. Maaf kalau mak dengan Abah susah hati sebab Izz" lemah aku bersuara.

Kedengaran Mak Su Siah turut melepaskan keluhan berat di hujung talian. 'Mak dengan Abah cuma ada Izz sorang je tau. Kalau boleh, setitis airmata pun kami tak mahu nampak mengalir dari mata Izz tu' sebak terasa dadaku mendengar pengakuan jujur Mak Su Siah itu.


"Tak maulah sedih-sedih mak. Izz nak mulakan hidup baru. Yang pergi akan tetap pergi kan. So, sekarang ni, misi utama Izz adalah untuk cari calon menantu yang baru untuk Mak dengan Abah" lega terasa apabila aku terdengar Mak Su Siah tertawa dengan guraun spontan dari aku itu. Airmata yang mula bergenang di tubir mata aku sapu dengan hujung ibujari. Aku cuba bersuara seceria mungkin agar ibu tua itu tidak terus-terusan menjeruk rasa memikirkan tentang aku.

Perbualan kami selepas itu berlangsung dalam suasana yang lebih ceria dari tadi. Macam-macam cerita yang disampaikan kepadaku. Gembira rasanya apabila dapat mendengar suara Mak Su Siah yang lebih gembira.

********************************

MALAM itu, selesai makan malam bersama Laila dan melayannya berbual sehingga pukul 10, aku terus masuk ke bilik kerana mata sudah terasa amat mengantuk.

Baru saja hendak melabuhkan kepala kebantal, telefon yang aku letakkan di atas meja sisi berlagu-lagu minta diangkat. Dengan mata yang masih tertutup, telefon aku gapai dan punat hijau terus kutekan.

'Assalammualaikum Izz' bulat mataku apabila terdengar suara yang agak garau di hujung talian.

"Waalaikummussalam ... " aku sudah baring terlentang menatap syiling bilikku. Ingin saja kutanya adakah Raziq Hanan gerangan si pemanggil itu tapi lidahku tiba-tiba jadi kelu. Seminggu dia diam tanpa berita. Malam ni secara tiba-tiba dia menelefon. Ada apakah sebenarnya ya?

Tapi, jika bukan dia orangnya, malu besar pula aku dibuatnya nanti. Aku memang merinduinya, tetapi tidaklah sampai angau sehingga semua suara aku dengar seperti suaranya.

'Izz dah tidur ke?' terdengar suara itu menyapa lagi. Kali ini aku yakin yang aku memang sedang berbicara dengan Raziq Hanan.


"Baru nak tidur. Awak tak tidur lagi? Pukul berapa kat Dubai sekarang ni?" jam di dinding bilik aku kerling. Tepat pukul 10.10 malam.

'Kat sini baru pukul 2 pagi. Baru habis meeting dengan client. On the way balik hotel. Izz sihat?' baru pukul 2 pagi dia kata? Takkan lewat sangat meeting sampai pukul 2 pagi baru habis? Pelbagai jenis persoalan bermain difikiranku.

"Alhamdulillah, saya sihat. Lewatnya habis meeting. Tak penat ke? Awak kenalah jugak jaga kesihatan awak kat sana. Janganlah sibuk sangat dengan kerja" ada nada risau aku suarakan padanya. Berkerut keningku apabila terdengar dia ketawa. Kelakar ke kata-kata aku tadi?

'Sayang jugak awak kat saya ye' terkedu aku mendengar kata-katanya. 'You know Izz ... I really miss you so much. Setiap hari saya rasa nak call Izz. Tapi, I've been so busy this whole week. Balik hotel je, lepas solat terus cari bantal' terdengar dia melepaskan sedikit keluhan perlahan.

Aku mendiamkan diri. Sayangkah aku padanya? Aku bertanya pada hatiku sendiri. Namun yang pasti, ada terselit sedikit rasa bahagia apabila tahu yang dia juga turut merinduiku.

"Emm ... Bila Raz balik sini?" aku segera menukar topik agar dia tidak terus berbicara tentang hati dan perasaan. Tajuk perbualan yang akan membuatkan mukaku jadi merah kemalu-maluan tahap maksima.

Dia ketawa lagi.

'Why? Do you miss me too'

Dia menyambung tawanya. Aku mula mencebik. Geram pula rasanya apabila asyik ditertawakan.

"Okla. Saya dah mengantuk. Nak tidur.Ok, bye. Assalammualaikum" aku mula menunjukkan rajukku padanya.

'Eh, eh ... Janganlah letak telefon dulu. Saya saja je la usik Izz. How I really miss to see your blushing face' kedengaran dia melepaskan keluhan lagi.

'Kalaulah ikutkan hati saya ni, malam ni jugak saya terbang balik ke sana. Dan kalaulah Izz dah jadi milik saya yang sah, nak saja saya bawa Izz kemana saja saya pergi' rajukku terus hilang apabila mendengar nada romantis Raziq Hanan. Terharu aku dibuatnya apabila sampai begitu sekali dia merinduiku.

'Marry me Izz. Please ... ' semankin romantis kedengarannya suara Raziq Hanan. Kali ini lebih kepada nada merayu. Sesak nafasku dibuatnya. Aku sudah kehilangan kata-kata.

"Tunggu awak balik sini baru saya bagi jawapan" akhirnya aku bersuara juga. Satu jawapan yang aku rasa dapat memberi lebih masa untuk aku berfikir.

"Ok then. It's a promise! Esok petang, sampai je kat Airport, I will straight away go to your place. Please make sure you are ready with the answer okay.Okla. Saya dah sampai Hotel dah ni. See you tomorrow. Good nite my love. Have a sweet dream of me in it. Assalammualaikum" 

Perlahan salamnya kujawab. Skrin telefon yang sudah gelap kutatap, lama. Lambat terasa otakku menghadam apa yang baru aku dengar dari Raziq Hanan tadi.

Dia balik esok? Esok?? Maknanya, esok jugalah aku kena memberikan jawapan kepada lamarannya? Aaarggghh!!! Kepala terasa sakit secara tiba-tiba.

Tuesday, October 29, 2013

Izz Zayani : BAB 21

HARI ini sudah genap sebulan Raziq Hanan menghantar dan menjemputku ke tempat kerja. Aku sudah kematian hujah untuk menghalangnya dari berbuat demikian. Namun, aku menurut dengan bersyarat. Dia hanya boleh menghantar dan menjemputku dari kedai mamak yang terletak hampir 200 meter dari Rasydan Electronic dan sedikit tersembunyi dari pandangan orang ramai.

Pada mulanya dia tidak bersetuju kerana padanya, kami tidak melakukan apa-apa kesalahan dan kami tidak perlu hendak takut dengan pandangan orang.

Jenuh aku menerangkan padanya tentang apa persepsi staf-staf lain padaku sekiranya mereka mendapat tahu Bos Besar mereka melayan aku sebaik itu. Nanti tak pasal-pasal aku dituduh sebagai perempuan simpanannya. Tidak! Aku kena mencegah sebelum tohmahan-tohmahan seperti itu dilemparkan kepada kami berdua.

"Kahwin dengan saya"

Sebaris ayat yang seperti sudah menjadi perkataan ruji buat Raziq Hanan sepanjang minggu ini. Kenapalah terlalu singkat pemikirannya. Kenapa dia tak berfikir seperti aku berfikir? Nama saja CEO syarikat besar. Tapi sesuka hati saja buat keputusan melulu seperti itu. Bebelku dalam hati.

Sudah 10 minit berlalu sejak kereta Audi A6 Raziq Hanan meninggalkan Rasydan Electronic. Masing-masing lebih senang melayan perasaan sendiri sambil diiringi muzik latar yang dimainkan oleh DJ radio Hotfm.

"Minggu depan saya tak dapat nak jemput dan hantar Izz. Saya kena ke Dubai. Ada pembentangan projek yang memerlukan kehadiran saya" Raziq Hanan memulakan bicara. Pandangan matanya masih tertumpu pada pemanduannya. "Berapa lama?" entah kenapa tiba-tiba aku sudah merasa kehilangan. Bukan seperti yang aku rasa ketika pemergian Arwah Abang Zack. Tapi ... Entahlah. Aku sendiri sukar mentafsirkan bagaimana sebenarnya perasaanku ketika ini.

"Tak tahu lagi. Mungkin seminggu, mungkin juga lebih" aduh! Kenapa aku rasa seperti berat hati untuk melepaskannya pergi? "Owh. Ok" akhirnya, itu sahaja yang mampu terluah dari mulutku walaupun hati sibuk berkata 'Janganlah pergi'.

"Izz ada lesen kereta?" pertanyaan seterusnya dari Raziq Hanan membuatkan aku menoleh kearahnya kehairanan. "Ada. Kenapa?" terus aku bertanya padanya. Dia tersenyum. "Izz pandai bawa kereta auto? Lagi satu, Izz dah familiar kan dengan jalan nak ketempat kerja dari rumah Izz?" sekali lagi pertanyaannya mengundang persoalan dalam benak fikiranku. "Err .. tak biasa bawa. Tapi, InsyaAllah, kalau dah terpaksa bawa, bolehlah kot. Pasal jalan tu, kalau pergi sendiri, bolehlah sampai. Kenapa awak tanya saya semua ni?" pandangan mataku masih lagi tertumpu padanya yang masih melebarkan senyuman.

"Sepanjang saya tak ada kat sini nanti, saya nak Izz drive sendiri. Bawak kereta saya" bulat mataku memandang kearahnya dengan mulut yang terlopong."Eh ... Errr .. Tak .. Tak payahlah Raz. Saya .. Saya tak mahulah bawak kereta mewah awak ni. Nanti kalau bercalar macamana? Kalau bebudak kat tempat kerja tanya nanti, saya nak kata apa?" tergagap-gagap aku menolak pelawaannya.

Nak mampus??!! Nanti kalau semua pekerja Rasydan Electronic nampak aku dengan selambanya memandu kereta mewah Raziq Hanan ni, entah apa pula kata mereka. Entah-entah gelaran MISTRESS dengan mudah saja diberikan kepadaku. Huh! Tak mahu aku cari nahas!

Raziq Hanan ketawa terkekeh-kekeh. Berkerut dahiku memandangnya dengan mata yang sengaja aku kecilkan. Sakit pula rasa hati bila isu seserius itu hanya disambut olehnya dengan gelak tawa. Apa dia ingat aku sedang berlawak ke sekarang ni?

"Awak ni Izz. Takkanlah saya nak suruh awak bawa kereta saya ni. Kat rumah saya tu ada kereta Mini Cooper yang jarang saya guna. Rasanya awak boleh kot bawa kereta tu. Takdelah besar sangat" aku masih memandangnya dengan pandangan tidak percaya. Mini Cooper? Dia ni biar betul. Memanglah kereta tu kecil. Tapi harganya bukan boleh dapat 40 ke 50 ribu. Kalau tak silap, harganya boleh mencecah sukuan juta Ringgit!

"This is not a request. This is an order. Awak tak ada pilihan lain. Saya tak mahu awak naik teksi atau bas ke tempat kerja" saat ini, mendengar arahan dari Raziq Hanan seperti aku mendengar Abang Zack yang bersuara. Aku mendengus kasar sambil mencebik bibir tanda protes.


"Tulah awak. Kalau awak nak kahwin dengan saya, awak tak payah dah nak fikir cakap-cakap orang. Lagipun, kalau saya kahwin nanti, saya tak mahu dah isteri saya bekerja. Saya nak dia tumpukan perhatian pada saya dan rumahtangga kami saja" selamba sahaja dia menyuarakan rasa hatinya untuk kesekian kalinya.


"Encik Raziq Hanan. Kenapa awak beriya sangat nak saya kahwin dengan awak?" wajah kacak berkaca mata di sebelah kutatap tajam. Dia menyunggingkan senyuman. Wajahku ditatap sepintas lalu.

"Sebab saya suka awak" ringkas saja jawapannya. "Senangnya" aku mendengus geram. Rasa tidak puas hati menguasai diri. "Apa pulak yang susahnya?" pertanyaannya menambahkan sebal dihatiku. Aku menarik nafas panjang dan kulepaskan perlahan.

"Kita masih ada keluarga Encik Raziq. Apapun yang kita nak buat kalau berkenaan dengan masa depan kenalah bawa berbincang dengan diaorang dulu kan? Saya taknak nanti, bila dah kahwin, jadi macam cerita Ibu Mertuaku. Kahwin kalau tanpa restu ni tak kemana Encik Raziq" dek kerana geram, aku sengaja membahasakan dirinya dengan panggilan 'Encik' dengan harapan dia sedar yang antara kami ada jurang yang sangat besar.

Raziq Hanan diam tak bersuara. Aku agak terkejut apabila kereta tiba-tiba diberhentikan dibahu jalan. Dia menatap wajahku. Cermin mata hitamnya sudah ditanggalkan.

"Kalau saya cakap yang Ibu saya tak kisah dengan siapa pun pilihan saya, awak setuju ke kalau saya hantar rombongan meminang awak hujung minggu ni?" redup pandangan matanya padaku. Kenapa dia begitu yakin yang Ibunya boleh menerimaku tanpa bantahan? Bolehkah Ibunya menerima hakikat yang aku ini adalah anak yatim piatu yang baru saja kematian Tunang? Lagipula, aku bukannya tergolong dari golongan orang yang punya nama, pangkat dan keturunan.

"Awak ni saya rasa banyak sangat tengok drama melayu kan? Kisah Ibu Mertua kaya yang tak boleh nak terima menantu perempuan yang tak sama darjat. Kelakarlah awak ni" Raziq Hanan selamba mentertawakanku. Aku menggetap bibir, semankin geram. Aku terus memalingkan muka memandang keluar tingkap. Malas hendak menghadap wajah Bosku yang masih ketawa dengan wajah yang sudah kemerahan kerana terlalu seronok dapat mengusikku.

"Izz, Izz. Percayalah. Ibu saya is nothing at all like what you think she is. Zaman orang pandang darjat dan keturunan dah lama berlalu lah. Infact, dia lagi suka kalau saya pilih isteri dari golongan kebanyakkan. Bukan anak Dato' ke, Tan Sri ke, even Menteri sekalipun. And furthermore, before marrying my Father, my Mom actually work as a Teacher. Just a normal, ordinary Teacher" lembut nada suaranya seakan memujuk setelah tawanya reda.

"Izz Zayani, saya ikhlas nak memperisterikan awak"

Aku masih mematungkan diri. Tidak tahu bagaimana hendak membalas kata-katanya. Kelu lidah aku untuk bersuara.

"Macamni la. Saya tak suka nak mendesak bila melibatkan kesan jangkamasa panjang macam ni. Saya juga faham yang arwah Zack baru saja pergi. Maybe you need more time before you could decide. Tapi, saya nak Izz fikirkan juga yang walau berapa banyak masa yang Izz ambil sekalipun, kalau kita dah memang ada jodoh, Izz takkan boleh lari dari saya" serentak dengan kata-kata itu, kereta sudah kembali menyelusuri jalanraya untuk menyambung perjalanan ke Rasydan Electronic.

'Dan kalau kita tak berjodoh, selama mana pun awak tunggu, tak akan ada gunanya juga' sempat aku membalas kata-kata Raziq Hanan dalam hati.

Dalam hati aku bersyukur kerana Raziq Hanan tidak terlalu mendesak apabila membabitkan soal masa depan aku. Sekurang-kurangnya aku punya ruang dan masa untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum apa-apa keputusan dapat kuambil.

Wednesday, October 23, 2013

Izz Zayani : BAB 20

SETELAH seminggu aku mengambil masa untuk menenangkan diri, akhirnya, hari ini aku gagahi juga hati dan kukumpulkan semula semangatku untuk kembali bekerja.

Refleksi wajahku yang terpamer di cermin meja solek sudah lebih sejam aku tatap. Rambut yang panjang lurus melepasi bahu kusanggul tinggi. Sedikit bedak dan pemerah pipi kusapukan kewajah agar wajahku tidak nampak terlalu pucat. Gincu dari rona warna natural aku calitkan sedikit kebibir. Baju kurung Pahang warna jingga bercorak abstrak yang tersarung di tubuh kuperkemaskan sedikit.

Setelah berpuas hati dengan penampilan diri, beg tangan kusandangkan ke bahu dan uniform kerja kujinjing. Kaki kuatur menuruni tangga. Laila sudah bertolak ke kuliah 10 minit yang lalu. Sebaik sahaja pintu dan grill kubuka, terlihat kelibat Raziq Hanan sedang menungguku di luar pintu pagar. Dia yang bersandar di kereta Audi A6nya dengan tangan sedang leka bermain Iphonenya tampak segak dengan kemeja biru laut berjalur halus putih dipadankan dengan sepasang sut fit cut berwarna hitam metallic dan tali leher berwarna biru dari rona yang sedikit gelap .

Terdengar bunyi pintu grill kubuka, Raziq Hanan pantas mengangkat wajahnya dan pandangannya segera tertumpu padaku dengan senyuman menghiasi bibirnya.

"Assalammualaikum" sapaku ketika pintu pagar kubuka. "Waalaikummussalam" Raziq Hanan masih lagi tersenyum sambil memerhatikanku yang sedang mengunci mangga pada pintu pagar. Dia mengiringiku ketempat duduk penumpang dan membukakan pintu untukku gaya seorang gentlemen. Malu pula aku diperlakukan sebegitu.

"Izz dah betul-betul ready ke nak start kerja ni?" Raziq Hanan bertanya sambil mengenakan cermin mata hitamnya sebelum kereta bergerak meninggalkan kawasan perumahanku. "InsyaAllah. Kalau tak mulakan sekarang, bila lagi?" aku membuang pandang ke luar tingkap. "Baguslah kalau macam tu. Anggap saja ini dugaan Allah untuk Izz. Raz percaya yang Dia dah rancang sesuatu yang lebih baik untuk Izz" kata-kata semangat dari Raziq Hanan sedikit sebanyak menyentuh hatiku. "Terima Kasih" ringkas saja aku membalas tanpa memandangnya. Bimbang sekiranya dia menyedari ada titis air jernih di tubir mataku.

****************************************


RIUH rendah suasana di Rasydan Electronic pagi itu. Masing-masing sibuk bertanya khabar aku. Kak Su, lineleader dari bahagian raw material menegur mukaku yang kelihatan agak cengkung. Ada riak kerisauan diwajahnya. Aku hanya tersenyum dan menyakinkannya yang mungkin kerana dia sudah lama tidak melihatku sehingga dia berperasaan begitu. Dia hanya mengiyakan setelah aku berulang kali meyakinkannya yang aku sudah ok.

Melihat keprihatinan mereka semua terhadapku membuatkan hati berasa begitu tersentuh kerana mereka melayan aku seperti ahli keluarga mereka sendiri.

"Izz datang kerja tadi dengan Encik Raziq kan?" pertanyaan yang dilontarkan oleh Kak Sal yang menemaniku makan di pantri tengahari itu membuatkan suapan nasi kemulutku terhenti. "Dia ambil Izz kat rumah ke?" dia membuat andaian setelah dilihatnya aku masih tak bersuara.

Aku menarik nafas panjang. "Err .. takdelah Kak Sal. Kebetulan dia lalu kat kawasan perumahan saya tu dan dia nampak saya tengah tunggu bas kat bus stop. Tu yang saya datang dengan dia tu" aku berdalih. Tak sanggup rasanya jika kisah Raziq Hanan menjemput aku di rumah menjadi berita hangat di Rasydan Electronic ni. Lagi-lagi dalam keadaan aku yang baru sahaja kematian tunang.

"Owh. Ingatkan Encik Raziq jemput Izz kat rumah. Bukan apa Izz, sejak Encik Raif ambil alih pengurusan di sini, Encik Raziq dah jarang ke sini. Tu yang kami semua terkejut bila nampak Izz datang dengan dia tu" Kak Sal menyambung suapan nasi campurnya yang berlaukkan asam pedas ikan kembung dan sayur campur. Dari riak wajahnya, aku pasti dia tidak mengesyaki apa-apa.

Aku turut menyambung suapan nasi goreng kampung kemulutku. Raif Anaqie. Baru aku teringat yang kini, urusan Rasydan Electronic telah bertukar tangan. Raziq Hanan sepatutnya tak perlu lagi ke sini. Dalam diam aku mengeluh lagi. Mengapalah dia sanggup menyusahkan dirinya semata-mata kerana ingin membantu aku? Kami bukannya punya apa-apa hubungan yang istimewa pun.

"Eh Izz. Akak dah sudah ni. Akak masuk dululah ye. Nanti tak berjalan pulak line packaging tu kalau Akak lambat masuk" entah bila Kak Sal menghabiskan makanannya aku pun tak sedar. Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala sambil memandang tubuh gempal itu terkocoh-kocoh melangkah meninggalkan pantri. Jam di dinding di atas pintu masuk aku kerling. Ada masa lagi 10 minit sebelum tamat waktu rehat. Telefon di atas meja aku capai.

'Assalammualaikum Raz. Petang ni saya balik dengan Laila. Awak tak perlulah jemput saya' mesej ringkas kutaip dan butang send aku tekan dan telefon kuletakkan semula di atas meja. Tak sampai 5 minit, telefon yang aku letakkan dalam mod senyap bergetar kuat. Nama Raziq Hanan terpamer di skrin telefon sebagai ID pemanggil.

"Assalammualaikum Izz" lembut suaranya menghulurkan salam. "Waalaikummussalam" aku menjawab sambil nasi yang masih berbaki di dalam bungkusan polistrin aku kuis-kuis tanpa selera.

"Kenapa tiba-tiba Izz nak balik dengan Laila ni?" Raziq Hanan terus kepada soalan yang sudah kuagak akan dilontarkannya. "Saya tak nak susahkan awak. Lagipun, saya baru teringat yang awak sekarang ni dah tak handle Rasydan Electronic. Takkan semata-mata nak hantar saya, awak kena datang sini dulu and then kena tempuh jem ke Wisma Rasydan pula kan?" walau aku tahu yang jarak antara Rasydan Electronic dan Wisma Rasydan tidaklah terlalu jauh, tapi aku tidak mahu hanya kerana ingin menolong aku, dia terpaksa bersusah payah. Itu belum lagi dengan cakap-cakap belakang dari staf Rasydan Electronic sendiri sekiranya mereka tahu keakraban aku dan dia.

Kedengaran dia melepaskan keluhan di hujung talian. "Izz Zayani. Kenapa susah sangat awak nak terima pertolongan dari saya? Apa yang awak risaukan sangat ni? Lagipun, Wisma Rasydan bukanlah jauh sangat dari Rasydan Electronic tu. Saya tak rasa pun awak menyusahkan saya" ada nada tidak puas hati di dalam bait kata-kata yang diluahkan Raziq Hanan kali ini.

Giliran aku melepaskan keluhan berat. Kenapalah susah benar hendak membuatkan lelaki ini faham dengan situasi aku sekarang ini.

"Encik Raziq Hanan. Saya ni masih pekerja awak dan awak adalah Bos saya. Saya tak mahu ada gosip-gosip yang tak elok tentang kita berdua. Lagipun antara kita tak ada apa-apa ikatan dan hubungan yang istimewa pun sampai awak perlu bersusah payah untuk saya" sebaik mungkin aku mengolah ayat agar tidak mengguris hati Raziq Hanan. Ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut jangan putus dan tepung jangan sampai berselerak. Sempat pula aku terfikirkan tentang peribahasa lama itu.

Tawanya yang tiba-tiba kedengaran membuatkan keningku berkerut. Aku ada terbuat lawak ke tadi? Aku menggaru-garu kening yang tak gatal.

"Izz, Izz .. Kalau awak rasa serba salah nak terima pertolongan dari saya sebab kita tak punya apa-apa hubungan istimewa, jawapan dari saya senang saja" tawanya sudah agak reda. Aku diam. Menunggu dia menyambung lagi kata-katanya yang masih tergantung.

"Awak kahwinlah dengan saya"

Ayat terakhir darinya membuatkan bulu romaku tiba-tiba meremang. Hisshh!! Dah kenapa dengan Bos aku ni? Tiba-tiba nak ajak aku kahwin pulak. Aku baru kematian tunang la weeiii!! Tolonglah faham sikit keadaan aku sekarang ni kalau ye pun dia nak bergurau macamtu! Dalam diam, aku menghamburkan rasa geramku padanya. Namun hanya terluah dalam hati saja la.

"Macamana Izz? Awak setuju ke? Orang dulu-dulu kata, diam tu tandanya setuju" kedengaran lagi tawanya dihujung talian membuatkan aku terkedu sendiri dengan mata yang membulat. Tidak!!!!!!

Friday, October 18, 2013

Izz Zayani : BAB 19

Sudah hampir seminggu aku mengambil cuti untuk menenangkan hati. Laila sudah mula menghadiri kuliah seperti biasa semenjak beberapa hari yang lalu. Dalam diam aku benar-benar kagum dengan ketabahan yang ditunjukkan oleh sahabat baikku itu. Separuh jiwaku masih terasa kosong semenjak ketiadaan Abang Zack. Tiada lagi senyumannya menghiasi hari-hariku. Tiada lagi sapaan lembutnya setiap pagi ketika menjemputku ke tempat kerja. Ada titis jernih mengalir ke pipiku setiap kali kenangan bersama Abang Zack menjengah ke dalam fikiranku.

Bunyi telefon yang berkumandang mengembalikan aku semula ke alam nyata. Skrin telefon aku tatap dan terpamer nama Raziq Hanan menyebabkan aku menarik nafas panjang. Semenjak ketiadaan Abang Zack, lelaki inilah yang sering menelefonku bertanya khabar. Semasa majlis kenduri arwah di kampung tempohari, dia juga turut hadir walaupun kedatangannya agak lewat sedikit. Aku mengagak dia mungkin bertolak sebaik sahaja habis waktu kerja memandangkan yang dia masih berpakaian pejabat.

"Assalammualaikum" salam kututurkan sebaik sahaja panggilan telefon kujawab. "Waalaikummussalam. How are you today Izz? Feeling much better?" Lembut dia bertanya. "Oklah. Taking one day at a time. Minggu depan, InsyaAllah saya rasa, saya dah boleh mula bekerja semula" aku bersuara tenang. "Baguslah kalau macamtu. Tapi ... Izz nak pergi kerja macamana? Izz nak saya jemput Izz kat rumah ke?" pelawaannya betul-betul membuatkan aku terkedu. Kenapalah lelaki ini melayanku terlalu baik? Serba-salah aku dibuatnya. "It's ok. Saya boleh naik teksi atau bas, Encik Raz" Aku memberi jawapan yang kurasakan paling wajar.

"Eh! Tak bolehlah macamtu. Kalau Zack ada lagi pun, saya percaya dia pun takkan benarkan awak naik public transport" Sedikit tegas nada suaranya. Aku melepaskan keluhan berat. "Tapi dia dah tak ada" sayu suaraku ketika itu. "Tapi, I'm still here for you Izz. You still have me" kata-kata Raziq Hanan membuatkan aku terdiam. "Please don't argue with me no more. Isnin depan, saya jemput Izz kat rumah. Oklah. I've got to go. Saya ada lunch date dengan Dato' Azmi kejap lagi .. And Izz .. Please do take care of yourself. Assalammualaikum" Perlahan salamnya aku jawab. Telefon yang sudah ditamatkan panggilan aku tatap lama. Sungguh aku tak paham dengan layanan baiknya terhadapku. Adakah ianya kerana dia terlalu simpati dengan nasib yang menimpaku kini ataupun ada sebab lain yang menyebabkan dia terlalu mengambil berat terhadap diriku?

Jam didinding aku pandang lama. Jarum pendek berada diangka 11 dan jarum panjang berada diangka 12. Aku menghela nafas panjang. Aku tak boleh terus menerus begini. Hidup mesti diteruskan walau macamana sukar sekalipun. Yang pergi akan tetap pergi. Sepatutnya aku yang masih hidup ini harus terus mendoakan Abang Zack di 'sana'. Bukankah janji Allah bahawa mati itu adalah pasti? Astagfirullahalazim! Aku melafazkan istighfar beberapa kali sambil meraup wajahku berulang-ulang kali.

Langkah kaki kugagahkan ke dapur. Dalam kepala berkira-kira hendak menyediakan hidangan  makan tengahari. Sudah hampir seminggu aku dan Laila hanya mengalas perut dengan makanan yang dimasak di kedai sahaja. Muak pula rasanya. Peti ais kubuka luas. Oleh kerana kami sudah lama tidak memasak di rumah, apa yang ada hanyalah beberapa biji telur, ikan bilis yang hanya tinggal segenggam saja dan sekotak kecil santan jenama Harmoni. Setelah berkira-kira sendiri, aku memutuskan untuk memasak nasi lemak dengan sambal telur. Itu sahaja juadah yang aku rasa dapat membuka selera aku saat ini.

Menyibukkkan diri menyiapkan juadah tengahari dapat juga sedikit sebanyak melapangkan fikiranku. Hilang sebentar rasa kesedihan yang menyelubungiku sejak pemergian Abang Zack seminggu yang lalu. Radio kecil di atas peti ais kubuka untuk menemaniku yang sudah mula menyiapkan bahan-bahan memasak nasi lemak. Perlahan-lahan aku ikut menyanyikan lirik lagu 'Dekat Padamu' nyanyian Yusry yang sedang berkumandang di corong radio.

********************************

"FUH! Sedap betul nasi lemak kau Izz. Lama giler aku tak rasa kau masak macam ni" Tubuh Laila yang sudah kekenyangan disandarkan di kerusi makan sambil tangannya mengusap-ngusap perutnya yang sedikit membuncit dek kerana penangan nasi lemak yang dimasak olehku. Aku hanya tersenyum memandangnya sambil tangan sibuk mengemas pinggan mangkuk yang kotor di atas meja untuk dicuci.

"Kau tu je yang beriya makan. Aku masak sambal telur je Cik Kak. Bukan special sangat pun" aku bergerak kearah sinki dengan tangan yang mula ligat mencuci satu persatu pinggan kotor yang sudah bersusun di dalam sinki. "Eh. Patutnya aku la yang cuci. Kau kan dah masak" pantas tangan Laila merampas span pencuci dari tanganku. Berkerut dahiku dibuatnya. Melihat kesungguhan yang ditunjukkan, akhirnya aku membiarkannya menyambung kerja-kerja mencuci pinggan mangkuk. Aku mengambil tuala kecil yang terletak berhampiran dengan sinki dan tangan kulapkan sehingga kering.

"Kau macamana? Feeling better already?" pertanyaan Laila membuatkan aku menoleh kearahnya. Tubuh kusandarkan ke built in kabinet dapur berhampiran dengan tempat Laila berdiri. Aku melemparkan senyuman padanya. "Alhamdulillah. Aku Ok. Kalau kau yang adiknya pun boleh relax je, takkan aku yang cuma pegang title tunang ni nak sedih lebih-lebih kan?" aku cuba menceriakan suara agar Laila tidak terus-terusan risau memikirkanku.

"So, bila kau nak start kerja?"Laila menyudahkan kerjanya dan dia menghampiriku yang sudah mengambil tempat duduk di kerusi meja makan. "InsyaAllah, Isnin ni aku masuklah kerja. Dah lama sangat dah aku cuti rasanya. Kesian pula kat orang yang tolog backup kerja kau kat kilang tu" Laila tersenyum mendengar jawapanku.

"Eloklah tu. Lagipun, kalau kau duduk terperuk je kat dalam rumah ni, lagi boleh jadi gila dibuatnya tau" Laila membuat memek muka yang membuatkan aku tergelak kecil. Jag berisi air limau ais dituang cermat ke dalam gelas dan diteguknya perlahan.

"Lagipun, hidup mesti diteruskan. Kau kenalah cari pengganti cepat-cepat supaya luka kau tu ada yang tolong ubatkan" pantas sahaja tanganku mencubit peha Laila, geram. Jeritan halus keluar dari mulutnya yang sudah dimuncungkan sedepa panjangnya. "Sakitlah! Betul la aku cakap. Takkan kau nak membujang sampai ke tua kot" keningnya berkerut-kerut sambil tangannya menggosok-gosok tempat bekas cubitanku untuknya sebentar tadi. Aku tersenyum geli hati.

"Padan muka. Mulut kau tu mengalahkan Mak aku tau. Aku muda lagi la. Banyak lagi masa kalau nak cari laki. Lagipun, nanti orang ingat aku gatal pula kalau tiba-tiba macam tak menyempat nak cari pengganti" perlahan nada suaraku. Dada mula terasa sebak semula bila wajah Abang Zack terbayang di kotak fikiranku.

"Sorry, sorry .. aku buat kau sedih lagi. Aku bukan apa Izz. Aku cuma tak nak sebab Abang Zack, kau dah serik nak bercinta lagi" Laila mendekatkan kerusinya denganku dan tubuhku dibawa ke dalam pelukannya. Aku hanya mendiamkan diri. Airmata semankin laju menitis.

Wednesday, September 11, 2013

Izz Zayani : BAB 18

Malam itu, aku menunggu kepulangan Laila sambil menonton tv. Jam sudah menunjukkan kepukul 9 malam. Namun, kelibat kereta Laila masih belum kelihatan memasuki ruangan parkir di rumah sewa kami ini. Hati mula dilanda kerisauan. Sudah beberapa kali telefonnya cuba kuhubungi namun semuanya terus masuk kedalam peti simpanan suara. Sudah beberapa kali juga aku menjengah keluar mengharapkan ada sinaran lampu dari kereta Laila dalam kepekatan malam.

Sedang aku berjalan mundar-mandir di hadapan pintu rumah, kedengaran telefon yang kuletakkan di atas sofa berbunyi. Laju aku berlari mendapatkannya. Nombor asing yang tertera di skrin telefon membuatkan aku teragak-agak untuk menjawab. Setelah membiarkan telefon berbunyi beberapa kali, akhirnya punat hijau kutekan juga.

"Izz! Adoi .. Lambatnya kau jawab!" Kedengaran suara cemas Laila di hujung talian. "Laaa .. kau ke? Aku ingatkan siapa. Nombor siapa kau pakai ni?" Aku menarik nafas lega. "Nombor kawan aku. Eh Izz. Aku nak bagitau kau satu benda ni. Kau tengah berdiri ke duduk ni?" Pertanyaan Laila yang agak pelik tiba-tiba mengundang debar didadaku. "Hish kau ni. Buat suspen je la. Cakap je la apa bendanya" Aku mendesak, tidak sabar. "Yela. Aku nak bagitau la ni. Tapi, aku nak minta kau duduk dulu" oleh kerana malas hendak bertelagah dengannya, aku menurut saja. "Ok. Aku dah duduk ni. Bagitaulah apa bendanya?" giliran aku pula mendesak. Kedengaran dia menarik nafas panjang menambahkan lagi rasa debar di hati.

"Abang Zack accident. Dia sekarang kritikal kat wad ICU Hospital Tawakkal"

Terasa seolah-olah petir menyambar tubuh aku saat ini. Nyaris sahaja telefon yang melekap ditelinga terlepas daripada pegangan tanganku. "Izz! Izz! Kau ok ke tak ni?" suara Laila yang bertalu-talu memanggil kedengaran jauh dari telingaku. Pandangan mula terasa kabur. Setitis demi setitis airmata merembes jatuh kepipi. "Izz ... Kau bersiaplah. Dalam masa 15 minit aku jemput kau kat rumah" kendur saja kedengaran suara Laila ketika itu. Mungkin dia turut merasa sebak apabila terdengar bunyi esakan tangis yang keluar tanpa dapat dikawal dariku. Punat merah kutekan tanpa membalas kata-kata Laila. Aku benar-benar terasa seperti nyawa melayang dari badan. Lama aku duduk terpaku di atas sofa. TV yang masih rancak bersiaran aku tatap dengan pandangan kosong.

Sedar-sedar, bahuku terasa dipaut seseorang. Aku menoleh dan apabila terpandangkan wajah sugul Laila, airmata yang baru sahaja berhenti, terus sahaja mengalir deras. Tubuh Laila kurangkul kemas. Mengongoi-ngongoi aku menangis di dalam pelukannya. Tabahnya Laila saat ini. Sedangkan aku yang hanya bergelar tunangan Abang Zack saja pun sudah merasa sangat hiba. Bagaimana Laila, yang juga adik kandung kepada Abang Zack mampu mengawal emosinya dengan baik? Ah! Laila memang kuat. Sepanjang aku mengenalinya, dia memang jarang hendak menitiskan airmata.

Entah berapa lama aku menangis di dalam pelukan Laila, aku sendiri tak sedar. Terbayang dimataku wajah Abang Zack yang baru kutemui tengahari tadi. Langsung tak menunjukkan tanda-tanda yang dia akan ditimpa kecelakaan. Semankin kuat tangisanku jadinya. Laila dengan tenang menggosok belakang badanku, sambil mulutnya tak henti-henti menasihatkanku agar beristighfar.

SUASANA hening di Tanah Perkuburan membuatkan hati aku terus dipagut sayu. Wajah Mak Si Siah, Pak Su Omar dan ibubapa Abang Zack aku tatap satu persatu. Abang Ngah Laila, Haikal, yang berdiri berpeluk tubuh di belakang Pak Ali dan Mak Leha aku lihat mempamerkan wajah tenang walaupun disebalik cermin mata hitam yang dipakainya, aku tahu, ada mata yang sudah sembap cuba disembunyikan.

Masih terngiang-ngiang ditelingaku sewaktu Doktor mengkhabarkan kepadaku dan Laila yang Abang Zack mengalami terlalu banyak kecederaan pada organ dalaman menyebabkannya sukar untuk diselamatkan. Laila memberitahuku, kereta yang dipandu Abang Zack hilang kawalan sehingga merempuh bahagian belakang lori kontena yang menyebabkan dia tersepit selama satu jam sebelum berjaya dikeluarkan dan dibawa ke Hospital. Lebih membuatkan aku sedih apabila mendapat tahu yang dia kemalangan sewaktu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja menuju ke rumah sewaku dan Laila kerana ingin menjenguk bagaimana keadaanku yang kurang sihat semalam.

Aku menarik nafas dalam. Cuba mencari kakuatan diri. Airmata yang baru saja ingin menitis lagi, pantas aku seka. Jika Pak Ali dan Mak Leha mampu redha dengan pemergian anak sulungnya, kenapa tidak aku? Bukankah selama ini aku menerimanya sebagai tunang bukan kerana cinta? Kenapa pemergiannya membuatkan hatiku terasa remuk-redam sebegini? Laila yang setia memeluk bahuku di sisi kutatap lama. Pandangan kami bersatu dan dia cuba mengorakkan senyuman walaupun hambar.

Selesai Imam membacakan talkin, satu persatu mereka yang ada, meninggalkan tanah perkuburan meninggalkan keluargaku dan keluarga Laila di situ.

"Izz, Mak dengan Ayah balik dulu ye. Nak tolong Pak Ali dengan Mak Leha uruskan kenduri arwah malam ni" Bahuku diusap perlahan. Pandangan mataku yang sedari tadi tertumpu pada kitab Yassin yang sedang dibaca, kini beralih ke wajah Mak Su Siah yang berdiri di sebelahku. Aku mengangguuk sambil cuba melemparkan senyuman padanya walaupun payah.

Langkah kaki Mak Su Siah, Pak Su Omar, Pak Ali, Mak Leha dan Abang Lukman, aku soroti dengan pandangan mata yang lemah. Mata mula terasa perit. Mungkin kerana terlalu banyak menangis. Sedari malam tadi, sewaktu sama-sama mengiringi jenazah arwah pulang ke kampung sampailah ke hari ini, tak lekang airmata membasahi pipiku.

Tinggallah aku dan Laila duduk bersimpuh di atas tikar yang dihamparkan besebelahan dengan kubur Abang Zack yang masih merah. Kami sama-sama membaca surah Yassin untuk kesekian kalinya. Dalam hati tak henti-henti berdoa agar roh Abang Zack ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Tuesday, September 10, 2013

Izz Zayani : BAB 17

Tak tahulah apa agaknya yang aku tersalah makan malam tadi, campur kali ini, sudah lebih lima kali rasanya aku menjadi pengunjung tetap tandas di dalam bilik tidurku ini. Rasa memulas diperut lain macam saja sejak jam 3 pagi tadi.

Baru sahaja badan ingin kubaringkan di atas katil semula, pintu bilik kedengaran diketuk bertalu-talu. Tidak lama selepas itu, wajah Laila sudah terpacul di muka pintu. "Eh Izz, kau tak pergi kerja ke hari ni?" Dia yang sudah siap berdandan untuk ke kuliah melangkah menghampiriku yang menarik selimut menutupi badan sehingga keparas dada. "Wei, kenapa muka kau pucat ni? Kau demam ke?" Pantas telapak tangannya melekap kedahi dan leherku. Cemas saja riak wajahnya ketika itu. Punggung sudah dilabuhkan ke birai katil.

"Aku cirit birit la. Memulas semacam je perut aku ni. Entah apalah yang aku silap makan ni" Lemah saja aku bersuara. Tenaga sudah hilang entah kemana kerana terlalu kerap berulang alik ke bilik air. "Hish kau ni. Kalau nak kata sebab Char Kue Tiau tu takkanlah pulak. Aku pun makan jugak, tapi ok je" Dahinya berkerut. Aku tahu dia risaukan keadaan aku.

"Takpela. Kau janganlah risau. Balik nanti kau tolong belikan aku pil 'Chi-Kit' Teck Aun ye. Nanti ok lah ni. Kau tolong aku hantarkan sms kat Abang Zack, tak payah jemput aku hari ni. Telefon aku atas meja solek tu. Aku tak larat la nak menaip" Aku cuba tersenyum agar sahabat baik aku itu tidak terlalu risau. Dia segera mencapai telefon aku di atas meja solek dan tangannya pantas menaip. Tak sampai 2 minit telefon diletakkan di sebelah bantalku. "Terima kasih" Dia tersenyum memandangku."Okla. Aku pergi kelas dulu. Nanti ada apa-apa, kau call aku tau" tanganku diramas lembut dan aku hanya mengangguk lemah sebelum dia berlalu keluar.

Selang setengah jam selepas Laila berlalu, aku terus terlena. Mengantuk rasanya mata yang sememangnya kekurangan rehat ini. Yela. Orang lain nyenyak tidur, aku pula sibuk memerut dalam tandas sedari pukul 3,  pagi tadi.

Entah berapa lama aku terlena, sedar-sedar, aku dikejutkan dengan bunyi telefon yang betul-betul berada di sebelahku. Dengan perasaan mamai dan mata yang terbuka sedikit, punat hijau aku tekan.

"Assalammualaikum" dengan suara yang agak serak aku memberi salam. "Waalaikummussalam. Izz, are you okay" suara yang menjawab di hujung sana membuatkan mataku terbuka luas. Tubuhku secara automatik bingkas bangun. "Eh Encik Raz. Err .. Sa .. Saya kurang sihat hari ni. Saya dah bagitau Kak Sal, lineleader kat bahagian packaging pagi tadi, pukul 3 lebih. Dia tak bagitau Encik Raz ke?" Separuh panik aku bersuara. Bimbang juga jika pesanan aku awal pagi tadi tidak disampaikan oleh Ibu beranak 3 itu. Berkerut dahiku apabila terdengar bunyi tawa Raziq Hanan di sebelah sana.

"Relaxlah Izz. Saya call ni bukan sebab awak tak datang kerja. Saya just nak tanya awak dah ok ke belum" terdengar tawa dari Raziq Hanan masih bersisa. Aku menarik nafas lega. "Saya dah ok dah sikit Encik Raz. InsyaAllah, esok bolehlah saya masuk kerja" jam di atas meja aku kerling. Ah! Sudah pukul 1 tengahari rupanya. Lama juga aku tertidur. Rasanya dari pukul 10 tadi. Tiba-tiba mata tertacap pada bungkusan beg plastik di atas meja solek. "Owh. Okla kalau macam tu, lega hati saya dengar" Aku memasang telinga sambil bangkit menuju ke bungkusan plastik merah yang menarik perhatianku.

"Izz, are you still there?' Pertanyaan Raziq Hanan membuatkan aku tersedar."Errr .. Ya, ya, Saya masih ada kat sini." Plastik beg ditangan aku buka dan akhirnya tersenyum apabila terpandangkan beberapa kotak kecik pil 'Chi-Kit' Teck Aun yang aku pesan dari Laila tadi. Terdapat juga cebisan kertas yang tertulis nota 'Jangan lupa makan ubat. Aku keluar sekejap. Sebelum pukul 8 aku balik. Apa-apa, call je'. Aku tersenyum lebar. Pasti Laila masuk sewaktu aku sedang lena tidur tadi.

"... Izz. Awak dengar tak saya cakap apa ni?" Suara Raziq Hanan yang agak meninggi mengalih tumpuanku yang khusyuk menatap nota dari Laila itu. "Sorry Encik Raz. Apa Encik Raz cakap tadi?" Aku bertanya padanya gugup. Bimbang dia terasa hati pula. "Kamu ni Izz. Saya tanya, nak saya datang bawa makanan ke?" Sekali lagi dahiku berkerut. Kenapa pula dia ni? Takkan aku sakit sikit macam ni, dah sampai nak berhantar makanan pebagai? "Eh! Takpelah Encik Raz. Saya ok. Laila dah belikan saya makanan tadi" Aku berbohong. Tak wajar rasanya untuk aku menyusahkan dia membelikan dan menghantar makanan untukku. Bukankah aku sudah ada Abang Zack? Biar dia saja yang bersusah untuk aku. Getusku dalam hati.

"Oklah kalau macam tu. Jangan lupa makan kay. Oklah Izz, saya ada meeting ni. Nanti saya call lagi. Assalammualaikum" Punat merah kutekan setelah salam dari Raziq Hanan kujawab. Mata masih tertumpu pada skrin telefon yang tertera 6 panggilan tidak dijawab. Setelah memeriksa senarai panggilan, aku mengeluh perlahan apabila terpandangkan nama Abang Zack tertera. Enam panggilan? Kenapa satu pun tidak mengejutkan aku dari tidur? Kenapa panggilan dari Raziq Hanan yang kudengar? Kepala ligat berfikir sambil nombor Abang Zack cuba kuhubungi semula.

"Assalammualaikum" tegas suaranya memberi salam. "Waalaikummussalam. Err .. Sorry Abang. Izz tertidur. Tak dengar langsung telefon berbunyii" Kalut aku menjawab. Dalam hati berdoa agar moodnya baik-baik saja hari ini. Kedengaran dia melepaskan keluhan. "Izz ni buat Abang risau saja. Tadi sebelum pergi kerja Abang ada singgah sana. Tapi pagar berkunci. Kalau ikutkan hati, memang Abang panjat je pagar tu tadi" Aku diam mendengarkan tiap butir bicara Abang Zack. Cuba mentafsirkan emosinya saat ini. "Izz minta maaf bang. Takde niat pun nak buat Abang risau" Aku bersuara perlahan. Dia mengeluh lagi.

"Lain kali jangan buat macam ni lagi. Kalau tak sihat, call Abang terus. Tak payah nak hantar mesej. Ni nasib baik Abang perasan mesej dari Izz" Dia masih menyuarakan ketidakpuasan hatinya. "Izz dah makan ke belum ni? Nak Abang bungkuskan?" Kendur sedikit nada suaranya. "Err .. Belum. Izz baru bangun tidur" Aku masih bersuara dalam nada takut-takut. "Oklah. Lagi setengah jam Abang sampai. Abang belikan Izz bubur McDonald ok ke? Atau Izz nak makan nasi?" Aku terdiam sejenak memikirkan menu apa yang mampu membuka seleraku. "Bubur pun ok la bang" Akhirnya aku memutuskan. Setelah bertukar salam, telefon diletakkan.

Aku terus bingkas bangun menuju ke bilik air untuk membersihkan diri dan menunaikan solat zohor. Perut yang memulas mula berkurangan sedikit. Dalam hati sudah berkira-kira untuk menelan sebungkus pil 'Chi-Kit' Teck Aun yang telah dibelikan Laila tadi.

Seperti yang dijanjikan, lebih kurang setengah jam selepas panggilan telefon antara aku dan Abang Zack, tunangan aku itu sudah sedia menanti di depan pintu pagar dengan sebungkus beg kertas yang terpamer logo Mc Donald. Dia nampak kemas dan kacak seperti selalunya. Cermin mata hitam tak lekang dari wajahnya. Berkemeja biru laut dan berseluar slack hitam, dia nampak santai dengan tali leher yang dilonggarkan sedikit dan lengan kemejanya dilipat hingga ke siku.

Aku menghampirinya sambil tersenyum dan pintu pagar segera kubuka. Sebaik pintu pagar terbuka, pantas sahaja belakang tapak tangannya menyentuh dahi dan leherku. "Izz tak demam la. Cuma cirit birit je. Tadi dah makan ubat. Nanti oklah ni" Aku mengalihkan tangannya dari dahiku sambil tersengih. "Belum makan apa-apa, dah telan ubat?" Berkerut dahinya menunjukkan tanda ketidakpuasan hati. "Pil 'Chi-Kit' Teck Aun tu takpe. Boleh je telan sebelum makan apa-apa" Aku cuba menyedapkan hatinya. Ternyata dia dapat menerima kata-kataku apabila kerutan didahinya sudah menghilang.

"Dah jom masuk. Abang nak tengok Izz habiskan bubur ni baru Abang balik office" Badanku ditolak perlahan agar berjalan memasuki rumah. Aku melangkah dalam keadaan teragak-agak. 'Ishk dia ni biar betul. Dahlah takde orang lain kat rumah. Tak pasal-pasal kena tangkap basah'. Aku memprotes dalam hati."Kejap, kejap" Aku mengangkat kedua belah tangan mengadapnya. "Abang tak boleh masuk. Laila takde. Nanti kalau kena tangkap basah naya je!" kedua tapak tanganku sudah menekap didadanya yang bidang bagi menghalangnya dari terus melangkah. Dia tersengih. "Ala. Kita memang dah nak kahwin kan? Kalau kena tangkap lagi bagus! Cepat sikit Abang boleh kahwin dengan Izz" Bulat mataku mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Abang Zack. "Eeiii ... Abang ni! Orang cakap betul-betul la! Tak nak Izz kahwin cara macam tu. Buat malu mak ayah kat kampung je" Aku menolak dadanya, geram. Kedengaran tawa meletus dari mulutnya. Mataku jegilkan padanya.

"Oklah, oklah. Abang balik dulu. Izz jangan lupa habiskan bubur ni" Bungkusan bubur bertukar tangan. Abang Zack sempat menarik hidungku sebelum melangkah keluar menuju ke keretanya. Aku hanya mendengus, pura-pura marah. Tangan sudah memegang hidung yang pastinya sudah bertukar warna. Abang Zack ketawa lagi apabila memandang memek muka yang aku tunjukkan padanya.  Pintu pagar kembali kukunci. Abang Zack melambaikan tangan sambil menghadiahkankan flying kiss yang berjaya mengundang senyuman dibibirku. Aku memerhatikan keretanya sehingga hilang dari penglihatan sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.

Tuesday, September 3, 2013

Izz Zayani : BAB 16

Sejak 'peristiwa aneh' yang berlaku diantara aku dan Raziq Hanan tempohari, Bos Besar aku itu sudah jarang ke Rasydan Electronic. Jika ada pun, tidak sampai setengah hari, dia sudah kembali ke Ibupejabat semula. Malah, pada hari Ahad lalu dimana mesin-mesin baru sepatutnya diselenggarakan dan diperiksa, dia hanya datang sekejap sahaja. Itupun untuk memastikan Sahak, Amir dan Kamal datang seperti yang dijanjikan. Lebih kurang dalam pukul 11 pagi, dia sudah meninggalkan kami berempat menguruskan apa yang patut. Dia sekadar berpesan pada aku agar memberitahunya sebaik sahaja semua kerja sudah selesai.


Jika difikir-fikirkan, rasanya tak perlu aku terlalu memikirkan tentang Raziq Hanan. Antara aku dan dia tak lebih sekadar hubungan Bos dengan pekerja biasa sahaja. Tapi, kenapa perubahan sikapnya sekarang ini membuatkan aku jadi serba tak kena? Kenapa kedatangan kereta Audi T9nya sentiasa aku nanti-nantikan? Kenapa hanya dengan melihat kelibatnya di pejabat dapat membuatkan hatiku gembira? Ah! Aku tak boleh membiarkan diri hanyut dibuai perasaan sendiri. Aku kini sudah menjadi tunangan orang! Walau tanpa rela, tapi itulah hakikatnya yang perlu aku terima.


"Kak Izz. Nanti pukul 3 ada meeting tau. Semua ketua jabatan kena ada" Siti Syafikah yang akan menamatkan latihan praktikalnya hujung minggu ini datang memberitahu ketika aku dan beberapa orang bawahanku sedang menguji mesin-mesin yang baru sampai pada hari Ahad lepas. "Dengan siapa?" Aku bertanya dengan dahi berkerut. Rasanya hari ini aku langsung tidak melihat kereta Raziq Hanan diparkirkan ditempatnya. Kosong saja kulihat petak tempat letak kereta yang dikhaskan untuknya tadi. "Hurm .. Tak sure la kak. Takdelah pula Kak Su bagitau." Gadis itu mengaru-garu kepalanya. "Takpalah kalau macamtu. Terima kasihlah bagitau Akak. Awak dah siapkan belum kertas kerja awak tu? Jumaat ni dah last day kan?" Siti Syafikah tersengih memandang aku. "Belum" Dia menjawab ringkas. Aku menjegilkan mata kepadanya." Tunggu apa lagi? Pergilah siapkan. Nanti Akak boleh check dan minta Bos tandatangan" Aku menepuk bahunya dan menolak badannya supaya meninggalkan tempat itu segera. Dia berlalu sambil tergelak kecil. Aku mendengus melihat keletahnya. Dia tergelak lagi. Aku hanya menjelingnya, pura-pura marah lalu meneruskan semula kerja yang tergendala sebentar tadi.


Jam 3 petang, semua Ketua Jabatan sudah berkumpul di dalam bilik Mesyuarat. Masing-masing tertanya-tanya dengan siapa kami akan bermesyuarat memandangkan tiada kelibat Raziq Hanan yang kelihatan. Tiba-tiba suasana yang tadinya agak bising menjadi senyap serta merta apabila kelihatan kelibat sesusuk tubuh tinggi lampai memasuki bilik itu sambil diikuti oleh Janice, PA Raziq Hanan, dari belakang. Seorang jejaka berkulit cerah dan berjambang sudah berdiri mengadap kami semua.


"Assalammualaikum. Nama saya Raif Anaqie. Awak semua boleh panggil saya Raif. Mulai hari ini, saya akan mengambil alih tugas untuk menguruskan tempat ini dari Encik Raziq" Kami mula berbisik sesama sendiri selesai lelaki bernama Raif Anaqie itu bersuara. Lelaki itu melabuhkan punggungnya di atas kerusi empuk yang telah tersedia untuknya. Janice turut mengambil tempat duduk di sebelahnya.


"Ok. Sebelum kita bermula, ada apa-apa soalan ke?" Raif Anaqie mengenggam tangannya dan diletakkan di atas meja sambil matanya tunak memandang kami satu persatu. Serius sahaja riak wajahnya. Iras wajahnya mengingatkan aku kepada seseorang. "Encik Raif, boleh kami tahu Encik Raziq kemana? Dia masih ada atau dah .. err .. berhenti?" Aku memberanikan diri bertanya. Pandangan mata yang agak lembut itu kini tertumpu pada aku seorang. Dia tersenyum. "Dia masih ada. Cuma sekarang dia lebih tertumpu pada Ibupejabat kami" Entah kenapa jawapan dari Raif Anaqie membuatkan hatiku sedikit sedih. Ini bermakna yang aku tak akan berjumpa dengan Raziq Hanan lagi. "Ada apa-apa soalan lagi?" Kedengaran suara Raif Anaqie bertanya. Apabila aku memandangnya, ternyata dia juga sedang memandang kearahku. Bermakna soalannya tadi ditujukan padaku. Aku pantas mengeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum.


Mesyuarat kami diteruskan. Pelbagai perkara yang dibincangkan. Dari jumlah pekerja yang ada sampailah kepada mesin-mesin yang baru sampai. Raif Anaqie meminta kami menerangkan kepadanya dengan terperinci. Katanya, bagi memudahkan dia memahami selok-belok Rasydan Electronic sebelum dia memulakan tugas sebagai Ketua. Dari pemerhatianku, Raif Anaqie merupakan seorang yang lebih santai dan tenang jika hendak dibandingkan dengan Raziq Hanan. Tutur katanya lembut dan sopan. Sama seperti Raziq Hanan. Mungkinkah mereka adalah adik beradik? Tapi, bukankah Raziq Hanan memberitahuku beberapa bulan yang lepas di Restoran Bara yang Abangnya sudah menetap di UK?


"Ok. Saya rasa sampai sini dulu mesyuarat kita kali ini. Kita tangguhkan sampai minggu depan. Oh ya. Kita akan adakan mensyuarat setiap seminggu sekali. Kalau ada apa-apa perubahan, Janice akan menghubungi Izz Zayani" Terpinga-pinga aku sebentar apabila terdengar namaku disebut. Eh? Macamana dia boleh tahu nama aku ni? Nama penuh pula tu yang disebutnya. "Boleh kan Izz Zayani?" Dia bertanya kearahku yang masih agak terkejut. "Err ..  Boleh. No problem" Aku cuba mengukirkan senyuman dalam kegugupan. Dia tersenyum melihat reaksiku. "Ok then. See you all next week. Thanks everybody for your cooperation. Assalammualaikum" Dia terus bangun dan berlalu sambil menjinjit Ipad ditangan kanan dan tangan kiri diselukkan ke poket seluar. Janice mengekori dari belakang dengan buku nota di tangan sambil melemparkan senyuman kearah kami semua.



Keluar sahaja dari bilik mesyuarat, jam sudah menunjukkan ke pukul 5.15. Aku terus bergegas ke surau untuk menunaikan solat Asar. Hari ini, aku terpaksa bersiap untuk pulang tepat pada waktunya memandangkan Abang Zack akan menjemputku agak awal kerana dia perlu bersiap untuk bertolak ke Pulau Pinang malam ini kerana ada tugas yang perlu diselesaikan di sana. Bagi persediaan untuk menjadi isterinya, aku perlu membiasakan diri dengan tugasan Abang Zack sebagai Jurutera yang kadang kala memerlukannya untuk keluar Daerah pada bila-bila masa sahaja. Rasanya aku tiada masalah dengan itu memandangkan aku ada Laila yang akan menemaniku sekiranya Abang Zack tiada di sini.


Telefonku berbunyi ketika aku sedang menunggu Abang Zack di lobi. Menyangkakan panggilan dari Abang Zack, telefon segera kujawab tanpa melihat nama pemanggilnya terlebih dahulu.


"Assalammualaikum. Abang dah sampai ke?" Aku sudah bangun sambil menyandangkan beg ke bahu bersedia untuk melangkah. "Waalaikummussalam. Sejuk hati saya dengar Izz panggil saya 'Abang'" Suara yang menjawab menyebabkan kakiku yang baru hendak menapak terhenti. Perlahan-lahan punggung kulabuhkan kembali di atas sofa. Lidah terasa kelu.


"Err .. Encik Raz. Sorry. Saya ingatkan Abang Zack tadi. Ermm .. Ada apa Encik call saya ni?" Akhirnya aku bersuara. "Izz, Izz. Dah berapa kali saya cakap. Between you and me, just call me Raz.  Saya just nak tanya macamana first meeting awak semua dengan Abang saya tadi?" Terbeliak mataku mendengar pertanyaannya. Jadi, betullah tekaanku tadi. Raif Anaqie adalah abang kepada Raziq Hanan. "Hello Izz, hello. Are you still there?" Kedengaran agak cemas suara Raziq Hanan di sebelah sana apabila tiba-tiba aku terdiam. "Haa .. Err ..Yes. I'm still here. So, memang betullah Encik Raif tu abang Raz ye? Patutlah muka seakan sama je" aku tersenyum dihujung kata-kataku. Kedengaran tawa kecil darinya di hujung sana. "Dia baru balik ke sini bulan lepas. Then, my mom terus suruh dia tolong saya uruskan syarikat" Raziq Hanan memberi penjelasan.


"So .. tell me. These few days saya tak kacau Izz, do you miss me?" Hampir aku tersedak dengan air liurku sendiri mendengar soalan yang selamba sahaja dilontarkannya. Mahu sahaja aku mengatakan padanya yang dia hanya terlebih perasan. Tetapi, memandangkan dia masih lagi Bos Besar tempat aku bekerja, mulutku katupkan rapat-rapat. "Izz. Saya tanya ni. Do you miss me?" Soalan diulang semula apabila tiada jawapan yang aku berikan. "Err .. sorry Encik Raz. Abang Zack dah sampai tu. I've got to go. Lain kali kita sambung lagi ye. Assalammualaikum" Pantas punat hijau kutekan. Dada yang mula berombak kuat aku pegang. Tadi, sebelum telefon kuletak dapat kudengar keluhan halus dari Raziq Hanan. Kenapa dia seolah-olah bersungguh bertanya? Adakah kerana dia dapat menangkap getar didadaku setiap kali bertentangan mata dengannya? Mungkin kerana itu dia sengaja ingin menduga.


Telefonku berbunyi lagi. Kali ini bunyi tanda mesej masuk diterima. Teragak-agak skrin telefon kutatap. Aku menarik nafas lega apabila melihat nama 'Abang Zack' yang tertera sebagai pengirim mesej. Dia memberitahuku yang dia sudah hampir sampai dan menyuruhku menunggunya di luar pagar. Perlahan kaki kuatur keluar dari bangunan Rasydan Electronic. Fikiran masih lagi memikirkan perbualan pendek diantara aku dan Raziq Hanan sebentar tadi. Aku menarik nafas dalam.

Friday, August 30, 2013

Izz Zayani : BAB 15

Hujung minggu itu, seperti yang telah diberitahu oleh Raziq Hanan, aku dan beberapa Juruteknik lelaki di bawah seliaanku terpaksa bekerja kerana mesin-mesin baru yang dipesannya akan dijangka sampai dari Pelabuhan Kelang. Pada awalnya, aku ingin saja meminjam kereta Laila dan memandu sendiri ketempat kerja, tetapi, seperti yang aku sedia maklum, Abang Zack tidak mungkin membiarkan aku memandu sendiri.


Jam 8.30 pagi dia sudah sedia menunggu di depan rumah. Oleh kerana hari itu hari Sabtu, aku hanya mengenakan sepasang jeans berwarna hitam dan blouse labuh berwarna putih dengan rambutku ikat tinggi. Cekak rambut berwarna kuning kukenakan kekepala agar tampak lebih kemas.


"Assalammualaikum" Aku menghulurkan salam sebaik sahaja memasuki perut kereta. Dia yang bercerminmata hitam menyahut sambil tersenyum manis. Kereta dipandu tenang menyusur jalanraya yang agak kurang sibuk pagi itu memandangkan hari ini merupakan Sabtu minggu pertama dimana kebanyakan orang bercuti termasuklah Abang Zack.


"Balik pukul berapa nanti?" Dia bertanya tanpa memandang kearahku. "Tak tahu lagi. Tengoklah mesin sampai pukul berapa nanti. Kalau sampai awal dan boleh setup awal, awallah balik. Kenapa? Abang Ada hal ke petang ni?" Wajahnya kupandang. Dalam diam aku mengagumi kekacakan yang dimiliki oleh lelaki di sebelah aku ini. Tubuhnya yang sasa dan juga raut wajah 'kejantanan' yang dimilikinya, bagi aku cukup melayakkan dia menjadi seorang model. Cuma yang aku kurang berkenan adalah sikapnya yang suka mendesak.


"Khusyuk nampak. Apa yang Izz belek kat muka Abang tu?" Suara garaunya mematikan lamunanku. Wajah yang mula terasa membahang aku palingkan keluar tingkap. Kedengaran dia tergelak kecil. 'Ya Allah. Malunya!' Aku menyalahkan kealpaan diri sendiri. Tanganku ligat memintal-mintal tali beg yang berada dipangkuan dengan harapan ianya dapat mengurangkan sedikit debar yang mula terasa dihati.


"Tengoklah Izz. Bukan orang lain pun. Tunang Izz jugak. Takde luak pun kehenseman Abang ni kalau Izz renung lama-lama" Kata-katanya menambahkan lagi rasa maluku. "Perasan" Mataku julingkan ke atas. Dia ketawa lagi. Kali ini lebih kuat. Aku mengetap bibir, geram. "Kan bagus kalau kita selalu macam ni. Takdelah hari-hari kita nak bertekak" Tawanya sudah reda. Aku memalingkan wajahku padanya dan ternyata dia juga sedang memandang kearahku. Sukar untuk aku duga riak wajahnya ketika itu dengan cerminmata hitam menutup matanya. Dia tersenyum dan pandangannya kembali tertumpu ke jalanraya. Aku turut membuang pandang keluar tingkap kembali.


Memang aku sedar semenjak pertunangan kami pada minggu lepas, sepanjang minggu ini, hubungan antara kami agak tegang. Walaupun kami berjumpa tiap-tiap hari, amat jarang kami dapat berbual panjang dan dalam suasana yang aman. Jika bersuara pun, pasti akan ada percanggahan pendapat yang menyebabkan kami bermasam muka. Baru seminggu menjadi tunangannya, aku rasakan Abang Zack terlalu mengongkong dan kadangkala suka mencurigai aku tak kena pada tempatnya. Sampaikan jika aku keluar makan dengan Juruteknik bawahanku sekalipun, pasti akan mengundang amarahnya. Lemas aku dibuatnya.


Sesampainya di hadapan pintu pagar Rasydan Electronic, kelihatan kelibat Raziq Hanan yang juga baru keluar dari keretanya. Dia berpakaian santai sahaja hari itu. Tshirt polo berwarna merah berkolar dan seluar jeans berwarna biru lusuh sahaja namun masih mampu membuatkannya tampak bergaya.


"Hei Raz. Lama tak nampak kau" Abang Zack menghampiri Raziq Hanan sambil menyalami dan memeluk bahu sahanbatnya itu. "Kaulah yang asyik sibuk memanjang. Aku ada je kat sini" Raziq Hanan tersenyum ramah. Dia mengangkat kening sambil mengangkat tangan kearahku. Aku membalas dengan senyuman dan terus berlalu meninggalkan mereka berdua.


Suasana di Rasydan Eletronic agak sunyi memandangkan semua orang bercuti. Tiga orang Juruteknik lelaki yang sepatutnya datang juga masih belum nampak batang hidung. Pesanan ringkas sudah kuhantar pagi tadi untuk mengingatkan mereka dan semuanya membalas dengan 'OK'. Selesai merekod kedatanganku di mesin punchcard, aku terus menuju ke dalam kawasan kilang dibahagian yang sepatutnya mesin-mesin yang bakal sampai itu akan diletakkan. Aku ingin memastikan yang tempat itu sudah dibersihkan seperti yang dikehendaki oleh Raziq Hanan.


"Is Everything ok here Izz?" Kedengaran suara menyapa ketika aku sibuk membetulkan wayar yang agak bersepah dan berselirat di atas lantai. Aku yang kebetulan sedang menyangkung, mendongakkan kepala dan Wajah Raziq Hanan terpampan di hadapanku, berdiri tidak jauh dariku. "Everything ok Encik Raz. Saya cuma nak kemaskan sikit wayar ni. Takut ada yang terlanggar pula nanti" Aku melemparkan senyuman kearahnya dan menyambung semula kerjaku. "Let me help you" Aku agak terkejut apabila Raziq Hanan turut menyangkung di sebelahku sambil tangannya mula sibuk menarik wayar-wayar yang tersimpul antara satu sama lain. Wangian tubuhnya yang menyapa rongga hidungku membuatkan debar dihati tiba-tiba terasa. Aku meneruskan kerja tanpa memandang kearahnya. Bimbang kugugupanku yang terserlah diwajah akan dapat dikesannya.


"Ok. Siap!" Aku berdiri bercekak pinggang sambil tersenyum puas melihat wayar-wayar yang telah kami kemaskan. Dia yang berdiri di sebelah aku turut tersenyum. Tapak tangan digosokkan seketika untuk menghilangkan habuk yang melekat. "Mana si Sahak, Amir dengan Kamal? Awak dah ingatkan diaorang bertiga ke?" Pertanyaan Raziq Hanan membuatkan aku terus melihat jam di tangan kananku dan berkerut keningku dibuatnya apabila menyedari yang jam sudah menginjak ke pukul 10 pagi tapi ketiga-tiga Juruteknik bawahanku masih belum nampak lagi batang hidungnya. Kepala yang tidak gatal kugaru. Telefon di poket seluarku keluarkan. Nombor telefon Juruteknik bernama Amir aku dail.


"Assalammulaikum. Ha Amir. Kenapa awak tak datang lagi ni? Sekarang dah pukul berapa?" Aku bersuara sebaik sahaja kedengaran suara orang menjawab telefon dari sebelah sana. "Hmmm .. So Sahak dengan Kamal macamana?" Berkerut dahiku dibuatnya apabila mendengar jawapan Amir. "Ha yelah. Tapi pastikan awak semua datang esok. Nanti saya bagitau Encik Raz" Punat merah kutekan. Kelihatan Raziq Hanan memandangku, menunggu aku untuk memberitahunya tentang perbualan antara aku dan Amir sebentar tadi.


"Diaorang tak dapat datang Encik Raz. Kereta Amir masuk bengkel. Sahak dengan Kamal menumpang dia. Dalam perjalanan tadi, dia kata tiba-tiba kereta dia mati. Kalau kita tangguh esok boleh ke Encik Raz?" Perlahan-lahan aku memberitahunya apa yang Amir khabarkan kepadaku sebentar tadi. Raziq Hanan memicit-micit dahinya. Telefon bimbit dipoket seluar dikeluarkan dan dengan pantas dia menekan punat-punat nombor diskrin sesentuh telefonnya kemudian ditekapkan ketelinga. Dia berjalan menjauhi aku apabila nombor yang didailnya berjaya disambungkan. Serba salah aku melihatkan keadaannya ketika itu.


Agak lama dia berbual ditelefon dalam bahasa Inggeris. Aku malas untuk mengambil tahu tentang apa yang dibincangkan lantas mengambil keputusan untuk ke pantri.'Baik aku pergi bancuh air daripada duduk tercongok kat sini' Aku berbisik sendiri. Aku menghampiri Raziq Hanan dan apabila dia memandang, aku memberi isyarat tangan kepadanya yang mengatakan aku ingin ke pantri dan dia hanya menganggukkan kepalanya. Serius sahaja raut wajahnya ketika itu.


Setibanya di pantri, aku terus mencapai 2 mug cawan dan Nescafe 'o' panas terus kubancuh. Satu untuk aku dan satu lagi untuk Raziq Hanan. Sekadar untuk mengambil hatinya yang mungkin sedang 'kepanasan' gara-gara orang bawahanku yang tiba-tiba tidak dapat hadir hari ini tanpa memberitahu awal-awal kepada aku atau dia. Ikutkan hati memang marah juga dengan mereka bertiga. Sekiranya aku tidak menelefon tadi, pasti sampai petang aku dan Raziq Hanan menunggu.


Sedang aku enak menikmati hirupan demi hirupan air yang kubancuh, kelihatan kelibat Raziq Hanan memasuki pantri dan mengambil tempat duduk di sebelahku. Tanpa banyak soal, mug berisi air yang sememangnya aku buat untuknya dicapai dan dihirup perlahan. Dia mengeluh keras. Mug yang masih berbaki separuh airnya diletakkan kembali ke atas meja. "Encik Raz. Mmmm ... Saya mintak maaf bagi pihak budak-budak saya. Esok saya suruh diaorang datang awal. Pukul 8 pagi lagi saya suruh diaorang sampai sini Encik Raz. Saya janji!" Aku meletakkan tangan di sebelah kepala lagak seorang prebet mengangkat tabik kepada Pegawai atasannya.


Lega hatiku apabila tercetus tawa dari bibir Raziq Hanan. Aku tersenyum memandangnya yang masih lagi ketawa. "Izz, Izz" Dia menggeleng-gelengkan kepalanya sambil menghirup lagi Mug berisi Nescafe 'o' miliknya. "It's ok. Benda nak jadi kan. Bukannya kita mintak pun. But, to bad, the machines cannot wait until tomorrow my dear. Nak tak nak, kita kena uruskan hari ni jugak" bulat mata aku memandangnya. Dia mengangkat-angkatkan keningnya sambil tersenyum. "Tapi, awak jangan risau. Kita just arrange turunkan mesin tu dekat loading bay je. Just make sure, tomorrow, your guys datang untuk susunkan kesemua mesin tu kat tempatnya" penerangan akhirnya membuatkan aku menarik nafas lega. Yalah. Kalau semuanya nak diuruskan hari ni, mana larat aku dan Raziq Hanan berdua sahaja yang menguruskannya. Mahu patah tulang temulang kami dibuatnya nanti.


Petang itu, tepat pukul 4.30, ketiga-tiga mesin baru yang dibeli oleh Rasydan Electronic sampai juga akhirnya. Mujur pemandu lori dan dua orang kelendan yang dibawanya berbadan agak besar dan dengan bantuan troli palet yang kami ada, kesemua mesin tersebut telah selamat di bawa ke tempatnya. Segala urusan penyelenggaraan dan pemasangan aku tinggalkan untuk Sahak, Amir dan Kamal untuk menguruskannya, esok.


Selesai menunaikan solat Asar, aku segera menuju ke lobi untuk menunggu Abang Zack menjemputku seperti kebiasaannya. Lima minit yang lepas ketika aku menghantar pesanan ringkas kepadanya, dia memberitahuku yang dia baru pulang dari bermain futsal. Aku katakan padanya yang dia tak perlu terburu-buru untuk menjemputku memandangkan aku bukannya ada urusan lain pun selepas ini. Dia hanya akur. Akur. Satu-satunya sifat yang amat jarang aku lihat ditunjukkan padaku. Bersetuju dengan kata-kataku tanpa sebarang bantahan. Sesekali dia begini, sejuk juga hatiku dibuatnya.


"Izz. Belum balik lagi ke?" aku mendonggakkan kepala apabila terdengar suara Raziq Hanan menegur. "Belum lagi. Tunggu Abang Zack" Mataku menyoroti pergerakannya yang baru melabuhkan punggung dia atas sofa di hadapanku. "Owh. Ok. So, biar saya temankan Izz lah ye" Dia tersengih sambil memasang earphone ketelinganya untuk mendengar lagu daripada Ipodnya. Aku hanya menganggguk sambil perhatianku kembali tertumpu pada majalah di atas meja di hadapanku yang memisahkan aku dengan Raziq Hanan.


Sedang aku leka membaca, kedengaran suara halus sedang bernyanyi-nyanyi kecil. Aku mengangkat kepala dan ternyata Raziq Hanan yang sedang menyanyi dengan kepala yang terangguk-angguk mengikut irama. Pandangan matanya tertumpu pada skrin Ipad yang dipegangnya. Dalam diam aku cuba mengamati bait lirik yang dinyanyikannya.


Mungkin kita pernah rasa tentang cinta,
Yang takdirnya bukan untuk kita



Macam pernah kudengar alunan irama bait lirik tersebut. Tetapi siapa penyanyinya ya?


Mungkin ini adalah cara meluah cinta,
Tanpa berkata atau berpandang mata

I’m sorry but i love you,
I’m sorry if i miss you,
Even if i can’t have you ,
You know i’ll always be there for you



Oh ya! Baru aku teringat. Lagu Najwa Latif rupanya. Kalau tak silap tajuknya 'I Love You'. Tak sangka Bos yang nampak tough di hadapanku ini mat jiwang juga rupanya. Aku tersenyum sendirian.


Aku mengangkat muka untuk melihat wajah Raziq Hanan semula dan alangkah terkejutnya aku apabila dia memang sedang merenung kearahku. Redup pandangan matanya. Sejak bila dia merenungku sebegitu aku sendiri tak pasti. Apa yang pasti, pandangan kami kini terkunci antara satu sama lain. Tiba-tiba aku rasakan dunia seakan berhenti berputar. Udara seakan berhenti bergerak. Bibir Raziq Hanan bergerak-gerak mengalunkan lirik lagu Najwa Latif lagi. Kali ini lebih kuat nadanya dan dengan penuh perasaan.


I’m sorry but i love you,
I’m sorry if imiss you,
Even if i can’t have you,
You know i’ll always be there for you.
I’m sorry but i love you


Kelu lidahku dibuatnya. Kami hanya berpandangan tanpa kata. Entah berapa lama kami begitu, aku sendiri tak tahu. Tiba-tiba hati terasa sayu. Entah kenapa. Mungkin kerana aku terharu dengan caranya meluahkan rasa kepadaku disaat aku sudahpun dimiliki. Atau aku juga punya perasaan yang sama sepertinya? Ah! Entahlah! Aku tak mahu memikirkan apa-apa pun sekarang ni!

Wednesday, August 28, 2013

Izz Zayani : BAB 14

Pagi itu, Abang Zack menghantar aku ketempat kerja seperti kebiasaannya. Cuma yang belum terbiasa bagiku adalah status hubungan kami yang telah berubah. Dia kini adalah tunanganku. Sepanjang perjalanan, dia yang seperti selalunya, kacak berkacamata hitam memandu dengan penuh tenang. Pandangan mataku dapat menangkap sebentuk cincin yang rekaannya lebih kurang sama dengan cincin yang aku pakai tersarung di jari manisnya.


"Abang suka tengok Izz pakai macam ni. Nampak ayu" Pujian yang tidak disangka-sangka dari mulutnya membuatkan pipiku terasa hangat. "Err .. Terima kasih. Biasa je la. Pakai baju kurung je pun" Aku bersuara cuba mengawal rasa gemuruh yang terasa dihati. Dia kulihat hanya tersenyum mendengar jawapanku. Rasanya hari ini aku hanya berdandan ala kadar sahaja. Tak sangka penampilanku dengan baju kurung pahang berwarna merah hati dengan sedikit sulaman di kaki baju dan kain dengan rambut kusimpul ringkas mampu membuahkan pujian dari Abang Zack.


"Izz. Abang betul-betul harap yang Izz dapat menerima Abang dalam hati Izz. Mungkin cara Abang ni buat Izz rasa tak selesa. Tapi, Abang tak nak kehilangan Izz. Abang betul-betul ikhlas nak ambil Izz sebagai isteri Abang. Abang tak pernah rasa macam ni sebelum ni. Abang akan cuba untuk menjadi suami yang terbaik untuk Izz" Bersungguh-sungguh Abang Zack meluahkan rasa hatinya sebaik sahaja kereta diparkirkan tidak jauh dari bangunan Rasydan Electronic. Aku hanya mendiamkan diri. Tidak pasti apa yang patut aku katakan padanya.


"Izz .. " Pandangannya kini tertumpu padaku. Cerminmata hitamnya sudah ditanggalkan dan disangkutkan kepoket kemeja berwarna pink berjalur putih halus yang dipakainya lengkap dengan talileher berwarna maroon pekat. "Abang tak nak Izz senyap je macam ni. Abang nak dengar juga pandangan Izz tentang hubungan kita ni" Lembut dia memujuk. Aku menarik nafas dalam. Wajahnya kupandang. "Kenapa baru sekarang Abang nak tanya? Kenapa tak tanya sebelum Abang buat keputusan nak hantar rombongan semalam?" Akhirnya terluah juga persoalan yang berlegar-legar di dalam kepala aku semenjak beberapa hari yang lepas. Aku menarik nafas lega. Lega kerana akhirnya persoalan itu dapat kuajukan padanya.


Giliran dia menarik nafas dalam. "Abang tahu Abang silap. Sepatutnya Abang bincang dengan Izz dulu. Maafkan Abang" Matanya merenungku mohon pengertian. Kalau ikutkan hati mahu sahaja Abang sulung Laila ini kumarahi. Tapi, kalau menurut kewarasan fikiran, semua ini telah pun berlaku. Tak ada gunanya aku memarahinya.


"Macamni lah Abang Zack. Izz akan cuba untuk terima Abang. Tapi, kalau dalam masa 2 tahun ikatan kita ni, kita tak dapat nak membina keserasian yang sepatutnya, Izz harap Abang akan terima dengan hati yang terbuka andai kiranya kita tak ada jodoh untuk bersama" Lancar mulutku melafazkan bait kata-kata yang telah aku rancang dari malam tadi dalam nada tenang. Berubah sedikit riak wajahnya. "Apa ... Apa Izz cakap ni?" Dia pura-pura tak mengerti. Aku memandangnya dengan kening yang sedikit terangkat.


"We just go with the flow. What meant to be is meant to be. Please don't push it too much. Izz harap Abang faham apa yang Izz cuba sampaikan dan tolong jangan desak Izz lagi" Aku berkata tegas lantas pintu keretaku buka. "Nanti dulu Izz!" Belum sempat aku keluar, lenganku ditariknya pantas. Ada ketegasan dalam nada suaranya. Tangan kirinya masih kejap memegang lenganku dan tangan kanannya menutup kembali pintu kereta yang kubuka membuatkan aku pantas menyandarkan sedikit badanku ke belakang bagi mengelakkan dari berlaga pipi dengannya. Tindakan refleks dari Abang Zack membuatkan aku tergamam sebentar.


"Ok. Kalau ini yang Izz mahukan, Abang terima. We will go slow and steady. Abang takkan desak Izz untuk buat apa-apa lagi lepas ni. The decision is yours. Tapi, Abang tak suka cara Izz nak tinggalkan Abang macam ni sedangkan kita belum habis berbincang" Perlahan dia bersuara. Cukup hampir ditelingaku sehingga aku boleh merasa hembusan nafasnya mengenai tengkukku. Aku membuang pandang keluar tingkap. Mujur kereta kami agak terselindung dari pandangan orang. Jika tidak, pasti ramai yang akan menonton drama sebabak lakonan aku dan Abang Zack ini.


"Nantilah kita bincang lagi. Izz nak masuk kerja ni. Izz dah lambat" Akhirnya aku bersuara kerana mula merasa tidak selesa dengan jarak antara kami yang terlalu dekat. Aku meleraikan pegangan tangannya dilenganku dan pintu kereta kubuka semula. Kali ini Abang Zack hanya memerhati membiarkan aku berlalu pergi. Langkah ku atur pantas tanpa menoleh ke belakang.


***********************


Apalah nasib aku hari ini. Pagi tadi terpaksa melayan kerenah Abang Zack dan sekarang terpaksa menghadap Raziq Hanan pula. Pelik juga bila memikirkan yang Raziq Hanan tiba-tiba berada di sini pada hari Isnin. Bukan ke setiap hari Isnin dia akan berada di Ibupejabat Wisma Rasydan? Aku bersoal jawab dalam hati sambil langkah kuhayun menuju ke pejabat Raziq Hanan yang terletak di tingkat atas bangunan Rasydan Electronic ini.


Tiga kali ketukan di pintu diikuti dengan arahan menyuruhku masuk, barulah pintu bilik berwarna coklat oak gelap itu kubuka. "Encik Raz panggil saya?" Pintu kututup kembali. Raziq Hanan yang sedang tekun menatap skrin Laptopnya kuhampiri perlahan. "Yup. Duduk dulu Izz. Saya ada kerja sikit nak siapkan ni" Dia bersuara tanpa memandang kearahku.


"Ok. One task done!" Setelah membiarkan aku 15 minit duduk termangu-mangu di hadapannya, akhirnya dia bersuara sambil melipat skrin Laptopnya. Dia menyandarkan badannya kekerusi empuk buatan kulit sambil meregangkan sendi-sendi badan dan tangannya yang mungkin kelenguhan akibat duduk dalam posisi yang sama dalam jangkamasa yang agak lama. Aku mengagak dalam hati.



Menyedari masih tiada suara yang keluar dari mulut Raziq Hanan, aku memberanikan diri mengangkat wajah untuk memandang kearahnya. Menyirap darahku dibuatnya apabila pandanganku disambut dengan renungan tajamnya. Rupa-rupanya selama dia mendiamkan diri, matanya sibuk merenung setiap inci wajahku. Aku kembali tunduk menekur lantai. "Emm .. Ada apa Encik Raz nak jumpa saya ni?" Cincin dijari manisku pusing-pusingkan untuk meredakan debaran dihati.


"Kenapa awak tak jawab telefon masa saya call malam tadi?" Soalan yang agak mengejutkan darinya membuatkan aku memandangnya dengan dahi yang berkerut seribu. 'Dia ada call aku ke malam tadi?' Aku menyoal dalam hati. "Dua kali saya call tapi kedua-duanya Izz tak jawab. Kenapa?" Lelaki di hadapanku ini membuatkan aku semankin kehairanan.


Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu. Ya! Malam tadi sewaktu aku dan Laila sampai di rumah sewa, sebelum melelapkan mata, dalam keadaan yang agak mamai, telefon yang terdapat dua panggilan tidak dijawab aku periksa dan namanya yang tertera. Hajat dihati ingin menghantarkan pesanan ringkas sahaja padanya selesai aku memcuci muka dan memberus gigi. Tetapi, mata yang bagai digam membuatkan aku terlupa dan terus tertidur hingga kepagi.


"Owh .. Masa Encik call tu saya tidur. Sampai je rumah, ingat nak call balik, tapi mata ni mengantuk sangat sampai saya terlupa. Sorry la Encik Raz. Ada hal penting ke?" Aku menggaru-garu kepala sambil tersengih memandangnya yang masih menunjukkan wajah serius. "Hmmm .. Takde apa-apa. Just nak bagitau yang saya nak jumpa awak pagi ni" Jawapan yang keluar dari mulutnya membuatkan dahiku berkerut semula. 'Aik. Nak bagitau itupun sampai call aku lewat malam? Itupun call tak cukup sekali'. Aku merungut dalam hati.


"Baiklah Izz. Saya cuma nak bagitau awak mengenai mesin-mesin yang saya katakan hari tu. Semuanya dijangka sampai hari Jumaat ni. So, awak kumpulkanlah beberapa orang awak untuk standby. Kemungkinan Sabtu dan Ahad ni awak semua kena kerja" Aku mengangguk-anggukkan kepala mendengarkan arahan Bos Besar aku itu. "Kalau boleh awak aturkanlah si Sahak, Amir dengan Kamal yang standby sebab diaorang tu badan kan besar-besar. So, senang sikit nak handle mesin-mesin tu nanti" Sambungnya.Lagi sekali aku menganggukkan kepala sambil mencatat sesuatu dibuku nota kecil yang aku bawa.


"Ada apa-apa lagi ke Encik Raz?" Wajahnya kupandang. Debaran hati telah berjaya kukawal. "Rasanya itu saja buat masa ni. Kalau ada apa-apa, saya call awak terus. And .. Please make sure you answer it ok" Pesanan terakhirnya yang agak berbaur sinikal aku jawab dengan senyuman. "Anyway, Izz Zayani .. Congrats for your engagement" Tanganku yang sudah memegang tombol pintu terhenti tiba-tiba mendengar kata-katanya yang diluahkan agak perlahan. Aku menoleh kearahnya.Redup pandangannya ketika itu padaku. Semacam ada satu perasaan aneh yang menjalar dalam hatiku ketika ini. "Err .. Thanks" Dalam nada serba salah aku menjawab dan tombol pintu segera kupulas. Aku ingin segera meloloskan diri keluar dari bilik itu. Walaupun alat penghawa dingin terpasang, ternyata ianya tak mampu untuk mendinginkan suhu badan aku yang tiba-tiba naik mendadak.

Tuesday, August 27, 2013

Izz Zayani : BAB 13

Rasa sebal menguasai diri aku ketika ini. Sejak dari petang tadi, pulang dari BP Mall, aku mengurungkan diri di dalam bilik. Kepada Mak Su Siah aku katakan yang aku sakit perut kerana 'period pain'. Kebetulan, memang pagi tadi  aku datang bulan. Terasa berdosa pula terpaksa membohongi Ibu tua itu. Ah! Lebih baik begitu daripada aku terlantang bahasa dengannya nanti. Lagilah dia akan terguris.


Kata-kata dari Laila yang mengatakan keluarganya akan datang pada hari esok selepas Zohor untuk merisik masih terngiang-ngiang dikepalaku. Aku duduk diatas lantai bersandarkan katil sambil bersila dengan kepala yang dibaringkan di atas birai katil mendongak memandang syiling. Begitulah posisiku semenjak dari jam 6 petang tadi. Terasa kosong kepalaku saat ini. Kosong bukan kerana lapang. Kosong kerana tidak tahu bagaimana lagi caranya untuk aku menghadam situasi diri yang bakal dirisik tanpa rela. Satu keluhan keras akhirnya terluah juga.


Bila difikir-fikirkan semula, barulah aku tersedar kenapa Abang Zack bersungguh-sungguh mahukan jawapan dariku tempohari semasa dia bertanyakan mengenai adakah aku sudah mempunyai teman lelaki atau belum sewaktu kami sama-sama mandi air terjun di Sungai Congkak. Rupa-rupanya, dia ingin memastikan yang aku masih lagi solo sebelum meluahkan hajat kepada orang tuanya di kampung. Tetapi, kenapa dia tidak bertanyakan kepada aku dahulu tentang niatnya itu? Adakah dengan layanan baikku padanya selama ini menyebabkan dia berfikir yang aku pastinya tidak akan menolak hajatnya itu?


Bagaimana pula dengan Mak Su Siah dan Pak Su Omar? Adakah kerana selama ini aku jarang membangkang kata-kata mereka menyebabkan mereka berfikir yang aku pastinya akan setuju dengan semua ini? Aaargghh!!! Sakit kepalaku memikirkannya.


"Izz .. Marilah makan sayang. Dari petang tadi Izz tak makan. Nanti perut tu masuk angin, lagi sakit" Ketukan lembut di pintu bilik mengejutkanku. Badan sudah kutegakkan dengan pandangan mata terarah kemuka pintu yang terkatup rapat dan kukunci dari dalam. "Izz .. Jamah sikit pun jadilah. Janganlah buat Mak risau ye sayang. Esokkan Izz dah nak balik Kolumpo" Pujukan dan rayuan Mak Su Siah serba sedikit membuatkan paras amarahku menjadi berkurangan. Tak sanggup rasannya membuatkan hati Ibu tua yang setia menjagaku selama ini terluka.


Perlahan-lahan daun pintu kukuakkan. Terpancul wajah penuh kerisauan Mak Su Siah menyambutku di muka pintu. Segera bahuku dipeluk dan dielus lembut. "Perut Izz sakit lagi ke? Dah letak minyak panas?" Penuh kasih dia bertanya. "Dah ok dah. Izz dah sapu minyak sikit tadi" Aku tersenyum hambar."Ha yelah. Jomlah kita makan sikit. Lagipun, ada benda yang Mak dengan Ayah nak bincangkan dengan Izz ni" Seperti dapat kuagak saja apa yang bakal menjadi tajuk perbualan kami sebentar lagi. Kami berjalan beriringan menuju ke dapur menghampiri meja makan dimana Pak Su Omar sudah sedia menanti. "Macamana perut tu? Sakit lagi?" Pak Su Omar memandangku penuh kerisauan. Aku mengelengkan kepala sambil melemparkan senyuman kepadanya.


Mungkin kerana selera yang sudah terbang entah kemana, makanan kegemaranku, Asam pedas ikan tenggiri nampak kurang menyelerakan dimataku. Habis sesenduk nasi kumakan, terus kubawa pinggan kesinki untuk dicuci. Aku melabuhkan punggung kembali di atas kerusi di di hadapan Mak Su Siah sambil meneguk air sirap yang masih tinggal sedikit perlahan-lahan.


"Izz. Ayah rasa Laila ada bagitau tentang apa yang kami nak katakan pada Izz ni" Pak Su Omar yang baru mencuci tangannya disinki memulakan bicara sambil mengelap tangannya dengan sehelai tuala kecil yang tersedia di atas meja. Mak Su Siah membawakan pinggan-pinggan kotor ke sinki sambil matanya mengerling kearahku dan Pak Su Omar silih berganti. "Kami tak ada niat nak memaksa. Tapi, untuk kebaikkan Izz, kami harap Izz terima" Kata-kata penuh pengharapan dari Pak Su Omar membuatkan aku mula rasa serba salah.


Aku mengeluh perlahan sambil menyandarkan badan kekerusi. "Kenapa Mak dengan Ayah tak bagitau Izz awal-awal pasal perkara ni?" Mak Su Siah yang baru selesai mencuci pinggan mangkuk kutatap mohon pengertian. "Izz. Kalau kami tanya, mesti Izz kata Izz belum bersedia kan? Lagipun, kami tahu yang Izz dengan Zack memang dah rapat. Mak dengan Ayah bukan apa Izz. Izz jauh dari kami. Lagipun, kami dengar yang Zack jaga Izz dengan baik kat sana. Kami percaya, dia boleh jaga Izz bila kami dah tak ada nanti" Rambutku dibelai penuh kasih. Ada airmata yang bertakung dibibir matanya. Bibit perkataan terakhir dari Mak Su Siah benar-benar meninggalkan kesan dihatiku.


"Izz bertunang dulu setahun dua. Kenal hati budi macamana. Lepastu barulah kita langsungkan majlisnya. Ye sayang" Giliran Mak Su Siah pula memandangku penuh pengharapan. Aku menundukkan wajah, menekur lantai yang dilitupi tikar getah berwarna hijau lumut bercorak abstrak. "Kalau kami tak ada keserasian macamana?" Aku memberanikan diri bersuara. Mata masih tertacap kearah lantai. "InsyaAllah ada keserasian tu kalau diusahakan. Jangan ditunggu. Izz cuba, mesti boleh" Pak Su Omar menjawab tenang. "Dulu Mak dengan Ayah masa mula-mula kahwin pun asyik bergaduh je. Ada saja yang tak kena. Tapi, berkat kesabaran Mak kamu, akhirnya dapat juga lunturkan baran Ayah ni" Kata-kata beserta gelak kecil dari Pak Su Omar disambut dengan Mak Su Siah dengan gelak tawa. Aku cuba tersenyum sambil memandang mereka silih berganti.


"Kalau Mak dengan Ayah rasa itu yang terbaik, Izz ikutkan je la. Izz nak masuk bilik dulu la ye. Nak rehat" Tangan Mak Su Siah dan Pak Su Omar kusalami dan kucium sebelum kaki melangkah lemah menuju ke bilik tidurku semula. Walaupun persetujuan telah kuberikan, namun fikiranku masih lagi kusut. Aku membaringkan diri di atas katil sambil tangan kuletakkan ke dahi. Mataku terkebil-kebil memerhatikan syiling dan fikiranku melayang entah kemana. Airmata yang sedari tadi bergenang ditubir mata kubiarkan mengalir laju.


***************************

Majlis yang sepatutnya hanya untuk merisik bertukar menjadi majlis pertunangan. Majlis kenduri doa selamat secara kecil-kecilan telah berlangsung. Laila sedari tadi tersenyum girang menemaniku di sebelah sepanjang majlis berlangsung. Sedaya upaya aku cuba mempamerkan wajah ceria supaya Mak Su Siah dan Pak Su Omar tidak terasa hati. Bagi aku, kebahagiaan mereka adalah segala-galanya.


Selesai majlis, aku terus bersiap untuk pulang ke Shah Alam bersama Laila selepas solat Maghrib. "Izz. Dah siap kemas?" Mak Su Siah yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam bilik dan duduk dibirai katil bertanya sambil mencapai baju yang tinggal sedikit di atas katil untuk dilipat dan dimasukkan ke dalam beg."Sikit lagi Mak" Aku mencapai beberapa helai baju kurung dari dalam almari untuk dibawa bersama."Izz" Mak Su Siah menarik lembut tanganku supaya duduk di sebelahnya. Aku hanya menurut. Dia membelai rambutku sambil tersenyum."Mak bangga ada anak yang taat macam Izz" Ada titis airmata yang jatuh dipipi tuanya membuatkan hati aku terasa sayu. Tubuh Mak Su Siah kudakap penuh kasih.


"Dahla. Mak janganlah nangis lagi. InsyaAllah. Izz ok je. Mak dengan Ayah doakan kebahagiaan Izz ye" Aku memegang keduabelah pipi Mak Su Siah sampbil tersenyum. Dia turut tersenyum sambil memegang tanganku yang masih berada dipipinya. "Mak ada bungkuskan kerepek pisang dengan rempeyek kacang tanah. Nanti Izz bagilah kawan-kawan kat sana ye" Sedikit ceria suara itu ditelingaku membuatkan aku tersenyum senang. Jika tidak, memang berat hati aku ingin meninggalkannya dalam kesedihan.


Kereta Viva berwarna hitam milik Laila mula bergerak memasuki Lebuhraya PLUS ketika azan Isyak berkumandang. Aku hanya mendiamkan diri sedari tadi. Tidak tahu apa yang hendak dibualkan. "Izz ... Aku harap kau tak marah dengan keluarga kami" Kata-kata yang terpacul dari mulut Laila membuatkan aku mengalih pandangan padanya."Eh. Kenapa pulak aku nak marah dengan keluarga kau?" Aku cuba tersenyum. "Yelah. Kami ni macam paksa kau supaya terima Abang Zack je. Tengok muka kau masa majlis tadi pun aku tau" Tersentap aku mendengar luahan rasa Laila. Tidakku sangka yang Laila menyedari kelainan dari riak wajahku sepanjang majlis petang tadi.


"Izz .. Kita dah kawan dari masa sekolah lagi. Aku tahulah kalau kau ni ikhlas ke, pura-pura ke ... Semua tu dalam poket seluar aku la" Laila menepuk pehanya sambil memandang kearahku sekilas. Aku menarik nafas panjang. "Mungkin ini yang terbaik untuk aku" Aku menjawab dalam nada pasrah. "Hmmm ... Aku harap sangat Abang Zack dapat bahagiakan kau" Perlahan sahaja nada suara Laila."Tapi! Kalau dia buat lagi perangai lamanya tu, kau bagitau je kat aku. Taulah aku nak ajar dia nanti!" Tiba-tiba dia bersuara penuh semangat membuatkan aku agak terkejut. Tapi, bila melihat wajahnya yang bersungguh-sungguh, berderai juga tawaku dibuatnya. Dia hanya memuncungkan mulutnya, pura-pura merajuk.


Telefon yang berbunyi mematikan tawaku. Nama yang tertera membuatkan hati tiba-tiba berdegup laju.


'Assalammualaikum'

"Waalaikummussalam"

'Izz sihat?'

"Alhamdulillah. Izz ok je"

'Dah sampai mana ni?'

"Emmm ... Baru nak masuk Tangkak. Err .. Abang masih kat Penang ke?"

'Tak. Petang tadi dah sampai rumah. Penat sangat. Lepas asar terus tertidur. Pukul 8 baru terjaga. Nasib baik sempat Maghrib. Lepas sembahyang Isyak, teringatkan Izz, tu yang Abang telefon ni'

"Owh"

'Izz. Abang harap Izz dapat terima Abang. Abang sayangkan Izz. Maafkan Abang sebab tak bagitau Izz awal-awal'

"Takpela bang. Benda dah jadi. Keluarga Izz pun dah terima"

'Keluarga Izz terima. Habis Izz macamana?'

"Izz ikutkan je bang. Apa yang terbaik untuk mereka, terbaiklah untuk Izz juga. Err .. Abang mesti penat kan? Pergilah tidur. Esokkan kerja, kena bangun awal. Nanti dah sampai, Izz bagitau. Assalammualaikum"


Punat merah kutekan tanpa mendengar balasan salam dari Abang Zack. "Siapa call? Abang Zack?" Laila bertanya dengan tumpuannya masih di atas jalanraya. "Ha'ah" Aku menjawap ringkas. Pandangan kucampakkan keluar tingkap. Berkocak kembali perasaanku dibuatnya. Hendak marahkan Abang Zack pun tak guna andai persetujuan itu sudah kuberikan. Cincin emas putih yang terikat dua biji berlian ditengah-tengahnya dijari manis aku renung sejenak. Siapa sangka, persoalan Raziq Hanan tempohari mengenai perancangan perkahwinan antara aku dan Abang Zack akhirnya terjawab sudah.


Raziq Hanan. Sebaris nama yang tiba-tiba muncul dalam kotak fikiranku membuatkan fikiranku bertambah kusut. Bagaimana penerimaannya agaknya apabila mengetahui yang aku sudah menjadi tunangan Abang Zack. Ah! Biarlah. Lagipun, bukankah dia sendiri yang mengakui selama ini aku sememangnya adalah 'Buah Hati' Abang Zack? Jadi, seharusnya berita pertunanganku ini tidak terlalu mengejutkan buatnya.


Entah berapa lama aku mengelamun sehinggakan tidak sedar yang mata sudah terkatup dengan sendirinya. Sayup-sayup dapat kudengar telefon yang berbunyi namun tuntutan mata yang keletihan minta direhatkan mengatasi segala-galanya dan aku meneruskan lenaku tanpa mempedulikan apa saja yang berlaku disekelilingku saat ini.
 
ADIALUZEONLINENOVEL : WHERE DREAMS CAME TRUE Blogger Template by Ipietoon Blogger Template