Mesej Poyo dari Adialuze

Assalammualaikum w.b.t

Bismillahirrahmannirrahim ...

Thanks for those that have the time to come by to this blog whether accidentally or intentionally. Thanks a bunch!

As an introduction, I'm a wife and a daughter to a wonderful husband and family that ALLAH have lend me. Syukur, Alhamdulillah ... I'm truly feel bless always ... 24 by 7.

To be a writer one should have the gift to write ... That what 'they' say. But for me, I'm writing because I love to write. Gifted or not, I will continue to write as long as ALLAH gave me the ideas an inspirations to do so ...

I do apologize for any error or discomfort feeling that cause by my writing ...

Please drop your comment for a better me as a writer ... and please do comment in a civilize way cause I believe we all yearn for love and peace not hatred and war.

HAPPY READING ^_^

-Aidaluze-

Friday, February 23, 2024

GADIS CENGENG : BAB 29

         

        Perkhabaran yang baru diterima daripada Ammar membuatkan Imtiyaz tidak senang duduk. Sekejap dia berdiri memandang ke luar tingkap gelas di pejabatnya, sekejap dia duduk bersandar sambil memandang kosong kearah skrin Macbooknya. Dia meraup wajahnya untuk kesekian kali. Tak keruan rasanya ketika itu.

 

“Ara minta tangguhkan tarikh pernikahan korang”

 

Sebaris ayat yang sangat ringkas namun membawa maksud yang menyesakkan dada Imtiyaz. Dia faham kenapa Ammara mengambil keputusan sedemikian. Ini semua pasti kerana kejadian hitam yang menimpanya beberapa hari yang lepas. Kejadian yang dia menyaksikan sendiri bagaimana rapuh seorang yang bernama Ammara Safiyya. Bagaimana gadis itu mengurungkan dirinya di dalam bilik dan menutup semua pintu komunikasi dari dunia luar. Imtiyaz maklum tentang semua itu kerana tak ada satu pun mengenai tunangnya itu yang tak disampaikan oleh Ammar kepadanya.

 

“Assalammualaikum …”

 

Lama dia mengelamun sehingga ketukan beberapa kali di mejanya beserta ucapan salam mengembalikannya ke dunia sebenar. Wajah Imtithal terpampang di hadapannya sebaik saja dia berkalih pandang. Lembut pandangan  adiknya itu yang sedang melarikkan senyuman padanya.

 

“Waalaikumussalam … Eh Tihal. Apa Tihal buat kat sini? Tihal datang dengan siapa?” Sedikit terkejut Imtiyaz melihat adiknya itu. Selama ini, boleh dikira dengan jari berapa kali Imtithal melawatnya di pejabat. Itupun biasanya bersama Uminya dan selalunya mereka datang untuk mengajaknya makan tengahari bersama-sama.

 

“Tihal hantar Imdad ke nursery dan terus datang sini. Saja nak melawat Abang” Imtithal masih tersenyum sambil melabuhkan punggung di atas kerusi di hadapan Imtiyaz.

 

Berkerut dahi Imtiyaz mendengar jawapan adiknya. “Nursery Imdad bukannya dekat area office Abang. Takkan Tihal sengaja terbabas jalan sampai sini?” Senyuman senget diberikan kepada adiknya. Tubuhnya disandarkan ke kerusi dengan kaki yang disilangkan. Dia seolah-olah dapat mengagak tujuan kedatangan adiknya itu.

 

“Takda la. Kalau kat rumah tu, nak jumpa Abang bukannya senang. Dah la sekarang ni selagi jam tu belum sampai pukul dua belas tengah malam takdanya Abang tu nak balik. Entah apa yang dibuat kat office ni pun tak tahulah. Nak kata sibuk sangat, Walid tu rasanya lagi sibuk dari Abang. Tapi, paling lambat, pukul lapan malam Walid dah sampai rumah” bebelan Imtithal hanya melebarkan senyum dibibir Imtiyaz.

 

So, Tihal rindu kat Abang la ni” usikan Imtiyaz disambut dengan dengusan kasar dari Imtithal.

“Jangan nak perasan ye. Tihal Cuma nak bincang dengan Abang pasal Kak Ara” akhirnya … tujuan sebenar Imtithal yang memang sudah dijangka oleh Imtiyaz terluah juga. “Kenapa dengan Kak Ara?” Imtiyaz meminta Imtithal menghuraikan kegusarannya.

 

“Tihal tahu yang Kak Ara nak tangguhkan pernikahan Abang dengan dia kan?” ternaik sedikit kening Imtiyaz. Macamana pula adiknya ini boleh tahu? Rasanya malam tadi, dia cuma ada Umi dan Walidnya sahaja sewakatu Ammar menelefonnya. Itupun di bilik bacaan.

 

“Tihal terdengar malam tadi Abang berbual dengan Umi dan Walid dalam bilik bacaan” seolah-olah mengerti akan kekeliruan Imtiyaz, Imtithal berterus terang.

 

“Ooo curi dengar ye. Sejak bila pandai jadi spy ni?” Imtiyaz masih dalam mode mengusik.

 

“Abang ni … Tihal serius ni. Tihal risau dengan keadaan Kak Ara. Tihal rasa Tihal faham apa yang Kak Ara rasa sekarang ni” sekali lagi Imtiyaz menaikkan keningnya.

 

“Apa maksud Tihal?” Pelik pula apabila adiknya yang baru berusia lima belas tahun itu memahami apa yang Ammara rasakan. Walid dan Uminya masih ada, jadi tak mungkin dia faham perasaan kehilangan yang dirasai Ammara. Manakala kejadian Ammara di serang Fath pula … Eh … Takkan??? Eh … Mustahil!

 

“Tihal! Bagitahu Abang siapa yang pernah serang Tihal?!” Imtiyaz sudah bangun dan menghampiri Imtithal lalu duduk bertinggung di hadapan adiknya itu.

 

“Apa Abang mengarut ni?! Eiiiiii!! Bukanlah! Mana ada sesiapa serang Tihal” jawapan Imtithal membuatkan Imtiyaz menarik nafas lega. Dahinya diletakkan di belakang tapak tangan yang berada di pemegang kerusi Imtithal.

 

Then, apa maksud Tihal paham perasaan Kak Ara” wajah Imtithal dipandang tepat.

 

“Kawan sekolah Tihal pernah kena cabul dengan Pakciknya sendiri. Tihal Nampak macamana terkesannya dia. Parents dia sampai sekarang bawa dia jumpa Doktor Psikiatri setiap minggu. Dia jadi sensitif bila kena sentuh. Kadang-kadang tu, Cikgu tengah mengajar kat depan, dia boleh menjerit-jerit macam kena serang” penerangan Imtithal serba sedikit membuatkan Imtiyaz faham maksud kata-kata adiknya itu sebentar tadi. Dia mengangguk-anggukkan kepala tanda mengerti.

 

“Tapi, Fath belum sempat pun nak …” kata-katanya terhenti di situ. Mengingatkan peristiwa hitam itu sudah cukup membuatkan darah Imtiyaz membuak-buak. Imtithal yang melihat rahang Abangnya itu sudah diketap kuat terus meramas lembut tangan Imtiyaz.

 

“Abang kena ingat. Kak Ara tu mana biasa kena sentuh dengan mana-mana lelaki asing. Ini lagilah pula bila kena serang macam tu. Tihal yahin dia mesti rasa trauma” Imtiyaz cuba memproses apa yang dikatakan Imtithal itu. Ada benarnya juga. Ammara bukanlah seperti bekas-bekas teman wanitanya yang lain. Setakat pegang tangan dan cium pipi sudah menjadi perkara biasa untuk mereka. Imtiyaz bangun dan meraup wajahnya dengan keduabelah tangan. Dia kembali duduk dikerusinya.

 

“Masa sekarang ni, Kak Ara perlukan sokongan dan kasih sayang dari orang disekeliling dia. Tihal tak pernah rasa kehilangan orangtua, so Tihal tak tahu macamana lonely dan sedihnya perasaan Kak Ara sekarang. Dah la tu, lelaki yang dia kenal pula serang dia sampai nyaris dia nak kena …” kata-kata Imtithal terhenti di situ apabila melihat riak wajah Imtiyaz berubah. Dia tahu bukan sahaja Ammara yang terkesan, Abangnya itu turut sama terkesan walaupun bukan dalam konteks yang sama. Imtithal yakin yang Imtiyaz benar-benar menyayangi bakal Kakak Iparnya itu. Jika tidak, masakan emosinya akan segera berubah sekiranya peristiwa hitam yang menimpa Ammara diungkit semula.

 

“Tihal cuma nak cakap yang masa-masa sekarang ni, Abang kena jadi seorang sahabat yang mendengar dan memahami lebih daripada seorang Tunang yang over protective dan over sensitive. She doesn’t need that vibe from you right now” Imtiyaz rasa dia faham apa yang cuba disampaikan oleh Imtithal.

 

“Tihal balik dulu la. Abang jangan kerja lewat sangat. Kalau ada masa, Abang pergilah lawat Kak Ara. Dia mungkin akan push you away for now, but you just need to be patient and persistant. Insha Allah, Tihal yakin lama kelamaan, Kak Ara akan boleh terima” kata-kata Imtithal serba sedikit memberikan semangat kepada Imtiyaz. Usai tangan Abangnya disalami dan dikucup, Imtithal terus berlalu pergi. Imtiyaz mula merangka dalam kepala bagaimana cara dia hendak membantu memulihkan emosi Ammara.

 

Petang itu, tepat jam 5.00 petang, Imtiyaz terus keluar dari pejabat. Kak Ros yang menjadi PA sementaranya merasa pelik dengan perubahan jadual Bosnya itu. Mereka sudah sedia maklum mengenai Ammara yang baru kematian orang tuanya dan untuk sementara ini dia disuruh untuk bekerja dari rumah namun perubahan yang banyak berlaku pada Bos mereka itu agak mengundang rasa pelik pada semua pekerja di tingkat 18 itu.

           

Sebelum ini, jarang dia duduk lama di pejabat, selepas Ammara masuk bekerja barulah setiap hari dia masuk hingga ke petang. Dua minggu kebelakangan ini pula, selepas semua pekerja pulang pun, Bos mereka itu masih sibuk di dalam pejabat tapi hari ini, tepat 5.00 petang, berdesup dia keluar. Mereka semua hanya boleh berteka teki saja malah ada yang mengandaikan bahawa Ammara dan Encik Imtiyaz memang mempunyai hubungan istimewa namun ianya sekadar telahan mereka sahaja.

 

Memandangkan jalan belum sibuk dengan kenderaan yang pulang dari pejabat, tidak sampai satu jam memandu, keretanya sudah sampai di luar pagar rumah Ammar. Teragak-agak pula Imtiyaz untuk keluar dari kereta memandangkan kunjungannya itu tanpa diberitahu dulu kepada Tuan Rumah. Dia hanya mengikut rasa hati sahaja.

 

Tok! Tok! Tok!

 

Agak tersentak dibuatnya apabile cermin keretanya diketuk dari luar dan dia menarik nafas lega apabila wajah Ammar yang dipandang. Segera cermin kereta diturunkan.

 

“Tiyaz buat apa kat luar ni? Dah lama ke sampai?” Ammar meletakkan sebelah tangannya di atas bumbung kereta BMW Imtiyaz.

 

Jam di dashboard kereta dipandang sekilas sebelum menjawab pertanyaan Ammar.

 

“Baru je sampai Along. Belum sampai setengah jam pun lagi” Ammar tersenyum mendengar jawapan Imtiyaz itu lalu bakal adik iparnya itu dipelawa masuk ke dalam rumah.

 

“Minumlah … Tiyaz tak bagitahu pun nak datang. Ni jela mampu akak sediakan. Kejap lagi Akak nak masak. Tiyaz makan malam dengan kami sekali ye” Ramah Fatin berceloteh sambil dulang berisi air teh dan cekodok ikan bilis segera disuakan pada Imtiyaz. Ammar membantu meletakkan secawan the di atas meja di hadapan lelaki itu.

 

“Eh, ini pun dah cukup Kak. Maaf sebab saya datang mengejut macam ni. Saya ingat nak jumpa Ara sekejap. Tu pun kalau Along izinkan” cukup berhati-hati Imtiyaz meminta izin. Bimbang jika Ammar menolak permintaannya itu mentah-mentah. Yelah, memandangkan emosi Ammara yang belum cukup stabil. Pasti Ammar akan lebih melindungi adik tunggalnya itu.

 

Mendengar permintaan Imtiyaz itu Ammar menarik nafas panjang. Dia dan Fatin yang sudah duduk di sebelahnya bertukar pandang beberapa ketika sebelum berpaling kearah Imtiyaz semula.

 

“Akak cuba panggil dia. Tapi, kalau dia belum bersedia nak jumpa Tiyaz, Akak minta maaf awal-awal ye. Harap Tiyaz faham” pandangan mengharap pengertian dari Imtiyaz diberikan Fatin. Imtiyaz hanya tersenyum sebelum menganggukkan kepalanya.

 

Selang beberapa minit selepas itu, kehadiran Ammara yang membontot Fatin menuruni tangga disedari oleh Imtiyaz. Gadis itu dipandang tanpa lepas.

 

“Korang berbuallah. Kami pergi solat Asar dulu” Sebaik saja Ammara mengambil tempat duduk di atas sofa bertentangan dengan Imtiyaz, Ammar menarik tangan Fatin meninggalkan mereka berdua. Sengaja memberi ruang supaya mereka boleh berbincang dengan lebih privasi.

 

5 minit berlalu dan Ammara masih duduk menunduk bermain dengan hujung tudung bawal yang tersarung dikepalanya. Terasa janggal berhadapan dengan Imtiyaz buat kali pertama selepas kejadian Fath menyerangnya beberapa hari yang lalu. Hari dimana untuk kedua kalinya  Imtiyaz memandangnya dengan aurat yang terdedah. Kejadian yang dikesali dan berlaku di luar kawalannya.

 

“Ara sihat?” Akhirnya Imtiyaz bersuara apabila suasana sunyi antara mereka mula terasa mencengkam dada. Jawapan panjang yang diharap tidak kendengaran. Hanya anggukan kepala yang diberi. Wajah yang nampak cengkung, lesu tak bermaya ditatap penuh kasih. Hatinya sedih melihat wajah yang selama ni ceria kemerahan berubah suram sebegitu.

 

“Along bagitahu saya, Ara minta tangguhkan perkahwinan kita. Boleh saya tahu kenapa?” Lembut Imtiyaz bertanya. Dia tidak mahu membuatkan hati Ammara yang sudah sedia rapuh bertambah parah.

 

Senyap. Imtiyaz sabar dan tenang menunggu Ammara membuka mulut. Namun setelah seketika hanya esakan halus yang kedengaran. Beberapa titis airmata dilihat menitik mengenai jubah biru yang dikenakan Ammara.

 

“Saya dah ternoda … Saya … Saya tak layak untuk awak” berselang seli dengan esakan tangisnya, Ammara akhirnya bersuara. Imtiyaz memejamkan mata seketika sebelum wajah sugul di hadapannya itu ditatap semula. Benar seperti telahan Imtithal. Ammara rasa dirinya sudah tidak sesuci dulu. Walaupun hakikatnya Fath tidak sempat pun untuk mengusik makhkota gadis itu, tapi dia sudah rasa dirinya terlalu ‘kotor’.

 

“Ammara, awak sempurna bagi saya. Walau apapun yang terjadi, saya tetap nak awak sebagai isteri saya. Hanya awak. Tak ada yang lain” Imtiyaz benar-benar berharap Ammara dapat merasai keikhlasan hatinya melalui kata-katanya.

 

“Saya bukannya lelaki sempurna Ammara. Kita sama-sama bukan manusia yang sempurna. Sebab tu saya harap dengan perkahwinan ini, kita berdua dapat menyempurnakan diri satu sama lain seadanya” Sekiranya ayat itu diluahkan Imtiyaz kepadanya suatu ketika dahulu, pasti sudah lama Ammara mencebik geli geleman.

 

        Kini … Kata-kata itu dirasakan umpama selimut tebal yang menyelimuti tubuhnya yang sudah lama terbiar menggigil kesejukan. Hatinya terasa hangat .. Bukan hangat yang membawa angin amarah tapi hangat yang mampu membuatkan segala kebimbangan dan rasa resahnya hilang perlahan-lahan. Ammara cuba mengukir senyum seikhlas mungkin. Imtiyaz turut sama tersenyum. Mereka menatap mata antara satu sama lain. Mulut membisu tapi masing-masing sudah mula faham dengan bahasa cinta yang baru tercipta antara mereka berdua.

GADIS CENGENG : BAB 28

 

            ARE you sure you gonna be okay?” Ammar mengucup ubun-ubun Ammara yang sedang menikmati mee goreng untuk sarapan pagi. Teragak-agak dia hendak meninggalkan Ammara untuk ke pejabat. Setelah seminggu bercuti, hari ini dia terpaksa masuk ke pejabat kerana Setiausahanya sudah beberapa kali mengingatkannya mengenai mesyuarat yang sudah lama tertangguh sejak minggu lepas. Fatin pula sudah beberapa hari berkursus di Pulau Pinang. Fath pula semenjak perbincangan untuk mempercepatkan tarikh perkahwinan Ammara dan Imtiyaz beberapa hari yang lalu, batang hidungnya tidak kelihatan di rumah itu.

 

Tok Lan dan Nek Lijah baru beberapa hari yang lemas dihantar ke Lapangan Terbang KLIA untuk pulang ke kampung. Bukan mereka tidak mahu duduk lebih lama, namun memikirkan ada tanggungjawab yang lebih penting di kampung, mereka terpaksa juga pulang. Ammar dan Ammara tidak mampu hendak menahan.

 

            “Untuk kali yang ke seratus dua puluh, yes! I’m gonna be okay. Jangan risau okaaaayyy” malas Ammara hendak melayan kerisauan Ammar yang kadang kala melemaskannya.

 

            Okay. Kalau ada apa-apa call Along terus. Okay?” Akhirnya Ammar mengeluh namun pertanyaan yang tak disahut Ammara membuatkan langkahnya terhenti.”Ara? Okay?” Ammara sudah memusingkan biji matanya.”Okaaayyyyyy” berlagu-lagu Ammara menyahut. Barulah Ammar puas hati dah akhirnya berlalu pergi ke pejabat.

 

Selesai sarapan, Ammara membancuh secawan kopi dan mencapai laptopnya menuju ke Taman Mini. Niat di hati ingin memeriksa email berkaitan kerja kerana dia sudah memaklumkan kepada Imtiyaz melalui pesanan Whatsapps pada malam perbincangan mengenai tarikh perkahwinan mereka diadakan bahawa untuk sementara ini dia ingin bekerja dari rumah. Mungkin mempertimbangkan keadaannya sekarang, tanpa banyak soal, Imtiyaz mengizinkannya. Itulah kali terakhir Ammara dan Imtiyaz berkomunikasi.

 

Seperti yang dijangka, ada beberapa surat dan tender yang memerlukan semakannya. Semuanya perlu disiapkan dan dihantar kepada Imtiyaz sebelum jam 5 petang esok. Satu persatu fail yang dilampirkan dibuka dan diperiksa dengan teliti.

 

“Ara …”tangan yang sedang laju menaip automatik terhenti apabila sebaris namanya dipanggil oleh suara seorang lelaki yang sudah lama tidak kelihatan di dalam rumah itu. Perlahan-lahan dia menoleh dan tubuh Fath yang berdiri tidak jauh darinya menyapa pandangan matanya.

 

Ammara hanya mendiamkan diri apabila Fath menghampirinya dan duduk rapat di sebelahnya. Pandangan mata Fath tak lepas dari menatap wajahnya sehingga membuatkan Ammara rasa kurang selesa.

 

“Awak betul ke nak kahwin dengan Bos awak tu?” Soalan yang langsung tidak dijangka akan keluar dari mulut Fath setelah beberapa hari tidak pulang membuatkan Ammara terkedu.

 

“Ara …”Berdesup darah naik ke kekepala apabila  Fath menyentuh pipinya. Pantas tangan Ammara menepis. Segera dia bangkit dan menjauhkan diri dari lelaki yang dirasakan tidak stabil saat itu. Rasa takut mula menyelubungi dirinya. Sudahlah cuma ada dia dan Fath di rumah. Jika lelaki itu bertindak melakukan apa-apa perkara yang kurang elok bagaimana dia hendak menanganinya. Memang la dia ada asas ilmu bela diri, tapi dengan keadaan diri yang baru hendak pulih dari kehilangan Ibu dan Bapanya, Ammara tidak yakin samada dia mampu untuk mempertahankan dirinya dari Fath.

 

“Tolong jangan kahwin dengan dia … Please Ara … Fath sayangkan Ara … Dari dulu lagi … Sampai sekarang pun Fath masih sayangkan Ara …” Meremang rasanya apabila mendengar kata-kata itu dari mulut Fath. Lelaki itu sudah bangun dan perlahan-lahan menghampiri Ammara yang sudah mengundur ke belakang.

 

“Apa awak mengarut ni Fath. Saya tak ada apa-apa perasaan pun kat awak. Tolong jangan mengarut boleh tak?” Keras nada suara Ammara. Cuba untuk menyedarkan Fath.

 

“Jangan nak tipu saya. Awak dah lupa ke semua surat-surat cinta yang awak bagi kat saya dulu tu? Awak memang sukakan saya dan awak gunakan Bos awak tu untuk buat saya cemburu je kan? Kan?! Saya mengaku saya sukakan awak juga. So, awak boleh batalkan niat untuk kahwin dengan Bos awak tu. You did it! Awak dah buat saya cemburu” Ammara tak percaya apa yang baru dikatakan Fath. Sah lelaki itu sudah hilang akal! Semua kata-katanya tidak masuk akal dipendengaran Ammara.

 

“Ammara … Saya sayangkan awak. Lepas ni saya akan bagi tahu Mak dengan Ayah untuk masuk meminang awak. Kita kahwin okay? Saya janji saya akan jaga awak dengan baik” Entah bila, Fath sudah berada betul-betul di hadapan Ammara dan dalam sekelip mata, tubuh Ammara sudah dipeluknya erat.

 

“Awak ni dah hilang akal ke apa? Lepaskan saya!” Ammara meronta sekuat hati dan sebaik sahaja pelukan Fath mula longgar dia segera meloloskan diri dan berlari masuk ke dalam rumah. Sempat dia mencapai telepfon bimbitnya. Dia berlari menuju ke bilik tidurnya dan dikunci dari dalam.

 

“Ara … Bukalah pintu ni. Jangan buat saya macam ni, please …” Kedengaran Fath merayu dari luar pintu bilik sambil diselang selikan dengan ketukan dipintu. Ammara yang sudah terduduk bersandar di pintu bilik mendail nombor yang terlintas difikirannya saat itu dengan tangan yang menggigil.

 

Ammara?” Suara Imtiyaz kedengaran selepas hanya 3 kali bunyi deringan membuatkan Ammara menarik nafas lega.

 

“Tiyaz … Tiyaz …” Ammara sudah mula teresak menangis dan hanya itu saja yang mampu keluar dari mulutnya. Dia pasti Imtiyaz pasti terkejut kerana ini adalah kali pertama Bosnya itu dipanggil sebegitu. Ammara betul-betul rasa tak berdaya saat ini. Dengan Fath yang tak berhenti memanggil namanya sambil mengetuk pintu dia buntu. Bimbang sekiranya Fath dapat mencari kunci pendua yang disimpan oleh Ammar, dia perlu meminta pertolongan segera.

 

“Ammara …  Are you okay? Kenapa ni? Apa yang bising sangat kat belakang awak tu? Awak kat mana?” Suara panik Imtiyaz mula kedengaran. Semakin kuat esakan tangis Ammara dibuatnya.

 

“Ammara .. Okay … Relax … Tarik dan hembus nafas perlahan-lahan … Bagitahu saya awak kat mana … Saya pergi kat awak sekarang” lembut suara Imtiyaz memujuk. Dia seolah-olah mengerti kekalutan yang melanda hati Ammara sekarang.

 

“Rumah … Saya … Saya kat rumah Along … Tolong … Tolong selamatkan saya .. Tiyaz” Dalam menahan sendu Ammara mennjawab. Kedengaran telefon diletak oleh Imtiyaz setelah mengatakan yang dia sudah dalam perjalanan.

 

Suasana yang tiba-tiba senyap diluar pintu biliknya membuatkan Ammara rasa tidak sedap hati. Kemana perginya Fath? Adakah dia sudah pergi?

 

Tanpa berfikir panjang, Ammara perlahan-lahan membuka pintu bilik dan tanpa diduga Fath terus meluru kearahnya sehingga tubuhnya tertolak masuk ke dalam bilik semula.

 

“Kenapa awak buat saya macam ni ha?! Kenapa?! Kenapa awak pilih dia bukan saya?!! Apa kurangnya saya ni?!! Kalau saya tak boleh dapat awak, jangan mimpi sesiapa pun boleh dapat awak!!” Fath yang umpama sudah kerasukan hantu menolak kasar tubuh kecil Ammara sehingga dia jatuh terbaring di atas katil. Ammara cuba untuk bangun tapi tubuh besar Fath terlebih dahulu sudah menghimpitnya dan kini wajah Fath hanya berjarak beberapa inci sahaja dari wajahnya. Nafas kuat Fath menghembus kuat kearahnya dan mata merah Fath tertumpu kearah bibirnya. Ammara benar-benar sudah tidak mengenali lelaki di hadapannya itu. Tubuh kecilnya sudah menggigil ketakutan. Airmatanya sudah tak berhenti berjuraian mennuruni pipinya yang sudah basah lencun.

 

“Awak saya punya” Ammara hanya mampu meronta dan menangis saat Fath merentap kemeja yang dipakainya sehingga bahagian hadapan tubuhnya terdedah dan menampakkan baju dalam yang dipakainya. Semakin kuat tangisan Ammara dengan kelakuan Fath yang semakin menggila. Tudung yang dipakainya turut sama direntap dan dicampak entah kemana.

 

Ammara hanya mampu berdoa dalam hati apabila Fath sudah rakus mencium leher dan bahunya yang sudah terdedah. Dia tetap tak berhenti meronta walaupun kedua belah tangannya sudah dikunci oleh Fath erat di atas kepalanya. Matanya dipejamkan erat. Tak sanggup melihat wajah Fath yang sudah hilang pertimbangan.

 

“C****a!!!! Apa yang kau buat ni ha?!!!!!!!!!!” Jeritan diiringi bunyi kuat seperti sesuatu terhantuk kuat pada meja soleknya beserta dengan rasa berat yang menindih tubuhnya tiba-tiba menghilang membuatkan Ammara membuka matanya perlahan. Pantas tubuhnya yang terdedah ditutup dengan comforter yang tercapai dek tangannya. Dia kini sudah duduk tegak di birai katil. Pandangannya yang kabur dapat menangkap tubuh Fath yang sudah terkulai di atas lantai dan tidak jauh darinya, berdiri Imtiyaz yang memandang tajam kearah Fath dengan nafas laju turun naik.

 

“Berani kau sentuh dia!!! S**l!!!” Imtiyaz mencekak leher baju Fath dan dengan posisi lututnya dibengkokkan di sebelah kanan dan kiri tubuh Fath yang masih terbaring di atas lantai, dia menumbuk muka Fath bertubi-tubi. Kali ini, Imtiyaz pula yang kelihatan seperti sudah kerasukan.

 

Tanpa menunggu lebih lama, Ammara segera bangun nak menarik tubuh Imtiyaz supaya menjauhi Fath yang sudah terkulai tak bermaya.

 

Stop … Please stop …” Apabila Imtiyaz masih tidak berganjak, Ammara memeluk tubuh itu dari belakang serentak berusaha menariknya jauh dari Fath dan dia berjaya juga apabila Imtiyaz tertarik ke belakang dan terduduk di atas lantai dengan keadaan Ammara masih memeluknya sambil menangis kuat. Tubuhnya terus dirasakan longlai dan pipinya melekat di belakang tubuh Imtiyaz. Baju kemeja yang dipakai Imtiyaz sudah lencun dengan airmatanya.

 

“Ammara … Are you okay?” Setelah rational kembali semula dalam dirinya, Imtiyas mencapai tangan Ammara yang masih melingkar dipinggangnya lantas digenggam dan diusap lembut. Ammara yang baru tersedar kedudukan mereka cepat-cepat menjarakkannya. Tangisnya masih bersisa. Imtiyaz berpaling memandang kearah Ammara. Melihat keadaan Ammara yang tak terurus dengan rambut yang kusut masai membuatkan darahnya kembali mendidih. Lagi-lagi apabila terlihat beberapa bekas gigitan yang mula kelihatan memerah di leher Ammara.

 

“S**l!!!!” Imtiyaz kembali menerpa ke arah Fath yang masih terbaring dan tumbukan bertubi-tubi kembali dihadiahkan buat lelaki itu. Darah sudah memenuhi wajah Fath yang terkulai tidak bermaya.

 

“Tiyaz!!!! Stop it!!!” Laungan suara kedengaran beserta kelibat Ammar yang baru masuk di bilik Ammara dan terus menarik tubuh Imtiyaz menjauhi Fath sebelum mati lelaki itu dikerjakan.

 

“Mengucap Tiyaz! Mengucap!” Tubuh Imtiyaz digoncang kuat dan ianya serba sedikit dapat mengembalikan Imtiyaz dari dunia amarahnya.

 

Tubuh Ammara yang terduduk di atas lantai sambil memeluk lutut terbias dimata Ammar. Pantas adiknya dihampiri dan dibawa ke dalam dakapannya. Pada mulanya Ammara meronta tapi apabila menyedari yang memeluknya adalah Abangnya, dia terus terkulai dalam dakapan Ammar dan mengongoi kesedihan umpama anak kecil. Hati Ammar remuk melihat keadaan adiknya itu. Ikutkan hati, memang dah arwah Fath dikerjakannya. Kalau tak fikirkan yang Fath itu masih adik iparnya, sudah lama dia ajak Imtiyaz membelasah lelaki itu cukup-cukup. Airmatanya turut menitik mendengar tangisan sayu Ammara dekat di telinganya.

 

           

        SUDAH seminggu berlalu sejak peristiwa Ammara di serang Fath berlaku. Fath diserahkan kepihak berkuasa atas tuduhan cubaan merogol. Selain Ammara, Fatin adalah insan yang paling terkesan. Tidak disangka adiknya itu sanggup melakukan perkara sebegitu terhadap adik iparnya.

 

Rasa bersalah dan malu terhadap suaminya dan Ammara serta Imtiyaz dan keluarganya tak usah cakaplah. Walaupun sudah dipujuk oleh Ammar berulang kali mengatakan yang ianya bukan salahnya, namun Fatin masih dihantui rasa bersalah. Lagipula dengan keadaan Ammara yang asyik terperuk dalam bilik semenjak kejadian itu lagilah dia rasa tak sedap hati.

 

Tok!Tok!Tok

 

Ketukan dipintu buat kesekian kalinya dipintu bilik Ammara masih tidak bersahut. Dulang makanan yang diletakkan di luar pintu bilik juga belum disentuh. Fatin menarik nafas berat. Perut yang mula membesar dan sudah mula terasa tegang diusap perlahan.

 

“Ara … Akak tahu tak kira apapun yang Akak cakap mampu mengubah apa yang dah terjadi. Akak betul-betul minta maaf atas apa yang Fath cuba buat pada Ara … Akak rasa bersalah sangat-sangat … Ara … Maafkan Akak ye …” Suaranya sudah berubah serak. Sebak dadanya mengingatkan nasib Ammara. Dia tahu Fath belum sempat melakukan perkara yang lebih teruk tapi apabila Adiknya itu sanggup terfikir untuk melakukan perkara sebegitu terhadap Ammara sudah cukup untuk membuatnya berang sendiri.

 

“Kalau Ara marahkan Akak dan tak mahu tengok muka Akak lagi … Akak faham. Esok Akak balik rumah Mak Ayah Akak … Sekali lagi Akak minta maaf Ara …” Airmata yang deras mengalir diseka dari dengan telapak tangan. Fatin sudah bersedia untuk berlalu apabila bunyi pintu bilik dibuka membuatkannya memusingkan semula badannya kearah pintu bilik semula.

 

“Kak ….” Ammara meluru kearah Fatin dan memeluk kakak iparnya itu erat. Fatin membalas pelukan itu dan mereka berdua sama-sama menangis melepaskan kesedihan yang terbuku di dalam hati. Tak ada secebis pun dalam hati Ammara menyalahkan Fatin. Baginya, semua itu salah Fath seorang. Tak ada kena mengena langsung dengan Fatin ataupun orang lain.

Thursday, February 15, 2024

GADIS CENGENG : BAB 27

 


SUDAH 3 hari Puan Saadiah dan Encik Azman berada di Hospital dan ditempatkan di wad ICU. Selama itu jugalah Ammara berkampung di Hospital. Makan, mandi dan tidur di situ. Kain bajunya dihantar oleh Ammar setiap hari.

 

Walau puas dipujuk untuk berganti orang, Ammara tetap berkeras untuk sentiasa berada di situ. Dia ingin menjadi orang pertama yang dihubungi sekiranya ada apa-apa perubahan pada keadaan Ayah dan Ibunya. Ammar terpaksa akur. Memandangkan alahan Fatin masih agak teruk, dan keadaan kesihatan Nek Lijah dan Tok Lan yang tak begitu baik, dia tak boleh selalu datang ke situ. Mujur ada Imtiyaz yang sanggup bergilir setiap hari untuk melawat Ibubapanya dan pada yang sama menjenguk keadaan Ammara.

 

“Ara … Ara … Ara …” Bahu Ammara yang terlena sambil duduk dengan kepala hanya beralaskan lengan di kerusi menunggu digoncang lembut. Wajah yang jelas kepenatan itu dipandang lama oleh Imtiyaz. Walau baru beberapa hari namun wajah mulus itu sudah kelihatan agak cengkung.

 

Melihatkan Ammara yang masih lena, Imtiyaz mengoncangkan lagi tubuh gadis itu sehinggalah Ammara terpisat-pisat membuka matanya. Perlahan-lahan matanya digosok.

 

“Eh, Encik Imtiyaz. Bila sampai? Dah pukul berapa sekarang?” Dalam keadaan masih mamai dan suara agak serak, Ammara bertanya pada Imtiyaz yang sudah duduk di sebelahnya.

 

“Saya baru je sampai. Sekarang dah pukul 6.30 pagi. Ara pergilah bersihkan diri dulu dan solat subuh. Ni Along ada kirimkan baju dan sarapan untuk awak. Dia tak dapat nak datang hari ni sebab ada Auditor nak datang office. So, dia kena standby” Ammara mengangguk-anggukkan kepalanya. Dua buah beg kertas berwarna coklat yang dihulurkan Imtiyaz disambut tanpa banyak soal. Ammara bangkit dan berjalan menuju kearah bilik air untuk membersihkan diri dan terus ke surau untuk menunaikan solat subuh.

 

Selesai solat subuh, Ammara kembali semula ke wad ICU tapi pandangan yang menyapanya membuatkan dadanya berdegup kencang. Imtiyaz, Ammar, Nek Lijah, Tok Lan, Fatin dan Fath sudah berkumpul dengan masing-masing berwajah sugul. Ammara mempercepatkan langkah kakinya. Di dalam surau tadi dia sempat melelapkan mata sekejap. Tapi, rasanya belum sampai 2 jam dia pergi tapi kenapa dalam sekelip mata suasana boleh berubah sesuram itu?

 

“Along? Kenapa Along datang ni? Encik Imtiyaz cakap Along tak boleh datang hari ni … Kenapa semua ada kat sini ni?” Ammar orang pertama yang dituju. Mata Ammar yang nampak berkaca membuatkan Ammara tak sedap hati. Tanpa sepatah kata Ammar terus memeluk tubuh Ammara erat. Yang lain hanya memerhatikan dengan pandangan sayu.

 

“Along … Kenapa ni? Kenapa Along menangis? Mama dengan Papa dah sedar ke?? Kenapa Mak Tok nangis? Ayah Tok?” Ammara menepuk perlahan belakang tubuh Abangnya yang sudah teresak-esak menangis. Wajah Nek Lijah dan Tok Lan yang berdiri di belakang Ammar turut dipandang dengan terpinga-pinga.

 

“Papa dengan Mama dah tak ada Ara …” Kata-kata berbaur sendu dari Ammar membuatkan tubuh Ammara terus longlai. Nasib Ammar sempat merangkulnya erat agar tidak melorot terus kelantai. Tanpa dapat ditahan Ammara terus meraung pilu. Mak Tok dan Fatin yang sudah turut sama menangis memeluk erat tubuh Ammara itu dari belakang. Tok Lan, Fath dan Imtiyaz hanya memandang tanpa suara.

 

 

            UPACARA pengkebumian dan kenduri doa selamat sudah berlangsung dengan tenang dan damai di kediaman Arwah. Ammara menyibukkan diri dengan segala kerja untuk mengelakkannya dari terus meratap dan menangis. Dari memasak, mengemas, mencuci pinggan mangkuk sampailah melayani tetamu yang datang melawat semuanya dia lakukan. Sebaris senyuman tak lekang dari bibirnya walaupun terlihat tanpa sinar.

 

            Malam itu, selesai sahaja kenduri 7 hari pemergian Arwah, Tok Lan, Nek Lijah, Ammar, Ammara, Fatin, Fath, Imtiyaz, Datuk Muzaffar, Datin Suhana dan Imtithal yang sedang memangku Imdad yang sudah terlena, duduk berkumpul di ruang tamu setelah semua tetamu yang lain beredar pulang. Masing-masing senyap sambil menghirup kopi yang dibancuh Ammara.

 

            “Tok Lan, Ammar, Saya ada benda nak dibincangkan” Datuk Muzaffar bersuara memecahkan kesunyian. Tok Lan dan Ammar yang duduk di sebelahnya dipandang. Ammara yang duduk berapit Mak Tok dan Fatin dengan kepala dilentokkan di atas bahu neneknya itu turut dipandang.”Pasal Ara dengan Tiyaz” mendengar namanya di sebut Ammara terus duduk tegak. Matanya yang layu terus memandang kearah Datuk Muzaffar.

 

“Saya pun sebenarnya pun nak bincang dengan Uncle pasal mereka berdua” pandangan Ammara sudah berkalih pada Ammar. Fatin meraih tangan Ammara dalam genggamannya dan dielus lembut. Perlahan-lahan Ammara menoleh kearah Fatin yang sedang tersenyum kearahnya seolah-olah mahu menenangkannya.

 

“Saya rasa kita percepatkan perkahwinan Ara dengan Tiyaz. Apa pendapat Tok Lan dan Ammar?” Laju kepala Ammara berpusing memandang kembali kearah Datuk Muzaffar dengan pandangan tak percaya. Mukanya sudah berkerut seribu. Betul ke apa yang didengarnya? Baru sahaja dia kehilangan dua insan penting dalam hidupnya dan baru saja dia hendak mengatur semula nafas, kini Datuk Muzaffar pula mengemukakan cadangan yang membuatkannya kembali sesak nafas.

 

“Saya pun fikirkan yang sama Uncle” kata-kata persetujuan dari Ammar membuatkan dada diserang rasa yang mencengkam. Tok Lan yang duduk di sebelah Abangnya turut dipandang. Walau tanpa suara, anggukan kepala Ayah Toknya itu cukup menandakan persetujuannya.

 

“Tapi Ara tak setuju” sebaik saja dia habis berkata, 9 pasang mata tertumpu padanya. Masing-masing memandangnya dengan pandangan sayu. Entah kenapa saat itu dia benci dipandang begitu. Damsel in distress. Itulah ibarat dirinya sekarang bila dipandang begitu. ‘Along dah tak sayang aku’. Itu yang terlintas dalam fikiran Ammara ketika itu.

 

“Kenapa? Along dah tak sabar nak lepas tangan dari jaga Ara ke? Sebab Along dah nak ada anak sendiri? Jadi Along rasa Ara ni akan menyusahkan dan jadi beban Along ke??! Ayah Tok pun sama!” Entah kenapa hatinya menjadi terlalu sensitif ketika itu. Tiba-tiba dia rasa yang Ammar dan Tok Lan ingin membuangnya. Dia rasa sangat sunyi dan keseorangan saat itu.

 

“Apa Ara cakap macam  ni … Along …” Belum sempat Ammar menyudahkan ayatnya, Ammara sudah bangun dan berlari masuk ke dalam biliknya yang berada di tingkat atas.

 

“Ara …” Ammar yang ingin mengejar pantas ditegah oleh Fatin. “Biar Fatin yang pujuk dia” Fatin menawarkan diri dan Ammar hanya mengangguk setuju. Fatin meminta diri kepada Nek Lijah, Tok Lan, Datuk Muzaffar dan Datin Suhana sebelum berlalu menurut langkah Ammara.

 

Pintu bilik diketuk sebelum tombol pintu yang tak berkunci di pulas. Fatin melangkah masuk ke dalam bilik Ammara sebelum pintu bilik ditutup semula. Ammara yang meniarap di atas tilam dengan tubuh terenjut-enjut teresak menangis dihampiri. Belakang tubuh kecil itu diusap perlahan.

 

“Along dah tak sayang Ara” Setelah beberapa minit sunyi tanpa kata, akhirnya Ammara bersuara tapi masih meniarap tanpa memandang kearah Fatin.

 

“Ara … Along sayangkan Ara. Sayang sangat. Sebab tu Along ambil keputusan macam tu” lembut Fatin memujuk. Ammara bangun dan duduk bersila mengadap Fatin. Airmata yang membasahi wajahnya diseka dengan kedua telapak tangan.

 

“Sayang? Kalau sayang, kenapa Along macam tak sabar nak kahwinkan Ara?? Kalau Along tak nak Ara duduk kat rumah dia, bagitahu jela. Ara boleh je balik duduk rumah Papa dengan Mama ni” Airmata menitis lagi. Sebak hati dia bila mengingatkan satu-satunya darah dagingnya yang masih tinggal sudah tidak sabar untuk melepaskan tanggungjawab dari menjaganya. Baru seminggu Ibu dan Bapa mereka meninggal, Ammar sudah tak mahu lagi menjaganya. Sampai hati Ammar memperlakukannya sebegitu. Ammara sudah celaru dengan emosi prasangkanya sendiri.

 

Fatin menghela nafas panjang. Sampai begitu sekali Adik Iparnya itu berprasangka terhadap suaminya.

 

“Ara … Ara kenal kan Along Ara tu. Akak rasa, Ara lebih kenal dia dari Akak sendiri. Dalam hati dia tu, Selain dari arwah Papa dengan Mama, Aralah yang paling utama tau. Lebih dari Akak ni … Sebab tu dulu Akak selalu cari pasal dengan Ara. Sebab Akak cemburu Abang Ara tu selalu lebihkan Ara” Fatin mengusap keduabelah lengan Ammara. Dia berharap sangat yang Ammara tidak memandang serong terhadap keputusan Ammar untuk menyegerakan perkahwinan Ammara dan Imtiyaz.

 

Esak tangis Ammara sudah perlahan-lahan terhenti. Sisa airmata dikesat sehingga kering. Wajah Fatin ditatap. Cuba mencari kejujuran dalam kata-katanya. Dia berharap yang kata-kata itu bukan sekadar untuk menyedapkan hatinya saja.

 

“Tapi Ara belum bersedia nak kahwin Kak …” malah sebenarnya, kalau boleh, dia tak ingin langsung mengahwini Imtiyaz. Tapi, kalau dia tiba-tiba membatalkan pertunangan mereka, pasti semua orang akan merasakan yang emosinya tak stabil dan terganggu dek kerana kehilangan kedua orang tuanya. Tak memasal pula nanti dia dihantar berjumpa dengan Doktor Psikiatri. Eeeeiiiii …. Jangan cari pasal Ammara! Dia cuba menasihati diri sendiri supaya tidak membuat keputusan mengikut perasaan.

 

“Kenapa? Ammara tak sayangkan Tiyaz ke? Kamu memang akan berkahwin pun nanti. Jadi, cepat atau lambat takda beza pun kan?” Berkerut kening Fatin sambal memandang tepat ke wajah Ammara yang sudah terdiam.

 

Aduh! Macamana aku boleh lupa drama aku dengan Imtiyaz ni?! Ammara rasa nak hantuk dahi ke dinding. Dia betul-betul lupa yang pada pandangan semua orang, dia dan Imtiyaz memang saling menyintai antara satu sama lain. Mesti semua orang pelik dengan reaksinya sebentar tadi. Lagi sekali Ammara rasa nak hantuk kepalanya bagi koma terus.

 

“Kalau Ara nak tau, Mama dengan Papa tu berkenan sangat kat Tiyaz. Tiyaz pun rajin jenguk Papa dan Mama kalau kebetulan dia ada meeting atau jumpa orang dekat area sini. Mama dan Papa dah memang anggap Tiyaz tu macam anak diaorang sendiri. Ada satu kali tu, kereta Papa rosak masa Papa pergi kursus kat Cameron. Dia call Along dan kebetulan Tiyaz ada sekali. Nak dijadikan cerita, Along ada meeting penting dengan Kementerian so Tiyaz offer diri tolong Papa. Papa masa tu ada kat Tapah kalau tak silap akak. Cuba bayangkan, dari Putrajaya Tiyaz memandu ke Tapah tu, tak sampai 2 jam dia dah sampai. Tak tahu laju macamanalah laju dia bawa kereta masa tu” melongo Ammara mendengar Fatin bercerita.

 

Betul ke kakak iparnya itu sedang bercerita tentang Syed Imtiyaz Omar? Anak Datuk Muzaffar? Lelaki yang selalu membuatnya naik angin dan menyampah? Kenapa lain benar je perangainya? Berkerut-kerut muka Ammara cuba menghadam cerita yang disampaikan Fatin.

 

“Sebelum Papa dan Mama kemalangan, dia ada pesan dengan Along yang kalau apa-apa jadi kat diaorang, Papa minta Along percepatkan perkahwinan Ara dengan Tiyaz. Papa dengan Mama taknak Ara sunyi sendiri. Mak Tok, Ayah Tok, Along dengan Kak Fatin memanglah sentiasa ada untuk Ara, tapi tak sama kalau bertemankan seorang yang bergelar suami. Sakit pening kita ada orang jaga” Sekali lagi Ammara terkedu.

 

Ammara betul-betul tidak menyangka Papa dan Mamanya sudah mempunyai perancangan untuk mempercepatkan perkahwinannya dengan Imtiyaz. Dalam pada dia cuba mencari jalan memutuskan ikatannya dengan Imtiyaz, Ibu Bapa dan Abangnya berusaha pula untuk mengeratkan lagi ikatannya dengan lelaki itu. Ammara melepaskan keluhan berat.

 

“Kak Fatin … Tolong bagitahu Along yang Ara ikut je dengan keputusan Along” Akhirnya Ammara mengalah. Jika itu merupakan permintaan terakhir Papa dan Mamanya, biarlah kali ini dia menjadi anak yang patuh … buat kali terakhir.

 

Fatin menarik tubuh Ammara dalam pelukannya. Erat tubuh kecil itu didakapnya Dia tahu betapa terkesannya adik iparnya itu dengan kehilangan Puan Saadiah dan Encik Azman. Fatin juga sedar betapa erat dan akrabnya hubungan Ammara dengan kedua orang tuanya. Terlalu akrab sampaikan tak ada satu pun rahsia antata mereka. Sakitnya sebuah kehilangan itu dia sendiri pun tak akan boleh membayangkannya. Apatah lagi untuk menghadapinya. Simpatinya tumpah sepenuhnya terhadap Ammara.

 
ADIALUZEONLINENOVEL : WHERE DREAMS CAME TRUE Blogger Template by Ipietoon Blogger Template