Mesej Poyo dari Adialuze

Assalammualaikum w.b.t

Bismillahirrahmannirrahim ...

Thanks for those that have the time to come by to this blog whether accidentally or intentionally. Thanks a bunch!

As an introduction, I'm a wife and a daughter to a wonderful husband and family that ALLAH have lend me. Syukur, Alhamdulillah ... I'm truly feel bless always ... 24 by 7.

To be a writer one should have the gift to write ... That what 'they' say. But for me, I'm writing because I love to write. Gifted or not, I will continue to write as long as ALLAH gave me the ideas an inspirations to do so ...

I do apologize for any error or discomfort feeling that cause by my writing ...

Please drop your comment for a better me as a writer ... and please do comment in a civilize way cause I believe we all yearn for love and peace not hatred and war.

HAPPY READING ^_^

-Aidaluze-

Thursday, March 10, 2022

GADIS CENGENG : BAB 15

Ammara Safiyya 

“AMMARA orang mana?” Seraut wajah garang yang duduk di hadapannya mula menyoal sebaik sahaja Imtiyaz berlalu untuk menjawab panggilan telefon.

“Saya lahir di Selangor. Mama orang Terengganu. Papa saya asal Johor” dalam nada takut-takut Ammara menjawab. Nasi yang dikunyah terasa berpasir ditekak. Payah benar hendak ditelan.

“Papa dengan Mama kerja apa?” Giliran Bapa Imtiyaz pula bertanya. Memandangkan Datuk Muzaffar memang sudah mengenalinya sebagai pekerja di Muz Holding, wajahnya selamba saja. Berlainan dengan Datin Suhana. Datin Syarifah Suhana. Mukanya kelat saja sejak tadi.  Nasi yang sudah dikunyah lumat ditelan.

“Mama Surirumah. Papa saya Pensyarah di UiTM” kelihatan Datuk Muzzaffar mengangguk-anggukkan kepala sambil meneruskan suapan nasi berlaukkan ikan keli masak lemak cili api ke dalam mulutnya.

“Dah lama kenal Tiyaz?” Berpeluh tangannya apabila diajukan soalan yang tidak pasti jawapannya. Takkan pula dia hendak menjawab baru sebulan? Memang sahlah kena pelangkung. Habis tu, nak jawab apa? Ammara mula rasa nak menangis.

“Dah setahun lebih Umi” baru saja dia hendak membuka mulut, sahutan dari Imtiyaz yang baru kembali duduk di sebelahnya membuatkannya terasa lega. Lega kerana bukan dia yang terpaksa berbohong. Cukuplah azab menyamar jadi kekasih Imtiyaz sahaja.

“Jadi, sebab Ammara, Tiyaz sanggup tolak anak Syed Hassan tu?” Suara Datin Suhana masih lagi tegang malah kali ini lebih keras bunyinya. Ammara hanya memandang kearah pinggannya tak berkalih.

“Sudah-sudah lah tu Ana. Biarlah Tiyaz ni buat pilihan sendiri. Dia kan dah cukup dewasa. Buat apa kita nak paksa-paksa” tenang saja Datuk Muzaffar bersuara. Sudu dan garfu sudah diletakkan di dalam pinggan yang masih bersisa nasi separuh. Air jus oren disedupnya perlahan.

“Saya bukan apa Bang. Si Hanim tu bukan main cantik lagi. Berpelajaran pula tu. Suka pula dengan si Tiyaz ni. Saya tak faham kenapa Tiyaz ni tak mahu juga. Lagipun, si Hanim tu berdarah Syed-Syarifah juga macam kita. Kira sekufulah kan” Ammara masih diam tak berkutik. Mujurlah dia hanya berlakon sebagai kekasih Imtiyaz. Andai betullah lelaki itu adalah kekasih hatinya, mahu remuk-redam perasaannya mendengar kata-kata Datin Suhana itu.

“Umi. Apa Umi cakap macam ni depan Ara. Umi ni tak faham ke yang cinta ni mana boleh nak paksa-paksa. Lagipun Tiyaz sayang dekat Ara. Tiyaz bukan main-main. Tiyaz nak jadikan dia isteri Tiyaz” kata-kata Imtiyaz nyaris membuatkan nasi yang dikemam Ammara tersembur keluar. Kahwin? Aik? Macam takda dalam perjanjian je tadi. Kepala Ammara ligat berpusing. Ya Allah! Janganlah Mak Bapa Imtiyaz ni suruh pinang aku pula minggu depan. Kalau ya, memang aku buat-buat gila masa diaorang masuk meminang nanti. Nekad Ammara dalam hati.

“Eloklah kalau macam tu. Si Ara ni pun Walid tengok takdalah macam perempuan-perempuan lain yang Walid selalu nampak berkepit dengan Tiyaz tu. Cantik dan pakai tudung pula tu. Lagipun kamu tu pun dah 32 tahun. Nak tunggu apa lagi kan?” Ammara macam nak pengsan bila dengar lontaran ayat dari Datuk Muzaffar. Dia seolah-olah dapat merasakan satu-satunya perkara yang ditakuti akan bakal terjadi.

“Apa Abang ni. Si Tiyaz ni kan baru je kenal dengan budak ni. Keluarganya pun kita tak kenal. Takkan senang-senang je kita nak suruh Tiyaz ni kahwin?” Bantahan dari mulut Datin Suhana cukup-cukup melegakan Ammara.

“Kalau macam tu, minggu depan kita jemputlah keluarga Ara ni datang makan kat rumah kita. Bolehlah nak kenal-kenal. Betul tak Ara?” Makanan yang belum betul-betul lumat dikunyah terus ditelan dek kerana terkejut dengan soalan Datuk Muzaffar. Tiga pasang mata sedang tertumpu padanya menunggu jawapan darinya.

“Err … Boleh. InsyaAllah” akhirnya Ammara terpaksa menjawab begitu. Hendak menolak, takut dianggap kurang ajar. Sudahlah pandangan Datin Suhana padanya sedari tadi sinis saja rupanya. Sampaikan nak tarik dan hembus nafas pun rasa bersalah sangat. Azabnya Ammara rasa saat itu.

“Okaylah kalau macam tu. Minggu depan, ajak keluarga Ara datang rumah kami ye. Tiyaz, jangan lupa jemput Ara dengan keluarganya kat rumah diaorang” arahan sudah keluar dari mulut Tuan Big Boss. Puan Big Boss di sebelah hanya diam. Bersetuju dalam terpaksa. Ammara pula tayang senyum gaya ayam berak kapur. Dalam hati sudah menjerit membantah.

“Ha yela Walid. Nanti Tiyaz jemputlah” tenang saja Imtiyaz menyahut. Langsung tiada bantahan atau alasan yang diberikan bagi mengelakkan pembabitan keluarga Ammara secara langsung dalam drama lakonan mereka berdua itu. Drama yang penulis skrip dan pengarahnya adalah Syed Imtiyaz Omar. Ammara bengkek. Dah satu hal lah pula nak memberitahu kepada Papa dan Mamanya. Kalau ditanya siapa Imtiyaz tu, apa yang nak dijawabnya? Ammara buntu.

“Saya taknak dah tolong Encik!” Itu ayat pertama yang terhambur dari mulut Ammara sebaik sahaja dia dan Imtiyaz sudah berada di dalam perut kereta. Sepanjang sejam pertemuannya dengan Ibu dan Bapa Imtiyaz, jantungnya sentiasa berdegup rancak tanpa irama ibarat orang nyanyi lagu Dondang Sayang, berlatarbelakangkan muzik Zapin. Sungguh tak kena dan menyesakkan dada.

Imtiyaz tenang menghidupkan enjin kereta dan punat aircond ditekan. Wajah Ammara yang masam mencuka ditatap. Satu persatu bahagian wajah Ammara direnungnya. Matanya yang bundar dan bulat. Hidungnya yang comel terletak. Bibirnya yang mungil kemerahan. Tahi lalatnya di penjuru bibir sebelah kanan. Keningnya yang cantik terbentuk. Segalanya cukup indah pada pandangan Imtiyaz.

Mungkin hidung Ammara tidak semancung Syarifah Hanim Syed Hassan. Tapi, dia sudah suka. Mungkin mata Ammara tidak sebesar dan segalak mata Syarifah Hanim Syed Hassan. Tapi, dia sudah terpesona. Dan mungkin wajah Ammara tidak secantik Syarifah Hanim Syed Hassan. Tapi, dia sudah terjatuh kasih. Sejak bila dia merasakan ada sekelumit rasa itu pada Ammara dia sendiri tidak pasti. Apa yang pasti, jika boleh, dia hendak menatap wajah Ammara setiap hari. Andai diberi kesempatan, dia ingin mendengar suara Ammara saban waktu. Dia juga ingin selalu dapat melayan kerenah dan mucung Ammara apabila teruk diusik.

Dulu, dia memang sukakan Ammara. Tapi hanya kerana kecantikkan yang dimiliki oleh gadis itu dan hajat hatinya hanya untuk dibuat stok geli-geli saja. Tapi sekarang, dia sukakan Ammara lebih kepada peribadi gadis itu. Gadis itu lain dimatanya. Ammara yang cengeng tapi pada masa yang sama seorang yang tegas dan suka melawan.

“Kenapa Encik diam?” Ammara mencerlung pandang pada Imtiyaz yang masih membisu tanpa suara. Imtiyaz mengukir senyuman.

“Saya suka awak”

Ammara terkedu namun dia segera menyedarkan diri agar tidak hanyut dibuai perasaan.

“Ya. Saya tahu. Encik suka kerja dengan saya kan? Sayakan pekerja yang komited” Ammara lancar menyembur baris kata yang pernah diucapkan Imtiyaz satu ketika dulu padanya. Ammara menyambung lagi.

“Tapi, janganlah sampai Encik ambil kesempatan nak gunakan pekerja Encik semata-mata nak selamatkan diri dari kena jodohkan dengan Umi Encik tu.”

Imtiyaz senyum lagi. Ammara jadi pelik. Senyum, senyum, senyum. Itu saja kerjanya sejak masuk dalam kereta ni. Dah kena sampuk dengan angin senyum ke apa Bos aku ni? Dahi Ammara mula berkerut.

“Saya sukakan awak Ammara. Suka yang lebih dari seorang majikan kepada pekerjanya” Ammara masih blur.

“Saya nak jumpa dengan Papa dengan Mama awak” mata Ammara sudah membulat memandang kearah Imtiyaz. Lidahnya terasa sudah bergulung di dalam mulut. Bergulung yang siap terikat riben lagi. Pandangannya tak berganjak dari memandang Imtiyaz.

I want you to marry me

Ah sudah! Persoalan pagi tadi kembali dibincangkan. Gila! Memang sah Bosnya sudah gila! Tak ada mendung, tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba saja hujan turun mencurah-curah? Ya. Tak mustahil. Tapi, pelik bin ajaib! Selama ini, tak pernah pun Imtiyaz melayannya dengan istimewa. Di pejabat pun, semedang wajah serius yang dipamerkan. Kalau bergurau pun, bila hanya ada dia dan Imtiyaz saja. Bila di hadapan pekerja lain, memang teruk dia dibuli dengan kerja-kerja yang menimbun-nimbun. Lagipun, boleh percaya ke kata-kata si kasanova? Ammara kebingungan sendiri.

No. I don’t want to marry you dan saya tak suka dengan Encik Imtiyaz. Titik. Muktamad. Saya nak balik office” Ammara berpeluk tubuh sambil badannya tegak memandang ke hadapan. Dia langsung tidak mempercayai Imtiyaz. Hanya kerana ingin mengelak dari mengahwini gadis pilihan Ibunya, Imtiyaz sanggup meluahkan cinta padanya. Gila! Gumam Ammara dalam hati.

We will see. We will let your parent decide” serentak dengan itu, Imtiyaz melepaskan brek tangan dan kereta sudah mula bergerak meninggalkan perkarangan Hotel Royale Bintang yang melakar satu sejarah baru dalam hidup Ammara. Sejarah yang ingin saja dipadam dalam diari hidupnya.

 Petang itu, sebaik membelokkan saja kereta ke perkarangan rumah, kelibat Fath yang sedang duduk di gazebo yang terdapat di taman mini di bahagian sisi rumah menyapa pandangan mata Ammara. Kereta Ammar tidak kelihatan bermakna Abang dan Kakak Iparnya belum pulang lagi. Hati Ammara terasa sesak apabila memikirkan hanya tinggal dia dan Fath saja di rumah itu.

“Ara. Boleh Fath cakap dengan Ara sekejap?” Kaki yang hendak melangkah ke dalam rumah terhenti. Terasa berat hendak memenuhi permintaan Fath. Tapi, sampai bila dia hendak mengelak? Ah. Mungkin Fath hanya ingin berbual kosong dengannya. Ammara bersangka baik dan langkah sudah diatur menghampiri Fath yang sudah tersenyum meleret menunggu kedatangannya.

“Nak cakap apa?” Ammara mengambil tempat duduk di atas gazebo tidak jauh dari Fath. Pandangan mata dihalakan pada air terjun buatan yang terbentang di hadapan mereka.

“Fath tak suka Ara rapat sangat dengan Bos Ara tu” berdesing telinga Ammara mendengaran larangan Fath itu. Lebih-lebih lagi bila ianya diucapkan dalam nada yang cukup tegas dan menjengkelkan.

“Apa hak awak nak tentukan dengan siapa saya boleh dan tak boleh nak rapat hah? Sejak bila awak jadi terlebih concern pula ni?” Ammara memandang tepat ke wajah Fath. Kepalanya sudah cukup berserabut dengan masalah yang dicetuskan oleh Imtiyaz tadi. Ditambah  pula dengan kata-kata yang baru diucapkan Fath disaat itu. Mankin serabut fikiran Ammara dibuatnya.

“Ara … Saya memang selalu concern pasal awak. Cuma awak je yang tak nak bagi saya kesempatan untuk tunjukkan pada awak” suara Fath sudah mengendur. Pandangannya redup memandang kearah Ammara yang sudah merah padam mukanya.

“Oh, really? Terlalu concern sampai sanggup nak maki-maki saya depan khalayak ramai kan? Oh ye. Off course! Awak terlalu concern kalau reputasi awak tercalar dek kerana budak geek macam saya ni suka dengan Mr Fath Iqbal, jejaka idaman kampus kan? I’m a disgrace to you right?” Dada Ammara sudah berombak kencang. Untuk kesekian kalinya, kejadian yang berlaku 4 tahun yang lepas seperti ditayangkan semula di atas skrin gergasi di hadapannya.

Please Ara. Saya dah minta maaf kan? Kenapa perlu kita ungkit lagi kalau ianya menyakitkan untuk awak? Let bygone be bygone” pandangan Ammara pada Fath sudah mengecil. ‘Mudahnya dia nak aku lupakan. Dia tak rasa macamana aku rasa. Sebab tu sesenang aku menangis je dia cakap macamtu’. Hati Ammara berbisik. Airmata hanya menunggu masa hendak meluncur di atas pipinya.

Easy for you to say” Ammara terus bingkas bangun. Dia tidak mahu menangis di hadapan lelaki itu. Sederas langkahnya menaiki tangga, sederas itu juga airmatanya membanjiri pipi. Ammara mankin sebal dan tertekan.

Pintu bilik dikunci dan dia menghempaskan tubuhnya di atas tilam. Segala rasa yang memenuhi segenap ruang hatinya dihamburkan melalui tangisan dengan sepuas-puasnya. Beberapa kali dia beristighfar dan mengucap apabila bisikan-bisikan syaitan yang menghasut menyinggah melalui detik hatinya.

Entah berapa lama dia menangis dia sendiri tidak sedar. Tahu-tahu dia sudah terjaga dari tidur dek kerana ketukan bertalu-talu di pintu. Dia segera bangkit. Ruang bilik sudah gelap-gelita. Matanya terasa perit kerana terlalu banyak menangis. Tudung yang masih melekat dikepala dibetulkan sedikit sebelum langkah diatur ke muka pintu.

Mata Ammara kembali segar apabila melihat wajah Fath yang terpacul sebaik sahaja pintu bilik dibuka.

“Kenapa dengan mata Ara ni? Ara menangis ke?” Segala derianya automatik bertukar dari mode mamai kepada mode segar apabila tangan Fath sudah melekat dipipinya. Pantas tangan itu ditepis kasar. Berang sungguh dia apabila sesuka hati disentuh begitu.

Daun pintu yang hendak kembali dikatupkan dihalang oleh Fath. Tajam pandangan Ammara pada Fath ketika itu.

“Fath sayangkan Ara”

Sebaris ayat dari Fath membuatkan seluruh sendi dalam tubuhnya menjadi lembik.Pintu bilik sudah terbuka luas apabila dia sudah tidak bergelut untuk menutupnya. Fath semankin menghampirinya. Kedua belah tangannya dicapai dan dikucup. Apabila Fath semankin mendekat, Ammara seperti tersedar dari mimpi lantas tubuh Fath ditolak kasar sehingga tubuh itu terundur beberapa tapak ke belakang.

“Maaf. Saya dah ada boyfriend dan saya akan berkahwin dengan dia tak lama lagi” Fath terus tercengang mendengar pengakuan Ammara dan hanya mampu memerhati sahaja apabila pintu bilik ditutup rapat oleh Ammara.

“Fath! Dah panggil Ara ke?” Dari balik pintu, Ammara yang sudah bersandar pada pintu terdengar sayup-sayup suara Ammar berkumandang.

“Fath! Fath!” Ammar memanggil lagi apabila panggilan pertamanya diam tanpa jawapan.

“Dah … Dah Along! Tapi dia kata dia dah kenyang!” Akhirnya Fath  menyahut. Dia cuba memproses semula apa yang dikatakan Ammara sebentar tadi. Hatinya sakit apabila dapat mengagak yang dimaksudkan oleh Ammara sebagai ‘Boyfriend’ adalah Bosnya sendiri. Tidak! Dia takkan membenarkan Ammara terlepas darinya lagi! Fath mula merangka rancangan untuk mendapatkan Ammara.

 
ADIALUZEONLINENOVEL : WHERE DREAMS CAME TRUE Blogger Template by Ipietoon Blogger Template