Mesej Poyo dari Adialuze

Assalammualaikum w.b.t

Bismillahirrahmannirrahim ...

Thanks for those that have the time to come by to this blog whether accidentally or intentionally. Thanks a bunch!

As an introduction, I'm a wife and a daughter to a wonderful husband and family that ALLAH have lend me. Syukur, Alhamdulillah ... I'm truly feel bless always ... 24 by 7.

To be a writer one should have the gift to write ... That what 'they' say. But for me, I'm writing because I love to write. Gifted or not, I will continue to write as long as ALLAH gave me the ideas an inspirations to do so ...

I do apologize for any error or discomfort feeling that cause by my writing ...

Please drop your comment for a better me as a writer ... and please do comment in a civilize way cause I believe we all yearn for love and peace not hatred and war.

HAPPY READING ^_^

-Aidaluze-

Wednesday, July 9, 2014

CERPEN : AKU + KAU - DIA = CINTA



“Oh Inca Medina,
orang tak serupa nama,
Nama cantik tapi orang entah macam apa”

Pagi-pagi buta telinga aku dah bingit dengan lontaran suara sumbang-mambang si Fawwaz dan Muaz. Memang padanlah aku panggil ‘The Frog Duo’. Asal jumpa aku, ada saja lagu gubahan sendiri yang dinyanyikannya untukku. Kalau liriknya sedap dengan irama mendayu-dayu tak apalah juga. Ini tak. Sudahlah liriknya menyakitkan hati. Iramanya pula menyakitkan telinga. Huh!!

“Alamak Waz! Muka dia dah jadi hijaulah! Sikit masa lagi nak tukar jadi Hulk kot tu” kali ini suara Muaz pula menampar gegendang telinga aku. Memang nak makan selipar budak pendek ni! Sudahlah pendek, hitam pula tu. Hati aku dah mula mengutuk-ngutuk geram.

“Sabar Inca. Tak payah layan sangat diaorang tu” lembut saja suara Nisa, kawan baikku memujuk. Bahuku dielusnya perlahan-lahan. Mungkin dia sudah gerun apabila melihat aku sudah mula singsing lengan baju sekolah sampai ke siku. Bila-bila masa saja penumbukku akan melayang mengena mangsanya. Bukan dia tidak pernah melihat aku bertinju ala-ala Mike Tyson. Sebab itulah dia sudah tayang muka cuaknya.

“Aku pelik la Muaz. Si Nisa ni punyalah lemah-lembut. Macamana la dia boleh kawan dengan Singa Betina sekor ni ha?”

Kecik besar, kecik besar je aku tengok si Fawwaz dengan Muaz yang seronok mentertawakan aku. Siap tekan-tekan perut lagi tu. Macam kelakar sangatlah ayat yang keluar dari mulut si Fawwaz tu. Menyakitkan hati betul lah!!

KRIIIIIINNNGGGGG!!!!!

“Err … Inca. Loceng dah bunyi tu. Jomlah kita masuk kelas” baru saja aku hendak melangkah kearah Muaz dan Fawwaz, lenganku sudah ditarik-tarik oleh Nisa untuk berlalu dari situ.
Mujur loceng sekolah sudah berbunyi. Kalau tak, memang budak berdua tu  aku kerjakan cukup-cukup. Biar bertelur kepala masing-masing. Selama ni aku dok diam je diaorang ingat aku takut ke? Ini Inca Medina la! Anak Komando tau! Memang cari nahas la siapa yang berani cari pasal!

****

ARRGGGHHHHH!!!! Geramnya rasa! Time-time macam ni la motor ni nak buat hal tau! Dahlah kiri kanan jalan memanjang hutan saja. Tapi, salah aku juga. Lepas hantar Nisa tadi, gatal sangat nak lalu jalan short cut. Tengok-tengok, langsung tak kemana.

Aku ni harapkan perangai je macam laki. Tapi, kemahiran nak membaik pulih motor memang tak ada langsung! Mankin parah motor ni aku kerjakan adalah.

Tangki minyak aku goncang-goncang. Penuh. Masuk kali ni dah dekat 10 kali tangki tu aku buka dan tutup. Starter motor tak payah nak cakap la. Bukan yang auto je aku tekan sampai lebam, starter manual pun naik lenguh aku henjut. Masih hampeh! Bunyi meletup-letup macam gajah kentut. Gaya nak hidup enjinnya memang tak ada lah. Huh!

Tengah sibuk menyumpah seranah motor yang tak berdosa itu, sayup-sayup telinga aku dapat menangkap deruan bunyi motor. Dalam hati dah rasa lega. Aku tak peduli siapa pun lah yang lalu. Akan aku tahan untuk meminta bantuan.

Semankin mendekat bunyi motor, semankin hilang senyuman aku. Sebuah motor yang ditunggang oleh 3 orang makhluk Tuhan membuatkan aku rasa tak sedap hati. Dalam hati mula berdoa agar mereka hanya melintas saja tanpa mempedulikan aku yang tercongok di tepi jalan tanah merah itu.

Tapi, alangkah hampanya aku apabila motor sudah diberhentikan di sebelahku sambil mereka bertiga melemparkan senyuman miang sambil tayang gigi berkarat pada aku yang sudah mula rasa cuak.

“Ngapain ini Non? Sepeda motornya ngak bisa hidup ya?”

Meremang bulu roma dibuatnya apabila salah seorang Mamat Indon itu bersuara sambil bangun dan perlahan-lahan menghampiriku. Tambah membuatkan aku gerun apabila mata masing-masing asyik memerhatikan aku tak berkedip dari hujung tudung sampai hujung kasut.

“Err … Tak la. Sa … Saya tunggu kawan” tergagap-gagap aku menjawab. Melihat tubuh mereka yang dua tiga kali ganda lebih besar dari aku membuakan segala keberanian aku selama ini hilang begitu saja.

Kedengaran dua mamat Indon yang masih bertenggek di atas motor berbisik sesama sendiri sebelum ketawa. Bunyi macam nada mengejek. Mamat yang memandu mengatakan sesuatu pada yang mendekati aku dalam bahasa yang tak dapat aku fahami sebelum ketawa meletus diantara mereka bertiga.

Naik kecut perutku apabila mereka bertiga sudah sama-sama melangkah menghampiriku.

“Hei! Kamu hendak buat apa ni ha? Jangan datang dekat! Nanti saya menjerit!” Aku sudah mengundur ke belakang. Ketiga-tiga mamat Indon itu semankin dekat sambil tersenyum lebar.

“Tolon … Ummppphhh “ belum sempat aku menjerit kedua belah tanganku sudah dipegang kuat sambil salah seorang dari mereka menekup mulutku. Mereka bertiga dengan mudah mengangkat tubuhku menuju ke hutan belukar di sebelah kiri jalan. Aku meronta-ronta kuat. Tapi, apalah sangat kudrat dari tubuh kecilku jika hendak dibandingkan dengan tenaga dari tiga orang lelaki yang bertubuh sasa itu. Airmata sudah mencurah-curah keluar tanpa dapat dibendung lagi.

Tubuhku sudah dibaringkan di atas tanah dengan dua mamat Indon itu menekan bahuku supaya aku tak boleh bangun. Kakiku sudah hebat menendang-nendang kearah seorang lagi mamat Indon yang sudah siap membuka seluarnya.

Ya Allah! Tolonglah selamatkan hambaMu yang lemah ini!!

“Jangan nangis Nona cantik.” Tangan kasar itu memegang kakiku yang galak menendang dan salah seorang yang menekan bahuku ke tanah, merentap kasar tudung yang aku pakai sambil diiringi ketawa yang terhambur dari mereka bertiga. Baju kurung sekolah yang aku pakai turut sama direntap menampakkan sebahagian dari tubuhku. Airmata semankin deras.

Apabila rontaanku sudah tidak seliar tadi, pegangan tangan di kedua belah kakiku dilonggarkan. Tanpa menunggu lama. Lelaki yang berdiri betul-betul di atasku itu aku hadiahkan penendang di celah kelangkangnya menyebabkan dia menyeringai kesakitan. Serentak dengan itu aku menjerit sekuat hati.

“Brengsek!!!!” Serentak dengan sergahan itu, sebuah tamparan deras mengenai pipiku membuatkan pandangan aku terus berpinar-pinar sebelum semuanya menjadi gelap.

***

KEPALA terasa berat. Aku cuba membuka mata tetapi apabila terasa ada panahan cahaya yang menyakitkan menusuk pandangan, aku memejamkan mata semula. Terasa hangat selimut yang menutupi tubuhku hingga ke dada.

“Inca … Anak Ibu. Inca dah sedar sayang?” terasa jemariku digenggam erat dan dicium bertalu-talu. Aku paksa juga mata agar terbuka.

“Ibu ….” Terasa kering tekak tatkala mulut kubuka. Aku cuba bangkit dari pembaringan namun gagal. Rasa sakit menjalar keserata tubuh.

“Shuuuu … Inca jangan banyak bergerak. Inca kena rehat” wajah Ibu yang sudah basah dengan airmata aku tatap lemah.

Apa yang sudah terjadi sebenarnya? Kenapa aku berada di sini dengan tangan tercucuk salur yang mengalurkan cecair ketubuhku? Aku bingung sendiri.Aku tak ingat apa yang terjadi. Betul! Aku tak ingat.

“Ke … Kenapa Inca ada kat sini Bu? Apa yang dah jadi sebenarnya ni?” Lemah lontaran pertanyaanku pada Ibu.

“Kawan Inca jumpa Inca dalam belukar sayang. Inca pengsan tak sedarkan diri” kepalaku yang tersalut tudung dielus lembut oleh Ibu.

Pengsan? Dalam belukar?Eh, motor … Ya! Motor aku rosak dan … Tidak!!!!! Apa yang syaitan-syaitan tu dah buat pada aku????

“Ibu … Inca … Apa … Apa yang dah jadi kat Inca Bu???” Suaraku sudah mula serak. Tak terbayang macamana kehidupanku selepas ini andai apa yang aku fikirkan benar-benar terjadi. Aku cuba bangkit. Segala kesakitan aku tahan. Kedua belah lengan Ibu sudah kucengkam kuat.

“Inca … Bawa istighfar sayang … Inca pengsan. Kawan Inca kata, masa dia lalu kat jalan yang motor Inca rosak tu, dia dengar suara orang menjerit. Nasib baik dia sampai cepat sayang. Kalau tak … Tak tahulah apa nasib anak Ibu ni” Ibu mula menangis lagi. Aku memejamkan mata. Airmata turut sama mengalir. Ya Allah! Syukur Alhamdulillah!! Kau masih sayangkan hambaMU yang berdosa ini. Mengongoi-ngogoi aku menangis dalam kesyukuran. Ibu sudah merangkul aku dalam pelukannya, erat.

***

Sudah sebulan kejadian hitam itu berlaku. Namun, sehingga sekarang, aku masih tidak tahu siapa dia hero yang telah  menyelamatkanku. Bila ku tanya Ibu, jawabnya, dia tidak tahu kerana sejurus selepas memasukkan aku ke dalam hospital dan memberitahu Ibu dan Babah, budak lelaki itu terus menghilangkan diri. Hurmmm .. Dah macam Superman la pula aku rasa dia ni. Tetiba rasa macam dalam hati penuh taman berbunga ros. Ceh! Poyo!

Teman-teman sekolah tidak tahu kejadian malang yang menimpa diriku itu. Malah, Nisa pun tidak kuberitahu. Aku tak mahu simpati dari sesiapa. Biarlah segala-galanya berjalan seperti biasa. Ketiga-tiga lelaki Indon yang nyaris merogolku pun sudah ditangkap. Dengar cerita dari Babah, teruk mereka beriga dikerjakan oleh wira yang menyelamatkanku itu. Habis bersepailah gigi-gigi karat mereka dibuatnya. Puas hati aku mendengarkannya. Padan muka! Sepatutnya mereka tu semua layak diberi hukuman yang lebih setimpal. Kalau ikutkan, nak saja aku kasi potong anu masing-masing! Biar tahu nak fikir guna akal sikit! Huh!

Semenjak peristiwa itu juga, Babah dan Ibu telah menggalas satu tanggungjawab baru iaitu menghantar dan menjemputku dari sekolah secara bergilir memandangkan Babah kerja tak tentu masa dan hari. Maklumlah. Akulah satu-satunya anak Ibu dan Babah. Kalau jadi lagi macam-macam kat aku, mahu keluar amukan Komando Babah dan mahu meroyan Ibu dibuatnya.

“Inca. Rehat nanti awak makan dengan Hani ye. Saya ada hal sikit kat library” pagi itu, sewaktu Cikgu Badrul sedang mengajar matapelajaran Matematik Tambahan, Nisa yang duduk di sebelah berbisik.

Aku hanya menganggukkan kepala. Rasa pelik pula dengan kawan baikku sorang ni. Sudah seminggu rasanya dia sering menghabiskan masa di perpustakaan pada waktu rehat. Aku sedia maklum yang dia memang Pustakawan. Tapi, takkanlah waktu rehat pun ada kerja kot? Aku musykil tapi malas hendak bertanya.

Tengahari itu, seperti kebiasaannya dalam minggu ini, aku keluar rehat dengan Hani, budak nerd yang aku suka sakat tapi masih mampu bertahan denganku.  Nisa, tepat jam 10 dia sudah terkocoh-kocoh ke Perpustakaan,

“Inca. Jom temankan aku pergi Library. Aku nak cari buku untuk rujukan homework Add Math yang Cikgu Badrul bagi tadi la” selesai mengadap hidangan mee goreng dan air sirap, Hani mengajak. Aku hanya menurut. Bolehlah juga aku ganggu ketenteraman si Nisa buat kerja nanti. Fikirku.

Sampai di Perpustakaan, Hani terus menuju ke rak buku yang mengandungi buku rujukan yang dicarinya manakala aku pula melilau mencari kelibat Nisa. Puas meregangkan urat leher tapi bayang Nisa pun langsung aku tak nampak. Malas hendak membuat pusingan tawaf dalam Perpustakaan yang boleh tahan luasnya itu, aku segera menuju ke meja Pustakawan dimana aku ternampak Aril, budak Tingkatan 5 Mawar sedang sibuk melekatkan sesuatu di belakang buku yang bertimbun di hadapannya.

“Uit Ril. Kau ada nampak Nisa tak? Tadi dia cakap dengan aku dia ada kat sini. Tapi naik lenguh leher aku cari tak jumpa pun” bahu Aril yang bercermin mata tebal itu kucuit perlahan.

Aril melilau memandang kesekeliling kami. Cermin matanya yang melorot dibetulkan.

“Tadi aku nampak dia pergi kat balik rak G tu. Cuba kau tengok kat sana” Aril menunjuk ke arah rak buku yang berlabel huruf G tidak jauh dari kami.

“Ok. Thanks” aku hadiahkan Aril senyuman sebelum berlalu ke rak yang ditunjukkannya.

Semankin menghampiri rak G, telinga aku segera menangkap bunyi tawa halus Nisa. Memang aku kenal benar suaranya dan aku yakin memang itu suara ketawa si Nisa. Walaupun bunyi macam dikepit-kepit.

Aku menjengukkan sedikit kepala dari sebalik rak untuk mengintai dengan siapa Nisa berbicara dan alangkah terkejutnya aku apabila melihat kawan baikku itu sedang seronok bertepuk-tampar dengan Fawwaz. Mulut yang melopong segeraku tutup dengan tangan.

Biar betul si Nisa ni? Kot ye pun nak bercinta, takkanlah dengan Fawwaz kot? Dia tak tahu ke yang Fawwaz tu musuh ketat aku? Owh … Patutlah selama ni kalau The Frog Duo tu dok mengacau aku, si Nisa beriya-iya jadi peacemaker. Rupanya, dia takut boyfriendnya tu patah riuk aku kerjakan. Heh!

“Ehem! Ehem!” Sengaja aku berdehem kuat-kuat. Mengelabah di Nisa dengan Fawwaz dibuatnya. Rasa nak ketawa pun ada bila tengok muka masing-masing macam kera kena tangkap curi pisang. Serius lawak.

“Owh … Ini rupanya hal yang buat awak sibuk sekarang ni ye … Isk,isk,isk. Nisa, Nisa. Kenapalah awak tak kabo kat saya yang awak couple dengan mamat TFD ni” aku berjalan mengelilingi mereka berdua gaya Cikgu disiplin nak periksa barisan murid. Muka aku buat-buat serius. Aku sengaja nak tengok reaksi Nisa dan Fawwaz.

“Err .. Inca … Saya memang nak bagitau awak. Tapi …”tergagap-gagap Nisa menjawab. Tahu cuak. Senyuman yang hampir terlepas berjaya aku kekang.

“Kau ni Inca. Garang semacam. Macamana lah si Nisa ni nak bagitau?” Fawwaz membela kekasih hatinya. Amboi. Nak salahkan aku pula?

“Haahlah Inca … Macamana saya nak bagitau awak. Lagipun awak kan tak suka dengan Waz. Kalau saya bagitau, mesti awak tak restu kan?” Aik? Aku salah lagi? Tak restu? Isk. Nisa ni. Cakap macamlah aku ni Emak dia. Apahal la pula aku sampai tak bagi restu pula? Ingat aku ni kejam sangat macam Nyonya Mansoor dalam filem Ibu Mertuaku tu ke?

“Kenapa la pula saya nak kisah? Bukan saya yang bercinta pun dengan dia. Awak kan? Awak ni Nisa. Dah lama tau kita kawan. Sampai hati awak cakap macamlah saya ni jahat sangat” aku buat muka sedih. Punggung sudah kuhenyak di atas kerusi berhadapan mereka berdua.

“Ala Inca. Sorrylah. Saya takda niat macamtu pun la” Nisa sudah duduk di sebelah aku sambil memeluk bahuku erat. Aku masih tayang muka sedih. Nak tengok sejauh mana Nisa nak memujuk.

“Ni kalau tak kantoi dengan saya ni, sampai bila awak nak sorok-sorok jumpa si TFD ni?” Wajah kelat Fawwaz aku jeling sebelum pandangan aku halakan pada Nisa. Kawan baikku dari Tingkatan 1 yang cantik mulus macam Izara Aisyah.

“Sampai awak dengan Fawwaz berbaik-baik lah” jawab Nisa perlahan.

“Kalau macam tu, sampai bila-bila la awak kena menyorok sebab saya dengan si TFD ni takkan berbaik punya. Kecuali kalau dia sanggup jalan itik sambil minta maaf dengan saya sebab selalu cari pasal” berkerut dahi Nisa dan Fawwaz mendengar kata-kata aku.

“Awak ni. Ada ke sampai macam tu sekali” Nisa sudah mula memuncungkan mulutnya. Selalunya beginilah si Nisa. Kalau aku merajuk, tak sampai pun 2 minit memujuk, dia pula yang akan merajuk dengan aku. Last-last, memang aku je la yang mengalah. Aku bukan boleh tengok muka orang yang aku sayang buat riak cemberut macam tu. Dengan Ibu pun sama. Babah pun. Kalau diaorang buat muka, aku yang rasa bersalah. Payah betullah  kau ni Inca Medina!

“Hurmm … Kalau awak nak kawan dengan si TFD ni, kawanlah. Tak semestinya saya kena berbaik dengan dia kan?” Aku pula yang memujuk Nisa yang sudah berpeluk tubuh sambil memuncungkan bibir.

“Mana boleh! Waz dengan Inca kenalah berbaik. Barulah kita bertiga boleh berkawan” Pulak! Macam-macam lah pula si Nisa ni.

“Waz, kalau awak sayangkan saya, awak minta maaf dengan Inca. Inca pun. Kalau sayangkan saya dan anggap saya ni BFF awak sampai mati, awak pun maafkan Waz. Tanpa syarat!” Dalam kelembutan suaranya ada ketegasan dalam nada yang dilontarkan oleh Nisa. Tunak matanya memandang aku dan Fawwaz bersilih ganti.

“Oklah. Inca, aku minta maaf” Fawwaz melafazkan maaf padaku sambil matanya memandang ke bawah. Nampak sangat tak ikhlas! Huh! Takpa. Untuk Nisa, aku terimalah ucapan maaf separuh rela si Fawwaz.

“Ok” jawabku ringkas. Nisa tersenyum girang. Seronok la tu sebab dapat apa yang dia nak.

“Eh Inca. TFD tu apa?”

Tergelak besar aku apabila Fawwaz mengajukan soalan yang tak disangka-sangka. Siap buat muka macam Mr. Bean pula tu, Memang tak boleh blah! Si Nisa turut sama tertawa. Tapi taklah sebesar tawa aku. Sampai habis satu Perpustakaan buat isyarat Shuuuuuh kat kami.

***

2013. Genap 2 tahun aku bekerja di Putra Holding dalam bahagian Pemasaran. Sebaik sahaja menamatkan pengajian di UiTM, aku terus dipinang oleh Syarikat ini. Ceh! Dipinang konon. Padahal, ini Syarikat Bapak si Fawwaz. Oleh kerana bestfriend aku adalah girlfriend dia, maka nak tak nak, terpaksalah dia tolong aku. Lagipun, memang ada kerja kosong pun dan aku yang sah-sah grade dengan pointer 3.5 dalam bidang Marketing ni, memang layaklah dapat kerja ni kan?

“Inca. Bos panggil kau masuk bilik dia” Wawa, Setiausaha Fawwaz dengan lenggang-lengguk Kak Limahnya datang menghampiri aku. Wanita beranak dua ni memang pandai jaga badan. Kalau orang tak tahu mesti ingat dia ni masih anak dara.

“Ala. Ada apa dia nak jumpa aku Wa? Aku nak siapkan slide promotion ni. Nak print hari ni. Hujung minggu ni kan aku kena jumpa client kat Bali” Jari-jemariku masih ligat menari-nari di atas papan kekunci dan sesekali menekan tetikus di sebelah tangan kananku.

“Mana la aku tahu. Kau pergi je la jumpa dia. Kejap je tu. Pergilah. Nanti dia bising kat aku la. Malas aku nak dengar. Pergilah Inca” Wawa menggoyang-goyangkan lenganku membuatkan konsentrasi aku terus terganggu.

“Hish. Dia ni kalau tak kacau hidup aku sehari tak boleh agaknya. Isk!” Aku mendengus kasar sebelum berlalu ke bilik Fawwaz. Wawa tersenyum simpul sambil membontoti langkahku.

Selepas mengetuk pintu tiga kali, tanpa mendengar arahan masuk aku terus membuka pintu bilik yang berlabel ‘CEO : Putra Fawwaz Arsyad’.

“Ada apa kau nak jumpa aku ni?” Laju aku bertanya sebaik saja pintu bilik kututup dan kerusi empuk di hadapan Fawwaz aku duduki.

Fawwaz senyap. Nampak khusyuk benar menatap skrin laptop Applenya. Aku pula yang jadi hangin.

“Encik Fawwaz. Aku ni banyak kerja nak settle untuk client kat Bali tu. Kalau tak sempat siap, client tak puas hati, kalau client tak puas hati, projek tak dapat, kalau projek tak sangkut, income tak masyuk, kalau income tak masyuk, akuuuu juga yang kena marah nanti kan?” Geram betul lah aku dengan mamat ni. Suka benar panggil aku masuk dalam biliknya. Bukan ada perkara mustahak pun. Selalunya mesti ada hal yang bersangkut paut dengan Nisa. Nisa merajuk, macamana nak pujuk la … Birthday Nisa, nak bagi hadiah apa lah … Nisa itulah, Nisa inilah. Hish! Naik rimas aku dibuatnya. Diaorang yang bercinta, aku pula yang jadi mangsa. Hurmmphh!!

“Kau pergi Bali hujung minggu ni dengan siapa?” Fawwaz bertanya. Matanya masih tertancap pada skrin laptop.

“Dengan Mikael dengan Aisya. Kenapa?” Berkerut dahi aku melihat wajah serius Fawwaz. Jarang aku lihat wajahnya yang begini.

Wife Mikael baru sms tadi. Dia kata Mikael kena masuk wad. Suspected denggi. So, dia tak dapat pergi” laptop sudah ditutup dan pandangannya ditalakan sepenuhnya pada aku. Terkejut juga aku dengar perkhabaran yang baru keluar dari mulutnya. Nasib baiklah Mikael cuma incharge bahagian presentation sahaja. Semua slide aku yang sediakan.Jadi, tak ada masalahlah pun kalau Mikael tak boleh pergi.

“Tak apa kot. Aku dengan Aisya pun boleh uruskan tu” Aku berkata walau kurang yakin. Selama ini, kalau ke luar Negara, pasti Syarikat akan menghantar 3 orang wakil dan salah seorang mesti lelaki. Bimbang juga kalau hanya aku dan Aisya sahaja yang pergi.

“Mana boleh macam tu. Safety of all staff is Putra Holding top priority. Remember? Takpa. Aku akan pergi juga ganti si Mikael. Last-last minute macam ni tak ada Salesman yang available. Masing-masing dah ada task. Nanti kalau dah siap promotion slide tu, kau bawa sini. Kita go through sama-sama” aku hanya mengangguk-anggukkan kepala. Wajah Fawwaz yang masih lagi serius aku tatap. Pelik. Biasanya dia tak macam ni. Kenapalah agaknya ye? Gaduh dengan Nisa barangkali. Ah! Lantaklah dia. Janji tak menyusahkan aku sudah.

***

“Apa?? Awak dah break dengan Waz?” Terkejut beruk aku mendengar cerita dari mulut Nisa malam itu selepas makan malam ketika dia menolong aku mengemas kain baju yang hendak aku bawa ke Bali.

“Hurrmm … Tak ada jodohlah. Nak buat macamana kan” Nisa menjawab selamba. Ini lagi sorang pelik. Bercinta dekat 7 tahun, lepas tu putus, boleh pula tayang muka selamba badak kat aku? Kenapa takda langsung riak sedih kat muka kawan aku ni ye? Bukan ke kalau orang putus cinta mesti meraung bagai sambil menonggeng-nonggeng? Setahu aku, si Nisa bukanlah jenis yang hati kering. Tersepit pintu pun boleh menangis. Aku menyakat tinggi suara kat dia pun boleh sentap. Ni putus cinta boleh tayang muka seposen? Pelik bin ajaib bin musykil betul aku dibuatnya ni.

“Awak tak sedih ke?” Akhirnya aku bertanya dengan kedua belah kening kujongketkan.

“Sedih memang la sedih. Lama kot kitaorang bercinta. Tapi, kalau dah tak cinta nak buat macamana kan?” Ligat tangan Nisa melipat kain bajuku sebelum disumbat ke dalam beg yang sederhana besar di hadapan kami.

“Tak cinta? Siapa yang dah tak cinta ni? Awak ke Fawwaz?” Aku masih belum puas hati. Jawapan yang lebih kukuh aku harapkan dari Nisa.

“Tak payahlah kita cakap pasal ni lagi. Saya malaslah. What pass is pass lah. Biarlah saya dengan Waz teruskan hidup macam biasa” jawapan Nisa betul-betul menghampakan aku. Tapi, kalau orang tak nak cerita takkan nak paksa pula kan? Biarlah dia. Janji dia bahagia.

***

“Alhamdulillah. Akhirnya selesai juga kerja kita” Aisya menghempaskan tubuhnya yang agak debab itu di atas katil empuk di hotel Grand Istana Rama Bali. Malam ini merupakan malam terakhir kami di sini memandangkan esok jam 10 pagi kami akan bertolak balik ke bumi Malaysia. Selama 3 hari di situ, jadual kami sangat padat. Langsung tak berkesempatan untuk membeli-belah.

“Eh Inca. Jom kita pergi tepi laut nak? Dapatlah juga release tension” entah bila masanya, Aisya sudah bertenggek di atas sofa di sebelah aku yang khusyuk menatap skrin telefon bermain Angry Bird. Aisya mula buat muka comel dia. Ala-ala Puss in Boot. Cuma versi yang dalam cerita Shrek la. Puss yang terlebih saiz tapi tetap maintain comel.

“Jomlah. Sambil-sambil tu boleh cari souvenier untuk kengkawan kat Malaysia” Aisya masih memujuk. Dia cukup arif dengan rutin aku selama 3 hari 2 malam di sini. Tiap malam, lepas makan, mesti mengadap telefon sampai jam 11 malam lepas tu tidur. Fawwaz ajak berjalan-jalan pun aku tak pergi. Cuma Aisya saja yang pergi bersama Fawwaz.

“Eh, bukan ke semalam kau dah borong souvenier dengan Bos?” Berkerut kening aku pandang muka bulat Aisya. Hairan betul aku dengan minah ni. Semalam, balik dari shopping dengan Fawwaz, ada la empat lima beg plastik aku nampak dia jinjing. Takkan la tak cukup lagi kot.

Aisya tersengih tayang gigi. “Ala Inca. Bukan selalu pun dapat datang sini. Jomlah”

Akhirnya setelah puas dipujuk rayu akhirnya aku mengalah juga. Malas hendak beriya, aku hanya menyarungkan t-shirt lengan panjang warna merah, seluar palazzo hitam dan selendang kain chiffon warna hitam aku lilitkan ke kepala. Beg polo aku silangkan ke tubuh.

Seronok bukan main si Aisya. Bersemangat dia melangkah sambil memeluk lengan aku. Tersenyum aku dibuatnya.

Setengah jam pertama, aku gagah lagi menemankan Aisya mencari cenderahati di sekitar Pasar Seni Kuta berhampiran kawasan hotel. Dalam perjalanan ke sini tadi, banyak sungguh pub dan kelab malam yang aku nampak. Hampir saja aku berlanggar dengan pelancong Mat Salleh yang baru keluar dari Pub dalam keadaan mabuk. Nasib baik Aisya sempat menarik tanganku. Itulah padahnya kalau berjalan mata melilau tengok merata.Heh.

Masuk satu jam setengah aku dah tak larat nak membontot si Aisya yang sibuk mencari barang dekorasi rumahnya.

“Woi Makcik. Kau pergilah round sendiri. Nanti kita jumpa kat pintu masuk la. Aku nak pergi cari fridge magnet ke, key chain ke kat sebelah sana tu” Aisya yang nampak asyik membelek-belek pelapik pinggan disebuah kedai hanya menganggukkan kepala tanpa memandang aku. Hampeh betul. Kalau aku hilang pun mampus dia nak sedar.

Aku tidak mengambil masa yang lama untuk membeli barang yang aku cari. Bukan susah pun nak cari fridge magnet dengan key chain. Benda paling senang nak dibuat souvenier. Usai saja mendapatkan semua barang yang aku hendak, aku menunggu Aisya di pintu masuk Pantai Seni Kuta itu seperti yang dijanjikan.

Bosan duduk aku mula meronda di kawasan sekitar. Cuci mata. Ramai sungguh kelibat Mat Salleh yang aku nampak.

“Hey beautiful. What are you doing here?” Terhinjut bahuku apabila tibi-tiba saja pinggangku dirangkul dari arah belakang. Bau arak yang kuat mula menusuk kelubang hidung membuatkan ku mual.

Aku meronta-ronta cuba melepaskan diri dan akhirnya berjaya juga. Aku menoleh dan terlihat sesusuk tubuh lelaki Mat Salleh separuh abad berperut boroi tersengih-sengih sambil berjalan terhuyang-hayang menghampiriku.

“Hey. Where are you going. Come my love. Don’t be afraid” sebelum lelaki itu datang lebih dekat lagi aku sudah angkat langkah seribu. Kenangan hitam dibangku sekolah kembali terbayang di hadapan mataku. Tubuh dah mula menggigil tak ingat.

“Argh!” Dalam keadaan kelam kabut aku merempuh tubuh seseorang sehingga aku jatuh terjelepok di atas jalan tar. Habis tapak tanganku tersagat sehingga mengeluarkan darah.

“Inca?” Aku mendongakkan kepala dan alangkah lega apabila wajah Fawwaz menyapa pandangan mata. Pandanganku sudah mula kabur dengan airmata. Aku tak mampu lagi menahan sebak.

“Awak tak apa-apa ke? Awak dari mana ni? Awak sorang je ke ni? Kenapa awak menangis ni?” bertalu-talu Fawwaz bertanya sambil memapah aku bangun dan dipimpin kearah deretan kerusi yang ada di tepi jalan. Dia mengeluarkan saputangan dari poket seluar jeannya dan dengan penuh hati-hati dia mengelap luka di kedua belah tanganku. Esak tangisku masih lagi kedengaran.

Terasa hangat tangan Fawwaz yang sudah menekap di kedua belah pipiku sambil menyapu sisa airmata yang mengalir.

“Kenapa ni? Inca lari dari siapa? Inca sorang saja ke? Mana Aisya?” Lembut saja suara Fawwaz melontarkan soalan demi soalan untukku. Aku mengetap bibir menahan sebak. Tangan Fawwaz cubaku leraikan tapi gagal. Pandangannya penuh aura kerisauan. Mata redup berwarna hazel itu kutatap dalam.

Dub Dab, Dub Dab, Dub Dab.

Tiba-tiba terasa denyutan jantung mula berirama tak sekata. Apa kena dengan aku ni? Kenapa pandangan mata si Fawwaz kali ini menghantar isyarat beserta getar yang berbeza? Dan kenapa dia ber ‘awak-saya-Inca’ dengan aku? Biasanya tak begitu. Rahang Fawwaz nampak bergerak-gerak seolah-olah menunjukkan ketidak puasan hatinya apabila tak ada satu pun soalannya aku jawab.

“Aku okayla. Jangan risau. Aku tak ada apa-apa” sentuhan tangannya berjaya juga aku leraikan dari memegang pipiku  yang terasa hangat dan pastinya sudah berubah warna. Seboleh mungkin aku mengawal nada suara agar tiada getar yang terkeluar.

“Tipu. Inca yang saya kenal bukan macam ni. Inca Medina anak Komando Salleh brutal orangnya. Takkan berundur sebelum bertempur. Kan?” Fawwaz melafazkan kata-kata yang pernah menjadi falsafah hidup di sekolah dulu sebelum peristiwa hitam itu berlaku. Dia masih ingat rupanya. Kata-kata itulah yang sering aku ucapkan tiap kali apabila dia dan Muaz bertelagah dan cari pasal dengan aku.

“Betul. Aku ok. Tadi ada orang mabuk kacau masa aku keluar dari Pasar Seni Kuta. Tu yang aku lari macam tak cukup tanah” aku cuba ketawa untuk menghilangkan rasa gemuruh di dada. Pandangan aku lontarkan ke arah orang ramai yang lalu-lalang.

“Lainkali kalau nak keluar malam-malam macam ni, call saya. Saya boleh temankan” aku masih pelik dengan nada suara Fawwaz. Kenapa lain benar bunyinya? Atau aku je yang perasan?

“Tadi aku keluar dengan Aisya. Aku tengah tunggu dia habis shopping la tadi ni. Kau jangan risaulah. Aku okeylah” aku tayang senyum sambil memandangnya yang ternyata sedang merenung aku dengan pandangan yang sukar aku mengertikan.

“Jom saya hantar awak balik hotel” jari-jemariku sudah berada dalam genggamannya dan aku terus terkedu tatkala tanganku dipimpin menuju kembali ke hotel penginapan kami. Kenapa dengan Fawwaz ni? Tekanan jiwa ke sebab putus dengan Nisa? Aku keliru sendiri.

***

Semenjak pulang dari Bali, layanan Fawwaz memang jelas berbeza. Setiap kali makan tengahari, mestti dia muncul di mejaku sambil tayang gigi ajak makan sama. Bukan kami tak biasa makan bersama. Cuma, sebelum ini, pasti kami pergi dengan Nisa sekali. Tapi, bila tinggal aku dan dia, mula rasa sedikit janggal.

Lebih-lebih lagi, bila aku nak suap makanan dia pandang, bila aku nak kunyah dia pandang, bila aku nak sedut air pun dia pandang. Rimas! Aku rasa kepala si Fawwaz tu dah masuk banyak sangat air laut Pulau Kuta kot.

“Makan comot. Macam budak kecik” aku tergamam apabila dengan selamba badak airnya, Fawwaz mengesat hujung bibirku dengan tangannya sambal tertawa kecil. Dada mula bergendang sakan. Ah sudah! Dia buat hal pulak!

“Err … Waz. Aku nak tanya kau sikit la” perlahan-lahan air asam boi aku sedut dengan harapan dapat mengurangkan rasa debar di dada yang memainkan irama gila.

“Tanyalah” penuh tertib dia menyuapkan sesudu nasi goreng paprik ke dalam mulutnya dengan matanya memandang tepat kewajahku. Aku pula jadi gugup dipandang begitu. Aduh! Parahlah kau ni Inca Medina!

“Err … Kenapa kau putus dengan Nisa?” Suaraku semankin perlahan apabila tiba dipenghujung ayat. Takut juga jika soalanku ini terlalu peribadi buatnya. Tapi jangkaanku meleset bila aku nampak dia menyunggingkan senyuman.

“Sebab saya sayangkan orang lain. 7 tahun saya cuba nafikan. Saya ingat kalau saya terima Nisa, saya boleh lupakan orang tu. Tapi, tak boleh.” Terbeliak mata aku mendengar jawapan Fawwaz. Cukup tenang wajahnya tatkala kata-kata itu meluncur keluar dari mulutnya. Sudu dan garfu sudah disandarkan di pinggir pinggan. Air jus tembikainya dihirup perlahan.

“Ha? Kau sayangkan orang lain? Nisa tahu ke?” Sekali lagi mataku membulat apabila dia mengangguk. Biar betul diaorang ni.

“Dia faham. Lagipun, orang tu bukan sesiapa pun. Sejak 7 tahun yang lepas lagi dia tahu siapa orangnya” berkerut-kerut dahi aku dibuatnya. Fawwaz bercakap dalam Bahasa Melayu tapi kenapa satu pun patah katanya aku tak faham?

“Kalau dari dulu kau dah sayangkan orang lain, kenapa kau couple juga dengan Nisa? Bukan menipu ke namanya tu?” Aku menyuapkan bihun goreng ke mulut. Cerita-cerita juga. Perut yang lapar masih perlu diisi.

“Sebab orang tu tak sukakan saya. Kebetulan, Nisa memang ada hati kat saya. So, we give it a try. Sadly, after 7 years pun, perasaan sayang pada Nisa tak sekuat rasa sayang saya pada orang tu” ada keluhan halus yang kedengaran dari mulut lelaki itu.

“Macamana kau tahu orang tu tak sukakan kau? Kau ada tanya ke?” Timbul pula rasa minat untuk mengetahui siapa gerangannya yang telah menakluk hati Fawwaz sehingga lelaki itu boleh sebegitu dalam menyayangi dan Nisa yang cantik menawan tu pun tak mampu mengantikan ‘orang itu’ di hati Fawwaz.

“Saya ada hantar surat. Siap dengan bunga lagi. Tapi orang tu tak bagi response pun. Setiap hari bila jumpa saya, mesti nak marah-marah. So, apa lagi yang boleh saya conclude?” Sedih bunyi kata-kata Fawwaz kali ini.

“Kau bagi sendiri ke?” Hairan lah aku. Kenapa aku tak sedar kewujudan ‘orang itu’ dalam hidup Fawwaz? Rasanya, 7 tahun yang lalu, aku memang dah berbaik dengannya kan? Kemana saja, aku, Nisa, Muaz dan Fawwaz pasti bersama. Si Muaz siap cuba nak mengorat aku lagi. Kena sound dengan aku setepek terus senyap. Dia ingat bila Nisa dan Fawwaz dan couple, dia dengan aku pun kena couple juga ke? No way Jack! Huh! Gila!

“Inca” aku tersedar dari lamunan apabila terasa jemariku digenggam erat oleh Fawwaz.

“Err … Sorry. Apa kau cakap tadi?” Perlahan tangan aku tarik dari genggamannya. Rasa macam terkena electric shock pun ada bila disentuh begitu oleh Fawwaz.

“Saya cakap, orang tu adalah awak. Inca Medina. Awaklah orang yang saya sayang sejak 7 tahun yang lalu. Orang yang saya selamatkan kat belukar dulu”

Zuuuppp!!! Terasa semua darah dalam badan aku menderu naik ke kepala. Terlopong aku memandang kearah Fawwaz yang sudah tersenyum manis. Pegangan pada sudu dan garfu terus terlepas. Nasib baik jatuh ke dalam pinggan. Perut serta-merta rasa kenyang setahun.

Apa dia cakap tadi? Aku salah dengar ke atau dia salah cakap???

***

Berkali-kali inai yang menghiasi jari-jemariku yang runcing aku tatap. Macam tak percaya pula kerana dalam masa tak sampai sejam dari sekarang aku akan menjadi isteri seseorang.

“Cantiknya awak Inca.” Nisa yang baru menjengah masuk ke dalam bilik meluru kearahku lantas tubuhku didakap erat. Dengan perutnya yang sudah memboyot menghalang tubuh kami lebih rapat. Dia duduk di atas birai katil berhadapan denganku. Wajahnya nampak keletihan. Maklumlah. Dengan kandungan yang masuk 7 bulan, pasti mengah dia hendak kesana-kemari. Dari Kuala Lumpur ke Johor bukannya dekat.

“Kesian awak kan. Tengah-tengah sarat ni terpaksa pula datang tengok saya bersanding” perutnya yang membulat aku usap-usap. Nisa tersenyum.

“Ini je yang saya boleh buat. Nak datang lagi awal, Abang Muaz tu tak boleh cuti sebab company dia tengah sibuk uruskan projek SUKMA”

“Lagipun, kalau bukan sebab saya, mesti awak dengan Fawwaz dah lama kahwin kan?” Ada nada kesal dihujung ayatnya. Pantas tanganku melekap di keduabelah pipinya yang sudah agak tembam itu. Matanya kupandang tepat.

“Tak baik cakap macamtu. Ini namanya takdir. Kalau pun dulu, awak bagi kat saya surat yang Fawwaz tulis tu, belum tentu saya terima dia kan? Tuhan bagi kita apa yang kita perlukan. Bukan yang kita nak” Nisa memeluk tubuhku erat. Ada esak tangis yang kedengaran.

“Hei … Janganlah nangis. Everything is ok now. Kita sama-sama dah dapat kebahagiaan yang kita inginkan kan?” Belakang tubuhnya kugosok lembut. Dalam keadaan berpelukan itu dapat aku rasakan dia menganggukkan kepalanya dengan senyuman.

Ya. Akhirnya aku menjadi isteri kepada Putra Fawwaz Arsyad. Nisa pula selamat menjadi suri buat Muaz awal setahun dariku.

Siapa sangka dahulu, dalam pada bergaduh, sempat pula Fawwaz jatuh cinta dengan aku. Rupa-rupanya bukan setakat sepucuk surat, tapi dah berpucuk-pucuk surat diberikan padaku tapi satu pun tak sampai sebab Posmennya masa tu juga punya hati dengan si Teruna. Semua surat tu dibaca sendiri dan disimpan dalam peti. Siapa lagi kalau bukan Nisalah orangnya itu.

Aku tak marah pun. Aku percaya everything happen for a reason. Sama macam kejadian hitam yang pernah menimpaku dulu. Rupanya si Fawwaz la Supermanku itu! Kejadian itu telah menguatkan lagi rasa sayang Fawwaz padaku. Tapi, oleh kerana tiada response yang diterima dariku, dia menganggap bahawa aku telah menolaknya mentah-mentah. Sebab itu dia berpaling kasih pada Nisa yang menagih hatinya ketika itu.

Tapi, aku dan Fawwaz dah pun maafkan Nisa seadanya. Lagipun, Nisa mula sedar sendiri bila dalam 7 tahun menjalin hubungan dengan Fawwaz, perasaan cintanya sendiri semankin pudar. Kepada Muazlah tempat dia mengadu rasa. Rupa-rupanya, jodoh sudah tersurat antaranya dan Muaz. Dari jadi tempat mengadu nasib, terus sama-sama terbit rasa  untuk memadu kasih. Syukur. Walau jalannya berliku, jodoh yang tertulis buat kami semua bahagia.

P/S : “Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak."  (Al-Baqarah ayat 216)

3 comments: