Mesej Poyo dari Adialuze

Assalammualaikum w.b.t

Bismillahirrahmannirrahim ...

Thanks for those that have the time to come by to this blog whether accidentally or intentionally. Thanks a bunch!

As an introduction, I'm a wife and a daughter to a wonderful husband and family that ALLAH have lend me. Syukur, Alhamdulillah ... I'm truly feel bless always ... 24 by 7.

To be a writer one should have the gift to write ... That what 'they' say. But for me, I'm writing because I love to write. Gifted or not, I will continue to write as long as ALLAH gave me the ideas an inspirations to do so ...

I do apologize for any error or discomfort feeling that cause by my writing ...

Please drop your comment for a better me as a writer ... and please do comment in a civilize way cause I believe we all yearn for love and peace not hatred and war.

HAPPY READING ^_^

-Aidaluze-

Saturday, January 29, 2022

CINTA HAYAT (PART 2)


Tuah ternyata dipihakku apabila hari ini, Umi mengizinkan Ebrahim untuk menjadi Pemandu Peribadi tak bertauliah untukku. Tiada cagaran, tiada upah dan tiada tawar menawar diperlukan. Lega kerana aku tak perlu bersusah payah mencari cara untuk membuatkan Dania setuju untuk berjanji temu dengan Ebrahim. Aku kenal Dania. Dia mungkin nampak selamba namun bila dia sudah katakan tidak, tak payahlah mencuba untuk menukarnya menjadi ya. Memang berjanggutlah jawabnya nak memujuk.

"Pukul 2 nanti Along datang jemput korang kat sini. Jangan lambat" Ebrahim berpesan sebelum meninggalkan kami di hadapan pintu masuk antara bangunan Ikea dan The Curve. Aku hanya mengangguk sebelum menutup pintu kereta.

"Dania!" Langkah kami bertiga terhenti dan kami serentak menoleh apabila nama Dania dilaungkan Ebrahim.

"Jangan nakal-nakal tau Sayang! Nanti balik Abang jemput ye!" Terlopong mulut kami bertiga mendengar pesanan beserta kenyitan mata dari Ebrahim. Sempat dia tersengih melihat riak wajah kami sebelum cermin mata hitam menutupi mata hazelnya dan kereta Audi Q7 hadiah dari Umi dipecut laju. Aku dan Naz memandang Dania yang sudah merah padam mukanya menahan malu apabila beberapa orang disekeliling kami memandang sambil tersengih-sengih.

"Gilalah abang kau Hayat" Dengan muka masamnya Dania terus melangkah masuk ke dalam bangunan Ikea meninggalkan aku dan Naz di belakang. Kami memandang satu sama lain sambil menutup mulut menahan gelak.

Tujuan utama aku ke sini hanyalah untuk menikmati kepak goreng dan bebola daging di Ikea. Tapi, memandangkan aku datang dengan dua orang gadis yang hobinya adalah membeli-belah, terpaksalah aku menahan nafsu makanku sebentar sementara menemani Dania dan Naz keluar masuk semua kedai yang terdapat di bangunan The Curve dan Ikano Power Center itu. Entah apa yang dicari pun aku tak tahu. Belek sana, belek sini, telek itu, telek ini, setelah sejam berlalu, satu barang pun belum dibelinya. Naik lenguh kakiku  dibuatnya.

"Opssss sorry!"

Laju mulutku berkata apabila terasa sesusuk tubuh merempuh. Walaupun aku rasa bukan salah aku, tapi sudah menjadi tabiat untuk aku mengucapkan kata maaf dahulu.

"Buta ke??!"

Perrhhggghhh ... Elok-elok aku minta maaf terus rasa nak tepuk je mulut perempuan yang menjerit kearah aku sambil bercekak pinggang itu.

"Excuse me?"

Keningku kerutkan dan pandangan tajam aku hadiahkan kepada pemilik wajah yang sudah merah padam menahan marah di hadapanku itu. Amboi!! Dia tahu marah dia je. Marah aku dia tak tahu lagi.         

"You yang langgar I kan. So, jangan nak buat muka sangat ye"

Wah! Nampaknya ada orang nak melancarkan perang dengan aku hari ni. Lengan t-shirt panjang yang aku pakai aku singsingkan hingga keparas siku. Rambut ikal paras pinggang yang aku biarkan lepas tadinya aku ikat tinggi. Aku melangkah setapak dua menghampiri gadis tinggi lampai yang persis model itu. Muka dan cantik, tapi perangai .. MasyaAllah!

"Hayat ... Dahlah tu ... Tak payahlah nak layan perempuan macam ni" Naz dan Dania masing-masing sudah memegang lenganku di kiri dan kanan. Cuba menahan aku dari terus mara. Mereka sudah kenal benar dengan perangai baranku. Jangan sangka badan aku kecil, orang boleh suka-suka memperkontang-kantingkan aku.

"Lizzy? What happen here?" Adegan tenung merenung antara kami terhenti apabila kedengaran satu suara garau kedengaran menghampiri kami.

"Darling ... Tengoklah ni ... I kena buli dengan bebudak ni" Macam nak meletup kepala aku rasa mendengar rengekan perempuan yang dipanggil Lizzy ini. Rasa nak muntah pun ada bila si Lizzy terkedek-kedek dengan skirt sendat pendeknya berjalan mendapatkan sesusuk tubuh sasa yang berdiri tidak jauh dari kami dan dengan gediknya merangkul lengan lelaki itu dan sengaja menggosokkan asetnya ditubuh lelaki itu.

Lelaki yang mengenakan sepasang kemeja putih berjalur halus yang tidak dibutangkan sepenuhnya menampakkan sedikit dada bidangnya itu nampak sangat santai dengan padanan jeans kelabu dan pandangannya ketika itu kulihat begitu fokus memandang kearah seraut wajah jelita milik Lizzy.

"Excuse me. Is there any problem here?" Mata aku pantas menangkap pandangan redup lelaki yang memiliki sepasang mata coklat cair yang sangat memukau itu apabila wajahnya dialihkan tepat kearahku. Kami sama-sama terkesima dengan pandangan satu sama lain. Setiap lekuk dan ciri wajahnya aku tenung dan teliti penuh minat. Keningnya yang lebat cantik terbentuk di atas sepasang mata yang memiliki pandangan yang dapatku rasakan sarat dengan emosi. Wajah tampan dengan rahang yang tajam dan dihiasi stubble menyerlahkan lagi sisi maskulin lelaki itu. 

"Darliiiinnnnggggggg ..." Rengekan berlagu dari si Lizzy membuatkan kami tersedar. Pandangan segera kualihkan ketempat lain. Dada yang agak berdebar aku pegang seminit. Nafas panjang aku ambil cuba meredakan getaran yang terasa.

"Kau okey ke Hayat?" Dania berbisik ketelingaku dan aku memandangnya dengan senyuman dan anggukan. Tanpa berlengah tangan Naz dan Dania kucapai dan langkah laju kuambil untuk meninggalkan tempat itu dengan kadar segera sebelum dadaku meletup. Pelik dengan perasaanku sendiri. Kenapa pandangan lelaki itu membuatkan aku tiba-tiba jadi tidak keruan? Dalam kekalutan Naz dan Dania hanya menurut sahaja.       

"Hayat .. Kau nak bawa kami kemana ni?" Naz bersuara apabila sudah sepuluh minit kami berjalan tanpa arah. Aku sendiri pun tak sedar yang kami telah meninggalkan bangunan Ikano Power Center dan kini kami berjalan tanpa arah di bangunan The Curve pula. Aku berhenti melangkah dan punggung terus kuhenyakkan di atas kerusi yang tersedia di hadapan Farmasi Watson.

"Hey ... Kau okey ke?" Dania mula risau dengan keadaan aku yang hanya duduk diam tanpa kata. Belakang tubuhnya digosok-gosok lembut. Aku cuba menenangkan degupan jantung yang tadinya berdebar kuat sehinggakan aku dapat rasakan getarannya.

"Nak aku call Ebra?" Keprihatinan kedua-dua teman baikku ini amat-amat aku hargai. Kedua-dua tangan mereka aku capai dan ramas lembut. Wajah mereka aku pandang bergilir-gilir sebelum mengeleng-gelengkan kepala dan senyuman kuukir untuk melegakan perasaan mereka berdua.

"Kau kenal ke lelaki tadi tu? Kenapa aku tengok muka kau macam panik semacam lepas lelaki itu pandang kau?" Naz terus menyuarakan soalan yang aku sendiri tak pasti jawapannya.

Siapa lelaki itu?

Kenapa pandangan matanya begitu sarat dengan emosi?

Kenapa pertemuan tak sampai lima minit antara kami boleh meninggalkan

kesan yang begini mendalam dalam diriku?

Seperti Naz dan Dania, aku juga perlukan jawapan bagi semua persoalan di atas. Sepasang mata Darling si gedik Lizzy tadi terbayang semula di dalam kepalaku.

"Aku rasa macam de javu la. Darling si Lizzy Mizzy tu nampak macam familiar sangat. I think we have met before" Sesedap rasa saja aku memberi gelaran kepada makhluk Tuhan itu tadi. Tapi apa yang aku katakan itu memang seperti apa yang aku rasakan. Ya. Aku yakin yang aku memang pernah berjumpa dengan pemilik sepasang mata cantik itu.

"Mungkin kenalan kau masa di London atau Istanbul?" Telahan dari Dania membuatkan aku berfikir. Naz hanya menganggukkan kepalanya mengiyakan andaian Dania. Aku cuba mengingat semua teman-teman aku semasa kami sekeluarga tinggal di London dan Istanbul bertahun-tahun dahulu. Tapi, mana mungkin aku ingat jika dia adalah temanku sewaktu aku berumur lima tahun dan ke bawah. Kalau aku ingat pun, wajah mereka semua semestinya sudah banyak berubah. Kan?

"Atau mungkin masa roh berkeliaran waktu tidur, roh kau ada bertembung bahu dengan roh mamat handsome tu. Tu yang kau rasa macam de javu" Dania sudah tergelak dengan teori tak masuk akal dari Naz dan secara tak langsung telah membuatkan aku tersengih sama.

"Dahla. Jom makan. Perut aku dah berkeroncong ni" Naz bangun dan terus menggesa aku dan Dania berjalan menuju ke Ikea semula. Kami berjalan beriringan menuju ke Ikea.

Setalah puas menjamu selera di Ikea, memandangkan jam sudah menunjukkan ke pukul 1.30 petang, kami terus menuju ke surau yang tersedia di tingkat 2 di bangunan Ikano Power Center.

Selesai menunaikan solat Zohor, Dania dan Naz terlebih dahulu keluar kerana masing-masing perlu ke tandas. Sewaktu hendak keluar dari surau telefon aku berbunyi menandakan mesej whatsapp baru diterima dan pantas telefon dipoket kucapai dan kubuka.

'Along lambat sikit'

' Tunggu sampai Along datang'

'Jangan gatal nak naik teksi ke, bas ke, grab ke..'

Tersengih aku membaca mesej dari Ebrahim. Risaunya tu macamlah kami bertiga ni masih budak-budak lagi.

"Opsss!" Bulat mataku apabila terasa tubuhku dirempuh dan ibarat drama tv aku hanya mampu melihat dalam gerak perlahan Iphoneku melambung tinggi sebelum jatuh kelantai beserta bunyi skrin pecah yang membuatkan hatiku turut rasa seperti kaca yang pecah berderai.

"Sorry ... Sorry" Sesusuk tubuh yang baru merempuhku mengucapkan kata maaf berkali-kali sambil mengutip telefon yang aku pasti sudah tidak boleh digunakan lagi. Telefon dari model terbaru pemberian Umi yang tak sampai seminggu lagi hayatnya itu aku nampak dengan jelas sudah retak beribu ditangan manusia yang menjadi punca segalanya. Rasa nak meraung dibuatnya. Dengan tangan menggigil aku capai Iphone yang tidak boleh diselamatkan lagi itu. Screen protector juga belum sempat aku pakaikan. Seribu sesalan dengan sikap berlengah diri sendiri aku rasakan saat ini.

"Maaf Cik. Saya tak sengaja.. "

Perlahan-lahan kepala kuhalakan kearah suara yang jelas nada bersalahnya itu. Mulut yang baru hendak menyumpah seranah terus terkunci apabila wajah Darling si Lizzy Mizzy terpampang di hadapanku. Ternyata dia juga turut terkejut apabila mulutnya terbuka dan tertutup semula apabila mata kami bertentang.

"Kita pernah jumpa ke sebelum ni?" Tanpa sempatku tahan, laju saja soalan itu meluncur dari mulutku. Tapi aku perlu tahu kerana aku bukan jenis manusia yang suka membuat andaian. Aku perlukan satu jawapan yang pasti.

Lelaki itu diam tak menjawab. Tapi pandangan matanya menunjukkan yang dia ada jawapan bagi soalanku.

"Err ... sorry about your phone. Ni kad saya. Just buy a new phone and let me know the cost and I will pay for it okey" Setelah menyerahkan kad namanya, lelaki itu terus berlalu pergi. Aku hanya mampu diam tak bersuara dan memandang tubuh lelaki itu hilang dicelah-celah manusia yang berpusu-pusu keluar dan masuk surau.

Kad nama ditangan aku belek.

Ferhat Aslan

Managing Director

Aslan Technology S/B

Mobile: +60 1134385966

Email: ferhat@aslantech.com.my

Keningku berkerut melihat sebaris nama yang tertera di kad itu. "Ferhat Aslan ... Ferhat Aslan ..." nama itu kusebut berkali-kali. Kedengaran tidak begitu asing ditelingaku. Seperti aku sudah biasa mendengarnya.

"Hayat! Kau buat apa tercegat kat sini? Ebra kata dia cuba call kau tapi tak dapat" tersentak aku apabila tepukan Dania mengejutkan aku yang terasa hanyut sebentar dalam duniaku sendiri.

"Oh My Gucci! Hayat! Apa jadi kat telefon kau ni?" Belum sempat aku memberi reaksi kepada Dania, jeritan halus Naz terus menerjah. Iphoneku yang skrinnya sudah retak berjuta itu segera dicapai dan dibeleknya.

"Sayangnya Hayat ... Tak sampai sebulan kan phone ni "Kata-kata Dania mengembalikan semula rasa ralat dan geram yang kurasa. Alamat di kad yang masih ditangan aku baca. Damansara Utama. Tak jauh dari rumahku. Mod misi mencari telefon baru - ON!                    

Geram punya pasal aku terus membuat belian Iphone model terkini dengan spesifikasi yang paling tinggi. Kad kredit Umi yang aku gunakan semasa bayaran pasti akan mengundang seribu satu soalan dari Umi kerana segala pembelian yang melebihi RM5, 000.00 dari kad kredit yang aku pegang ini selalunya akan menjadi pencetus untuk bank menelefon Umi. Tapi, aku sudah siapkan jawapan untuk Umi. Jadi tak adalah rasa bersalah sangat bila kad itu dileretkan.

Selesai segala jenis setup dilakukan ditelefon baruku, gambar resit aku ambil dan segera aku hantar kepada lelaki bernama Ferhat Aslan itu.

 'Sila masukkan amaun yang tertera di dalam resit ini ke akaun saya'

'CIMB BANK: 7000625398'

'Hayat Guzel Binti Murat'

'Thanks'

Selesai mesej terakhir kuhantar, nafas lega aku lepaskan. Dania dan Naz yang sedari tadi hanya mengikutku hanya diam tak bersuara dan hanya berpandangan antara satu sama lain.

'Done'

Pesanan ringkas beserta bukti pembayaran yang baru kuterima membuatkan sebelah keningku terangkat. Pantas betul mamat ni punya tindakbalas. Bagus. Aku tersenyum segaris.

"Okey ... Kemana kita lepas ni?" Senyuman lebar aku layangkan kepada Dania dan Naz yang masih memandangku dengan pandangan yang pelik.

"Kau okey ke Hayat? Aku rasa macam emosi kau tak berapa stabil lepas kita terserempak dengan Mamat Handsome dengan minah Lizzy tu tadi" Tanpa menunggu lama, Naz mewakili Dania bertanyakan soalan yang aku rasa dah lama bermain difikiran mereka sejak dari tangan mereka aku heret masuk ke dalam kedai telefon.

"Eh, aku okey la. Takde apa-apa .. Tadi tu mungkin sebab aku terkejut for no reason at all pun" Bersungguh-sungguh aku berkata untuk meyakinkan Dania dan Naz. Mereka berpandangan sesama sendiri dan sebelum sempat Dania membuka mulut telefon baruku berbunyi dan melihat nama Ebrahim yang tertera, panggilan segera aku angkat.

"Along tunggu dekat tempat Along drop korang tadi. Cepat! Along bagi 5 minit. Lambat, tinggal" Belum sempat aku menjawab, talian sudah diputuskan oleh Along Kembarku itu. Kurang Asam Jawa betul!!

"Dah jom. Along aku dah sampai" Tangan Naz dan Dania aku capai dan mereka berdua hanya menurut tanpa banyak soal. Segala persoalan mengenai Ferhat Aslan nampaknya terhenti di sini saja. Buat masa inilah. Aku sangat yakin Naz atau Dania pasti akan membangkitkannya semula nanti.

********************

"You are coming with us today"

Bila arahan mandatori keluar dari mulut Datuk Meriam, tidak akan ada sesiapa pun yang mengenalinya mampu untuk mengatakan 'tidak'. Termasuklah aku dan Ebrahim. Lagi-lagi bila arahan itu dikeluarkan setelah kisah mengenai telefon baruku menjadi tajuk perbualan kami pagi itu. Alasan yang pemuda bernama Ferhat Aslan telah membayar semula nilai yang aku gunakan dengan kad kredit pemberian Umi langsung tidak diterima pakai.

"The sooner you learn how some of us need to work for a living, the sooner you can make that pretty little head of yours understand the value of money" Bila Umi sudah mula membebel sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, itu merupakan tanda yang sangat besar bahawasanya Datuk Meriam Miran sedang dalam fasa marah tahap Maharaja punya.

Aku yang sudah sangat arif mengenai perkara itu hanya menundukkan wajah dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada nasi goreng kampung di atas pingganku sambil tangan sibuk menguis keluar sayur kangkung dan melonggokkannya ditepi pinggan. Ebrahim yang duduk berhadapan denganku turut sama menikus. Harapkan badan saja berketul-ketul. Dengar suara tegas Umi je terus bertukar jadi Mickey si tikus.

"Hayat. Are you listening to anything I have said?" Suara keras Umi membuatkan aku automatik memalingkan muka kearahnya. "Ye ... Yes Umi. I ... I ... I do" Bila menatap panahan mata Umi yang menusuk sampai ke dasar hati itu, lidah yang selalunya petah menjawab tiba-tiba terus tergapgap-gagap.

"Good. Finish your breakfast and be ready in 30 minutes" Bahasa Inggeris yang masih digunakan menunjukkan mood Umi masih di zon merah. Tanpa menunggu lama, aku menyudahkan sarapanku. Pinggan dan gelas kosong aku bawa ke sinki dan langkah pantas aku atur menaiki tangga menuju ke bilikku untuk bersiap.

Mujur aku memang sejenis manusia yang suka mandi di awal pagi sebelum menunaikan solat subuh. Jadi, aku sudah dapat menjimatkan sedikit masa di situ. Aku capai sepasang sut putih yang memang sudah siap bergosok dan siap tergantung bersedia untuk disarungkan dimasa-masa kecemasan seperti ini. sehelai kemeja tanpa lengan berwarna merah hati aku sarungkan di dalam sebelum jaket sut separas punggung aku sarungkan di luarnya. Rambut ikal lebatku aku sanggul tinggi. Foundation kusapukan kewajah senipis mungkin ditambah dengan sedikit pemerah pipi dan lipstik berwarna merah hati. Bulu mata dan kening yang sudah cantik terbentuk aku rapikan sedikit tanpa mengenakan sebarang mascara kerana bulu mataku sudah sedia lebat dan lentik.

Setelah menelek penampilanku di hadapan cermin dan berpuashati, aku terus mencapai beg tangan LV hadiah dari arwah Baba yang akan aku guna hanya untuk acara istimewa. Memandangkan ini kali pertama aku ke pejabat Umi sebagai pekerja bukan sekadar anak kepada pemilik MM Holding Berhad, maka ianya aku anggap sudah cukup istimewa untuk dijadikan sebab aku menggunakan beg tangan pemberian arwah Baba ini.

Keadaan lalulintas yang kurang sibuk pagi itu membolehkan kami tiba di pejabat Umi agak awal. Jam tanganku menunjukkan ke pukul 8.20 pagi. 10 minit awal sebelum waktu pejabat bermula.

"Kamu ikut Ebra. Nanti pukul 10 kamu berdua terus ke bilik mesyuarat. Hari ni kita ada mesyuarat dengan salah satu pembekal terbesar MM Holding" Umi bersuara tenang tapi tetap berbaur tegas sebelum meninggalkan aku dengan Ebrahim dan dia terus menaiki lif peribadi yang dikhaskan untuk terus ke pejabatnya.

"Come, I'll show you my fotress" Hilang saja kelibat Umi leherku terus dipaut oleh lengan sasa Ebrahim dan tubuhku diheret menuju ke lif yang digunakan oleh semua pekerja di Wisma MM Holding.

"Lepaslah. Sesak nafas aku, gila" Aku melepaskan pautan lengan Ebrahim yang membuatkan pernafasan aku tersekat dan bahunya aku tepuk kuat. Dia hanya menyunggingkan bibirnya sengaja menayang gigi taringnya padaku. Kini bahuku pula dipaut dan tanpa mempedulikan pandangan dan bisikan-bisikan membawang orang disekeliling kami pautannya semankin erat walau puas aku cuba meloloskan diri. Akhirnya aku biarkan saja.

Apabila pintu lif terbuka, masing-masing sibuk meloloskan diri dan seperti kebiasaanya, bila berada dalam ruang yang sesak seperti itu, Ebrahim ada menjadi perisai aku. Sebaik saja ruangan lif sudah dipenuhi dengan kapasiti semaksimum yang boleh, tubuhku sudah terhimpit rapat ke dinding lif dengan Ebrahim berdiri di hadapanku mengadap ke pintu lif.

"Lambat lagi ke?" Aku berbisik pada Ebrahim apabila pintu lif terbuka dan tertutup untuk kali yang ke tiga namun bilangan manusia yang memenuhi ruangan lif dengan keluasan enam kaki kali enam kaki ini kurasakan tak juga berkurangan. Apabila rasa seram sejuk mula terasa, aku mula dilanda kegelisahan kerana ini bermakna yang bila-bila masa saja aku akan diserang panik kerana claustrophobia.

Ebrahim pantas memusingkan tubuhnya kearahku apabila terasa aku mencengkam lengannya agak kuat.

"Breath Hayat ...  Breath ... Inhale, exhale ... Inhale, Exhale ... Relax ... "Ebrahim mengosok-gosok lenganku sambil membantu aku menenangkan diri dengan teknik pernafasan yang disarankan oleh Doktor keluarga kami, Doktor Saraswathi, setiap kali aku dilanda serangan panik. Pandangan-pandangan pelik dari orang disekeliling kami tidak dipedulikan Ebrahim. Tumpuannya seratus peratus hanya pada aku.       

Apabila lif berhenti di tingkat 14, Ebrahim pantas merangkul bahuku dan kami berjalan beriringan keluar dan dia perlahan memapahku ke bilik paling hujung di sebelah kanan kami. Tiba di biliknya, aku dibaringkan di atas sofa kulit berwarna putih yang berada bertentangan dengan meja kerjanya. Air putih daripada jug kaca yang sentiasa ada di atas meja konsol di belakang sofa segera dituangkan ke dalam gelas sebelum disuakan kepadaku. Dengan tangan yang masih menggigil gelas tersebut aku sambut dengan kedua belah tangan. Perlahan air tersebut kuhirup. Ebrahim duduk dibirai sofa sambil memandangku penuh kerisauan. Peluh yang membasahi anak rambutku dikesat perlahan oleh Ebrahim dengan tapak tangannya.

"How are you feeling?" Dia mencapai gelas yang airnya sudah separuh kuminum dan diletakkan diatas meje kopi di hadapan kami sebelum tanganku digenggamnya erat. Aku cuba tersenyum untuk melegakan hati Abang kembarku itu. "Better. Thanks Along" Ebrahim turut tersenyum. "Hayat rehat dulu. Along ada kerja kena siapkan untuk meeting nanti. Just tell me if you need anything okay" setelah aku menganggukkan kepala, Ebrahim terus bangun dan menuju ke meja kerjanya. Kedua belah tangan aku tekankan kedada yang masih berdegup kencang. Mata aku pejamkan perlahan.

"Hayat ... Are you okay??!" Mata yang baru hendak terlelap terus terbuka semula apabila suara kalut Umi bergema di dalam bilik pejabat Ebrahim. Umi segera mendapatkan aku yang terkial-kial bangun dari pembaringan. Belum sempat aku membuka mulut, keduabelah pipiku sudah ditekup Umi dan dibelek-beleknya. Kening aku berkerut dengan perlakuan Umi.

"Umi, Hayat okey. Takda lebam pun kat mana-mana. Along ada kan dengan Hayat" Keduabelah tanganku memegang lengan Umi dan matanya aku tatap lembut. Perlahan-lahan wajah tegangnya beransur kendur.

Aku faham benar mengapa Umi bereaksi sebegitu. Serangan panik yang menyerang aku ini pernah hampir meragut nyawa aku ketika di Istanbul dahulu. Ketika aku masih terlalu kecil untuk memahami apa yang aku rasa saat itu. Itulah pertama kalinya ianya berlaku. Memori mengenai apa yang menyebabkan serangan itu berlaku langsung tiada dalam ingatanku. Segalanya kabur. Aku tak ingat langsung.

"Ohh Hayat. Kalau jadi apa-apa kat Hayat, tak tahulah macamana Umi nak hadap semua tu" Umi merangkul erat tubuhku dan getaran tubuhnya yang menahan sebak dapat kurasakan. Beberapa ketika kemudian terasa sepasang lengan lagi merangkul tubuh aku dan Umi bersama. Ebrahim meletakkan dahinya kedahiku dengan mata terpejam. Wajah putih bersihnya yang kemerahan menunjukkan yang dia turut sama sedang menahan rasa.

Ketika jam menghampiri pukul sepuluh pagi, aku berupaya untuk mengagahkan diri untuk bersiap untuk menghadiri mesyuarat bersama Umi dan Ebrahim. Walau beberapa kali Umi menyuruh aku berehat saja di bilik Ebrahim, aku tetap berkeras mengatakan yang aku sudah okey. Akhirnya Umi akur saja. Ebrahim hanya diam tak berkata apa-apa kerana dia sudah tahu benar dengan sikap keras kepala adik kembarnya ini.

Sampai sahaja di bilik mesyuarat, Umi mengambil tempat di kepala meja manakala aku dan Ebrahim mengapitnya di kiri dan kanan. Umi memandang sekilas keseluruh bilik mesyuarat untuk memastikan semua ahlinya telah hadir sebelum mesyuarat dimulakan.

Setelah kata-kata pembukaan dari Umi, Iman, Ketua bahagian pemasaran memulakan pembentangan usulan pelan pemasaran yang disediakannya bersama dengan pembantu-pembantunya. Umi dan beberapa Ketua dari Jabatan lain mengemukan beberapa soalan dan komen sepanjang pembentangan dibuat dan aku dan Ebrahim hanya menjadi penonton setia. Sesekali bila mata kami bertemu, Ebrahim akan mengerakkn bibirnya bertanyakan samada aku okay atau tidak. Aku hanya mengangguk sambil tersenyum sambil membuat signal ‘okay’ kepadanya.

Setelah dua jam aku menahan mata yang asyik nak terkatup dan dengan punggung yang sudah mula terasa kebas, akhirnya mesyuarat yang Umi pengerusikan berakhir juga. Aku menarik nafas lega. Mungkin sedikit kuat kerana aku sempat mengesan jelingan maut Umi yang ditujukan kepadaku.

“So, rasanya lepas ni Umi dah boleh assign both of you to do any work regarding the promotion of our latest product” Tanpa membuang masa, Umi terus bersuara sebaik sahaja hanya ada kami bertiga sahaja di dalam bilik mesyuarat itu. Kata-kata Umi membuatkan aku dan Ebrahim berpandangan antara satu sama lain dengan wajah keliru.

“Dah. Tak payah nak tayang mula blur kamu tu. Mulai esok, Ebra akan incharge manage any onsite tasks kat lokasi shooting kita sementara awak masih cuti semester ni, while you Hayat, can assist Marketing Department on any paperwork in the office. Am I being clear enough for both of you?” Umi memandang aku dan Ebrahim bersilih ganti. Aku dan Ebrahim masih tayang muka tak yakin.

Gila! Aku belum puas lagi nak berjoli sakan lepas graduate. Ebrahim selepas tamat cuti semesternya boleh la melepaskan diri. Tiba-tiba terus rasa nak sambung belajar semula. Menyesal pula menolak ajakan Ebrahim untuk mengambil Ijazah kedua kami tempohari. Fikirku, bolehlah berehat-rehat sebelum mula mencari kerja.

Sejujurnya, bekerja dalam Syarikat pengiklanan Umi tidak ada langsung dalam senarai pekerjaan impianku. Atas sebab itulah aku mengambil jurusan Pendidikan Khas kerana impian aku hendak membuka sekolah khas untuk kanak-kanak kelainan upaya. Walau hakikatnya aku sendiri mempunyai masalah serangan panik, tapi sekurang-kurangnya ianya tak seteruk sewaktu aku berusia belasan tahun dahulu dan ianya tidak menyerang sekerap dulu.

Ataupun, patut tak kalau aku pura-pura kena serangan panik 24jam sehari??? Tapi, nanti tak pasal pula Umi panggil doktor peribadi keluarga kami, Doktor Aslan untuk buat pemeriksaan. Lagi naya aku kalau Umi tau yang aku menipu. Lebih dari piatan ditelinga yang aku dapat nanti. Arrrghhhh!!! Stress la aku dibuatnya!! Ebrahim yang sedang tersengih sambil mengangkat-angkat kening padaku saat itu, membuatkan aku ingin menghadiahkannya dengan sebiji penumbuk saja rasanya. Aku tahu yang dia dapat tangkap apa yang aku fikirkan kerana kami pernah berkongsi uri yang sama dalam rahim Datuk Meriam Miran 22 tahun yang lepas!

BROKEN: BAB 4

"Daf!!!!!! Aku dah lambat!" Celik saja mata, jam dinding yang menunjukkan ke pukul 7.30 pagi membuatkan Kas melompat dari tempat tidur turut mengejutkan Dafina dan membuatkan gadis itu terpisat-pisat membuka mata. Dafina duduk tegak 90 darjah dari pembaringan dan Kas yang sudah kelam kabut keluar masuk dari bilik air dipandang kosong.

Tidak sampai 5 minit di dalam bilik mandi, Kas sudah terkocoh-kocoh keluar. Beg kertas berisi pakaian yang baru dibelinya semalam digeledah rakus. Sepasang suit berwarna biru laut dan kemeja satin tak berlengan berwarna putih dicapai pantas dan disarungkan ke tubuh. Mujur kesan renyuk tidak terlalu jelas. Rambut panjangnya disanggul tinggi agar nampak kemas. "Bye!" Kas melambai sekilas pada Dafina sebelum memecut keluar.

"Lya!"

Baru saja tombol pintu besar hendak dibuka, suara Datin Sri Addura jelas menjengah kependengarannya. Kas memejamkan mata sambil mengetapkan bibir. Perlahan-lahan dia menoleh. Pandangan semua orang yang berada di meja makan tidak jauh darinya tertumpu padanya.

"Mari sini sarapan dulu" Datin Sri Addura beriya-iya melambai-lambaikan tangannya pada Kas membuatkannya tidak sampai hati hendak menolak. Perlahan-lahan langkah diatur ke meja makan dan dia mengambil tempat di sebelah Datin Sri Addura.

"Nanti Lya pergi kerja dengan Dean je. Motor Lya pun tak ada kan?" Rasa nak hantuk saja kepalanya ke meja apabila baru menyedari malam tadi dia ke sini dengan menaiki kereta Dafina. Tiba-tiba terasa bulu tengkuknya meremang. Rasa seram sejuk. Apabila dia mengangkat muka, pandangannya bersatu dengan Dean yang sedang merenungnya entah sejak dari bila. Untuk seketika mereka berpandangan begitu.

"Good Morning everybody!" Suara ceria Dani menyebabkan adegan tenung menenung antara Kas dan Dean terganggu. Masing-masing kembali menumpukan perhatian kearah pinggan masing-masing.

"Sayang??! Is that you? Wow! You look good Sayang" Dani terus teruja sebaik saja terlihat Kas yang sedang duduk di sebelah Ibunya. Laju dia menarik kerusi di sebelah Kas. Kas memusingkan matanya sambil tayang muka malas-nak-layan apabila Dani duduk memandangnya sambil menongkat wajah.

"Kita dah lambat. Aku tunggu kau kat kereta. 5 minit. Lambat, tinggal" Dean bersuara dingin sebelum berlalu meninggalkan meja makan. "Fun spoiler!" Dani berdesis sambil menjeling Abangnya. "Angah" Datin Sri Addura menegur.

Tidak mahu terlambat pada hari pertama bekerja, Kas terus terkocoh-kocoh menghabiskan makanan dan minumannya sebelum bangun untuk mengejar langkah Dean.

"Eh, nak pergi mana tu Sayang?! Sayang!" Pertanyaan dan panggilan dari Dani langsung tak dipedulikan. Kasut Van berwarna putih disarungkan dan beg sandang dibahu dibetulkan sebelum dia berlari menuju ke kereta Ford Ranger milik Dean yang sudah dihidupkan enjinnya.

Perjalanan selama 20 minit itu sungguh menyiksakan buat Kas. Selama 20 minit itulah suasana di dalam kereta itu dirasakan dingin. Hanya kedengaran celoteh DJ radio dan selingan lagu yang disiarkan di Mix FM.

Setibanya di Teguh Bina Consultant, setelah kereta diparkirkan ditempatnya, Kas masih lagi membuntuti langkah Dean. Mujur la kakinya panjang. Jika tidak pasti dia sudah jauh tertinggal di belakang dek kerana langkah panjang Dean.

Namun, entah dimana silapnya, mungkin juga kerana Dean berhenti agak mengejut sebelum dia memusingkan tubuhnya ke belakang, Kas yang laju mengekornya tidak sempat menghentikan langkahnya dan akibatnya dia terlanggar dada Dean dan akibat dari impak yang agak kuat itu, kedua belah tangan sasa Dean sudah melingkar ke tubuh langsing Kas. Terkebil-kebil mata Kas menatap wajah Dean yang hanya berjarak beberapa inci darinya. Nafas berbaur pudina dari Dean jelas dapat dihidunya.

Kadar degupan jantung Dean dan Kas menjadi lebih laju dari biasa. Kas dapat rasakan wajahnya sudah membahang.

"Errr ... Excuse me. Boss. Are you alright?" sebelum dada Dean dan Kas rasa nak meletup, suara teguran dari arah belakang Kas mengembalikan mereka ke alam nyata. Pantas dada Dean ditolak Kas dan dia cepat-cepat menjarakkan diri dari lelaki itu.

'Apa kau dah buat ni Lya Kasilda!!!Gila, gila, gila!! Arrggghhh!!' Kas memarahi dirinya dalam hati. Dada yang berdetak kuat dipegang. Nafas ditarik dan dilepaskan perlahan. Cuba menenangkan diri. Tumpuan Dean sudah tertumpu pada seorang wanita berkemeja satin putih dan berskirt merah separas lutut, berambut ikal separas pinggang di depannya. Wanita itulah yang menegur sebentar tadi. Sempat Kas menangkap jelingan tajam wanita yang bercelak ala Cleopatra itu kepadanya. Wajah wanita itu nampak seperti pernah dilihatnya. Tapi dimana?

Bayangan wanita itu terus terbang dari fikirannya sebaik saja dia diberikan tugasan demi tugasan oleh Pengurus bahagiannya yang memperkenalkan diri sebagai Kak Nita. Hari pertama bekerja di Teguh Bina Consultant yang bermula dengan agak chaotic berlalu dengan agak aman buat Kas. Ini adalah kerana dia ditempatkan di bahagian Sumber Manusia yang berada di Tingkat 5. Tingkat yang berlainan dari Dean. Untuk itu Kas benar-benar menarik nafas lega.

Jam 5.30 tepat, langkah terus dipacu kearah lif. Ingin segera berlalu sebelum terserempak dengan Dean. Semenjak peristiwa di dapur malam tadi, entah kenapa jantungnya akan berdenyut laju tiap kali bertentang mata dengan Dean. Kas tidak suka perasaan itu. Perasaan yang menunjukkan dia mempunyai satu rasa terhadap makhluk bergelar lelaki. Dia perlu melindungi hatinya dari menghadapi risiko untuk dilukai lagi.

Tak tahu nasib malang apa dia hari itu, sebaik saja pintu lif terbuka, Wajah beku Dean yang pertama menjamah pandangannya. Lebih sadis lagi buat Kas kerana dalam lif itu hanya ada lelaki itu seorang. Dean menaikkan kening apabila Kas masih teragak-agak di hadapan lif.

"Kau nak aku dukung kau ke masuk dalam lif ni?" Suara tanpa nada dari Dean membuatkan Kas cepat-cepat melangkah masuk ke dalam lif. Dia berdiri betul-betul di hadapan pintu lif tanpa menoleh langsung kearah Dean yang berada di belakangnya.

Sampai di tingkat 4 pintu lif terbuka dan tiba-tiba sekumpulan manusia membanjiri seluruh ruang lif menyebabkan Kas tertolak ke belakang dan tanpa diduga, belakang tubuhnya betul-betul mengimpit dada bidang Dean. Degup jantung Dean yang tiba-tiba berdetak kencang dapat dirasainya menjadikan dia turut sama resah. Hangat tubuh Dean menjalar ke tubuhnya juga. Nafas hangat Dean menyapa telinganya. Dalam hati menyalahkan diri kerana beg sandangnya diletakkan di hadapan tubuhnya. Ingin menyelamatkan bahagian depan tubuhnya dari dihimpit tapi lain pula jadinya. Esok dan hari-hari seterusnya Kas nekad untuk menggunakan tangga saja.

Tiba di tingkat G, tanpa menunggu lama, Kas terus meloloskan diri keluar dari lif. Mujur sebelum masuk ke dalam lif tadi dia sudah memesan kereta Grab. Keluar dari bangunan Teguh Bina Consultant, kereta Grab sudah pun menunggunya. Dalam kepala sudah berkira-kira untuk berhenti dari kerja di situ.

Friday, January 28, 2022

CINTA HAYAT (PART 1)

 Tiada apa yang lebih sempurna dalam definisi pagi bagi aku selain dari menghadap hidangan sarapan pagi sambil mengadap kolam ikan koi milik Umi sambil ditemani secawan kopi panas yang dikisar segar dari bijian kopi arabica, hasil kisaran mesin yang dibeli arwah Baba sewaktu di Turki dulu, ditemani 2 keping pancake gebu yang disirami sirap maple yang membuatkan siapa yang memandang menelan liur berkali-kali dan senaskhah novel aksi seram ditangan. Katalah apapun. Tapi ini adalah definisi pagi yang sempurna bagi seorang aku, Hayat Guzel Murat.

Terima kasih kepada darah Inggeris-Turki yang diwarisi dari Babaku, selera aku lebih cenderung ke arah kebaratan berbanding nasi lemak dan roti canai. Bukan berlagak bagus atau memandang rendah kepada makanan ruji rakyat Malaysia, tanah kelahiran Umi, namun inilah yang terpaksa diakui Umi setelah hampir separuh dari hidupku dihabiskan di Istanbul dan London. Hanya setelah Baba meninggal barulah kami pulang ke Malaysia.

"Yo sis! Wazzup!" Sekelip mata pagiku yang kusangka indah sampai ke petang hanya tinggal harapan apabila suara garau Ebrahim Murat, abang kembarku memetir gegendang telingaku membuatkan kopi yang baru hendak kuhirup habis tersembur nyaris terkena novel The Lovely Bones karya Alice Sebold yang belum sampai separuh aku baca.

Berdekah-dekah tawa Ebrahim apabila melihat t-shirt putih yang aku pakai berubah warna ditambah dengan  jelingan tajam yang aku tayangkan padanya. Dengan ketinggian 5'3" yang aku miliki, memang langsung tak akan berjaya membuatkan Ebrahim rasa gerun atau tergugat. Dia, dengan badan sasanya dan ketinggian 6'2" dengan mudah dapat mengatasi segala kudrat yang aku ada. Tolong jangan pelik atau keliru.

Ya. Aku tahu aku pendek dan tubuhku jauh lebih kecil jika hendak dibandingkan dengan Abang kembarku itu. Cerita yang selalu Umi berikan kepada sesiapa yang bertanya adalah, aku merupakan kembar yang tak diduga. Ini kerana, semasa sesi mengimbas kandungan, doktor cuma nampak Ebrahim. Mungkin juga kerana tubuhku yang kecil. Aku hanya keluar dari rahim Umi setengah jam selepas Ebrahim melihat dunia. Dengan badan yang halus dan hanya seberat 1.8kg, Doktor sendiri tak berani memberi jaminan yang aku dapat hidup lebih dari setahun. Tapi, Allah mempunyai rancangan yang berbeza apabila aku membesar dalam keadaan sihat dan stabil. Rasanya kerana itu juga namaku Hayat.

"Along!!!!" Tanpa amaran aku menyerang Ebrahim dengan memanjat tubuhnya dari belakang sambil lehernya kukepit ketat dibawah ketiakku.

"Sakit .. lah .. gila!" Dengan suara yang tersekat-sekat Ebrahim cuba melepaskan lenganku dari terus mengapit lehernya. Aku tak memperdulikan rontaannya dan bagi menambahkan penyiksaan kepadanya, bahunya kugigit kuat sehingga dia menjerit kuat sebelum berjaya menarik tubuhku dari belakang badannya.

"Ya Allah! Apa yang korang buat ni ha!!!" Jeritan halilintar Puan Meriam a.k.a Umi yang bergema, sepantas kilat membuatkan aku dan Ebrahim yang sudah bergelut di atas hamparan rumput terhenti. Kami serentak bangun dan berdiri tegak ibarat askar prebet menanti hukuman dari Pegawai atasannya.

Umi dengan muka yang menyinga meluru pantas dan terus menarik telinga kami berdua.

"Korang ni bukan budak-budak lagi tau! Dah 22 tahun! Tak malu ke dengan jiran-jiran yang dengar suara kamu berdua terjerit-jerit pagi-pagi ni ha!" Teriakan kami yang kesakitan langsung tak dipedulikan Umi.

"Ampun Umi! Ampun! Kami tak buat lagi dah! Ampun Umi!!" Kami serentak merayu. Telinga rasa macam dah nak tercabut ditarik Umi. Ini semua Ebrahim punya pasal! Dalam kesakitan sempat aku melontarkan jelingan maut yang semestinya turut dibalas oleh Ebrahim.

"Letih  la Umi dengan kamu berdua ni. Dah! Umi nak pergi kerja. Hayat, kemas semua yang kamu dah sepahkan ni ya. Umi tak mahu kamu suruh Kak Suri. Kamu buat sendiri. Ebrahim, Umi bagi kamu setengah jam bersiap. Kamu ikut Umi ke pejabat hari ni. Faham?" Aku dan Ebrahim hanya mengangguk patuh sambil mengosok-gosok telinga yang terasa panas dipiat Umi sebentar tadi. Siapa yang berani membantah kalau Datuk Meriam Miran, Pengarah MM Holding Berhad sudah memberi arahan dengan suara vetonya.

10 minit selepas Umi dan Ebrahim meninggalkan rumah, aku masih lagi megemas dan mengemop kesan kopi yang habis terkena meja dan dan terpercik di atas kusyen kerusi yang aku duduki tadi. Dalam hati puas aku menyumpah seranah Abang kembarku itu.

"Hayat buat apa tu?! Ya Allah ... Kenapa tak panggil akak bersihkan semua ni? Kenapa Hayat buat sendiri?" Sesusuk tubuh yang agak gempal milik ibu muda beranak dua yang baru datang dari arah dapur terkocoh-kocoh mendekati dan mop ditanganku segera diambilnya.

"Kak Suri ... Umi suruh Hayat yang bersihkan sendiri. Takpela Kak Suri. Bukan susah pun" Mop ditangan Kak Suri aku ambil semula sambil menayang senyum dengan pakej lesung pipit dikiri dan kanan pipiku untuk menenangkan kekalutan Pembantu Rumah yang sudah 10 tahun bekerja dengan keluarga kami sejak dari zaman anak daranya lagi.

Wajah Kak Suri jelas menayang riak tak puas hati dengan kedegilanku. Aku hanya buat tak tahu dan meneruskan tugas mengemop yang hanya tinggal sedikit saja lagi.

            'They say oh my god I see the way you shine

            Take your hand, my dear, and place them both in mine

            You know you stopped me dead when I was passing by

            And now I beg to see you dance just one more time'

Laungan lagu Dance Monkey yang bergema dari telefon bimbitku membuatkan kerja mengemopku terus terhenti. Telefon di atas meja yang sama ku letakkan novel bacaanku tadi segeraku capai dan apabila melihat nama pemanggil yang tertera aku menepuk dahiku sendiri. Telefon kuletakkan semula di atas meja setelah butang merah kuleretkan di skrin. Tugas mengemop kusudahkan tanpa memperdulikan telefon yang masih berbunyi. Selesai semuanya dan segala perkakasan aku letakkan semula ketempatnya, telefon masih lagi berlagu minta dijawab. Lambat-lambat telefonku capai. Dengan separuh rela, butang hijau aku leretkan dan punggung kuhenyakkan di atas sofa L-Shape yang berasa di beranda mengadap ke taman mini buatan hasil titik peluh Umi dan Kak Suri.

"Sayang ... Please dengar dulu penjelasan B. I can explain everything. Just give me a chance"

Euwwww!!! Menyampahnya aku dengar suara Mamat perasan macho ni punya pujuk rayu. Aku sejenis perempuan yang tak akan berkompromi dengan segala jenis perbuatan curang. Perkara ini biasanya akan aku beritahu dengan jelas, terang dan nyata kepada mana-mana lelaki sebelum aku memulakan apa-apa perhubungan. Termasuk la juga Mamat ni yang tak serik-serik asyik menelefonku untuk memujuk rayu supaya aku kembali kepadanya.

Adam Lutfi. Anak kepada salah seorang rakan niaga Umi. Aku tak nafikan memang Handsome bergaya tahap model GQ. Dengan muka yang kacak, dada bidang dan badan yang tegap berotot, aku yakin mana-mana wanita yang tengok pasti longgar lutut punya bila Adam mula mengayat. Aku pun tak terkecuali. Cuma, selepas beberapa bulan menjalin hubungan dengannya, banyak perangainya yang kurang aku senangi mula terserlah.

Ya. Aku tahu. Tak ada manusia yang sempurna. Aku sendiri pun jauh dari sempurna. Tapi, kalau hati tak berkenan dan mula meluat, takkan aku nak paksa diri untuk terus kekal dalam perhubungan yang pastinya takkan kemana pun.

"Elisa tu cuma kawan. Sumpah! Hari tu masa Sayang datang office B, kaki dia terpelecok dan kebetulan B memang tengah berdiri kat sebelah dia. Tu yang Sayang nampak macam B peluk dia tu. Dah orang nak terjatuh, takkan B nak tengokkan je kan?... "

Ayat-ayat seterusnya dari adam terus tak kedengaran apabila panggilannya aku tamatkan tanpa sebarang kata. Tanpa berfikir lagi, nombornya terus aku block. Baru puas hatiku. Rasakan! Dasar buaya tembaga perasan macho!!

Terbayang-bayang riak wajah Adam dan perempuan bernama Elisa itu sewaktu perbuatan mereka dapat ku tangkap dengan mata kepalaku sendiri dua minggu yang lepas di pejabat Adam.

Setelah diberitahu oleh Hanis, setiausaha Adam, yang Bosnya tidak mempunyai apa-apa mesyuarat penting hari itu, selepas waktu kerja aku terus ke pejabatnya untuk membuat kejutan. Tak sangka pula aku yang dikejutkan. Sebaik saja pintu pejabat aku buka, terus terpamer di hadapanku adegan sweet-nak-mampus-macam-nak-minta-penampar antara Adam dan Elisa yang membuatkan darahku terus mendidih naik. Dengan kedua belah lengan Elisa melingkar dileher Adam dan kedua belah tangan Adam melingkar dipinggang ramping Elisa dan senyum gatal menghiasi kedua-dua wajah manusia tak tahu malu itu, ada hati aku hendak ditipu dengan cerita kaki terpeleot si Elisa tu?? Mintak maaf la ya. Ini Hayat Guzel Ferhat okay! Sia-sia aku beribukan Datuk Meriam Murat kalau aku boleh diperbodohkan oleh makhluk bernama LELAKI!

Selepas itu, hampir setiap hari Adam menelefonku meminta diberi peluang kedua. Maaf! Pada aku, once a cheater, will aways a cheater. Lagipula, selama ini kalau bercinta, belum pernah lagi aku menyinta dengan sepenuh jiwa dan raga. Jadi, bila dicurangi atau dikhianati, sakitnya tak pernah melekat lama dalam hati dan jiwa aku.

Aku mungkin bukan kategori anak yang mendengar kata tapi pesan Umi tentang jangan menyerahkan sepenuh hati bila menyinta selagi dia belum sah menjadi milikku, aku pegang sampai sekarang.

No kissing. No holding hands. No hugging. Itu antara syarat-syarat yang aku kenakan jika hendak menjalin hubungan cinta denganku. Samada setuju atau tidak. Aku takkan pernah memaksa. Terpulang. Mungkin sekarang aku belum menutup aurat dengan sempurna lagi, tapi batas-batas pergaulan memang aku jaga.

Aku ke dapur untuk mengisar secawan lagi kopi. Memandangkan Ebrahim sudah tiada di rumah, aku menyambung semula masa santaiku dengan menyambung membaca novel yang tergendala sebentar tadi.

Malam itu selesai makan malam, seperti biasa, Ebrahim akan melepak di dalam bilikku. Kami mungkin kerap bertikam lidah namun memandangkan kami cuma dua beradik, dari semenjak sekolah rendah lagi kami memang tak boleh berenggang. Sehinggakan apabila masuk ke sekolah menengah dan ke kolej, pada mulanya, semua orang menganggap yang Ebrahim adalah teman lelakiku.

Walaupun begitu, satu-satunya perkara yang aku tak suka adalah bila keakraban kami ini sering diambil kesempatan oleh orang-orang disekeliling kami. Terutamanya, Laila Izabella. Teman wanita yang mungkin bakal menjadi ex Ebrahim.

"Hayat ... Tolong la pujuk Ebra ... I tau dia tengah marah dan I tak patut pun desak dia untuk jumpa parent I. Tapi, kami dah bercinta dari sekolah kot. Just jumpa je dengan parent I. It’s not a big deal. I pun tak tahu kenapa dia nak marah sangat"  Hampir setengah jam aku melayan panggilan telefon dari Laila. Ebrahim yang sesedap rasa sedang menyelesakan dirinya di atas tilam empukku, ku jeling geram.

"Laila ... Cuba beri dia masa okey. Bagi dia ruang untuk berfikir. I yakin, nanti kalau dia dah bersedia, dia akan call you semula. Okey?" Separuh rela aku memujuk. Ikutkan hati memang malas dah aku nak layan minah ni. Selama ini pun, hubungan kami bukanlah rapat sangat. Tiba-tiba bila ada masalah dengan Ebrahim, aku orang pertama yang dia hubungi. Urrggghhhh!!!

Puas memujuk dalam tiga puluh minit kemudian, akhirnya panggilan berjaya kutamatkan. Terus aku meluru kearah Ebrahim dan tubuhnya aku tampar bertalu-talu. Geram kerana masalah peribadinya pun aku ikut terheret sama. Setelah penat bergomol bergusti akhirnya kami sama-sama terlentang dengan nafas tercungap-cungap. Mujur Umi tidak menyerbu bilikku. Jika tidak memang habis merahlah telinga kami kena piat lagi.

"Along kena settlekan la masalah Along dengan si Laila ni. Sampai bila Along nak mengelak? Kalau Along dah tak nak dengan dia, bagitahulah terus terang" seperti kebiasaannya, aku melontarkan sepatah dua ayat berunsurkan nasihat kepada Along kembarku itu. Ebrahim yang sedang berbaring sambil memandang ke arah syiling di sebelahku aku siku pinggangnya dan dia terus menarikku rapat ke dalam pelukannya dengan lengan sasanya. Aku meronta untuk melepaskan diri namun sia-sia. Akhirnya aku biarkan saja keadaan kami begitu. Lengannya mengepit longgar leherku dan kepalaku selesa berbaring beralaskan bahunya. Kami sama-sama memandang ke syiling kearah kipas yang berputar perlahan. Ebrahim memberikan sebuah ciuman di ubun-ubunku sebelum melepaskan nafas panjang.

"Macamana tadi kat office Umi? Anything interesting?" Aku bermain dengan hujung rambutku sambil mengalih tajuk perbualan kami.

"Nope.Takde apapun yang menarik. Umi nak Along masuk pejabat sementara cuti semester ni. Lepas ni takdelah driver nak hantar Hayat kemana-mana. So, pandai-pandailah kalau nak keluar ye" Ebrahim menyunggingkan senyuman sambil memandang aku sekilas sebelum memandang semula ke syiling.

"Eh, tapi esok Along kena hantar Hayat pergi Ikea! Hayat dah janji nak jumpa si Dania dengan Naz" aku memusingkan tubuh kearah Ebrahim. Mata hazelku kelip-kelipkan dengan bibir kujuihkan sedikit mohon simpati. Ebrahim hanya ketawa melihat usahaku memujuknya.

"Bagitahu Umi. Kalau Umi okey, baru your wish is my command" jawapan Ebrahim membuatkan bibirku bertukar jadi memuncung. Kalau bab nak cakap dengan Umi ni memang aku lemah sikit. Nanti, macam-macam soal jawabnya.

"Along la cakap. Umi kalau dengan Along dia tak banyak sangat soal" Sekali lagi aku kedip-kedipkan mataku pada Ebrahim.

"Okey .. kalau Along tolong Hayat, Hayat tolong Along dapatkan date dengan Dania" Aku tahu yang Ebrahim memang sudah lama menaruh minat dengan salah seorang kawan baikku, Dania sejak dari kami sekolah lagi. Namun kerana dia sedang dalam hubungan dengan Laila, semua itu terpaksa dilupakan.

Seingat aku, pada waktu itu, Laila yang terhegeh-hegeh untuk lebih rapat dengan Ebrahim yang merupakan bintang sukan sekolah manakala Dania pula memang sejenis manusia yang tak ambil kisah sangat tentang lelaki. Atas sebab itulah Ebrahim akhirnya bercinta dengan Laila padahal aku sedia maklum yang dia separuh hati pun melayan laila pada ketika itu. Namun mungkin kerana keprihatinan Laila, Ebrahim bertahan juga sampai sekarang.

"Dania? Dania Ilham?" Soalan Ebrahim membuatkan aku tersenyum lebar sambil mengangguk-anggukan kepala laju. Kami sudah duduk bersila mengadap satu sama lain. Ebrahim mengurut-ngurut dagunya sambil memandangku dengan pandangan yang tersurat. Bibirnya yang menyunggingkan senyuman menyebabkan aku mula risau dengan apa yang terlintas di kepada otak kembarku itu. Keningku mula berkerut seribu.

"Apa kata Hayat adjust dia jadi girlfriend Along, then Along dengan rela hatinya jadi driver Hayat seumur hidup" Terbeliak mata aku mendengar permintaan Ebrahim yang agak beri-betis-nak-peha punya kategori. Tanganku silangkan ke dada dan Ebrahim aku pandang dengan pandangan kau-ni-biar-betul-bro.

"Tolong tamatkan kisah Along dengan Laila dulu boleh tak sebelum gelojoh nak mulakan apa-apa hubungan dengan orang lain?" Pandangan jengkel aku berikan. Risiko untuk Dania menerima Ebrahim sebagai teman lelaki mungkin dalam sepuluh ke dua puluh peratus saja. Namun, risiko untuk Laila menyerang teman baikku itu aku yakin memang dua ratus peratus! Tak pasal aku kena jadi agen PBB pula nanti untuk meleraikan perang antara mereka bertiga.

Tanpa sebarang jawapan Ebrahim bangun dan meninggalkan bilik aku dengan senyum leretnya membuatkan aku keliru sendiri.

"So, esok boleh ke tak hantar Hayat ni?" Aku bertanya inginkan kepastian.

"Tengokla esok. Nighty night sis. Chow!" Kata-kata Ebrahim aku sahut dengan balingan bantal yang tepat mengena ke daun pintu yang pantas dikatupnya membuatkan aku menjerit geram. Dasar pembuli!! Aku tak peduli! Esok, aku heret juga Ebrahim untuk menghantar aku ke Ikea sebelum dia masuk ke pejabat.

 
ADIALUZEONLINENOVEL : WHERE DREAMS CAME TRUE Blogger Template by Ipietoon Blogger Template