Mesej Poyo dari Adialuze

Assalammualaikum w.b.t

Bismillahirrahmannirrahim ...

Thanks for those that have the time to come by to this blog whether accidentally or intentionally. Thanks a bunch!

As an introduction, I'm a wife and a daughter to a wonderful husband and family that ALLAH have lend me. Syukur, Alhamdulillah ... I'm truly feel bless always ... 24 by 7.

To be a writer one should have the gift to write ... That what 'they' say. But for me, I'm writing because I love to write. Gifted or not, I will continue to write as long as ALLAH gave me the ideas an inspirations to do so ...

I do apologize for any error or discomfort feeling that cause by my writing ...

Please drop your comment for a better me as a writer ... and please do comment in a civilize way cause I believe we all yearn for love and peace not hatred and war.

HAPPY READING ^_^

-Aidaluze-

Friday, January 16, 2015

KISAH KAMI : BAB 22 & BAB 23

BAB: 22

Pejam celik, pejam celik, sedar-sedar esok sampai juga harinya aku akan diijabkabulkan dengan Rayyan. Tapi, yang peliknya, aku langsung tak rasa berdebar langsung. Aku teringatkan Kak Dina sewaktu ingin berkahwin dengan Abang Asyraf dahulu. Sejak dari sebulan sebelum majlis lagi Kak Dina sudah tak lena tidur. Ada saja yang tak kena dimatanya dengan persiapan yang sedang dibuat. Almaklumlah, Kak Dina aku ni memang cerewet pun orangnya. Memang berbeza sungguh dengan aku yang serba serbi ok ni. Apa yang terbaik untuk Umi dan Babah, aku turutkan saja. Malas nak ambil pusing.

Malam itu, atas permintaan Umi, bakal diadakan majlis mandi bunga, berinai dan khatam Al-quran di rumahku. Kalau ikutkan hati, aku lebih suka jika buat Majlis khatam Al-Quran saja. Tapi, memandangkan Umi beriya-iya merancang dari awal dengan Kak Dina, akhirnya aku ikutkan saja. Malas nak berbalah kalau sudah pasti aku yang akan kalah. Dua lawan satu tu. Mana aci!

Selesai solat Maghrib, aku sudah bersiap sedia untuk upacara mandi bunga. Tiba-tiba rasa macam Puteri Raja pula. Perasan betul!

Dengan beberapa jenis bunga sudah ditaburkan di dalam tempayan besar dan aku berada ditengah-tengah, aku dikelilingi oleh beberapa orang sepupu perempuan dan juga teman-teman dari tempat kerja, siapa lagi kalau bukan Wani dan Miss Lai dan juga Myra yang tak mahu ketinggalan untuk mengambil peluang ‘memandikan’ aku.

Setiap seorang dari mereka telah siap dengan sebuah bakul kecil di tangan yang diperbuat daripada rotan yang terisi beberapa jenis bunga dan daun pandan yang telah siap dihiris halus dan akan memegang peranan sebagai dayang-dayangku sepanjang upacara berlangsung. Umi memulakan acara memandikan aku dengan mencedok air dari tempayan dan disiramkan ke atas aku yang memakai baju kurung polos berwarna hijau lembut dan berkain batik. Terketar-ketar kesejukkan aku dibuatnya. Selepas itu, 'dayang-dayang' aku pula mengambil giliran untuk melakukan perkara yang sama sehingga habis air satu tempayan dijiruskan ketubuh keding aku ini.Habis kecut semua jari jemari aku dibuatnya.

Acara seterusnya adalah berinai. Nyamannya rasa apabila terkena tiupan kipas yang sepoi-sepoi bahasa sehingga tersenguk-senguk aku dibuatnya ketika Mak Ngah Sally, adik Umi, menginaikan aku. Beberapa kali Myra menepuk bahuku ketika dilihatnya aku sudah terlelap. Aku hanya tersengih-sengih macam kerang busuk apabila diomel Mak Ngah Sally.

Jam 10 malam, selesai masing-masing bersolat Isyak, bermulalah pula Majlis khatam Al-Quran. Inai di jari yang sudah kucuci aku perhatikan lama. Entah apalah yang diletak Mak Ngah Sally sampai merah pekat warna inai dijariku ini walau baru 2 jam aku pakai.

"Dok termenung apa lagi tu. Diaorang semua dah tunggu tu nak mula dah bacaan. Nanti lambat mula, mengantuk pula" Lamunan aku terhenti mendengar suara Umi yang sudah berdiri di muka pintu. "Yela, yela. Iyah datang la ni" Aku berjalan menuju kearah Umi dan kami jalan beriringan ke ruang tamu dimana beberapa orang wanita dari Persatuan Surau di kawasan perumahan aku itu sudah sedia menunggu dalam bentuk bulatan dengan setiap seorang sedang mengadap Al-Quran yang diletakkan di atas rahal masing-masing. Aku tersenyum kearah Myra dan Wani yang sudah siap bertudung duduk di posisi masing-masing .Kelihatan juga Ustazah Amni, guru yang mengajarku sewaktu di tingkatan 5 dulu ada sekali untuk menyemak bacaan kami nanti.

"PERGILAH tidur. Esok kamu nak bangun awal kan?" Umi yang masih sibuk mengemas di dapur menghampiri aku yang juga sedang sibuk membasuh pinggan mangkuk yang bertimbun di dalam sinki. Selesai sahaja Majlis khatam Al-Quran tadi, aku terus menukar pakaian dari baju kurung ke tshirt lengan panjang dan seluar tracksuit untuk memudahkan pergerakanku melakukan kerja-kerja mengemas.

Walaupun dengan ramai kehadiran saudara mara dan jiran tetangga yang datang membantu, kerja-kerja mengemas terasa masih juga banyak yang perlu dibuat. Nasib baiklah majlis akan diadakan di PICC. Kalau tidak, mesti lagi kelam kabut rumahku dibuatnya. Esok, pagi-pagi, rombongan dari pihak aku akan berkumpul di rumah Kak Dina terlebih dahulu yang kebetulan memang terletak di Putrajaya. Kami akan bersiap dan bertolak ke Masjid Besi dari situ.

"Sikit lagi ni Umi. Lepas ni Iyah pergilah tidur" Umi mengangguk-anggukkan kepala mendengar jawapanku dan terus berlalu untuk menyambung tugasnya yang belum selesai. Kak Dina dan Abang Asyraf sudah pulang ke rumah mereka selesai Majlis Khatam Al-Quran tadi untuk mengemas apa yang patut kata mereka. Myra, Miss Lai, Wani dan Shahrul yang datang tadi juga sudah lama pulang. Aku menyiapkan kerja-kerja membasuh seadanya sebelum berlalu ke bilik tidurku yang sudah siap dihias cantik oleh pereka yang telah diupah Puan Sri Maria untuk menghias segala-galannya dalam Majlis aku nanti termasuklah pelamin dan dewan di PICC itu nanti.

Cantik. Desis hatiku. Mataku memerhati kesekeliling bilik yang sudah dicat dengan warna hijau lembut oleh Babah 2 minggu lalu. Aku melabuhkan punggung di birai katil yang nampak kemas dengan cadar bersulam dari fabrik thai silk dan cotton yang berwarna cream dan hijau pucuk pisang lengkap dengan sebiji bantal peluk, empat biji bantal kepala dan dua biji bantal berbentuk empat segi sama. Banyak betul bantal. Macamlah nak tidur ramai-ramai. Getusku dalam hati.

Selepas ini, aku akan berpindah duduk bersama-sama dengan keluarga mertuaku di Bukit Tunku. Bagaimanalah agaknya aku nanti. Sekarang ni pun, nak bangun pagi masih lagi mengharapkan Umi yang mengejut. Nampak gayanya, lepas ni, terpaksalah aku mengunci beberapa buah jam serentak. Yela. Nak kejut diri sendiri lagi, nak kejut Rania lagi dan nak kejut suami lagi. Errk! Suami? Bab inilah yang paling aku risaukan. Selama ni nak urus diri sendiri pun main hentam keromo saja. Macamanalah aku nak menguruskan seorang suami yang penampilannya ala-ala jejaka metroseksual itu? Tiba-tiba kepala terasa berat.

Aku membaringkan badanku di atas katil. Terasa lega semua sendi-sendiku yang agak tegang sejak tadi. Aku baring terlentang sambil tangan kiri kuletakkan kedahi. Cincin pertunangan di jari manis aku perhatikan lama. Inai merah di jari juga aku perhatikan. Siapa sangka, dalam umur aku baru menginjak 23 tahun aku akan bergelar isteri. Huh! Kalau tak kerana Umi dan Babah, memang tak adalah aku nak kahwin awal macamni. Sekurang-kurangnya umur 27 tahun baru aku akan fikirkan untuk mencari teman lelaki dan umur 30 tahun barulah aku pertimbangkan untuk kahwin. Itu perancangan aku dulu. Tapi, sekarang ni, semuanya tinggal perancangan saja. Allah Maha Mengetahui. Aku menarik nafas dalam dan perlahan-lahan aku lepaskan.

Tidak seperti kebiasaannya, malam ini mataku agak sukar untuk lelap. Herot berot cadar dibuatnya dek kerana aku yang puas berguling-guling untuk mencari posisi yang boleh membuatkan aku terlena. Entah pukul berapa aku terlelap pun aku tak sedar. Yang aku tahu, jam sudah menunjukkan ke angka 1 pagi ketika kali terakhir aku kerling tadi.



BAB: 23

DENGAN sekali lafaz, Safiyyah Akina akhirnya menjadi milik yang sah kepada Rayyan Iskandar. Tak tahu kenapa, hati aku tiba-tiba menjadi sayu ketika pertama kali tangannya kukucup dan dahiku diciumnya. Seutas rantai emas putih dengan loket yang berbentuk dua bentuk hati dengan sebiji berlian berwarna hijau zamrud ditengah-tengah menjadi tanda sewaktu upacara pembatalan air sembahyang. Sedikit syahdu terasa ketika tangannya lembut menyapu airmata yang mengalir dipipiku.

Simbahan flash kamera yang menghujani kami ketika itu tidak langsung menganggu pandangan kami yang sudah bertaut antara satu sama lain. Rentak jantungku sudah mula berbunyi beraneka irama.

Untuk majlis resepsi kami pada sebelah malamnya, Tuan Sri Rasydan telah menyewa beberapa bilik keluarga Deluxe Hill View di Hotel Shangri-La untuk menempatkan saudara mara terdekat manakala Presidental Suites menjadi pilihan untuk dia, Puan Sri, Umi, Babah , aku, Rayyan, Kak Dina sekeluarga dan juga Myra. Aku menarik nafas lega apabila aku diletakkan sebilik dengan Umi dan Babah. Manakala Rayyan pula sebilik dengan Puan Sri Maria dan Tua Sri Rasydan. Tidak mahu hilang seri kata mereka. Tak kisahlah atas sebab apapun. Yang penting aku tak perlu duduk sebilik dengan Rayyan. Lega!

Mukaku yang sejak pukul 8 tadi disolek akhirnya siap juga. "Cantiknya Mummy!" Rania yang berkeras untuk duduk sebilik denganku menjerit keriangan. Dia yang sudah siap dipakaikan baju gaun paras lutut berwarna hijau lembut menongkat dagu sambil duduk bersila di atas katil tidak lepas-lepas memandang kearahku sedari tadi."Terima kasih sayang" Rania yang sudah datang dekat ku cuit hidungnya. Mengekek dia ketawa. Kak Dina yang sedang menyusukan Hakimi di birai katil turut sama tersenyum melihat telatah kami berdua.

“Akak dengan Abang pergi dewan dululah Iyah. Nak tolong apa yang patut.” Hakimi yang sudah siap menyusu mengapai tanganku yang mengagah-agah untuk mengambilnya dari kendongan Kak Dina. “Ala akak ni. Temankanlah Iyah” Aku memuncungkan mulut buat-buat riak muka kasihan. “Laa … Rania ni kan ada. Rasanya Umi dengan Babah ada kat bilik Mertua Iyah. Nantilah akak panggilkan suruh temankan anak bongsunya nih” Kak Dina terus bangun dan menghilang di sebalik pintu bilik. Aku melambai-lambaikan tangan kearah Hakimi yang tersenyum dikendongan Ibunya.

Gaun labuh berwarna putih diselaputi lace berbunga-bunga kecil warna hijau lembut yang tersarung ketubuh aku tatap di cermin. Lain sungguh wajahku setelah disolekkan. Tiada rupa Selena, tiada rupa Lisa Surihani. Yang ada cuma rupa Safiyyah Akina. Aku tersenyum lebar.

“Ha! Berangan yeee!!” Sergahan dari Myra yang baru muncul dari muka pintu membuatkan aku sedikit terkejut. Pantas aku mengurut dada sambil menjelingnya, pura-pura marah. Dia tersengih sambil tangan diletakkan di tepi kepala seperti gaya orang mengangkat tabik.”Sorry” Lesung pipitnya mankin terserlah.

“Kak. Lambat lagi ke?” Dia menepuk bahu Mak Andam dari butik KayImage  yang sedang sibuk membetulkan tiara yang dikenakan di atas kepalaku yang sudah dilitupi tudung bawal yang dihiasi dengan sulaman halus dibahagian yang menutupi dadaku.”Sikit lagi ni” Terbuntang mata Myra apabila mendengar suara yang sedikit garau keluar dari mulut Mak Andam yang mendandan aku ketika itu. Dia menutup mulut menahan gelak.Mataku jegilkan padanya agar menjaga perilakunya agar tidak menyinggung perasaan 'Mak Andam' yang sedang khusyuk menyiapkan aku tanpa menyedari mimik muka Mayra yang sedang berdiri di belakangnya.

Aku sendiri pada mulanya tak menyangka yang ‘Mak’ Andam yang ada dihadapan aku ini sebenarnya adalah ‘Pak’ Andam. Melihatkan dia memakai seluar jeans ketat dengan baju tshirt body hugging yang disarungkan blazer diluarnya, dia betul-betul nampak seperti perempuan tulen. Ditambah pula rambutnya yang panjang keperangan di sanggul kemas.

Tapi, itu semua tidak menjadi masalah kepadaku kerana aku suka dengan hasil kerjanya. Dia tak  memaksa aku mengenakan bulu mata palsu yang pelik-pelik dan dia juga pandai memastikan make- up yang dikenakan kemuka aku tidak merosakkan kecantikkan semulajadi yang aku ada.Eh! Cantik ke aku ni? Perasan lagi anak Pakcik Hisyam ni!

Tepat pukul 9 malam, aku yang diiringi oleh Umi, Babah,Myra dan Rania turun ke bawah menuju ke kereta Limosin yang sudah siap sedia menunggu kami untuk ke PICC. Tan Sri, Puan Sri, Rayyan dan ahli keluarga yang lain telah terlebih dahulu bertolak ke sana.

Semankin menghampiri bangunan PICC yang gah kelihatan dari jauh, tanganku mula terasa seram sejuk. Myra yang duduk di sebelah kananku, mencapai tanganku dan digenggamnya erat. Dia menghadiahkan senyuman paling manis kepadaku. Mungkin dengan harapan ianya dapat membantu aku agar lebih bertenang. Umi dan Babah yang memerhati hanya tersenyum. Rania yang duduk di sebelah kiriku sudah nampak sangat teruja apabila kereta sudah di belokkan ke bangunan PICC.
Turun saja dari Limosin, pancaran flash kamera bertalu-talu mengenai kami. Tiba-tiba rasa macam bintang filem pula. Aku tersenyum lebar. Debar didada Tuhan saja lah yang tahu. Jambangan bunga carnation gabungan warna cream dan hijau, kugenggam erat dengan tangan kanan manakala tangan kiri membetul-betulkan gaun pengantinku agar tidak menghalang langkahku memasuki dewan persandingan.

Myra dan Umi menjadi pengapit di kiri kananku manakala Rania yang diberikan kepercayaan menjadi ketua kepada kumpulan flower girl telah berjalan terlebih dahulu di hadapan dengan mencampakkan taburan kelopak bunga ros disepanjang karpet merah yang bakal aku lalui untuk memasuki dewan. 

Segala-galanya berlalu seolah-olah dalam mimpi sahaja. Untuk satu malam aku terasa diri ini umpama Puteri Raja yang benar-benar diraikan. Setibanya di pintu dewan, Rayyan yang lengkap dengan suit serba putih dengan tali leher berwarna hijau lembut sudah sedia menanti dengan senyuman yang betul-betul membuatkan kakiku terasa berada diawang-awangan.

Degup jantung terasa terhenti bila tangannya erat mengenggam jari jemariku dan kami jalan berpimpinan menuju ke pelamin yang sudah tersergam indah menanti kedatangan kami. "Saf nampak cantik malam ni" Kata-kata yang dibisikkan lembut ketelingaku membuatkan degupan jantung menjadi semankin tidak tentu arah.

MALAM sudah agak lewat ketika majlis berakhir. Selesai saja tetamu semua pulang, kami semua bergerak pulang ke hotel. Tiba saja di bilik suite, aku segera bergegas ke bilik air untuk membersihkan solekan yang terasa semankin merimaskan dan berkira-kira untuk membersihkan badan yang mula terasa tidak selesa. Umi dah Babah hanya memandang sambil menggelengkan kepala. Mereka memang sudah sedia maklum yang aku ni bukan jenis yang boleh berlama-lama dalam keadaan yang bersolek tebal dan berdandan seperti ini. Mulalah rasa serba tak selesa.

Nasib dapat bilik suite. Jadinya serba serbi memanglah luas dan selesa. Sampai bilik airnya pun aku rasa boleh buat tidur.Dengan keadaan bilik air yang berjakuzi ni, mankin lamalah aku berendam. Entah berapa jam agaknya aku berada di dalam bilik air.

Sebaik sahaja melangkah keluar dengan bathrob dan rambut berbungkus dengan tuala, suasana di dalam bilik terasa sunyi.  Rania aku tahu memang sudah tertidur dan diangkat Rayyan ke biliknya tadi. Kak Dina pula sudah selamat pulang dengan Abang Asyraf tadi. Mana pula perginya Umi dan Babah? Takkanlah aku berendam dalam jakuzi tu sampai dua tiga jam kot? Ah! Pergi jumpa saudara mara yang lain la tu agaknya kat tingkat bawah. Aku membuat telahan sendiri.

Pintu balkoni kungagakan seluas-luasnya. Angin malam menyerbu masuk membuatkan aku rasa tenang. “Dah balik ke?” Aku bertanya tanpa menoleh setelah terdengar pintu bilik terbuka. Senyap. Tak ada jawapan. Berkerut keningku dibuatnya. Aik. Takkan tak dengar aku bertanya kot. Rasanya dah cukup kuat dah aku bersuara tadi.

“Kenapa …” Kata-kataku termati di situ sebaik sahaja terpandang susuk tubuh Rayyan yang sudah tersarung tshirt polo berwarna hitam dan berseluar pendek sedang duduk dibirai katil sambil memandang kearah aku.”Ray … Rayyan? Buat apa awak ke sini?!” Tergagap-gagap aku bertanya separuh menjerit gara-gara terkejut. Aku masih berdiri disebalik pintu sliding.  Bathrob yang tersarung ditubuh aku kemaskan ikatannya.

“Saf buat apa kat luar tu. Marilah masuk. Tak elok berdiri kat luar balkoni tengah malam macamni sorang-sorang” Melalui cermin pintu sliding, aku nampak Rayyan sudah membaringkan tubuhnya di atas katil. Tapak tangan aku letakkan ke dada untuk memtenteramkan degupan jantung yang semankin laju ini. “Awak buat apa kat sini Rayyan?” Lagi sekali aku bertanya.

“Laaa … kita kan dah kahwin. Kenapa nak pelik pulak kalau saya ada kat sini?” Aku sudah tidak lagi memandangnya. Kegelapan malam kutatap dengan fikiran yang berkecamuk. Badan kusandarkan ke pintu gelas yang terbuka sedikit itu.

“Abang? Laa .. Kat sini rupanya dia. Penatlah Mama dengan Papa cari tadi” Kedengaran suara lantang Myra membuatkan aku rasa sangat lega. Nasib baik Myra masuk. Inilah masanya aku nak selamatkan diri!

Kelam kabut aku melangkah memasuki ruang bilik. Niat di hati ingin terus masuk ke dalam bilik air semula. “Eh? Kak Saf? Akak buat apa duduk kat luar tu?” Teguran yang bernada kehairanan dari Myra mematikan langkahku. Berkerut kening Myra memandang aku dan Rayyan silih berganti.

“Err … Myra nampak Umi dengan Babah Kak Saf?” Soalannya aku jawab dengan soalan juga. Debar didada menyebabkan suaraku agak tergagap-gagap. Pandangan Rayyan padaku langsung tidak aku hiraukan. Bathrob separas lutut yang menampakkan sedikit peha apabila aku melangkah aku betulkan agar tidak terus menjadi santapan mata nakal Rayyan.

”Emm ... Rasanya, tadi Myra nampak ada kat lobi tadi tengah sembang-sembang dengan saudara mara sebelah Kak Saf” Selepas beberapa ketika memandang kearah aku dan Rayyan, tiba-tiba pandangan Myra sudah berubah kepada riak yang sukar aku baca.

Betullah telahan aku sebentar tadi. Umi dan Babah memang pergi mencari saudara mara untuk diajak bersembang. Macam tak menyempat nak jumpa esok. Gumamku dalam hati. Ada sedikit rasa tidak puas hati kerana ketiadaan mereka menyebabkan Rayyan sesuka hati masuk ke dalam bilik ini.

Aku terus berlalu menuju ke bilik air ingin menukar baju. Teringat pada baju blouse dan seluar jeans yang aku tinggalkan di sana pagi tadi.

“Eh Kak Saf nak kemana tu?” Pantas Myra bertanya. Langkahku terhenti betul-betul di hadapan pintu bilik air. Aku menoleh kearahnya.”Err … Nak turun. Nak jumpa dengan Pakcik dengan Makcik Kak Saf. Tapi, nak tukar baju la dulu. Takkan nak pakai bathrob ni kot” Aku tersenyum cuba berlawak. Myra melakarkan senyuman nakal. Rayyan juga aku nampak menyunggingkan senyuman sambil matanya asyik menatap skrin telefon bimbitnya.

“Eh. Tak payahlah kak. Malam ni kan malam pertama Kak Saf dengan Abang. Takkan nak biar husband Kak Saf ni duduk sorang-sorang dalam bilik ni kot” Usikan Myra membuatkan darah aku tersirap kekepala. Terus aku memboloskan diri ke dalam bilik air. Sempat telingaku menangkap tawa yang terletus diantara Myra dan Rayyan. Kurang asam! Adik beradik sama saja suka menyakat aku! Arrghhh!! Tak sukanya!!

2 comments:

  1. Nak sambungan...dah jadi peminat setia dah ni. Hehehehe

    ReplyDelete
  2. Betul2..hari2 duk bukak blog tkut ada latest update..

    ReplyDelete

 
ADIALUZEONLINENOVEL : WHERE DREAMS CAME TRUE Blogger Template by Ipietoon Blogger Template