"LAA
… Kat sini rupanya dia. Patutlah Mak Som melalak-lalak panggil dari tadi tak
dengar. Tengah berangan ingatkan laki dia la tu” Suara lantang Mak Som
membuatkan semua kenangan lampau yang terimbau sebentar tadi hilang entah
kemana. Aku hanya tersengih memandang tubuh gempal itu menghampiri aku yang masih
duduk di atas jambatan yang merintangi kolam ikan koi yang aku tatap sedari
tadi.
Mak
Som turut melabuhkan punggung di sebelahku. Kakinya dijuntaikan juga. Hampir
tergelak aku memerhatikannya cuba meniru apa yang aku buat. “Buat apa Saf duduk
kat sini sorang-sorang ni? Sejak hantar Rania ke sekolah pagi tadi, Saf terus
duduk sini. Ni sarapan pun tak lagi kan?” Mak Som mencapai makanan ikan dari
tanganku dan dia turut mencampakkankannya ke dalam kolam.
Aku
melepaskan keluhan tanpa kusedari.”Aik? Mengeluh pulak dia? Ni macam ada
masalah besar je ni. Ni mesti rindukan Rayyan kan? Sabarlah. Dia dah pergi dua
minggu kan? Jadi, esok dia balik lah tu”Mak Som mengelus bahuku lembut. Aku
tersenyum memandangnya. Tudung yang kupakai kubetulkan sedikit. Mak Som sudah kuanggap seperti ibuku sendiri.
Dialah yang rajin melayan aku bersembang sejak aku berpindah duduk ke sini.
Kepadanya lah aku ceritakan segalanya. Cuma ada satu perkara yang aku tidak
ceritakan kepada sesiapa pun. Termasuk kepada keluarga ku sendiri.
“Diam
je ni. Janganlah buat Mak Som risau. Saf tak sihat ke? Ke … dah ada …
“Pandangan Mak Som yang tertumpu pada perutku dengan nada suara yang sedikit
berubah itu membuatkan aku terjerit. Bulat mata aku memandangnya. ”Mak Som!!
Mana ada la!!” Aku menyucuk-nyucuk pinggang Mak Som sehingga terlatah-latah
orang tua itu dibuatnya. Aku ketawa gelihati.
“Dah
lah tu. Dah nak tengahari ni. Jom kita masuk, masak. Kita bagi Bibik Jannah
dengan Suryanti cuti hari ni” Aku sudah bangun sambil menarik-narik tangan gebu
Mak Som mengajaknya masuk ke dalam rumah. Aku takut semankin lama, mankin pelik
pula soalan yang akan diutarakan padaku nanti.
Tengahari
itu aku dan Mak Som berkerjasama untuk masak juadah ala kampung. Sayur kangkung
tumis belacan, masak lemak cili api ikan pari salai, kerabu pegaga, ulam-ulaman,
sambal belacan dan juga ayam goreng kunyit dan sup cendawan khas untuk Rania
tidak aku lupakan.
Bunyi
ketukan yang bertalu-talu di pintu membuatkan tanganku yang sedang menyusun
makanan yang sudah siap dimasak di atas meja makan terhenti. “Takpe Mak Som,
biar saya yang pergi tengok” Aku menegah Mak Som yang baru hendak melangkah.
Aku menuju ke pintu sambil membetulkan sedikit tudung yang kupakai.
“Assalammualaikum”
Mataku
terpaku pada sesusuk tubuh sasa yang sedang berdiri di hadapanku sambil
melebarkan senyuman yang paling menawan pernah aku nampak.”Waalaikummussalam”
Lambat aku menjawab.
“Kenapa
ni? Terpegun tengok saya ke?”Aku tersedar ketika hidung dicuit oleh Rayyan yang
sudah meloloskan badan ke dalam rumah.Keningku sedikit terangkat. Pelik. Awal
dia balik. Bukan esok ke sepatutnya dia balik? Lagi membuatkan aku pelik,
selama ni kalau dia balik dari bertugas, aku memang tak pernah ditegurnya.
Apatah lagi hendak bergurau senda seperti itu.
“Waaahh
… Sedapnya bau masakan Mak Som. Masak apa tu?” Ketika langkah kuatur ke dapur
dapat kulihat Rayyan menghampiri Mak Som yang sedang leka mengacau masak lemak cili
api ikan pari salai yang baru menggelegak itu.
“Eh
Rayyan. Bukan esok ke patutnya kamu balik?” Soalan dari Rayyan dijawab dengan
soalan. Sedikit terkejut wajah Mak Som apabila terpandang Rayyan yang masih
lengkap beruniform dengan topi dikepitkan dicelah ketiak sudah berdiri
di belakangnya. “Flight tak delay. Cepatlah saya sampai Mak Som”
Dia tersenyum lagi. “Okla Mak Som. Saya pergi mandi dan tukar pakaian dulu.
Nanti saya turun, kita makan sama-sama ye” Rayyan terus berlalu namun tangannya
sempat mencuit hidungku lagi sebelum dia berlalu naik ke bilik kami di tingkat
atas. Mankin berkerut keningku dibuatnya.
“Rindu
kat Saf la tu” Mak Som berkata sambil tangannya lincah menyedok ikan pari salai
masak lemak cili api yang sudahpun masak ke dalam mangkuk kaca. Aku hanya
tersenyum hambar.
Sejak
bila lah pula dia pandai nak rindu kat aku. Depan orang lain memanglah dia
melayan aku dengan mesra tetapi bila tinggal kami berdua, dia akan menjadi
orang yang berbeza. Nama saja tidur sebilik. Dia tidur di atas sofabed
dan aku pula tidur di atas katil. Kalau ikutkan hati, mahu saja aku tidur
bersama dengan Rania setiap malam. Tapi, memikirkan nanti kalau Mak Som tahu,
apa pula yang akan dikhabarkan kepada Ibu dan Bapa Mertuaku.
Sebenarnya
aku sendiri tak berapa nak kisah. Rasa lega pun ada kerana sekurang-kurangnya
aku rasa dia tak memaksa aku untuk 'bersama' dengannya. Dia juga tidak pernah
meninggikan suaranya pada aku. Jadi, aku memang dikahwini, untuk menjadi Ibu
kepada Rania semata-mata. Bukan menjadi isteri kepada seorang lelaki yang
bernama Rayyan Iskandar. Mungkin dia masih teringatkan arwah isterinya. Tapi,
walau apapun, aku masih menjalankan tugas aku sebagai seorang isteri kepadanya
dengan sebaik mungkin. Makan pakainya aku sediakan dengan sesempurna yang
boleh.
“Alamak
Mak Som! Dah pukul 1 la! Saya kena ambil Rania ni. Nanti Mak Som temankan
Rayyan makan ye” Setelah menyedari aku sudah terlambat menjemput Rania di
Taska, kunci kereta di atas meja segera kucapai dan terus bergegas kearah
kereta BMW 3 series yang sudah menjadi kenderaan rasmi aku sejak tinggal di
banglo mewah ini. Kereta Myvi kesayanganku telah kutinggalkan untuk Umi gunakan
sekiranya hendak kemana-mana ketika Babah tiada di rumah.
Sesampainya
aku di Taska, Rania yang rambutnya masih terikat dua seperti yang aku siapkan
pagi tadi telah sedia menunggu dengan muncung yang sudah panjang sedepa. Aku
tersenyum sambil menghampirinya yang sedang duduk di luar pagar Taska sambil
ditemani salah seorang gurunya yang aku panggil Cikgu Linda. “Terima kasih
Cikgu sebab tolong temankan Rania” Cikgu Linda mengangguk sambil tersenyum dan
berlalu masuk ke dalam Taska.
“Kenapa
Mummy lambat?” Dia berpeluk tubuh dengan matanya mencerlung tepat kearah aku
yang sudah berlutut mengadapnya.”Sorry la sayang. Daddy Rania dah balik.
Mummy sediakan makanan untuk Daddy dulu tadi sebab Daddy dah lapar, nak makan”
Aku memberi jawapan yang kukira dapat memujuk anak kecil itu.”Daddy dah balik?
Yeeaaayyy!! Jom la kita balik cepat Mummy! Boleh kita makan sekali dengan
Daddy” Semudah itu Rania berubah mood. Dia sudah menarik-narik tanganku
ke kereta. Aku hanya tersenyum. Terhibur sedikit hatiku melihat keletah anak
kecil itu.
Sebaik
sahaja kereta diparkirkan sederet dengan 3 buah biji kereta mewah yang
menghiasi garaj rumah mewah milik Puan Sri Maria itu, Rania terus meluru keluar
dari kereta. Benar-benar tidak sabar untuk berjumpa dengan ayahnya. Rindu yang
teramat lagaknya. Aku hanya tersenyum sambil terus menggeleng-gelengkan kepala.
Pintu di bahagian tempat duduk penumpang yang dibiarkan terbuka kututupkan
untuknya. Aku menapak perlahan mengikut jejak anak kecil itu.
Melangkah
sahaja ke dalam rumah, Rania ku perhatikan sudah duduk di meja makan bersama
Rayyan dan Mak Som. Senyuman lebar menghiasi seraut wajah mulus itu.
"Mummy! Jom lah makan! Kami tunggu Mummy ni. Cepatlah Mummy .. Rania dah
lapar ni" Rania merengek manja sebaik sahaja terlihat kelibat aku. Aku tersenyum
sambil menghampiri mereka di meja makan dan mengambil tempat duduk di sebelah
Rania seperti kebiasaannya. Rambutnya kuelus lembut. Mangkuk nasi kucapai dan
mencedukkan ke dalam pinggan kami bertiga.
"Eh,
Mak Som nak kemana tu. Makan la sekali. Macam tak biasa pula" Mak Som yang
baru sahaja ingin berlalu aku tegah. Selama Rayyan tiada, memang Mak Som
lazimnya akan duduk makan bersama aku dan Rania. Serba salah pula aku lihat
gelagat Ibu tua itu. Sesekali matanya memandang kearah Rayyan yang sedang tekun
melayan kerenah Rania. "Duduk je la Mak Som. Takkan dengan Rayyan pun nak
segan kot" Kata-kataku membuatkan Rayyan mengangkat kepalanya memandang
kearah Mak Som. "Duduk la Mak Som" Mendengar Rayyan bersuara,
perlahan-lahan kerusi di hadapanku di tariknya.
Berselera
saja aku nampak Rayyan makan tengahari itu. Entah berapa kali dia bertambah
nasi. Rania juga sama. Walaupun hanya makan berlaukkan ayam goreng dan sup
cendawan, sudah dua kali dia meminta nasinya ditambah. Aku seperti biasa, cukup
nasi separuh pinggan, aku sudah menyerah kalah. Almaklumlah, ibarat kata Umi,
kantung perutku ni memang kecil, senang laki aku nak bagi makan.
Pinggan-pinggan kotor ku bawa ke sinki untuk dicuci. Walaupun Mak Som melarang,
aku berdegil juga ingin membuat kerja-kerja mencuci pinggan mangkuk kotor yang
sememangnya menjadi rutin aku sewaktu tinggal bersama Umi dan Babah.
Selesai
makan tengahari, Mak Som terus menemani Rania membuat kerja sekolah di dalam
biliknya manakala Rayyan ku lihat sedang duduk di ruang tamu sambil membaca
suratkhabar. Setelah puas hati dengan keadaan dapur yang telah aku kemas, aku
terus menuju ketangga untuk menjenguk Rania di biliknya.
"Saf
bersiap. Saya nak bawa Saf keluar" Suara Rayyan mematikan langkahku yang
baru hendak menapak menaiki anak tangga yang pertama. Cepat-cepat aku menoleh
kearahnya. Dia masih khusyuk membaca suratkhabar. Rasanya aku tak salah dengar.
Tapi, kenapa wajahnya kupandang tak beriak? Aku tersalah dengar kot. Tangga
kembali kudaki. "Saf dengar kan apa yang saya cakap tadi?" Kedengaran
sekali lagi dia bersuara. Aku menoleh kembali. Kali ini suratkhabar sudah
dilipat kemas dan pandangannya tertumpu kepada aku. Sahlah aku tak tersalah
dengar.
"Err
... Nanti saya siapkan Rania sekali" Segera aku berpusing untuk meneruskan
langkah ke bilik Rania."Tak payah bawa Rania. Saf siaplah. Saya tunggu kat
kereta" Agak terkejut aku mendengar kata-katanya. Selama tiga bulan
perkahwinan kami, dia tidak pernah mengajak aku keluar berdua begini. Dalam
kehairanan aku terus menapak menuju ke bilik. Pantas aku menyarungkan sehelai dress
labuh warna kuning mustard dan ku padankan dengan tudung bawal batu
berwarna hijau jed. Beg tangan berwarna putih dan coklat jenama LV yang menjadi
hadiah hantaran aku tempoh hari aku sandangkan ke bahu. Sedikit minyak wangi Issey Miyake kusemburkan ke badan.
Sebelum
menuruni tangga, bilik Rania kutuju. Dia sedang leka dengan kerja rumahnya
ketika pintu bilik kukuak. "Sayang. Mummy nak keluar kejap dengan Daddy.
Rania nak Mummy belikan apa-apa tak?" Dia yang sudah memandangku dengan
senyuman, kuusap kepalanya."Tak apalah Mummy. Rania tak terfikir nak beli
apa. Semua dah ada" Semankin bijak anak ini berkata-kata."Errmm ...
Oklah kalau macam tu. Kita jumpa nanti ye. Mak Som, tolong tengok-tengokkan
Rania sekejap ye" Aku cium kepalanya penuh kasih sebelum berlalu sambil
melemparkan senyuman kepada Mak Som yang turut tersenyum sambil
mengangguk-anggukkan kepalanya di sebelah Rania.
"Kita
nak kemana ni?" Soalan pertama aku ajukan ketika kereta sudah mula
menyusuri Lebuhraya. Rayyan diam tak menjawab. Hanya senyuman yang dihadiahkan
padaku. Di sebalik cermin mata hitamnya, sukar aku tafsirkan riak wajahnya.
Keningku sudah berkerut-kerut tidak puas hati.
"Cuba
awak bagitau kita nak pergi mana ni? Tak naklah nanti kita balik lewat sangat.
Kesian dekat Rania tu" Aku berkata geram. "Sejak bila jadi kurang
sabar ni?" Kata-kata yang keluar dari mulutnya membuatkan dahiku mankin
berkerut. Aku merenungnya tajam. Pandangan mata sengaja kukecilkan. Meledak
ketawa dari mulut Rayyan ketika dia memandang wajahku. Entah apalah yang
kelakar sangat tu! Semankin geram aku dibuatnya.
-----------------------------------------------------
Akhirnya ... Dapat jugak siapkan BAB 24 ni. Kepada yang sabar menunggu, terima kasih diucapkan. Segala cacat cela harap dapat dimaafkan kerana saya budak baru belajar ... Apapun, harap enjoy reading Bab terbaru ni !!
Lots of Love,
-AdiaLuze-
0 comments:
Post a Comment