Mesej Poyo dari Adialuze

Assalammualaikum w.b.t

Bismillahirrahmannirrahim ...

Thanks for those that have the time to come by to this blog whether accidentally or intentionally. Thanks a bunch!

As an introduction, I'm a wife and a daughter to a wonderful husband and family that ALLAH have lend me. Syukur, Alhamdulillah ... I'm truly feel bless always ... 24 by 7.

To be a writer one should have the gift to write ... That what 'they' say. But for me, I'm writing because I love to write. Gifted or not, I will continue to write as long as ALLAH gave me the ideas an inspirations to do so ...

I do apologize for any error or discomfort feeling that cause by my writing ...

Please drop your comment for a better me as a writer ... and please do comment in a civilize way cause I believe we all yearn for love and peace not hatred and war.

HAPPY READING ^_^

-Aidaluze-

Tuesday, January 13, 2015

CERPEN : AKHIRNYA, DIA AKU PUNYA!

Because I’m happy
Clap along if you feel like happiness is the truth
Because I’m happy
Clap along if you know what happiness is to you
Because I’m happy
Clap along if you feel like that’s what you wanna do

Seronok benar dia ikut menyanyi sambil menari-nari mengikut rentak lagu Happy nyanyian Pharell William yang sedang berkumandang dari corong radio di dalam dapur. Tangannya lincah menjemur kain yang penuh sebesen. Itulah gayanya kalau kain baju kumpul dua tiga hari baru nak cuci. Menimbun la jawabnya.

“Astaghfirullahalazim! Bertuah punya budak. Lagi tadi tak sudah-sudah lagi sidai baju? Aku ingatkan dah mula masak dah. Kamu buat apa tu Aisya oiii … Dah pukul berapa ni? Nanti adik-adik kamu balik sekolah nak bagi makan apa?” suara yang tiba-tiba bergema serta-merta menyebabkan langkah tari Aisya terhenti. Terkulat-kulat dia menayang gigi pada Ibunya, Puan Asma yang sudah bercekak pinggang dimuka pintu sambil tayang muka macam singa lapar.

“Ala Mak ni. Relak la. Sikit lagi ni. Lagipun, si Asyraf dengan Arfah tu biasanya sampai rumah pukul dua kan? Ni baru pukul dua belas” selamba saja Aisya menjawab leteran Ibunya. Memang begitulah selalunya. Puan Asma menembak, Aisya mengelak. Sampai malas Puan Asma nak bertekak dengan anak sulungnya itu. Sepatah dihulur, sepuluh patah dipulangkan.

“Ikut suka kamulah. Mak dah keluarkan ayam dengan ikan dari peti tu. Semalam Abah kamu kata nak balik makan tengahari. Masaklah kari ayam sikit. Nanti bising pula Abah kamu tu kalau tak dimasakkan” Puan Asma kembali masuk ke dalam rumah. Kakinya terasa lenguh walaupun baru beberapa minit berdiri. Semenjak melahirkan anaknya yang bongsu sebulan yang lepas, lututnya kerap rasa menyucuk apabila dia berdiri terlalu lama.

Because I’m happy
Clap along if you feel like happiness is the truth …

Aisya menyambung semula kerjanya sambil menari dan menyanyi lagi dengan penuh rasa senang hati.

***
“Oi,oi … Banyak cantik muka kau! Aku penat-penat buat, kau senang-lenang je nak menciplak ye” kertas tugasannya pantas dirampas dari pegangan tangan Zarif Naufal, teman sekuliah merangkap teman karibnya.

“Ala kau ni Ai. Tupun nak berkiralah dengan aku!” Muncung Zarif sudah panjang sedepa. Aisya buat tak tahu. Geram dengan temannya itu. Bila diajak buat study group semedang saja tak ada masa. Bila dah sampai waktu nak hantar assignment, mulalah menggelupur macam ikan tak cukup oksigen.

“Kau nak tak kuetiau ni? Kalau tak nak aku habiskan. Woi! Kau dengar tak aku tanya ni?” Sikunya menyinggung lengan Zarif yang terus membisu sedari tadi. Sudah setengan jam dia begitu, Ralit bermain telefon ditangannya. Sekejap-sekejap tersenyum, sekejap-sekejap tersengih. Malas Aisya nak layan.

“Encik Zarif. Tak payahla nak tunjuk rajuk kau tu kat aku. Aku ni bukannya Fina ke, Masya ke, Yaya ke … Kalau diaorang tu yela. Kau merajuk sikit, dah menggagau memujuk. Tak dapat call kau, aku ni jadi mangsa” Aisya menyumbat mulutnya dengan kuetiau yang masih berbaki separuh dipinggannya sebelum menolak pinggan itu kearah Zarif. Biasanya memang dia dan Zarif akan memesan sepinggan saja makanan dan dikongsi bersama. Ini kerana Aisya memang takkan habis kalau makan sepinggan. Selalu saja makanan yang dipesannya berbaki separuh,

“Ha yela! Yela! Ambillah ni! Malas betullah aku tengok muka kau tu! Nanti tak pasal pula aku balik naik teksi hari ni” tugasannya pantas dihulurkan. Zarif masih tak memberi reaksi. Aisya sudah berbulu saja melihatnya.

“Kalau tak nak sudah … “

“Eh nak la! Siapa kata tak nak” cepat saja Zarif menarik kertas tugasan setebal 30 mukasurat dari tangan Aisya membuatkan gadis itu mendengus kasar.

“Terima kasih ye Ai ku sayang. Jasamu akan tetap kukenang sampai bila-bila” Zarif tersengih kegembiraan. Aisya menjegilkan matanya geram. Zarif hanya tergelak kecil.

Aisya Medina dan Zarif Naufal sememangnya sudah saling mengenali sejak kecil. Malah mereka juga duduk berjiran dan takdir telah menentukan mereka dapat melanjutkan pelajaran di dalam Universiti yang sama. Di UPM Sedang. Pada sesiapa yang tidak mengenali mereka pasti menganggap mereka ada pasangan kekasih. Tapi, hakikatnya, Aisya sudah punya kekasih. Cuma tidak menuntut di Universiti yang sama. Bercinta sejak dari Tingkatan empat saja lagi. Begitu juga Zarif yang juga mempunyai kekasih … yang ramai … Dimerata-rata tempat.

***

Jam sudah menginjak ke pukul satu pagi namun Aisya masih lagi berjaga. Bukan berseorangan tapi dengan Encik Manan, Ayahnya dan juga Asyraf, adiknya yang berusia lima belas tahun. Sekejap mereka buat muka serius, sekejap buat muka cemas dan sekejap lagi menjerit dan bersorak tak hingat. Macamlah di kiri kanan mereka tak ada penghuni. Tapi, masalahnya jiran-jiran mereka juga sibuk bersorak dan menjerit sama. Semuanya tak lain dan tak bukan kerana penangan Piala Dunia yang sedang rancak bersiaran langsung dari Brazil.

“GOLLLLLLLLLLLLLLLLLLLLLL!!!” serentak mereka bertiga bersorak girang apabila pasukan Brazil berjaya menjaringkan gol hasil jaringan Neymar Jr dari luar kotak penalti.

“Ya Allah kamu bertiga ni … Dah pukul berapa ni ha?? Melalak melolong macam apa” Puan Asma yang baru keluar dari bilik tidur di tingkat bawah itu mengaru-garu kepala dengan wajah bengang.

Terus senyap tiga beranak tu apabila disergah si Ibu Singa.

“Abang, tolong saya buat susu si Afiq tu kejap. Nak tunggu awak dengan anak awak habis melayan bola ni, pukul lima nanti belum tentu lagi habis” Puan Asma memberi arahan sebelum berlalu semula ke bilik tidur. Tidak mahu singa terus mengaum di subuh hari, Encik Manan menurut saja permintaan isterinya.

“Kak Ai. Telefon kau bunyi tu. Angkatlah. Menganggu konsentrasi betullah telefon kau ni. Isk!” Asyraf menyiku Kakaknya sambil mata masih lagi tetacap di kaca TV. Aisya mendengus sebelum mencapai telefon di atas meja kopi dan tanpa melihat nama pemanggil yang muncul di skrin telefon, punat hijau dislidekan ke kanan.

“Assalammualaikum! Hello!” Senyap tak bersuara.

“Hello! Siapa ni?! Cakap kuat sikit. Tak dengar la!” Aisya menutup sebelah telinganya untuk mendengar dengan lebih jelas suara si pemanggil.

“Woi Kak. Kau pergilah cakap kat luar sana. Bisinglah” Asyraf menolak bahunya kasar. Aisya membalas sebelum bangkit dan terus melangkah ke luar rumah.

“Hello Aisya?” Sayup-sayup kedengaran suara perempuan menyahut dari hujung talian. Berkerut dahi Aisya. Telefon diregangkan dari telinga dan skrin ditatap. Tertera deretan nombor yang langsung tak dikenalinya. Pasti bukan kenalannya. Jika ya, pasti sudah ada nama yang muncul, bukan hanya deretan nombor.

“Ya saya.. Siapa ni?” Akhirnya dia menyahut lambat-lambat. Siapa pula yang menefonnya lewat malam seperti itu? Seingatnya, dia tak ada pun kawan perempuan yang seakrab itu untuk menelefon dia tengah malam buta seperti itu.

“Aisya … Awak kena tolong saya”
“Hah?”
Saya sayangkan dia sangat-sangat Aisya”
“Hah??”
“Saya tak boleh kehilangan dia”
“Hah???”
“Awak kena pujuk Naufal supaya terima saya semula …”
“Errkk ..”
Please Aisya … Awak je yang boleh tolong saya …”
“Errrr … “
Please … Tolonglah Zaza. Kali ni je Aisya … Please

Aisya sudah tergaru-garu kepala macam beruk tak cukup makan. Berkali-kali dahinya ditepuk. Rasa geram pada Zarif memuncak. Selalunya memang dia yang akan jadi mangsa setiap kali Zarif berpisah dengan mana-mana girlfriendnya. Tapi, tak pernah lah sampai lewat malam sanggup merayu-rayu menelefonnya seperti itu.

“Boleh tak Aisya?Please … Zaza rasa Zaza tak boleh hidup tanpa Naufal”

Aduh! Setepek dia menampar dahinya sendiri. Parah sungguhlah perempuan bernama Zaza ini. Putus cinta macam putus nyawa.Macamanalah si Zarif tu boleh terjebak dengan perempuan sebegini?

Sedang dia asyik melayan keluh-kesah Zaza, matanya menangkap kelibat Zarif yang terbongkok-bongkok menyusup masuk ke kawasan rumahnya sambil matanya sibuk memandang-mandang ke kiri ke kanan dan ke belakang. Nampak sangat lagak orang curi keluar malam-malam buta tu nak jumpa anak dara orang kat rumah sebelah. Aisya sudah bercekak pinggang menanti Zarif menghampirinya.

“Okaylah Zaza. Nanti saya cuba slow talk dengan dia. Tapi saya tak boleh nak janji apa-apa” Zarif terus terbaring dilantai balkoni sambil matanya tunak memandang kearah Aisya yang sudah herot-berot mulutnya melawan kebosanan terpaksa bercakap dengan Zaza.

“Okay … Okay … Bye .. Bye … “ Tup! Terus talian dimatikan dan tanpa menunggu lama dia terus terjelepuk duduk di sebelah Zarif yang tayang muka selamba. Berbulu saja dia rasa.

“Tolonglah Encik Zarif Naufal! Janganlah murah hati sangat bagi nombor aku kat semua girlfriend-girlfriend kau tu! Aku ni yang boleh sakit jiwa tau sebab asyik kena jadi Pakar Kaunseling tak bertauliah setiap kali kau clash dengan diaorang tu! Huh!” Bengkek betul dia apabila Zarif menyahut protesnya dengan gelak kecil.

“Ala Ai. Relaks la. Macam tak biasa je. Bukan lama pun diaorang kacau kau. Paling lama pun sebulan. Lepas dah bosan, senyap la tu nanti” Zarif meletakkan sebelah lengannya dibelakang kepala sebagai alas manakala sebelah lagi diletakkan di atas perut. Kaki sudah disilang dan digoyangkan gaya orang kaya baru lepas dapat projek berbillion Dollar.

“Kau cakap senanglah. Kau yang berak bersepah, aku yang kena jadi amah. Cuci sampai nak termuntah! Huh! Aku report kat Dani bagitau yang kau buli aku baru tahu” Aisya masih bengang. Kalau bukan kerana Zarif itu kawan baiknya, memang dah lama dia buat tahu saja.

“Aku peliklah. Apa yang kau cari sebenarnya ha? Asyik bertukar girlfriend je dari dulu. Aku, dalam masa lima tahun cuma ada Dani je tapi kau, aku rasa dekat sepuluh orang jugalah ex kau kan?” Aisya sudah bersila dengan badan tegak mengadap Zarif.

Zarif tersengih sambil memandang hamparan bintang-bintang yang menghiasi kanvas langit malam.

Kalaulah awak rasa apa yang saya rasa Aisya … Gumam Zarif dalam hati.

Aisya dimata Zarif memang seorang yang brutal. Pakaian rasminya adalah tshirt dan jeans. Nasib baik rambutnya panjang. Kalau tak, memang dah lama orang ingat anak jantan. Namun disebalik kebrutalannya, Aisya mempunyai seraut wajah yang menarik. Dengan tulang pipi yang tinggi, mata bundar coklat cair, seulas bibir kemerahan dan tinggi yang ala-ala model.  Tidak hairanlah mengapa Dani sampai tak pandang perempuan lain.

“Woi! Kau dah berangan sampai mana?? Kazakhtan? Turkistan? Ke Go Head Gostan? Penat aku dok pot pet pot pet lagi tadi” dahi yang baru ditepuk Aisya digosok perlahan. Perit sungguh penangan tangan itu. Tu baru ditepuk. Kalau ditampar memang boleh demam dibuatnya.

“Sakitlah sengal. Mana ada aku berangan. Aku tengah berfikir ni” Zarif bingkas duduk. Muncungnya sudah mula memanjang. Aisya tersenyum melihat gelagat sahabatnya itu. Tetap kacak walau buat muncung cencurut seperti itu.

“Tak payah nak fikir sangat la. Apakata kau stick je dengan awek kau yang sekarang ni. Apa nama dia? Fa … Fatin ke, Fatimah ke, Farah ke apa ntah nama dia. Yang putih melepak rupa macam Fauziah Gaos tu. Apa nama dia?” Berkerut-kerut kening Aisya cuba mengingat nama teman wanita Zarif yang terkini.

“Fiza la” Zarif menjawab acuh tak acuh.

“Haa … Fiza. Okay apa dia tu. Cantik, seksi, bijak … Perfect! Just like you want it. Apa lagi yang kau nak Rif?” Aisya pelik dengan sahabatnya itu. Tak pernah nak lekat dengan seorang perempuan. Ada saja kekurangan dan kepincangan yang akan dicari gali tiap kali dia sudah bosan dan dia ingin ‘menceraikan’ teman wanitanya itu.

“Tak baiklah kau mainkan perasaan orang macam tu wei … Nanti esok lusa kalau kau pula yang terkena macamana? Jangan kau sibuk nak mengadu kat aku pula. Kalau aku dengar kau mengadu kena tinggal dengan girlfriend, memang mampus la aku nak layan” untuk kesekian kalinya Aisya cuba memberi nasihat. Dia tak mahu Zarif terus-terusan menjadi playboy kolej dan dia menjadi pakar kaunseling tak bertauliah untuk kesemua bekas teman wanitanya.

“Entahlah wei … Aku pun tak tahu. Eh, oklah. Dah nak masuk waktu sahur ni. Aku balik la dulu. Nanti tak pasal pulak Mama aku pergi telefon Mak kau suruh halau aku balik” Zarif sudah bangun dan bersiap sedia untuk balik. Begitulah selalunya. Pantang Aisya buka kelas Tazkirah, mulalah dia hendak angkat kaki.

“Banyak la kau punya sahur. Kau ingat ni bulan puasa? Ha, eloklah la tu. Ni sebab kaulah ni aku termiss aksi Neymar aku kat TV. Cisss …” Aisya baru teringat perlawanan Bolasepak yang ditontonya sebelum diganggu oleh Zaza dan Zarif tadi. Zarif hanya tersengih senget sambil berpaling dan menggawang-gawangkan sebelah tangannya kearah Aisya lalu terus berlalu pergi. Aisya mendengus tak puas hati.

***

Zarif melabuhkan punggungnya di atas bangku yang tersedia di dalam kedai kasut Vincci itu sambil tangaannya sibuk bermain game Angry Bird. Berkerut-kerut dahinya memikirkan strategi untuk melepasi halangan yang terdapat dalam permainan tersebut.

“Ayang … Cantik tak kasut ni?” Kedengan suara merengek-rengek manja memanggilnya.

“Cantik” sahut Zarif tanpa berkalih pandang.

“Ayang!”

Suara manja tadi sudah bertukar nada membuatkan tumpuan Zarif pada permainannya terganggu. Dia segera memandang kearah suara yang memanggilnya.

You ni kan … Lagi tadi I tanya semua you jawab cantik tapi langsung tak pandang. Menyampah tau!” Zaza yang berdiri tidak jauh darinya sudah berpeluk tubuh sambil tayang wajah cemberut. Zarif melepaskan keluhan kecil.

Sudah dua jam mereka berada di situ tapi satu kasut pun belum dipilih. Bosan tahap cipan dia dibuatnya. Ikutkan hati tadi, malas dia hendak menemankan Zaza tapi setelah dipujuk dan dirayu berkali-kali akhirnya dia mengalah. Tapi kita dia juga yang menyesal tak sudah.

You kan dah cantik. Pakai apapun you still nampak cantik kat mata I. You pilih je mana you suka. Hari ni I belanja you” Zarif sudah melatunkan kata-kata Romeonya pada Zaza. Bahu gadis itu sudah dipeluk erat. Perlahan-lahan riak wajah yang tadinya tegang berubah ceria. Heh! Perempuan sama saja. Pantang kena panah dengan ayat jiwang, kena belanja sikit, terus jadi lembut. Desis hati Zarif sambil tersenyum senget.

“Sayang … Cepatlah”

Sedang Zarif menongkat dagu memerhatikan Zaza yang sudah kembali teruja memilih kasut yang bakal dibayarnya, entah kenapa, cepat benar kepalanya tertoleh pada suara yang berlagu-lagu dari arah luar kedai itu.

Melopong mulutnya apabila terpandangkan sesusuk tubuh montok yang dibaluti sepasang dress sendat tak berlengan sedang memaut mesra lengan seorang lelaki yang sedang tersenyum bahagia sambil menjijit beberapa beg shopping.

Dia terkejut bukan kerana dia tidak pernah melihat wanita seseksi itu tapi kerana melihat lelaki yang sedang enak dipeluk perempuan itu.

Dani!

Sebaris nama yang amat dikenali pemiliknya. Ya! Dia tak salah pandang. Itu memang Hamdani! Kekasih Aisya! Tapi, kenapa dia nampak sangat mesra dengan perempuan berbaju sendat itu? Siap terlentuk-lentuk lagi kepala perempuan itu dibahu Dani yang tak berapa nak bidang. Kepala Zarif sudah dihujani dengan pelbagai persoalan dan hatinya sudah dilanda rasa kurang enak.

“Ayang. You ni asyik megelamun je la! Lagi tadi I tanya you buat tak tahu je!” Zaza merengek lagi membuatkan pandangan Zarif terhadap pasangan sejoli itu terganggu. Wajah masam Zaza ditatap dengan wajah blur. Sudah dua tahun dia berkasih dengan gadis itu. Semenjak dari zaman Kolej. Itupun setelah puas dinasihat oleh Aisya supaya tidak bertukar teman wanita lagi. Siap mengugut untuk memutuskan persahabatan mereka lagi sekiranya dia berbuat demikian.

Demi Aisya dia akur. Lagipula, Zaza memang cantik pun. Anak orang berada pula tu. Dan juga tak berapa seksi. Cuma manja dan gediknya kadang-kala membuatkan Zarif lemas. Namun, dia masih boleh bertahan kerana ada juga rasa sayangnya pada gadis itu.

“Err … Haaa … Kasut yang you try tu cantik. Ambillah yang tu. I kena balik office cepat ni. I baru teringat pukul tiga ni I ada meeting la Dear” pantas Zarif berkata dan terus menyuruh jurujual di disitu mendapatkan saiz bagi kasut yang tersarung dikaki Zaza. Mankin muncung mulut Zaza jadinya. Tapi, dia sudah tidak peduli. Dalam kepala otaknya sekarang cuma terfikirkan Aisya. Ya. Gadis yang masih menjadi sahabatnya walau mereka sekarang masing-masing sudah ada kerjaya sendiri.

***

“Kau tak payahlah nak buat cerita Rif! Kau tak kenal Dani macam aku kenal dia!” Menyinga Aisya memanah pandang pada Zarif yang beriya-iya bercerita tentang Dani. Teman lelaki yang paling dipercayainya. Teman lelaki yang berjanji untuk masuk meminangnya bulan hadapan. Sekarang, Zarif mengatakan yang Dani curang dengannya. Siap cakap nampak dengan mata kepalanya sendiri pula tu. Mana lah Aisya tak naik angin!

“Buatlah apa aku nak menipu kau Ai. Kau tu kawan baik aku. Dari kecil sampai ke besar tau. Kalau aku tak nampak, aku pun tak kata apalah” Zarif turut naik angin apabila Aisya langsung tak mempercayai kata-katanya. Malah menuduhnya cuba memporak-perandakan hubungan cinta mereka. Suasana yang tadinya nyaman di gazebo yang dibina di taman mini di halaman rumah keluarga Aisya sudah berubah hangat dan menyesakkan nafas kedua mereka.

Aisya melepaskan keluhan berat. Dia bangun dari duduknya dan berdiri memandang ke dalam kolam ikan koi sambil berperluk tubuh. Sebenarnya, sebelum ini sudah banyak cerita mengenai Dani yang didengarnya dari teman-teman sekerjanya namun dibutakan mata dan hatinya untuk mempercayainya.

Kini, bila cerita itu datang dari mulut Zarif, dia jadi berang sendiri. Berang kerana segala khabar angin yang bertiup kencang selama ini berkemungkinan besar bukan hanya cerita-cerita kosong. Dia tak mampu untuk menerima kenyataan andai insan yang dicintai sepenuh hati selama ini menduakannya. Perit. Kenyataan itu terlalu perit untuk diterima. Apatah lagi apabila antara mereka sudah ada perancangan untuk berkahwin.

Zarif mula diselubungi rasa serba salah apabila dilihat bahu Aisya sudah terhinjut-hinjut menahan sendu. Perlahan-lahan dia melangkah menghampiri gadis itu.

“Ai”

Bahu Aisya sudah dipeluknya. Wajah putih mulus yang mula dibanjiri airmata itu membuatkannya bertambah gelisah. Selama ini, untuk melihat Aisya menangis memang susahlah. Malah, jika difikirkan semula, memang tak pernah! Inilah pertama kali dia melihat Aisya menangis.

“Selama ni bila bebudak office aku cerita diaorang selalu terserempak dengan Dani dengan perempuan lain, aku langsung tak percaya” Aisya bercakap dalam esaknya. Dia membiarkan saja Zarif memeluk bahunya dalam keadaannya masih berpeluk tubuh. Airmata diseka dengan belakang telapak tangannya.

“Syuuuuu … Dahlah. Tak payahlah kau nak menangis sebab lelaki macamtu. Kau tu kalau nak, petik jari sekali, sepuluh orang datang berlari bawa bunga nak melamar kau tau” Zarif mengosok-gosok lembut bahu Aisya sambil mengukirkan senyuman apabila wajahnya dipandang sayu oleh sepasang mata bundar itu.

Segaris senyuman terbit dibibir merah Aisya. Hambar tanpa seri.

“Tujuh tahun aku dengan dia Rif. Tujuh tahun. Bukan tujuh hari, tujuh minggu atau tujuh bulan tau. TUJUH TAHUN!” Aisya mengetap bibir geram. Airmatanya jatuh lagi. Pantas Zarif menyeka. Aisya menyandarkan kepalanya di atas bahu Zarif dan terus menghamburkan tangisan sepuasnya pada sahabatnya itu.

“KAU dah gila ke hah?!!” Darah merah yang sudah mengalir dipinggir bibir dikesat kasar dengan belakang tangannya. Pandangan tajam dari Zarif dibalas dengan perasaan berbuku. Baru saja dia hendak membuka pintu kereta untuk ketempat kerja, entah dari arah mana munculnya, Zarif terus mencekak kolar bajunya dan sebiji penumbuk hinggap dimukanya tanpa amaran. Nyaris dia jatuh terjelopok dibuatnya.

Zarif mencebik sambil tersenyum sinis. Ikutkan hati, memang dibelasahnya Dani sampai pengsan. Tapi, dia masih boleh berfikir dengan waras. Kalau dia buat begitu, nanti tak pasal pula dia kena merengkuk dalam penjara. Memang taklah dia nak jadi sebodoh itu!

“Aku tak sangka kau boleh buat Ai macam ni kan? Tergamak kau sia-siakan kesetiaan dia pada kau selama ni?” Zarif bercekak pinggang memandang lelaki berambut pacak ala-ala k-pop di hadapannya itu. Nafasnya turun naik menahan perasaan marah.

“Hei! Apa yang terjadi antara aku dengan Ai langsung tak ada kena mengena dengan kau la! Yang kau beriya nak marah-marah ni kenapa?! Dia tu bukannya adik kau ke apa pun kan?!” Dani memegang penjuru bibir yang terasa berbisa. Kuat juga penangan tumbukan padu Zarif. Tak padan dengan badan yang kurus melidi.

“Kau cakap baik sikit ye! Ai tu kawan baik aku! Kau buat dia maknanya kau cari pasal dengan aku!” Keras nada suara Zarif. Jari telunjuknya diajukan tepat kemuka Dani.

“Aku dah agak dah … Kau sebenarnya memang ada hati dengan Ai tu kan?? Tapi, masa tu Ai dah ada aku, jadi kau tak boleh nak buat apa. Sekarang ni, bila ada peluang, kau cuba la berlagak nak jadi hero dia kan??!!” Dani berkata sinikal. Sengaja mahu membuatkan Zarif bertambah hangin satu badan dengannya.

Rahang Zarif sudah mula bergerak-gerak menahan marah. Dani memang sudah melampau! Selama ini, dia menghormati Aisya sebagai sahabat. Langsung tak terlintas difikirannya untuk menganggap Aisya lebih dari itu. Tuduhan Dani betul-betul membuatkannya berang.

“Kau cakap kasi cantik sikit ye! Aku dengan Ai kawan baik. Tak lebih dari tu la!” Garang Zarif menjawab.

Dani tertawa kecil.

“Kau ingat aku ni bodoh ke hah?? Lelaki dengan perempuan yang tak ada apa-apa hubungan mana boleh jadi sekadar best friend! Entah-entah, masa aku jauh, kau dengan Ai tu memang ada jalin hubungan. Sekarang ni, bila kau dah bosan dengan dia, kau dah puas lenjan dia, kau senang-senang je nak bagi kat aku ..”

Belum sempat Dani menyambung kata-katanya, sebuah lagi penumbuk sudah melayang kemukanya sehingga menyebabkan dia jatuh terduduk. Terus dia menyeringai kesakitan.

“Kau jangan cakap sembarangan!! Kalau ye pun kau tu dah ‘rasa’ ramai perempuan kat KL ni, jangan sebab Ai tu tak pernah nak bagi kau ‘rasa’ dia, sesedap kepala otak kau yang dungu tu je kau nak tuduh kami macam tu!! Kami masih tahu hukum tau!!” Sebelum berlalu pergi, sebuah tendangan dihadiahkan tepat ke perut Dani menyebabkan lelaki itu mengerekot menahan bisa. Zarif terus meloloskan badan ke dalam perut kereta Audi Q7 miliknya dan memecut laju tanpa menoleh ke belakang.

***

Suasana meriah yang sedang berlangsung di rumah Aisya benar-benar membuatkan hati Zarif menjadi sakit. Aisya bakal melangsungkan pertunangan hari ini. Itu dia tak kisah. Tapi, apa yang membuatkan dia sakit hati adalah kerana sahabat baiknya itu bakal berkahwin dengan Dani!

Beberapa hari sebelum majlis berlangsung, Dani ada menelefonnya. Tanpa berselindung, Dani mengaku yang dia berdendam dengannya. Sebagai pembalasan, Dani mengambil keputusan untuk meminang Aisya dan dia bersumpah yang dia akan membuat hidup Aisya sengsara dan Zarif langsung tak akan ada daya untuk menahannya.

Sebaik sahaja mengetahui perancangan Dani, Zarif segera berjumpa dengan Aisya, namun dia sudah terlambat apabila ternyata Aisya sudah termakan hasutan Dani yang mengatakan selama ini, dia menaruh hati padanya dan sengaja mahu mengucar-ngacirkan hubungan mereka berdua. Saat itu juga Aisya memutuskan persahabatan mereka. Zarif tergamam dengan keputusan drastik dari Aisya itu. Tapi, dia tak mampu berbuat apa-apa. Benar kata Dani, dia memang tak berdaya.

Beberapa beg yang tersandar elok di dinding bilik dipandang lama. Dia sudah nekad. Jika Aisya tidak lagi memerlukannya, dia juga tidak akan memaksa. Biarlah Aisya bahagia dengan keputusannya dan dia akan pergi jauh dari situ. Dia sudah menerima tawaran kerja di Perth, Australia. Mungkin dengan cara itu dia dapat memberi ruang kepada Aisya untuk mengatur hidupnya sendiri.

Ibu dan ayahnya sudah puas memujuknya untuk menayang muka bagi menghormati keluarga Aisya yang sudah sekian lama menjadi jiran mereka dan dia dengan Aisya pun bukan sehari dua saling mengenali. Tapi, dia tak sanggup. Tak sanggup hidup Aisya musnah di hadapan matanya tanpa dia mampu berbuat apa-apa. Akhirnya Ibu dan Bapanya akur.

Untuk kali yang terakhir, bumi Malaysia yang sudah nampak sayup-sayup di bawah dipandang. Airmatanya gugur juga. Sebak kerana terpaksa meninggalkan segalanya yang dia sayang. Tapi, itu adalah keputusan yang paling wajar diambil ketika itu. Dia sayangkan Aisya. Ya. Memang dia terlalu sayangkan Aisya. Sejak dari zaman persekolahan lagi dia sayangkan Aisya. Tapi kerana Aisya sudah ada Dani, rasa sayangnya terpaksa dipendamkan saja. Dia bahagia kalau Aisya bahagia.

Selama ini dia sering bertukar teman wanita pun kerana masih tak dapat meluputkan perasaan sayangnya pada Aisya. Mereka semua hanyalah sekadar untuk memesongkan fikirannya daripada asyik teringatkan Aisya. Sekarang, menangis airmata darah pun sudah tak berguna. Aisya bakal menjadi milik Dani sepenuhnya. Lelaki yang terang-terangan mahu berkahwin dengan Aisya semata-mata untuk membalas dendam.

***

Hari ini, setelah 3 tahun berkhidmat di luar Negara, untuk pertama kalinya, Zarif dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarganya. Selama ini bukan dia sengaja tidak mahu balik. Namun, kontraknya dengan syarikat tempat dia bekerja tidak mengizinkannya berbuat begitu. Tapi, dia tidak pernah lupa untuk menelefon bertanya tentang khabar kedua orang tua dan adik-beradiknya. Cuma bila mereka hendak bercerita mengenai Aisya, serta-merta topik akan dialihkan. Dia tidak mahu tahu. Aisya sudah membuangnya jadi untuk apa dia hendak terus mengambil tahu?

“Mekacih Pak Ngah! Comel sangat!! Alin suka!” Pipinya dikucup oleh Amalin, satu-satu anak buahnya dari Kakak sulungnya, Zafrina yang berusia 5 tahun. Gembira sungguh anak kecil itu apabila menerima hadiah anak patung beruang dari Pak Ngahnya. Zarif tersenyum dan mengangkat Amalin duduk di atas pangkuannya.

“Terima kasih Angah belikan Adik  beg ni. Macam tau-tau je apa yang Adik suka. Sayaaaaanng Angah” Ziefera, adik bongsunya turut bersorak girang sambil memeluknya apabila menerima hadiah beg silang jenama Louis Vuitton yang sudah lama diidamkan.

Encik Zakri dan Puan Ziela turut gembira dengan hadiah yang dibelikan Zarif. Begitu juga Zafrina dan suaminya Nazmi.

“Angah tak pergi jenguk Ai ke?” Pertanyaan Zafrina mematikan senyum yang terukir dibibir Zarif.

“Angah … Sampai bila kamu nak lari dari dia? Kamu tak sayang ke persahabatan kamu berdua dari kecil dulu?” Zafrina masih cuba menasihati adiknya itu walaupun Puan Ziela sudah menepuk pehanya memberi isyarat supaya tidak terus memanjangkan kata-katanya.

“Bukan Angah yang putuskan persahabatan kitaorang. Dia yang buang Angah” tutur Zarif mendatar. Dia tersenyum pada Amalin yang masih seronok bermain dengan teddy bearnya.

“Tapi, dia …”

Belum sempat Zafrina meneruskan kata-kata, Zarif sudah mengangkat tangan dan terus meminta diri untuk masuk berehat ke biliknya.

Sampai saja di dalam biliknya yang langsung tidak berubah walau sudah 3 tahun ditinggalkan, tubuhnya dihenyakkan di atas tilam. Rasa lega yang teramat kerana dapat merehatkan tubuhnya setelah lebih 6 jam berada di dalam kapalterbang.

Matanya dipejamkan tapi fikirannya terus melayang teringatkan Aisya Medina. Sudah berapa orang anak agaknya dia sekarang? Sebuah keluhan dilepaskan. Sangkanya, 3 tahun dapat mengubat hatinya yang lara. Namun segala kekuatan yang dibina selama 3 tahun itu musnah dalam sekelip mata sebaik sahaja nama Aisya bermain-main difikirannya.

“Assalammualaikum!”

Puan Ziela segera bergegas ke pintu sambil menyahut salam. Dia tersenyum lebar apabila terpandangkan Aisya di hadapan pintu rumahnya dengan mengendong kanak-kanak lelaki yang berusia 2 tahun sambil tersenyum. Bukan apa.

“Eh Ai. Masuklah” tangan Aisya di tarik memasuki rumah dan dipimpin ke ruang tamu dimana keluarganya sedang berkumpul. Memang mereka sedang bercakap mengenainya pun. Macam tahu-tahu saja.

“Yeaayy … Aqil datang” Amalin yang sedari tadi ralit dengan anak patung beruangnya, berlari mendapatkan anak kecil yang turut sama teruja dalam kendongan Aisya, meronta minta dilepaskan.

Mereka semua tersenyum melihat keletah Amalin yang memimpin Aqil menuju ke bakul besar yang ada tidak jauh dari situ yang penuh dengan koleksi permainannya.

Aisya menyalami Zafrina dan menundukkan wajah pada Encik Zikri sebagai tanda hormat. Tudung di kepala yang sedikit senget dibetulkan. Dia mengambil tempat duduk di sebelah Zafrina.

“Kamu berdua bersembanglah ye. Mama dengan Papa nak naik ke atas berehat kejap” Puan Ziela dan Encik Zikri berlalu naik ke bilik mereka meninggalkan Zafrina dan Aisya berdua. Nazmi sedari tadi sudah menghilang entah kemana.

“Ai sihat?” Wajah Aisya yang semankin nampak berseri sejak mengenakan tudung ditatap mesra. Semenjak dia berpindah mengikut suaminya ke Pulau Pinang setahun yang lalu, memang jarang benar dia dapat berjumpa dengan Aisya. Kalau dia balik ke situ, Aisya pula ke luar Daerah, kalau Aisya ada, dia pula tak pulang. Kalau dah begitu gayanya, memang waktu cuti Raya sajalah mereka berjumpa.

“Alhamdulillah, sihat” Aisya menjawab. Matanya yang kelihatan sesekali melilau kesekeliling rumah disedari oleh Zafrina.

“Ai cari siapa? Cari Rif ke?” tebak Zafrina membuatkan riak wajah di sebelahnya itu mula merona merah.

“Ha? Err … Takdelah Kak Rina. Err … Saja je tengok-tengok susunatur dalam rumah ni. Rasa dah lama betul Ai tak kemari” tersekat-sekat Aisya menyahut. Tudung yang sudah elok letaknya pun dibetulkan lagi membuatkan bibir Zafrina  merekah dengan senyuman.

“Kak Rina bukan baru semalam kenal kamu Ai. Tengok muka pun dah tahu datang ni ada hajat lain kan?” Zafrina menebak lagi. Mankin kalut dilihatnya riak wajah Aisya.

“Kamu tunggu sini, biar Akak panggil si Rif tu” bahu Aisya ditepuk lembut sebelum dia bangkit dan berlalu ke tingkat atas untuk memanggil Zarif sebelum sempat ditahan Aisya yang sudah mula diburu resah.

“Ada apa kau datang sini?”

Suara yang kedengaran agak sinikal itu menyapa kependengaran Aisya sedang dia ralit memerhatikan Amalin dan Aqil bermain. Agak tersentap juga dia mendengar teguran suara yang nyata sangat dingin itu. Perlahan-lahan dia menoleh kearah si empunya suara.

Wajah Zarif masih seperti dulu. Langsung tak berubah. Cuma kelihatan agak matang sedikit berbanding dahulu. Namun, tetap nampak tampan.

Lelaki itu melabuhkan duduk di hadapannya sambil menayang wajah tanpa riak. Lain benar Zarif kini.Kalau dulu, tak pernah lekang senyuman dari wajah itu untuknya. Tapi kini, hanya aura dingin saja yang dirasainya.

“Err … Kau sihat?” Aisya memberanikan diri bersuara. Dia benar-benar kesal di atas apa yang terjadi mereka tiga tahun yang lepas. Hanya kerana dendam Dani, persahabatan mereka menjadi porak peranda.

“Kau nampak aku macam tak sihat ke?” Zarif menyunggingkan senyuman sinis. Matanya sedari tadi tajam menatap seraut wajah yang pernah disayanginya satu ketika dulu. Nampak masih tetap cantik walau agak cengkung.

Aisya tunduk menekur lantai apabila pandangan mata Zarif tunak merenungnya. Liur ditelan berkali-kali. Cuba mencari kekuatan untuk membalas renungan lelaki yang sedang duduk santai di hadapannya ketika itu.

“Rif … Aku minta maaf atas apa yang berlaku 3 tahun lepas. Aku tahu aku salah. Sepatutnya masa tu ..” kata-kata Aisya terputus begitu sahaja apabila Zarif telah menayangkan tapak tangannya menandakan dia tak mahu mendengar bait-bait kata seterusnya dari mulut gadis itu.

Zarif membongkokkan badannya ke hadapan sambil mengepal-ngepal tangannya yang dicagakkan di atas peha. Rambutnya yang sudah agak panjang melepasi leher diseka ke belakang. Wajah suram Aisya dipandang lagi.

“Apa yang dah lepas tak perlulah nak ungkit. Aku pun dah lama lupakan. Kalau kemaafan yang kau minta, aku dah lama maafkan kau. Cuma lepas ni, tak perlulah lagi kau cari aku sebab aku dah tak nak ambil tahu apa-apa lagi pasal kau” Zarif bangun dari duduknya. Tak betah dia hendak berlama-lama dengan Aisya. Takut luka lama yang susah payah ditampal kembali berdarah.

“Rif! Tunggu!” Entah dari mana keberaniannya datang, Aisya pantas menggapai lengan Zarif. Tersentap Zarif dibuatnya. Selama mereka berkawan, walau akrab macamana sekalipun, Aisya tak akan suka-suka menyentuhnya. Seingatnya, kali pertama dan terakhir mereka bersentuhan adalah ketika kejadian dia memujuk Aisya bertahun  yang lepas sewaktu kali pertama diberitakan olehnya tentang kecurangan Dani.Itupun masih berlapik.

“Cukuplah 3 tahun kau lari dari aku. Kali ni, aku nak kau dengar penjelasan aku” pegangan tangannya sudah dilepaskan apabila Zarif sudah memalingkan tubuh kearahnya. Kini mereka berdiri mengadap satu sama lain dengan jarak tak sampai sedepa. Nafas di tarik dalam sebelum dia menyambung bicara.

“Aku dengan Dani tak jadi kahwin. Hari kau terbang tu, aku cari kau sampai ke airport tapi aku terlambat setengah jam. Kau dah tak ada. 3 tahun aku tunggu kau balik sebab nak minta maaf sebab tuduh kau bukan-bukan dulu. Tapi, kau terlalu marahkan aku sampai tak ada satu pun khabar yang aku terima dari kau sepanjang kau kat sana” mata bundar Aisya sudah mula berkaca. Sesak dadanya menahan sebak. Wajah Zarif yang kelihatan agak berkerut ditatap lama.

“Maafkan aku. Kau jangan risau. Lepas ni aku takkan ganggu hidup kau lagi” tanpa berlengah dan sebelum airmatanya bercucuran, Aisya segera mendapatkan Aqil dan anak kecil itu dikendong sebelum dia terus berlalu keluar dari situ tanpa menoleh ke belakang lagi.  Amalin yang sedang leka bermain dengan Aqil tadinya agak terkedu apabila rakan sepermainannya tiba-tiba saja dibawa pergi.

“Eh … Mana si Ai?” Zafrina yang baru muncul entah dari arah mana berkerut memandang Zarif yang masih tegak berdiri memandang kearah pintu walau bayang-bayang Aisya sudah lama menghilang.

“Angah! Along tanya ni. Mana Aisya?” Bahu sasa adiknya ditepuk geram apabila melihat Zarif yang tiba-tiba diam tak berkutik sedari tadi.

“Ha? Err .. dia dah balik” Zarif terpinga-pinga sambil melihat Zafrina yang sudah menunjukkan riak tak puas hati.

“Balik? Kenapa cepat betul? Angah cakap apa dengan dia ni? Haish kamu ni Ngah. Tak sudah-sudah dengan rajuk kamu tu. Kesian budak Aisya tu. Sejak kamu pergi ke Australia tu, Mama bagitau Along, hari-hari dia tanya pasal kamu. Sihat ke kamu, macamana kamu kat sana. Tapi kamu … sibuk ikutkan kata hati sangat! Kalau tak fikir yang kamu ni adik Along, dah lama Along  cekik-cekik je kamu bagi sedar sikit. Huh!” Zafrina mendengus geram sambil kedua belah tangannya sudah menunjuk gaya hendak mencekik si Zarif.

“Ibu … kenapa Aunty Ai tiba-tiba bawa Aqil balik? Alin tak puas lagi la main dengan Aqil. Ibuuuu …” berlagu-lagu Amalin mengadu sambil menghampiri Zafrina yang masih bercekak pinggang memandang Zarif yang sudah duduk terhenyak diatas sofa sambil meraup mukanya.

Kata-kata Aisya tentang dia tak jadi berkahwin dengan Dani masih terngiang-ngiang ditelinganya. Jika belum kahwin, siapa Aqil? Satu-satunya persoalan menerjah kepala otak Zarif ketika itu.

Melihat wajah keruh Zarif, Zafrina segera menyuruh Amalin pergi ke taman mini di halaman rumah mencari Ayahnya. Dia perlu berbicara berdua dengan adiknya itu. Segala kekusutan perlu diselesaikan segera. Sebelum habis cuti Raya ini, dia mahu hubungan Zarif dan Aisya kembali seperti biasa malah jika boleh biarlah lebih erat. Dia tahu yang mereka berdua sebenarnya saling menyayangi antara satu sama lain. Cuma terlalu lama memendam rasa sehingga menjadikan hubungan mereka berdua menjadi renggang.

“Kalau kamu nak tahu, Ai tak jadi kahwin sebab masa hari nikah tu, tinggal beberapa minit lagi nak dinikahkan, tiba-tiba, ada perempuan yang tengah sarat mengandung terjah masuk dan cakap Dani tu bapa kepada anak dalam kandungannya. Terus huru-hara majlis jadinya. Kalau kamu tengok Aisya masa tu, memang kesian sangat-sangat. Terdiam terus dia Ngah. Langsung tak bercakap apa pun kecuali airmatanya keluar tak henti” Zafrina menghela nafas panjang. Dilabuhkan duduk di sebelah adiknya. Zarif patut diberitahu apa sebenarnya yang telah berlaku 3 tahun yang lepas.

“Aqil?”

Zafrina tersenyum mendengar soalan ringkas dari Zarif. Cukup untuk menunjukkan tanda Zarif mula berminat untuk tahu lebih lanjut mengenai Aisya. Satu petanda yang baik sekiranya dia mahu menyatukan kembali mereka berdua.

“Aqil tu la anak yang perempuan tu kandung. Lepas dia mengaku tu, Dani terus lesap tak tahu kemana. Atas dasar simpati, dan sebab budak perempuan tu dah kena buang dek keluarganya, Aisya sanggup ambil anak tu jadi anak susuannya. Ternyata perancangan Allah tu lagi hebat bila budak perempuan tu meninggal masa bersalinkan Aqil dan dari sejak itulah, Aisya besarkan Aqil. Muliakan hati dia? Walau dia tahu anak tu anak lelaki yang dah hancurkan hatinya, dia masih sanggup nak jaga malah sanggup jadi ibu susuan pula tu” dada Zarif rasa mankin terhenyak mendengar cerita yang panjang lebar dari Zafrina.

Kini baru terasa betapa ruginya masa yang dia bazirkan melayan ego lelakinya sepanjang 3 tahun ni. Dibekukan hati dan dipekakkan telinga setiap kali Mamanya ingin menyampaikan berita mengenai Aisya. Arrgghh!! Betapa teruknya dia kerana terlalu melayan rajuk hatinya.Rambutnya ditarik kebelakang lantas dia bingkas bangun dan terus bergegas keluar.

“Kamu nak kemana tu Ngah?!” Jeritan dari Zafrina yang nyata terkejut dengan reaksi Zarif langsung tidak mematahkan langkah kaki lelaki itu yang tujuannya hanya satu. Menemui Aisya! Terlalu banyak persoalan yang ingin ditanyakan dan dia juga ingin menuntut sebuah kemaafan dari gadis itu.

***

ZARIF memandang Aisya yang ralit menyuapkan Aqil makanan di hadapannya. Sudah 10 minit mereka begitu. Aisya sibuk melayan Aqil dan Zarif setia memerhati tanpa kata. Sesekali pandangannya dilemparkan pada tasik Shah Alam yang terhampar di hadapan mereka.

“Kalau kau ajak aku keluar ni untuk diam je macam ni, rasanya lebih baik aku balik kot” tanpa memandang kearah Zarif, Aisya bersuara. Mulut Aqil yang ternganga disuapkan dengan makanan bayi yang sememangnya sentiasa ada di dalam beg tangannya semenjak bergelar Ibu segera ini.

Kalau ikutkan rasa terkilannya, memang dia tak mahu lagi berjumpa dengan Zarif. Tapi,  dek kerana bosan dengan kunjungan Zarif setiap hari ke rumahnya untuk memujuknya tanpa jemu sejak seminggu yang lalu, juga dengan pujukan Puan Asma, Ibunya, akhirnya dia beralah juga. Sengaja dibawanya Aqil agar pertemuan mereka ini tidak mengundang lebih rasa canggung antara mereka.

Zarif berdehem sedas dua apabila ditegur dengan agak dingin begitu.

“Errr … Err …Errmmmm …”

“Hai? Tiba-tiba dah jadi gagap pulak?” Perli Aisya tajam. Wajah Zarif yang sudah berubah riak ditatap sepintas lalu. Zarif sudah menggaru-garu belakang kepalanya yang tidak gatal. Resah dia dengan kedinginan layanan Aisya kepadanya. Ah! Silapnya juga yang melayan gadis itu endah tak endah selama ini. Semuanya hanya kerana salah faham.

“Aku minta maaf” perlahan Zarif bersuara. Liur ditelan payah. Wajah tenang Aisya ditatap lagi. Kelihatan gadis itu melepaskan sebuah keluhan halus. Tanganya lembut mengesat kesan comot yang ada pada mulut Aqil yang sedang tertawa riang melihat wajah di hadapannya itu. Ah! Comel sungguh. Langsung tiada raut wajah Dani yang dilihatnya pada wajah kecil itu.

“Aku dah maafkan kau. Kau tak salah apa-apa pun dengan aku. Memang patut pun kau marah dulu. Aku yang meragui persahabatan kita dan percaya si Dani tu bulat-bulat” lemah lontaran suara Aisya. Senyuman dilemparkan pada Aqil yang asyik memandangnya penuh teruja.

“Tapi Dani tak tipu bila dia cakap yang aku sukakan kau” perlahan Zarif menuturkan kata-kata itu. Bimbang dengan reaksi yang bakal ditunjukkan oleh Aisya. Namun gadis itu hanya tenang mengagah si kecil Aqil tanpa mempedulikannya.

“Ai … Kau dengar tak aku cakap ni? Aku sukakan kau” Sekali lagi Zarif meluah rasa. Dia tak mahu lagi berselindung. Cukuplah selama ini dia menyayangi dalam diam sehingga dia hampir kehilangan Aisya. Kali ni, apa nak jadi, jadilah! Dia sudah nekad. Kalau kata Aisya menolak, akan dipujuknya sehabis daya sehingga Aisya menerimanya seikhlas hati.

Aisya masih juga begitu. Masih asyik melayan Aqil. Zarif sudah mula tidak senang duduk. Terasa seolah-olah dia halimunan di situ.

“Aisya Medina Binti Manan! Aku cakap aku sukakan kau! Kau dengar tak ni?!” Suara Zarif yang agak lantang dan sudah menarik perhatian pengunjung di Tasik itu membuatkan Aisya bertindak refleks dengan menutup mulut Zarif dengan kedua belah tangannya. Matanya sudah menjegil dan bibir diketap geram.

Hendak tergelak Zarif dibuatnya. ‘Tau takut ..’ desis hatinya meraikan kemenangan kerana berjaya menarik perhatian Aisya.

“Isk kau ni. Buat malu je la. Aku dengarlah. Aku belum pekak lagi tau!” Aisya mendengus geram. Dia kembali melabuhkan duduk sambil matanya meliar kesekeliling mereka. Malu dia pada pengunjung di situ. Lebih-lebih lagi apabila ada yang mencebik sinis dan ada juga yang tersenyum sambil berbisik-bisik sesama sendiri memerhatikan gelagat mereka berdua.

“Ingat kau tak dengar. Tu yang aku cakap kuat sikit bagi jelas” terhambur tawa kecil dari bibir nipis Zarif. Mankin sebal Aisya dibuatnya.

“Apa yang kau harap bila luah macam ni kat aku?” Matanya sudah mengecil memerhatikan Zarif menghabiskan sisa tawanya.

Zarif menyunggingkan senyuman nakal.

“Aku nak kau jadi isteri aku” ringkas dan mudah jawapan yang diberikan membuatkan Aisya terkedu.

“Kalalu kau nak tau, aku dah lama sayangkan kau. Dari zaman kita belajar lagi. Tapi, sebab kau dah ada Dani, aku pun tak nak lah kacau. Tapi, sekarang, memandangkan Dani dah out of the picture dan aku pun tak terikat dengan mana-mana perempuan, aku nak kahwin dengan kau. Aku dah tak mahu tunggu lagi. Lepas kahwin, aku nak bawa kau dengan Aqil ikut aku ke Australia” tenang saja Zarif meluahkan segala-galanya. Rasa ringan bebanan perasaan yang ditanggungnya selama ini.

Buntang mata Aisya memerhatikan Zarif. Liur ditelan beberapa kali. Untuk seketika mereka berpandangan tanpa suara. Rengekan kecil si Aqil mengembalikan mereka berdua ke dunia nyata.

“Err … Aku … Aku nak kena balik dah ni. Dah masuk waktu nap Aqil” Kelam kabut Aisya menyandang beg tangannya dan Aqil yang didudukkan di atas meja kayu dan sudah mengangkat kedua belah tangan segera dikendongnya. Tanpa mempedulikan Zarif yang masih memerhatikanya, Aisya terus melangkah pergi.

“Hujung minggu ni lepas sembahyang Raya, aku bawa keluarga aku masuk meminang kau!” Teriakan Zarif berjaya membuatkan Aisya tersenyum sendiri. Tanpa menoleh dia terus melangkah meninggalkan Zarif. Namun, sempat isyarat ibu jari ditunjukkan kepada Zarif tanda persetujuannya.

Ibarat anak kecil Zarif melonjak keriangan. Kalau tak difikirkan kewarasan fikiran yang masih ada, sudah lama dia  melaungkan kata-kata ‘Akhirnya dia aku punya!!!!’ sekuat hatinya.

Segaris senyuman bahagia tergaris indah pada dua ulas bibir mengharapkan kebahagian yang kekal hingga kesyurga buat mereka berdua.

" di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan ( jodoh ) bagi kamu daripada (makhluk ) jenis kamu sendiri, agar kamu cenderung kepadanya dan berasa tenteram dengannya. kemudian Allah menciptakan rasa kasih sayang di antara kamu." 
-- Surah ar-Rum ayat 21---

2 comments:

  1. Awesome r..... good job..
    I like it.. kalau ade cerpen bru kasi tau..
    Heheh

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mekasih dear sudu bc ... insyaAllah pasti akan ada n3 br lg .. hehe

      Delete

 
ADIALUZEONLINENOVEL : WHERE DREAMS CAME TRUE Blogger Template by Ipietoon Blogger Template