Mesej Poyo dari Adialuze

Assalammualaikum w.b.t

Bismillahirrahmannirrahim ...

Thanks for those that have the time to come by to this blog whether accidentally or intentionally. Thanks a bunch!

As an introduction, I'm a wife and a daughter to a wonderful husband and family that ALLAH have lend me. Syukur, Alhamdulillah ... I'm truly feel bless always ... 24 by 7.

To be a writer one should have the gift to write ... That what 'they' say. But for me, I'm writing because I love to write. Gifted or not, I will continue to write as long as ALLAH gave me the ideas an inspirations to do so ...

I do apologize for any error or discomfort feeling that cause by my writing ...

Please drop your comment for a better me as a writer ... and please do comment in a civilize way cause I believe we all yearn for love and peace not hatred and war.

HAPPY READING ^_^

-Aidaluze-

Friday, June 13, 2014

TUHAN BERI AKU CINTA : BAB 1 (PENGENALAN)

 
"APA??? Kau ni dah fikir masak-masak ke Riss? Kau ingat nak kawin ni cuma sehari dua ke? Sekarang ni kau boleh la cakap yang cinta tu boleh dipupuk lepas kawin. Tapi, kau pernah tak terfikir kalau lepas kawin nanti, langsung takde rasa cinta antara korang berdua?" Fatihah tak putus-putus membebel kepada teman baiknya yang dirasakan seperti sudah hilang akal apabila semudah itu bersetuju untuk dikahwinkan oleh Ibu Saudaranya dengan duda kaya beranak dua yang merupakan anak buah Ketua Kampung sebelah.

"Kau cakap memang la senang Fat. Mak Long aku tu dah banyak berjasa dengan aku dua beradik semenjak Mak dengan Ayah aku meninggal kau tau tak? Tak gamak aku nak lukakan hati dia" Wajah putih mulus sahabatnya ditatap pohon pengertian. Fatihah membuang pandang kearah sawah bendang yang menghijau di hadapan pondok kayu yang mereka duduki itu.

"Aku tak sangka, Cahaya Arissa Binti Azmi, kawan baik aku yang selama ini berjiwa kental, akhirnya tunduk saja pada takdir tanpa mahu berjuang bila melibatkan bab jodoh" ada nada kekesalan di hujung ayat yang keluar dari bibir mungil Fatihah membuatkan Arissa melepaskan keluhan berat.

"Habis, macamana dengan plan kita nak sambung belajar sama-sama? Macamana dengan cita-cita kau nak jadi Pensyarah? Kau nak lupakan macam tu je?" pertanyaan demi pertanyaan dari Fatihah membuatkan Arissa semankin runsing. Fikirnya, dengan meluahkan keputusan yang telah dibuatnya ini kepada Fatihah dapatlah juga meringankan sedikit bebanan perasaan yang di tanggungnya. Namun, reaksi yang diterima dari gadis kecil molek itu betul-betul menambahkan lagi tekanan perasaan yang dirasainya.

Hembusan angin bendang yang menyapa lembut pipinya serba sedikit dapat juga membuatkan hatinya merasa sedikit lapang.

"Aku bukan apa Riss. Kau tu pelajar harapan sekolah tau. Trial pun hari tu, keputusan kau lagi bagus dari aku. Semua 'A' tau! Rugi kalau kau tak sambung belajar" suara Fatihah sedikit mengendur apabila Arissa yang duduk di sebelahnya mempamerkan wajah sugul. Bahu temannya itu dipeluk erat.

"Apa pilihan yang aku ada Fat? Lagipun, aku tak nak menyusahkan Mak Long dengan Pak Long aku lagi. Diaorang sanggup nak sekolah kan aku sampai habis tingkatan enam ni pun dah cukup bagus. Adik aku, si Amin tu pun kena la aku fikirkan sama. Ni dia baru je masuk Tingkatan 4. Tahun depan nak SPM. Masih banyak lagi belanja yang kena Mak Long dengan Pak Long aku tanggung untuk sekolahkan dia. Nasib baiklah diaorang tak ada anak sendiri tau. Kalau tak, tak tahulah macamana. Dahlah cuma Pak Long aku je yang bekerja. Tu pun cuma kerja kilang je."

Panjang berjela Arissa menerangkan kepada Fatihah dengan harapan gadis itu faham akan situasinya saat itu. Tudung bawal dikepala yang sedikit senget dibetulkan sedikit.

Arissa memang berhati kering. Namun, bila ianya melibatkan takdir, qada' dan qadar, Arissa segera bermuhasabah diri.

Tiba-tiba dia teringatkan bait kata-kata dari Ustaz Asri, guru agamanya ketika dia berumur 12 tahun dulu yang sentiasa terpahat kemas dalam hatinya. Waktu itu, dia adalah Arissa si Perengus. Sangat mudah marah dan suka menyalahkan orang lain di atas setiap perkara buruk yang berlaku dalam hidupnya.

Segala-galanya bermula semenjak kematian kedua orang tuanya yang terlibat dalam kemalangan langgar lari. Dia menjadi kanak-kanak yang sering memberontak.

Sehinggalah, pada suatu hari ketika dia dibawa oleh Mak Long Asmah dan Pak Long Amdannya untuk mendengar ceramah Agama yang dikendalikan oleh beberapa panel termasuk Ustaz Asri yang ketika itu merupakan Guru Agama di sekolahnya, Arissa seolah-olah mendapat jawapan kenapa Ibu dan Ayahnya dijemput Allah pada usia dia semuda itu.

Sesuai dengan tajuk ceramah pada malam itu, 'Hidup Untuk Mati, Mati Untuk Hidup', Ustaz Asri selaku Moderator memulakan bicaranya dengan alunan bacaan dari surah Al-A’raaf Ayat 34 beserta maksudnya :

“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan. ”

Pada saat itu, Arissa seolah-olah baru tersedar akan kekhilafannya menyalahkan takdir selama ini. Bukankah mati itu adalah janji Allah yang pasti? Kalau dah memang sudah tertulis di Luh Mahfuz yang Ayah dan Ibunya akan mati pada usianya 12 tahun, dengan apa cara sekalipun, mereka pasti akan dijemput juga oleh Allah melalui Malaikat Izrail. Siapa dia hendak mempersoalkan semua itu?

Mujur dia cepat disedarkan oleh Allah. Jika tidak, sia-sia sahaja arwah Ayah dan Ibunya sering membawanya ke ceramah Agama dulu. Itu belum lagi dikira dengan kelas Agama yang mereka hadiri saban hari selepas selesai solat Maghrib di Masjid atau Surau.

Sehingga ke hari ini,salah satu ayat Al-Quran yang menjadi pegangannya apabila ada saja perkara yang di luar keinginannya berlaku adalah dari Surah Al-An'aam ayat 18 yang bermaksud : Dan Dialah yang Berkuasa atas sekalian hambaNya (dengan tadbir dan takdir); dan Dialah Yang Maha Bijaksana serta Amat Mendalam PengetahuanNya.

"Hmmm .. Kalau macamtu dah keputusan kau, aku nak kata apa lagi. So, bakal suami kau ni berapa umurnya sebenarnya? Kalau anak dah 2 orang, mesti dah tua kan?" Kata-kata lantang dari Fatihah menariknya kembali ke dunia nyata. Memek muka Fatihah yang seperti kegelian itu mengundang tawa kecil dibibir Arissa.

"Mak Long aku cakap umur dia dalam awal 30an la. Takdelah tua sangat. Kahwin muda kot" Arissa menjawab dengan sisa tawa yang masih lagi berbaki. "Tak tua kau kata? Eh Cik Kak. Kau tu baru nak masuk 20 tahun tau tak? Kalau umur bakal suami kau tu 32 tahun, beza satu abad tau tak?!" Fatihah membulatkan matanya. Arissa hanya tersenyum.

Bagi Arissa, jurang umur yang besar bukanlah menjadi satu masalah buatnya. Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W pun, sewaktu mengahwini Siti Aisyah yang baru berusia 7-9 tahun, Baginda Rasulullah ketika itu sudah pun berusia sekitar 50 tahun. Jadi, apalah sangat perbezaan 10 tahun diantara dia dan bakal suaminya nanti.

"Tapi kan .. Oleh kerana aku tengok kau macam tak kisah, aku agak mesti dia ni hensem kan? Entah-entah macho giler ala-ala Aaron Aziz!" riak wajah Fatihah sudah bertukar. Tiba-tiba dia yang rasa teruja bila membayangkan bakal suami Arissa setampan dan sesegak pelakon kegemarannya, Aaron Aziz.

"Kau ni ada-ada sajalah Fat. Aku pun tak taulah. Tak pernah tengok pun lagi. Lagipun, Pak Long kata dia kerja kat Kuala Lumpur. Jarang balik kampung" Arissa berkata selamba sambil kaki yang tergantung digoyang-goyangkan.

Mata Fatihah membuntang memandang Arissa yang masih mempamerkan wajah selamba. Rasa ingin saja dicekik sahabat baiknya itu.

"Kau ni dah kenapa? Kalau bakal laki kau boroi, kepala botak, gigi rongak dan .. entah-entah mata pun kero .. engkau nak???" bahu Arissa yang dipeluknya tadi ditampar geram. "Adoi! Sakitlah!" bahu yang terasa perit ditampar Fatihah digosok-gosok laju. Wajah Fatihah yang masih tegang dipandang penuh persoalan. Ni aku ke dia yang nak dikahwinkan ni? Detik hati Arissa.

"Kau ni banyak sangat fikir la Fat. Takkan la Pak Long aku tu nak jodohkan anak buah dia yang comel mengalahkan Nora Danish ni dengan lelaki macamtu kot" Arissa tersengih melihat Fatihah masih berwajah kelat. Dia tahu temannya itu sayangkan dirinya. Oleh kerana itulah, Fatihah terlebih-lebih risau darinya.

"Kau ni cubalah serius sikit Riss! Sebab kau tu comel sangat la aku ni risau tau tak?" berkerut-kerut dahi Fatihah memandang Arissa yang masih tersenyum lebar kearahnya.

"Aku seriuslah ni. Pak Long aku ada cakap yang dia ni ada kacukan darah Pakistan. So, kalau dah anak kacukan tu, mestilah hensem kan?" akhirnya Arissa berterus terang. Tak mahu menyeksa perasaan Fatihah lagi.

"Laa kau ni. Bukan pasal hensem ke tak. Kalau muka hensem pun, tapi kalau dia tu botak ke, boroi ke .. gigi jongang ke .. kau tak takut?" dahi Fatihah berkerut lagi. Arissa ketawa. Mankin geram Fatihah dibuatnya.

"Entah. Aku dah redha je sekarang ni. Yang penting, dia boleh jadi Imam kepada aku dan bakal anak-anak aku Fat" Arissa bangun dan mengibas-ngibaskan habuk yang melekat di punggungnya.

"Wei, aku balik dulu lah. Dah nak Maghrib ni. Hujung minggu ni rombongan meminang tu datang. Kau datang lah ye. Assalammuaalaikum" Arissa melangkahkan kakinya meninggalkan Fatihah yang masih tercengang-cengang. Ayat terakhir dari Arissa menambahkan rasa sebalnya terhadap Arissa yang dirasakan terlalu cepat mengalah pada takdir.

WAJAH yang telah didandan ringkas oleh Mak Andam Salmy di tatap lagi. Fatihah yang berada di dalam bilik setia menemaninya sedari jam 8 pagi tadi tak putus-putus memuji betapa cantik wajahnya setelah disolekkan. Walaupun solekkan yang dikenakan kepadanya tidaklah setebal mana.

Tepat jam 11 pagi, rombongan meminang dari pihak lelaki yang datang dengan menaiki beberapa buah kereta akhirnya sampai juga.

"Weeii .. rombongan dah sampai la" Fatihah yang mengintai dari celah pintu bilik memberitahu dengan  nada penuh teruja. Arissa mula mengepal-ngepal tangan yang mula terasa seram sejuk. Fatihah yang masih mengintai diperhatikan. Di dalam bilik cuma tinggal dia dan Fatihah sahaja ketika itu.

"Semua orang tua je aku nampak Riss. Takkan bakal tunang kau tak datang kot?" Wajah Arissa ditatap sekilas sebelum pandangan mata Fatihah tertumpu semula pada setiap tetamu yang semankin memenuhi ruang tamu rumah Mak Long Asmah.

"Dia sibuk kot. Bagus juga dia tak datang" Arissa menyahut selamba. "Bagus kau cakap?? Ishk kau ni Riss. Kau tau tak? Inilah masanya kalau kau nak tengok bakal suami kau tu tau. Kalau agak-agak muka tak boleh blah, boleh la kau reject awal-awal" Fatihah menghampiri Arissa yang duduk di birai katil. Wajahnya sudah berkerut-kerut tanda dia sebal dengan sikap endah tak endah Arissa.

"Nak reject macamana lagi Fat? Kau nak aku lari dari rumah ke apa?" Arissa tertawa kecil. Lucu melihat riak wajah Fatihah saat itu. Dengan mulut melopong, dahi berkerut seribu dan mata yang membulat memandang tepat kewajahnya.

"Riss!! Kau ni! Aku serius la!" suara Fatihah sudah sedikit meninggi. Geram dengan perangai Arissa yang seolah-seolah sedang bermain pondok-pondok sahaja lagaknya.

"Hisshh.. Apalah anak dara ni. Cubalah senyap sikit. Orang tua tengah berbincang kat luar sana tu" keras suara Mak Long Asmah yang baru saja melangkah masuk ke dalam bilik Arissa menyebabkan Fatihah yang baru saja ingin meneruskan bebelannya, terdiam terus. Tawa Arissa juga tiba-tiba mati apabila melihat wajah garang Mak Longnya.

"Maaf Mak Long" Fatihah bersuara sambil memandang kearah Mak Long Asmah yang sudah berdiri sambil bercekak pinggang di hadapan mereka berdua. Arissa hanya tersengih, serba salah. Mak Long Asmah menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Awak tu dah nak jadi bini orang Arissa. Cubalah buang sikit perangai budak-budak awak tu" Selendang di kepala Arissa dibetulkan sedikit. Wajah ayu yang persis wajah arwah adiknya itu ditatap lama.

Dia sayangkan Arissa dan Amin. Itulah saja harta peninggalan paling berharga dari Maisarah, satu-satunya adik-beradik yang dia ada. Keputusan mengahwinkan Arissa dalam usia semuda ini dibuat setelah memikirkan buruk baiknya dengan mendalam. Bukan kerana dia dan suaminya gilakan harta keputusan ini diambil.

Semuanya dibuat adalah untuk masa depan Arissa. Dia mahu Arissa hidup senang. Selepas 8 tahun pemergian kedua orang tuanya, dia rasa, sudah tiba masanya Arissa diserahkan kepada orang yang sepatutnya untuk menjaganya. Dia mahu Arissa terus berjaya dalam hidupnya. Dia pasti andai Arissa berjaya, Amin juga akan turut berjaya. Segalanya dengan izin Allah.

"Mak Long" panggilan lembut dari Arissa menghentikan lamunannya. Dia segera mengesat air mata yang sudah mula bertakung di tubir matanya. "Cantik anak buah Mak Long hari ni" pipi mulus Arissa dielus lembut. "Bukan ke Riss hari-hari memang cantik?" sempat Arissa bergurau. Sekadar untuk menghiburkan Mak Longnya yang dirasakan sedang menahan sebak walau segaris senyuman cuba dipamerkan.

"Ha yelah. Hari-harilah awak tu nampak cantik. Cuma hari ni lain la sikit sebab muka tu dah kena tepek dengan bedak berkilo-kilo. Silap haribulan, Mak Long ni kalau kena solek dengan Andam Salmy tu mesti ada rupa Erra Fazira agaknya" tergelak Fatihah dan Arissa mendengar kata-kata Mak Long Asmah.

"Dah, dah. Asyik gelak je kerjanya. Kejap lagi bakal Mak Mertua awak nak masuk sarung cincin. Kesat sikit airmata tu. Seronok sangat ketawa sampai keluar airmata" Mak Long Semah menegur sambil tangannya merapikan lagi tudung dan selendang yang dipakai Arissa. Tawa antara mereka sudah agak reda.

Wednesday, June 11, 2014

KISAH KAMI : BAB 14 & 15

BAB : 14

HARI sudah jauh malam ketika kami sampai di banglo mewah Puan Sri Maria. Jam di dashboard kereta Rayyan kupandang. Sudah pukul 11 malam rupanya. Walau bukan membajak sawah ataupun bertukang membuat rumah, tapi badanku terasa sangat letih. Inilah penangan wedding shopping bersama bakal Ibu Mertuaku itu.

“Okla Ma. Saf balik dulu lah ye. Dah lewat sangat dah ni. Nanti Umi dengan Babah risau pulak” Turun dari kereta saja, tangan Puan Sri Maria aku salami dan kucup. Kedua-dua pipinya juga kukucup seperti yang biasa aku lakukan pada Umi.

“Laaa. Dah lewat sangat dah ni Saf. Tidurlah sini. Nanti Mama telefon Umi kamu bagitau dia ye. Risau Mama nak lepaskan kamu balik sendiri” Tanganku di genggamnya erat. Jelas riak kerisauan diwajahnya.

“Isshk. Takpelah Mama. Lagipun esok Saf kerja. Saf pun tak bawak baju lebih ke sini tadi. Tak sangka pulak sampai lewat malam baru settle” Aku menolak lembut.

Bukan aku tak sudi, tapi memikirkan aku kena duduk sebumbung dengan Rayyan, membuatkan aku tak sanggup. Tunggulah aku jadi isterinya dulu. Sementara menunggu detik itu, biarlah aku berjauhan saja dari dia. Kalau kerap sangat dekat dengannya, boleh tercabut rasanya jantung aku ni dek kerana auranya yang selalu buat aku jadi tak keruan.

“Tidur je la sini. Saya dah call Umi bagitau dia awak tidur sini malam ni” Entah dari mana datangnya, tiba-tiba saja dia sudah berdiri terpacak di sebelahku.”Ha?” Aku sedikit terkejut. Wajahnya ku pandang geram. Ewah,ewah. Suka-suki dia saja buat keputusan untuk aku. Ni belum jadi laki aku lagi ni. Aduh! Geramnya lah rasa hati aku bila pandang muka mamat yang macam tak berperasaan ini. “Ha elok lah tu. Jom Saf” Belum sempat aku membantah tanganku sudah ditarik masuk ke dalam rumah. Akhirnya aku pasrah sajalah.

Aku melihat disekeliling bilik yang dicat kemas dengan warna pink itu. Walaupun hanya bilik tamu, tapi aku dapat agak yang semua perabot yang menghiasi bilik ini jauh lebih mahal dari perabot di bilik aku sendiri. Perabot yang semuanya adalah buatan kayu jati aku tatap satu persatu. Katil, meja sisi, meja solek dan almari baju. Harga keseluruhan perabot dalam bilik ini  rasanya kalau aku kumpul gaji aku setahun barulah dapat menampung kosnya agaknya.

Sepasang baju tidur kain satin berwarna merah yang diberikan oleh Puan Sri Maria padaku tadi masih ada dipangkuanku.  Lembut kainnya. Mesti dari kain satin gred A. Telahku dalam hati. Turut diberikan sepersalinan ‘adik’ dan ‘kakak’ berjenama triump yang kelihatan masih baru kerana terdapat tanda harga yang belum ditanggalkan. Menurut Puan Sri Maria, kesemua ini kepunyaan Myra Isabella. Anak bongsunya yang sudah lebih 3 tahun menyambung pembelajaran di Australia. Kebetulan tubuh kami lebih kurang saiznya. Hari ini barulah aku tahu rupanya si Rayyan masih ada adik beradik lain. Selama ini aku ingatkan dia anak tunggal.

Jam loceng yang berada di atas meja sisi sebelah kiri katil aku tatap. Sudah menghampiri 12 malam. Dengan langkah perlahan aku bergerak masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan diri dan mengambil wudhuk untuk menunaikan solat Isyak.

Malam mankin lewat.  Jam loceng kupandang sekilas. Sudah pukul 1 pagi. Kenapalah mata aku masih tak mengantuk ni? Tadi badan dah rasa letih sangat. Tapi, lepas mandi je, terus segar balik. Esok dah lah aku kerja. Mata oh mata. Tidurlah cepat wahai mata. Aku berkata sendiri seolah-olah mata itu boleh dipujuk rayu.

Geram dengan keadaan diri sendiri yang tak mahu tidur, aku bangkit dari pembaringan dan duduk di birai katil. Rambut yang panjang separas pinggang aku biarkan lepas kerana belum cukup kering. Rasanya tak perlu la aku nak pakai tudung. Rayyan dengan Tan Sri mesti dah lena tidur la kot. Aku berkira-kira dalam hati.

Perlahan-lahan tombol pintu aku pulas. Hajat dihati ingin ke dapur di tingkat bawah untuk membasahkan tekak dengan segelas air suam. Dengan langkah yang penuh berhati-hati aku menuruni tangga. Nasib baiklah ada lampu kuning yang dipasang di sepanjang dinding di sebelah tangga ni. Takdalah aku teraba-raba nak turun ke bawah.

Sampai saja di anak tangga terakhir, terasa tubuhku dirempuh kuat. Sedar-sedar aku sudah jatuh terduduk sambil menggosok punggung yang kesakitan. Berkerut-kerut mukaku menahan sakit. “Auchh!” sengal terasa punggungku saat ini.

“Saf?” Terkejut aku mendengar suara yang memanggil namaku dalam nada kehairanan. Alamak! Rayyan ke? Dalam keadaan yang kelam kabut aku cuba bangun dan dengan langkah yang terhenjut-henjut aku gagahkan diri menaiki tangga ingin menuju kebilikku semula. Tu lah kau Safiyyah! Dah tahu ini rumah orang, kenapa kau gatal tak pakai tudung! Aku menyalahkan diri sendiri.

Sedang aku berusaha untuk menaiki tangga dalam kesakitan, terasa lenganku ditarik dari arah belakang. Tersentap dengan perbuatan yang sedikit mengejut itu, badanku yang sememangnya kecil molek ini terpusing ke belakang. Sedar-sedar aku sudah berada di dalam pelukan tubuh sasa milik Rayyan. Mata kami tertacap antara satu sama lain. Suasana bungkam menyelubungi kami berdua.

Tiba-tiba,  terasa hangat tangannya mengusap pipiku lembut dan rambutku yang menutupi sebelah muka diselak kebelakang. Lembut gerak lakunya membuatkan hati aku terbuai indah. Apabila terasa wajahnya mankin mendekat, dan desah hangat nafasnya terasa di wajahku, tiba-tiba aku tersedar. Tubuhnya ku tolak kuat sehingga dia jatuh terduduk di atas anak tangga.

Mataku mencerlung memandangnya. “Apa yang awak nak buat ni??” Marahku. Hilang segala rasa getar yang aku rasa tadi. Semudah itu dia ingin mengambil kesempatan pada aku! Dasar jantan! Nafasku turun naik menahan marah. Nasib baik tak terlepas tumbukan paduku di wajah kacak Rayyan. Aku mendengus kasar dan terus berlalu menuju ke bilik sebelum sempat dia berkata apa-apa. Wajahnya menunjukkan riak terkejut. Hilang segala rasa sakit ditulang punggungku tadi.

Geramnya!!! Nyaris pintu bilik aku hempas. Tapi bila teringat dimana aku berada, pintu kukatup perlahan dan punat kunci kutekan. Punggung yang baru aku terasa semula kesakitannya, perlahan-lahan aku labuhkan di atas birai katil.

Sedang aku cuba memproses semula apa yang telah berlaku sebentar tadi, tiba-tiba telefon aku berbunyi menandakan mesej Whatapps masuk. Segera kucapai dan melihatkan nama Rayyan tertera, rasa jengkel mula bertamu .

‘Saf, saya mintak maaf’
‘Saya tak ada niat nak ambik kesempatan’
‘Tak tahulah apa yang saya fikirkan tadi’
‘Bila awak berada dalam pelukan saya, saya rasa seolah-olah Selena sudah kembali pada saya semula’
‘Saya harap awak dapat maafkan kekhilafan saya’


Panjang bait-bait kata yang dia taipnya untukku. Aku melepaskan keluhan berat. Bila difikirkan semula. Perkara ini terjadi kerana kealpaan aku juga. Skrin telefon kutatap lagi.

‘Khilaf saya juga’
‘Lets just forget about it ok’
‘Good night’


Ringkas aku menjawab dan terus sahaja telefonku matikan. Lampu bilik kututup. Mata yang masih tidak mengantuk terus kupaksa juga untuk lena. Mankin kusut fikiranku dibuatnya dengan apa yang baru saja terjadi tadi. Entah pukul berapa aku terlena, aku sendiri tak sedar. Apa yang pasti, tidurku tak senyenyak seperti selalunya. Ada titis airmata yang menemani lenaku kali ini.




BAB : 15

PAGI itu, selesai solat subuh, aku segera bersiap untuk pulang. Oleh kerana aku perlu memakai uniform ke tempat kerja, aku perlu pulang dulu ke rumah sebelum boleh ke tempat kerja. Sempat aku membelek mesej Whatapps yang masuk ketika telefon bimbitku 'On'kan semula. Semuanya datang dari Rayyan yang memohon maaf di atas keterlanjurannya padaku malam tadi. Aku mendengus kasar.

Semasa melewati pintu bilik Rania, aku tergerak hati untuk menjenguk anak kecil itu. Terasa rindu pula padanya. Pintu kubuka perlahan-lahan. Dengan penuh hati-hati katilnya ku hampiri. Aaahhh. Memang dia kanak-kanak yang comel. Dahinya dan kedua belah pipinya yang kemerahan  kukucup penuh kasih. Rambutnya ku belai mesra. Setelah lebih kurang 5 minit berada di situ merenung wajah polosnya, aku melangkah keluar.

Puan Sri Maria yang sedang sibuk menyiapkan sarapan pagi bersama Bibik Jannah di dapur  kuhampiri."Ma, Saf balik dulu la ye. Nak kena balik rumah dulu tukar baju uniform" Aku segera mencapai tangan Puan Sri Maria. "Eh, Saf tak tunggu breakfast dulu ke?" Riak wajahnya agak terkejut kerana aku tergesa-gesa ingin pulang."Tak apalah Ma. Saf breakfast kat rumah je nanti. Kalau ada apa-apa lagi, Mama call la Saf kay" Kedua belah pipinya ku cium. Dengan berat hati akhirnya dia lepaskan juga aku pergi.

Ketika aku melintas ruang tamu, terlihat kelibat Rayyan sedang menuruni tangga. Langkah kaki aku percepatkan."Saf" Lembut kedengaran dia memanggil ketika tombol pintu aku pulas. Entah kenapa, langkah kaki aku jadi kaku untuk terus melangkah keluar dari pintu yang sudah ku buka itu. Aku masih berdiri kaku tanpa memalingkan tubuh kearahnya.

"Lagi sekali saya mintak maaf sebab malam tadi" Rayyan sudah berdiri hampir di belakangku. Mataku pejamkan. Cuba mencari kekuatan berhadapan dengannya. Cuba membuang rasa amarah yang masih bersisa untuknya. Nafas kutarik panjang dan kulepaskan perlahan-lahan.

"I said, just forget about it ok" Aku bersuara perlahan tapi dalam nada yang cukup tegas. Cuba mengawal sebak yang sudah mula terasa.

"Saf ... " Belum sempat dia meneruskan kata-katanya aku memotong "Please Rayyan! Please jangan buat saya macam ni. Awak kata awak terima saya sebab Rania kan? So, please don't act like you care" Aku cuba mengawal nada suara agar tidak didengari oleh orang lain di dalam rumah ini. Pantas aku melangkah untuk meninggalkannya dengan pandangan yang mula kabur. "Saf!" Sedikit keras suaranya. Lenganku sudah dipautnya. Dia menarik aku mengadap kearahnya. Aku menundukkan kepala dengan mataku pejamkan. Ada airmata yang menitis.

"Saya minta maaf kalau saya buat awak rasa macam tu." Suaranya kembali dikendurkan. Terasa hangat tangannya mengesat airmata aku yang mula membasahi pipi. Safiyyah! Kenapa kau perlu menangis kerana lelaki ini! Aku merintih dalam hati. Tangannya cuba kutepis tapi dia pantas mengenggam kedua belah tanganku.

"Tolong bagi saya masa. Saya perlukan masa untuk menyintai semula. Tapi jangan cakap saya tak ambil berat. For me, love and care are two separate things. I care. But, to be in love again, tolong bagi saya ruang dan masa" Dia bersuara dalam nada memujuk. Aku terdiam. Cuba memproses kata-kata yang baru terluah dari mulutnya.

"Take all the times that you need Mr. Rayyan. Sebab, saya malas nak fikir. I've got to go. Nanti saya terlambat pergi kerja" Pegangan tangannya aku leraikan. Dengan langkah perlahan, aku berlalu ke kereta. Kali ini dia tidak lagi menghalang. Airmata yang masih bersisa ku kesat dengan telapak tangan. Kereta kuhidupkan dan kupandu keluar dari perkarangan banglo mewah itu tanpa menoleh kearah Rayyan aku tahu masih memandang kearahku.

Sesampainya aku di rumah, selepas menyapa dan bersalaman dengan Umi dan Babah yang sedang bersarapan, aku segera menuju ke bilikku untuk menukar pakaian. Sambil mengenakan tudung bawal bewarna cream di hadapan cermin, mata yang agak sembap aku tatap. Alamak! Inilah penangannya kalau pagi-pagi dah sarapan dengan airmata.

Bedak compact segera ku capai dan kukenakan ke kulit wajah dengan harapan dapat mengurangkan kesembapan dimata. Aah. Nanti hilanglah ni. Aku memujuk hati sendiri. Sedikit lip gloss  aku oleskan kebibir. Setelah membetul-betulkan tudung, vest jingga dan baju kemeja lengan panjang berwarna peach yang aku kenakan ketubuh agar lebih kemas, beg silang kucapai dan kaki kuatur keluar dari bilik.

"Iyah, tak sarapan dulu ke?" Laung Umi ketika dilihatnya aku terus sahaja menuju keluar. "Takpelah Umi. Iyah dah lambat ni" Sandal tumit jenama Vincci setinggi 3 inci kusarungkan kekaki dan terus bergegas keluar. Tak sampai 10 minit, keretaku sudah berada di atas jalanraya yang sudah mula sesak. Jam di dashboard aku kerling. Sudah pukul 8.30 pagi. Ada lagi setengah jam lagi masa untuk aku sampai ke Greta's Curtain.

Walaupun jarak antara rumahku ketempat kerja tidak terlalu jauh, tapi dalam keadaan jalan yang agak sesak seperti ini, perjalanan yang sepatutnya hanya mengambil masa 15 minit boleh menjangkau hingga 45 minit. Aku melepaskan sedikit keluhan.Ini semua gara-gara Rayyan lah! Kalau tidak kerana dia mengajak aku berbicara tentang hati dan perasaan pagi tadi, pasti aku sudah selamat sampai ke tempat kerja.

Tepat jam 9.05 pagi, aku sampai juga ketempat kerja. Aku menarik nafas lega setelah kereta selamat kuparkirkan ketempatnya.

"Ha! Lambat" Wani yang sedang mengenakan lipstik merah menyala kebibirnya menegur sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam bilik pameran. "Ala. Lima minit je. Bukan selalu pun aku lambat" Aku berjalan melintasinya untuk ke mejaku. Dari ekor mata dapat kulihat dia mencebikkan bibir mendengar jawapanku. Ah lantaklah! Malas aku nak sesakkan kepala fikir pasal minah ni pulak.

"Ha. Sudah mari pun Top Sales kita" Miss Lai menyambut aku dengan senyum lebar. Shahrul yang sedang duduk di atas bucu meja aku ikut tersenyum. "Ingat kau cuti lagi beb" Shahrul menukar tempat duduknya. Dia duduk di atas kerusi di hadapan mejaku."Mana dia boleh cuti lama-lama. Ada banyak kerja dia belum settle la" Berkerut wajah Miss Lai mendengar usikan Shahrul. Aku hanya tersenyum. Fail berkulit keras yang tersusun kemas di atas meja aku buka.

"Eh, mata kau kenapa nampak sembap?" Alamak. Perasan lah pulak mamat ni. "Eh. Yeke? Hmm .. Tak tahulah. Bangun je pagi tadi terus dah macam ni. Ingatkan kena gigit nyamuk kot" Aku mereka alasan. "Yee keee .. ??" Shahrul menaikkan sebelah keningnya. Miss Lai hanya mendiamkan diri. Dia sedang tekun menekan-nekan punat kalkulatar Canonnya dengan muka serius. Projek juta-juta la tu. Telahku dalam hati.

"Woooi! Aku ni cakap dengan kau la! Boleh lah dia buat muka selamba je" Shahrul bersuara jengkel. Aku tersengih."Iya Encik Shahrul Shah. Aku ada banyak kerja nak buat ni. Ada banyak lagi quotation customer yang masih pending ni. Jadi, nanti-nanti je la kita sambung sembang yee" Pen yang berada di dalam bekas berbentuk Eiffel Tower pemberian salah seorang pelangganku segera kucapai. Beberapa helai kertas yang sudah bertampal dengan cebisan-cebisan kecil sampel kain aku tatap satu persatu.

Shahrul mendengus kasar sebelum berlalu ke hadapan. Merajuk la tuh. Desisku dalam hati. Aku tersenyum sendiri memikirkan perangai teman sekerjaku yang satu itu.

Monday, June 2, 2014

KISAH KAMI : BAB 12 & 13

BAB : 12

Pagi itu aku bangun seawal jam 5 kerana perlu mandi wajib. Sambil menunggu waktu Subuh masuk, aku menaip sms kepada Miss Lai untuk memohon cuti darinya untuk satu hari. Malam tadi, balik dari rumah Puan Sri Maria, malam sudah agak lewat dan lagipula mataku sudah terlalu mengantuk. Sampai saja di rumah, katil dan bantal yang sudah tersedia menanti aku tuju terus.

'Why?' Ringkas sms yang aku terima dari Miss Lai. Aku sudah agak dia pasti akan bertanya lebih lanjut walaupun sudah kunyatakan yang cutiku adalah kerana atas urusan keluarga.

Termenung sekejap aku dibuatnya. Apa lah aku nak 'goreng' Amoi ni. Takkan nak cakap saudara dari kampung datang kot. Tempohari, masa Puan Sri Maria datang merisik, alasan itu telah kugunakan. Aaahh .. Belasah saja la labu.

'Terlalu personal la Miss Lai. Ini hal keluarga punya. Don't worry. Esok saya kerja la macam biasa.' Akhirnya, itulah jawapan yang aku berikan. Walau aku rasa alasan itu agak kurang kukuh, aku sudah tak tahu apa lagi jawapan yang boleh aku berikan.'Ok'  Pendek saja jawapan SMS dari Miss Lai. Pelik pula aku rasa kerana kali ini agak mudah pula Miss Lai memberi keizinannya. Tak kisahlah. Janji cuti aku dah diluluskan. Lega.

Selesai solat subuh, aku kembali ke pangkuan bantal dan katil yang sedari tadi seolah-olah memanggil-manggil aku agar menyambung tidur. Mahu bersiap, jam baru menunjukkan pukul 6.30 minit pagi. Awal sangat lagi. Seluar jeans berwarna merah hati yang aku padankan dengan baju blouse kain kapas yang berbunga-bunga kecil ala-ala English style dan shawl bermanik ringkas di atas kepala telah aku keluarkan dari almari dan segala yang perlu digosok telah siap ku gosok.

Tak sampai 5 minit aku sudah lena dibawa mimpi semula. Tidur aku terganggu dengan bunyi telefon yang mendendangkan lagu 'Kita' dari kumpulan Forteen berlagu beberapa kali minta diangkat. Aku yang masih agak mamai, teraba-raba meja sisi di sebelah kanan katilku cuba mencari telefon yang aku tinggalkan disitu malam tadi untuk dicaj.

"Hello" sedikit serak suara aku menjawab. Nombor atau nama yang tertera juga tidak sempat aku tatap kerana kelopak mata masih terasa bagai digam."Assalammualaikum" Surau garau dari sebelah sana membuatkan mata aku terbuka dengan seluas-luasnya. Tiba-tiba rasa segar semacam. Macam kena simbah dengan air perigi. Aku bingkas bangun dengan kedua-dua kaki aku julurkan ke lantai."Waa ... Waalaikummussalam" Jam loceng yang terletak berhampiran aku capai. Alamak! Dah pukul 7.30!! Dahiku tepuk berulang kali.

"Saf dah siap ke? Lagi 10 minit saya sampai" Mendengar kata-kata itu kelam kabut tuala di penyidai aku capai."Err ..Ok. See you then. Assalammualaikum" Sebelum sempat si dia menjawab salam, punat off di telefon telah aku tekan. Mencicit aku lari menuju ke bilik air. Macamanalah boleh terlajak tidur ni!!

Sedang aku bersiap mengenakan tudung, Umi mengetuk pintu bilik aku mengatakan yang Rayyan sudah sedia menunggu aku di bawah."Ok Umi. Iyah tinggal pakai tudung je ni. Suruh lah dia makan dulu ke apa ke" Aku menyahut. Kelam kabut tudung ku pinkan. "Yelah. Cepat sikit" Pesan Umi sebelum derap langkahnya aku dengar sedang menuruni tangga ke tingkat bawah.

Selepas menyalitkan sedikit minyak wangi Musk jenama Body Shop dileher dan kedua belah pergelangan tangan dan berpuas hati dengan penampilan diri, pantas aku menuruni tangga. Di meja makan kelihatan Rayyan sedang rancak bersembang dengan Babah sambil diperhatikan Umi. Aku menghampiri mereka dan mengambil tempat duduk di sebelah Umi, berhadapan dengan Rayyan.

"Dah tahu nak keluar awal, boleh pulak dia bangun lambat" Umi memulakan sesi membebel. "Orang dah bangun awal la tadi. Lepas solat subuh mengantuk sangat, so Iyah sambung la tidur. Tak tahu lah pulak boleh terlajak" Roti yang sudah ku sapukan Nutella kusuapkan kemulut. Umi menuangkan air kopi di cawanku. Aku tersenyum sambil mengucapkan Terima Kasih.

"Nanti kalau dah kahwin, pandai-pandailah Ray nak tegur si Iyah ni. Dia ni umur je dah 23 tahun. Tapi, perangai tu kadang-kadang mengalahkan budak kecik. Maklumla, anak bongsu" Kata-kata Babah membuatkan aku sedikit tersedak. Cawan berisi kopi panas segera kucapai dan hirup." Aduh! Panas,panas!" Aku menjerit sebaik sahaja lidah terasa melecur. "Hisshh .. Kamu ni Iyah. Cuba hati-hati sikit kalau minum tu. Kan panas lagi air tu" Umi menghulurkan cawan berisi Jus Oren kepadaku.

Babah dan Rayyan hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala kearahku. Babah ni buat malu aku je la! Mesti muka aku dah merah padam ni. Arrrggghhh!!Tak suka! Tak suka!

Setelah selesai bersarapan, Rayyan terus meminta izin dari Umi dan Babah untuk membawa aku keluar. Umi sempat memesan itu dan ini denganku. Selesai bersalaman dengan Umi dan Babah, kami segera menaiki kereta Audi A3 MPV milik Rayyan yang di parkirkan di luar rumah.

"Rania kenapa tak ikut?" Aku memberanikan diri memulakan perbualan.Tali pinggang keledar kutarik dan kenakan ketubuh, kemas. "Dia belum bangun lagi. Malas nak kacau dia tidur.Lagipun kalau dia ada tak dapatlah saya nak bersembang dengan bakal isteri saya ni" Kata-kata Rayyan membuatkan dahiku berkerut."Kenapa? Rania ada awak tak boleh ke nak sembang dengan saya?" Aku memandang wajahnya sekilas sebelum pandangan kuhalakan ke arah jalanraya. Tak sanggup rasanya bertentang mata lagi dengannya. Kereta sudah mula bergerak.

"Bukan macam tu" Dari ekor mata dapat kulihat dia tersenyum. Cermin mata hitam ala-ala pelakon David Caruso dalam drama CSI Miami sudah dikenakann kewajahnya. "Tak bolehlah saya nak interview Saf lebih-lebih" Lagi sekali aku dilanda kehairanan dengan kata-katanya."Nak interview saya? Hish. Macam nak mintak kerja pulak kena berinterview bagai" Aku tersenyum dengan wajah yang masih penuh dengan persoalan. Wajahnya kupandang lagi. Dengan adanya cermin mata hitam dimatanya, berani la sikit aku nak pandang lama-lama.

"Eh mestilah. Awak bakal jadi Ibu kepada Rania. So, saya kena pastikan aku memenuhi tahap piawaian ISO saya" Pandangannya padaku bersilih ganti dengan jalanraya. "Aik. Awak dah pinang saya, baru nak check ISO pebagai?" Tidak tahu kenapa begitu berani aku mempersoalkan setiap kata-kata yang keluar dari mulut lelaki di sebelah aku ini. Dia terdiam. "Err .. Sorry ... Sorry kalau saya tersalah cakap" Serba salah pula aku dibuatnya bila tiba-tiba dia diam seribu bahasa.

Dia menarik nafas dalam dan dilepaskan perlahan-lahan. Masih mendiamkan diri. "Awak tahu. Saya sangat sayangkan Rania. Sayang lebih dari diri saya sendiri" Nada suaranya berubah. Kedengaran agak sayu ditelingaku."Apa saja yang boleh buat dia gembira dan bahagia, tanpa ragu-ragu saya akan buat untuk dia. You just name it. Dia sajalah yang Selena tinggalkan untuk saya" Wajahnya kupandang lagi. Kulit wajahnya kulihat sudah berubah kemerah-merahan ketika ini.

Selena? Nama arwah isterinya kah? Ya. Aku pasti. Melihatkan reaksinya yang agak emosional ketika itu, aku sangat pasti nama Selena yang disebutnya tadi adalah milik wanita yang gambarnya aku nampak di atas meja solek Rania tempohari. Aku hanya mendiamkan diri. Memberi peluang kepadanya untuk terus bercerita.

"Saya terima awak pun sebab Rania. Bila nampak perubahan sikap dia lepas dia kenal awak, saya terus setuju bila Mama cadangkan agar saya meminang awak" Tersentap aku dengan penerangannya sebentar tadi. Ada sedikit rasa sayu memagut perasaanku ketika itu. Tiba-tiba terasa diri seolah-olah diperalatkan. "Saya mintak maaf kalau kata-kata saya tadi buat awak terasa" Seperti memahami apa yang aku rasakan, dia bersuara.

"Takpe. Saya faham." giliran aku pula untuk melepaskan sebuah keluhan. Kepalaku kuhalakan ke sebelah kiri memandang ke luar sambil tangan memintal-mintal tali beg tangan yang ada dipangkuanku."Saya tak bermaksud nak mempergunakan Saf untuk jadi pengganti Selena dalam hidup Rania. Cuma saya harap Saf dapat memberi saya peluang dan ruang untuk belajar menerima kehadiran seseorang yang bergelar wanita dalam hidup saya semula. Kehilangan Selena benar-benar membuatkan hidup saya jadi tunggang terbalik. Kami bercinta 10 tahun Saf. Sejak dari zaman belajar lagi. Semua kenangan dengannya mustahil untuk saya buang hanya dalam masa setahun ni" Kata-katanya membuatkan aku berfikir.

Nampaknya perjalanan cerita aku ini bukannya semudah yang aku rancangkan. Bermula dengan bertemu dengan seseorang yang sama-sama menyintai aku, lepas tu  berkahwin, seterusnya punya anak yang ramai dan akhirnya hidup bahagia selama-lamanya. Terasa betapa ceteknya pemikiran aku selama ini. Langsung tak pernah sekali pun terfikir untuk berkahwin dengan orang yang tidak menyintai aku. Mujur aku benar-benar ikhlas menyayangi Rania. Jika dialah yang menjadi penyebab kepada takdir aku ini, aku redha. Dalam diam aku telah menjadikan kebahagiaan anak kecil itu keutamaanku.



BAB : 13

Setibanya aku dan Rayyan di perkarangan Banglo 3 tingkat itu,  Puan Sri Maria sudah siap sedia menuggu di Gazebo yang diperbuat dari kayu jati Indonesia di taman mini yang terletak di bahagian tepi banglo tersebut dimana terdapat sebiji kolam ikan koi yang mempunyai sebuah jambatan kayu merintanginya.

Pintu kereta kubuka ingin memberi dia ruang duduk di hadapan, tetapi dia pantas menolak dengan mengatakan dia lebih selesa duduk di bahagian belakang. Nampaknya terpaksalah aku menahan debar lagi duduk di sebelah lelaki ini.

"Ray. Kita ke butik KayImage dulu ye. Tengok baju yang Mama dah tempah. Ni Saf ada, boleh la buat fitting sekali" Puan Sri Maria bersuara sebaik sahaja kereta bergerak meninggalkan rumah. Rayyan ku lihat hanya menganggukkan kepala.

"Rania mana Ma?" Aku memulakan perbualan setelah kulihat masing-masing mendiamkan diri."Dia ke sekolah Saf. Tu pun dia tak tahu yang Saf ada ni. Kalau tak,mesti dia tak mahu pergi sekolah. Nak berkepit je dengan kamu. Mama pun pelik dengan si Rania tu. Baru berapa bulan kenal kamu, tapi manjanya tu dah macam bertahun je kenal. Sebelum ni, kalau Ray bawa balik mana-mana kawan perempuan, dia buat tak tahu saja. Sepatah kawan Ray tu tanya, sepatah la dia jawab" Panjang betul jawapan dari bakal ibu mertuaku ini.

Kata-kata terakhir dari Puan Sri Maria membuatkan aku terfikir. Bawa kawan-kawan perempuan ke rumah? Maknanya, Rayyan ni pernah ada pilihan sendiri ke? Kalau tak takkan sampai bawa balik jumpa dengan Mak dengan Ayahnya. Dalam diam aku membuat kesimpulan sendiri.

"Ala Mama ni. Kawan satu tempat kerja la. Lagipun, kalau Ray bawak pun, ramai-ramai kan? Bukannya sorang-sorang" Tiba-tiba kedengaran suara Rayyan mencelah. Isshhk dia ni. Macam tau-tau je apa aku tengah fikir. Aku perasan dia menoleh kearahku. Disebalik cerminmata yang dipakainya, aku tahu pandangannya memang dihalakan kepadaku. Terasa rentak degup jantung bertambah laju. Aku bermain-main dengan 2 bentuk cincin di jari kananku, cuba membuang resah yang bertandang.

"Iyalah tu. Tapi Mama perasan ada sorang kawan perempuan kamu tu, apalah namanya, lupa pulak Mama. Hmmm ... Haaa .. Katrina. Semacam je cara dia bercakap dengan kamu. Lembut je bila dia bercakap dengan kamu. Lepas tu bersungguh-sungguh dia nak ambik hati si Rania tu. Kesian pulak Mama tengokkan bila si Rania buat tak tahu je" Entah kenapa aku rasa seperti bakal Mak Mertua aku ni sengaja nak menduga reaksi aku. Aahh ... Mungkin dia saja nak bercerita. Yelah. Kalau senyap je dah macam kereta mayat la pula nanti.

"Mama ni. Ada-ada je la. Mana ada. Si Katrina tu selalu sama flight dengan Ray. Lagipun, dia memang ramah pun orangnya. Dengan semua orang pun dia macam tu bila bercakap" sangkal Rayyan. Eleh. Nak cover la tu. Entah-entah bila turun je flight terus berkepit 24 jam kat kota London tu. Eh. Kenapa dengan aku ni? Ada semacam rasa yang menjentik-jentik hati aku ketika ini. Cemburu ke aku? Ah! Tak mungkin lah! Lagipun, buat apa nak buang masa cemburukan orang yang terang-terang nak kahwin dengan aku bukan sebab cinta.

"Saf. Senyap je. Saf ok ke?" Tiba  Puan Sri Maria memanggil namaku. Sedikit tersentap aku dibuatnya. "Err .. Ok. Saf ok. Kenapa Ma?" Aku menoleh sekilas ke arah Puan Sri Maria sebelum pandangan kuhalakan ke atas jalanraya. Dapat kulihat Rayyan menyunggingkan senyum kecil dari bibirnya."Tak adalah. Saf senyap je. Mama ingat Saf terasa bila Mama ungkit pasal kawan perempuan si Ray ni" Ni lagi sorang. Sama je macam si Rayyan. Macam tau-tau je apa yang aku dialogkan dalam hati.

"Eh. Takde la Ma. Buat apa saya nak terasa pulak. Saya ok je. Sengaja tak mahu kacau perbualan anak beranak" Aku beralasan. Rayyan ku kerling denga hujung mata untuk melihat reaksinya. Seperti yang kuduga. Dia masih tersenyum. Kali ini semankin lebar senyumannya. Entah apalah yang mencuit hatinya agaknya tu.Hish!

Kereta sudah sedia diparkirkan di hadapan sebuah butik pengantin yang tertulis 'KayImage Bridal'. Nampak eksklusif butik pengantin ni. Dengan lokasinya yang terletak di Soho, tak perlu tengok pun aku tahu harga-harga baju di sini pasti mencapai cecahan puluhan ribu ringgit. Kalau guna duit aku, paling mahal pun beli kat Jakel sajalah jawabnya. Itu saja lah tahap kemampuan aku.

Melangkah saja ke dalam butik, seorang lelaki berperawakan lembut berkemeja potongan fit bewarna pink dan berseluar putih menyambut kedatangan kami. "Puan Sri, sampai juga Puan Sri ke sini yee" Berlagu-lagu lelaki itu bersuara sambil menyalami Rayyan dan menundukkan kepala kepada aku tanda hormat."Awak ni Kay. Saya dah kata nak datang kan. Mestilah sampai. Lagipun, awak bagitau baju tu dah siap untuk diaorang ni cuba pakai kan? Yela. Kalau ada yang terbesar ke, terkecil ke, adalah lagi masa awak nak alter" Tangan Puan Sri Maria sudah sibuk membelek-belek beberapa rekaan baju yang sudah sedia tergantung.

Entah apa lagi yang dibincangkan oleh lelaki bernama Kay itu dan Puan Sri Maria, aku sudah tidak memberi perhatian. Pandanganku sudah tertumpu pada deretan gaun pengantin yang berada tidak jauh dari tempat kami berdiri tadi. Satu persatu gaun yang berbungkus dengan plastik lutsinar itu aku belek.

"Ada yang berkenan ke?" Tiba-tiba satu suara menyapa hampir ketelingaku. Aku menoleh dan Rayyan sudah berdiri betul-betul di belakangku. Hampir saja kepalaku berlaga dengan  hidungnya. Aku manganjak sedikit untuk menjarakkan sedikit tubuhku darinya. "Err .. Tak la. Saje je tengok. Nampak cantik" Aku mengalihkan semula pandangan pada baju yang bergantungan di hadapan aku ini. Mata kupejamkan, cuba meredakan degup jantung yang semankin laju.

"Saf! Ray! Buat apa lagi tu. Meh sini! Cuba pakai baju ni" Panggilan Puan Sri Maria benar-benar menyelamatkan aku dari terus terperangkap dalam situasi yang betul-betul buat aku rasa tak selesa."Ye Ma. Saf datang ni" Segera aku meninggalkan Rayyan dan menuju kearah Puan Sri Maria yang sudah memegang 2 pasang baju bersalut plastik di kiri dan kanan tangannya. Dari ekor mata dapat ku lihat Rayyan mengekor langkahku dari belakang.

Baju ditangan kanan dihulurkan kepadaku sementara yang ditangan kiri diberikan kepada Rayyan. Aku segera berlalu ke fitting room. Baju kusangkutkan di penyangkut yang ada di dalam bilik seluas 5'x5' itu. Cermin panjang berbingkai kayu yang berukir ringkas disetiap penjurunya kutatap. Pipi yang masih berbaki kemerahan ku pegang dengan kedua belah telapak tangan.

Dia kata, dia terima aku sebab Rania. Tapi, kenapa setiap gerak gerinya pada aku macam mengandungi niat yang tersembunyi? Tak! Tak! Dia mungkin teringat dengan arwah isterinya. Aku segera kembali ke dunia nyata. Tanpa berlengah, satu persatu baju kutanggalkan.

Plastik pembalut ku tanggalkan dengan hati-hati. Sepasang baju kurung moden kain satin berwarna cream yang dilapisi penuh dengan renda Alencon berwarna keemasan membuatkan aku sedikit terpesona. Cantik. Sangat cantik. Perlahan-lahan sepasang baju itu kusarungkan ke tubuh.

Cermin kembali kutatap. Baju yang sudah cantik terletak ditubuh ku gayakan di hadapan cermin. Anak tudungku kenakan dikepala dan pintu kubuka untuk menunjukkan bagaimana rupaku dengan baju pengantin itu kepada Puan Sri Maria.

“Perfect!!” Kay, si Pemilk butik menjerit sebaik sahaja dia ternampak aku yang baru keluar dari fitting room. Kedua belah tangan diletakkan dipipi dengan mulut melopong gaya Macaulay Culkin dalam cerita Home Alone. “Cantiknya menantu Mama ni” Kedua belah tanganku sudah berada digenggaman tangan Puan Sri Maria. Terasa merah pipiku saat itu bila dipuji sedemikian rupa oleh mereka berdua.

Ketika Puan Sri Maria membelek-belek baju yang melekat ditubuhku, aku terasa seperti sedang diperhatikan. Aku menoleh kekanan dan tidak jauh dariku, Rayyan yang sedang berpakaian sepersalinan baju melayu warna sedondon denganku yang lengkap dengan samping dari kain tenunan songket Terengganu dan bertanjak sedang memandang kearahku tanpa berkelip. Segera aku larikan pandangan mata kearah lain apabila pandangan mata kami berlaga.

“Ray. Buat apa tercegat kat situ lagi. Mari sini! Berdiri sebelah Saf ni” Puan Sri Maria menggamit Rayyan supaya menghampiri kami. Kelihatan sedikit tersentap dia mendengar panggilan Ibunya. Perlahan-lahan dia mengatur langkah kearah kami.

“What a perfect couple” Kay menarik tanganku agar aku berdiri lebih rapat dengan Rayyan. Dah macam model pakaian pengantin pulak aku rasa bila Kay kerap memuji keserasian kami berdua. Puan Sri Maria hanya tersenyum puas hati.

“Ok! Kita try lagi tiga pasang baju lagi … Cepat-cepat tukar. We got a lot of places to go after this” Membulat mata aku mendengar kata-kata Puan Sri Maria.Apa?? Tiga pasang baju lagi?? Ni nak kahwin ke nak naik tahta ni? Aduh! Lewat malam la aku balik nampak gayanya kalau macam ni. Layankan je la Safiyyah Akina oiiii. Aku memujuk hati sendiri sambil melangkah lemah ke fitting room.
 

Thursday, May 29, 2014

KISAH KAMI : BAB 11

SEPERTI yang sudah aku duga, melangkah saja aku masuk ke tempat kerja hari ini, Miss Lai, Shahrul dan Wani sudah sedia menungguku di kaunter Cashier sambil tersenyum-senyum penuh makna.

“Amboiii … Menonong je dia jalan. Nak mengelak la tu” Mereka bertiga mengekori langkahku yang berjalan melintasi mereka dengan muka selamba menuju kearah meja kerjaku di bahagian belakang bilik pameran.

“Apa yang Si Erul kepoh ni dah cerita kat korang berdua ni ha? Hissh” Aku mempamerkan wajah jengkel. Beg silangku letakkan di dalam laci kabinet di bawah mejaku. Tudung yang kurasakan kurang kemas ku betulkan.

“Aku cerita yang betul la. Pasal cucu Puan Sri tu panggil kau Mummy, pasal Abang hensem tu asyik ralit perhatikan kau walaupun tengah berbual dengan aku dan yang paling penting, pasal Abang hensem tu sebenarnya dah jadi solo and available semula. Berita penting tu tahu tak?” Shahrul bercerita siap dengan tangannya bergerak ke atas, ke bawah, ke kanan dan ke kiri. Mengalahkan orang berpidato saja lagaknya. Aku tergelak mendengar kata-kata Shahrul.

“Kau ni Erul. Banyak sangat fikir la. Kan aku cakap semalam … Si Rania tu panggil aku Mummy sebab Mak dia dah meninggal dan sepanjang aku buat kerja kat ruman Puan Sri tu, aku memang rapat dengan dia. Pasal si Rayyan tu yang asyik perhatikan aku je, kau jugak yang cakap dulu, aku ni cantik. Biasalah kalau lelaki yang normal suka pandang. Maknanya si Rayyan tu normal la kan. Dan yang pasal Rayyan tu dah kembali solo and available pulak, aku pun baru tahu kan? Takkan la aku nak canang satu dunia kot status dia? Buat malu je” Panjang lebar aku menjawab. Penat jugaklah aku merangka ayat ni masa dalam perjalanan pergi kerja tadi.

Muka Shahrul mula berkerut seribu. Masih tidak dapat menerima penjelasan dari aku. “ Suka hati korang la. Nak percaya, percayalah. Tak nak percaya, sudah. Aku nak pergi toilet kejap. Nak membuang tuuutttt” Aku terus berlalu sambil menarik nafas lega.

“So, kalau aku nak try dengan mamat Audi T9 tu boleh la kan Saf!” Kedengaran suara Wani sayup-sayup ketika aku melangkah masuk ke dalam tandas yang tidak berapa jauh dari meja kerja kami semua. Gedik! Getus hatiku.

Petang itu, sedang aku sibuk bersembang dengan Wani di kaunter Cashier, aku menerima panggilan daripada Puan Sri Maria yang mengajak aku ke rumahnya selepas pulang kerja nanti. Katanya ada hal mustahak. Tanpa ada pilihan aku bersetuju.

Sebelum bertolak ke rumah Puan Sri Maria malam itu, aku balik dulu ke rumah. Lebih selesa rasanya jika aku membersihkan diri dahulu dan mengenakan pakaian yang lebih santai. Baju kemeja denim berwarna biru laut kupadankan dengan seluar jeans berwarna putih. Tudung Syria kesarungkan ke kepala. Cukup ringkas dan mudah. Selepas memberitahu arah tujuku kepada Umi dan Babah, aku pun bertolak ke rumah Puan Sri Maria.

Tepat jam 9 malam, barulah aku sampai di perkarangan rumah Puan Sri Maria. Biasalah kalau hari bekerja, kalau jalan tak jem memang tak sah rasanya.

Mak Som, pengasuh Rania menyambutku di muka pintu. Katanya Puan Sri Maria dan Tan Sri Rasydan sedang bersolat . Aku yang kebetulan memang sedang ‘cuti’ hanya mengangguk sambil mengikuti langkahnya menuju ke ruang tamu.

“Cik Saf dah makan?” Aku hanya mengangguk sambil tersenyum. “Kalau belum boleh la Mak Som sediakan untuk Cik Saf” Wanita separuh abad itu bersuara, ramah. “Takpela. Saya dah makan sebelum kemari tadi. Eh, Mak Som panggil je la Saf. Tak payah nak formal sangat la. Err … Rania mana Mak Som?” Aku bertanya setelah melabuhkan punggung di atas sofa kulit berwarna coklat gelap yang terdapat di dalam ruang tamu utama itu.

Mak Som yang sedang menuangkan air teh ke dalam beberapa cawan yang ada di dalam dulang di atas meja kopi kayu jati di hadapanku tersenyum. “Kenapa? Rindu ke?” Aku turut tersenyum mendengar pertanyaan wanita berusia dalam lingkungan 50an yang berbadan gempal itu.

”Rindu sangat” aku menjawab dengan gaya ala-ala comel membuatkan Mak som tergelak, lucu.

“Si Rania keluar dengan Daddynya tadi. Dari sebelum Maghrib lagi. Tak taulah kemana dua beranak tu pergi. Eh, Saf minum la air teh tu dulu ye. Mak Som nak sambung kerja sikit kat dapur tu” Mak Som yang sudah siap menuangkan air teh sudah berdiri, bersedia untuk berlalu pergi. Aku hanya mengangguk dan mengiringi langkah Mak Som ke dapur dengan pandangan mata.

“Saf, dah lama ke sampai?” Kedengaran suara Puan Sri Maria menyapa. Aku menoleh kearah suara itu dan kelihatan Puan Sri Maria dan Tan Sri Rasydan sedang menuruni tangga dengan mata mereka memandang kearah aku.

“Eh mama. Takdela lama mana pun. Baru je” Aku bangun dan berjalan menghampiri mereka. Tangan Puan Sri Maria kusalam dan kukucup. “Papa, sihat?” pandangan mataku alihkan pada Tan Sri Rasydan pula.”Alhamdulillah Saf. Sihat macam ni lah. Sihat orang tua” Tan Sri Rasydan mengambil tempat duduk berhadapan dengan tempat yang aku duduki sebentar tadi.

“Ada apa mama mintak Saf datang ni?” Aku kembali duduk. Raut wajah di sebelahku kupandang. “Esok Saf ambik cuti boleh?” Tanganku digenggam erat. Gayanya sama seperti Umi sekiranya mahu meminta aku berbuat sesuatu. “Err … Saf tak boleh nak janji la Ma. Tengah malam sikit nanti Saf cuba call Supervisor Saf bagitau dia yang Saf ambik EL esok” Serba salah aku dibuatnya. Selama ini, bukan aku tak tahu yang Miss Lai memang susah tahap dewa kalau nak bagi orang cuti emergency macam ni.

“Bukan apa. Majlis kahwin kamu dengan Rayyan dah dekat sangat dah ni. Bab pelamin, venue dengan semua benda decoration tu, mama dah upah wedding planner yang buat semua. Tapi, kalau boleh, bab food testing dengan fitting baju ni, Saf kenalah ada sama ye” Tarikh keramat yang membuatkan aku runsing selama ini di bangkitkan juga akhirnya. Kali ini aku betul-betul tak boleh nak mengelak. Nanti apa pula kata Umi dan Babah kalau aku buat endah tak endah saja mengenai persiapan majlis perkahwinan aku ini.

“So, macamana Saf? Ok ke?” Mama cuba mendapatkan reaksi aku yang masih membisu “Ermm ... Ma, Pa, majlis  besar-besaran ni, Saf tak kisah. Cumanya kalau boleh, tak perlulah panggil press ye. Sebab Saf ni darah gemuruh. Lagipun, Saf harap this event can be more intimate, just between us and our family members ... And what more important is that  Rania will not feel like she's been left out” Akhirnya, dengan penuh hati-hati aku luahkan juga kerunsingan aku padanya sejak beberapa hari yang lalu ini.

Puan Sri Maria dan Tan Sri Rasydan saling berbalas pandang.”Saf ok ke? Mama tak mahu membezakan perkahwinan pertama Rayyan dulu dengan perkahwinan dia dengan Saf. Anyway, this is your wedding day. You should be treated like a queen” Puan Sri Maria membelai pipiku. Sebak rasa hati. Tak sangka ada lagi orang kaya yang baik hati seperti mereka di dunia ini. Penuh dengan sifat rendah diri dan tidak memilih bulu. Beruntung aku kerana diberi peluang untuk menjadi salah seorang dari anggota keluarga mereka.

Aku tersenyum. Tangan mama dipipiku ku sentuh.”It’s ok la mama. Apa yang mama buat semua ni pun dah more than enough. Saf pulak yang rasa malu” Puan Sri Maria turut tersenyum mendengar kata-kata aku.

“Jadi, esok pagi pukul 8 Rayyan jemput Saf kat rumah ye” Kata-kata mama itu membuatkan aku sedikit terkejut. Cawan berisi air teh panas dicapai dan dihirup perlahan. “Eh. Tak payah la ma. Err … Biarlah Saf drive sendiri ke sini dulu esok pagi. Takdelah menyusahkan Rayyan” Aku menolak, lembut.

“Apa yang susah pulak. Saf kan bakal isteri saya” Suara yang tiba-tiba kedengaran itu membuatkan mukaku berubah menjadi sedikit kalut. “Mummy …” Entah dari mana munculnya, titab-tiba Rania sudah berada dihadapanku dan tubuhku dirangkul kemas. Dia menyelesakan dirinya duduk di atas pangkuanku.

“Lagipun kalau kita balik lewat, takdelah Saf kena drive balik sorang-sorang. Nanti apa pulak kata Umi dan Babah” Rayyan yang sudah mengambil tempat duduk si sebelah Tan Sri Rasydan kupandang. Dia duduk bersandar dengan matanya dipejamkan lagak orang kepenatan pulang dari kerja.

“Kamu kemana Ray? Dah dekat pukul 10 baru balik. Dah la bawak budak kecik” Puan Sri Maria menegur anak bujangnya. Aku hanya memerhati. Rania yang berada dipangkuanku sudah beberapa kali menguap.

“Tak kemana pun Ma. Bawak si Rania ni main kat Playland kat Ikea tu. Punyalah ramai orang. Terpaksalah tunggu giliran. Si Rania ni macam Mama tak tau. Kalau dia kata nak, macamana lambat sekalipun, dia sanggup je tunggu” Rania yang sudah terpejam di pangkuanku dipandang. Aku membiarkan Rania berbaring beralaskan lengan dipangkuanku. Sesekali rambutnya yang menutup mata aku tolak ke belakang.

“Penat sangat la tu sampai tertidur. Kesian si Saf. Dah la kecik. Kena pulak pangku anak dara ni. Ray, angkatlah anak kamu ni masuk bilik tidur sana” Puan Sri Maria menyuruh. Rayyan menghampiriku. Wajahku yang hampir berlaga dengan wajahnya ketika dia tunduk untuk mengambil Rania dari pangkuanku, membuatkan tubuhku tersandar ke belakang sedikit rapat ke sofa. Seketika pandangan kami bersatu.

“Ehem. Jangan tenung lama sangat Ray. Belum halal lagi tu” Teguran dari Puan Sri Maria mengembalikan kami ke alam nyata. Aduh! Malunya! Ini kali kedua kami buat wayang free di hadapan Puan Sri dengan Tan Sri ni. Apa yang pasti, muka yang merona merah kutundukkan menatap carpet warna merah hati yang lembut mengalas kakiku. Dari ekor mata dapatku lihat Rayyan berlalu menaiki tangga dengan senyuman selamba. Sakit pulak hati aku ini. Boleh dia buat selamba macam tu? Huh !

Wednesday, March 5, 2014

KISAH KAMI : BAB 10

KALENDAR di atas meja kerja aku belek-belek untuk kesekian kalinya. Tarikh 1 Mac yang sudah aku bulatkan besar-besar kutatap berkali-kali. Tinggal tak sampai dua bulan lagi, tarikh itu bakal menjengah. Sebuah keluhan berat aku lepaskan. Permintaan dari Rayyan beberapa minggu yang lepas masih lagi aku pertimbangkan. Sebarang keputusan belumku buat. Aku sayang tempat kerjaku sekarang.

Walau gaji takdela semewah mana, tapi sepanjang aku bekerja di sini, hati aku senang. Tak ada politik-politik kerja yang memeningkan kepala, tak ada masalah dengan teman-teman sekerja yang lain. Fun and Exciting! Itu yang dapat aku ringkaskan tentang tempat kerja aku ini.

"Hoi makcik!! Berangan ke??!!" Tepukan kasar di atas meja amat mengejutkan aku. Hendak melayang nyawa kurasakan. Kurang asam betul budak Shahrul ni!!! Dadaku usap-usap laju sambil memberi jelingan maut kepada Shahrul yang dengan tertibnya mengambil tempat duduk di hadapanku sambil tersengih-sengih macam kerang busuk.

"Kau kenapa beb? Semenjak dua menjak ni macam tak fokus je. Amoi sorang tu pun dah mengadu domba kat aku. Layan pelanggan pun macam nak tak nak dah sekarang ni. Kami taulah target kau dah lepas sebab projek Puan Sri kau tu dah settle dan dah habis bayar pun. Tapi, takkanlah kau tak fikir bulan-bulan akan datang ni" Panjang lebar Shahrul membebel di hadapanku. Macam burung murai pun ada aku tengok.Mengalahkan Mak Nenek. Huh!

"Takde apa lah. Aku sekarang ni badan rasa tak sedap je. Tu yang macam takleh nak concentrate buat kerja tu" Tak tahu lah munasabah atau tidak alasan yang aku berikan pada Shahrul. Itu saja yang mampu aku fikirkan."Eh ... Takkanlah kau dah .. Err .. Tapi, bila masa pulak kau ehem-ehem. Ke kau dah kahwin tapi tak bagitau kat kitaorang???" Mencerlung mataku memandangnya mendengarkan luahan serkap jarangnya itu. "Kau ni. Aku gurau jela. Kalau ta sihat, pergilah check up. Takut penyakit lain pulak" ayat cover dari shahrul itu membuatkan aku mengeluh lagi.

"Tengoklah nanti. Tapi aku rasa ni kesan dari aku tak cukup tidur je kot. Yelah. Sepanjang nak siapkan projek Puan Sri tu, tiap malam aku tidur pukul 3-4 pagi. Kau pun tau kan. Macam-macam benda jadi masa last-last minute  hari tu. Track habis stok la. Kain tersalah potong la.Huih! Macam-macamlah!" Kali ini aku memberikan jawapan yang kurasakan agak kukuh. Kerana memang benar pun aku kerap tidur lewat.

Tapi, kebanyakkan masa adalah kerana memikirkan nasib diri yang dijodohkan dengan orang yang aku tak kenal hati budinya dan yang paling kritikal, aku ni dijadikan macam Ibu gantian pulak tu! Sakit kepala datang menyerang kembali. Laju tanganku menyapu minyak angin di kiri dan kanan dahiku.

"Hmmm .. Aku rasa, kau patut mintak cuti la Saf. Amik la 2-3 hari. Rilekkan diri kau tu. Kembalikan balik semangat dan tenaga kau tu. Lagipun sepanjang siapkan projek tu, jarang betul aku nampak kau cuti. Tiap hari aku nampak kau kat showroom ni" Shahrul memberi cadangan dengan muka yang serius."Tapi, janganlah ambik cuti hujung minggu ye. Tak menang tangan nanti kami dibuatnya. Tak pasal nanti kau naik kerja, Miss Lai dah tinggal kulit dengan tulang" Pantas saje riak wajahnya bertukar dan dia tergelak. Aku turut sama ketawa apabila membayangkan tubuh Miss Lai yang agak berisi itu tiba-tiba mengecut tinggal kulit dengan tulang sahaja.

"Saf! Erul! Apa you all berdua buat kat belakang tu?!!! Sini depan ada banyak kerja lah!!" Teriakan dari Miss Lai membuatkan ketawa kami terbantut. Kami menutup mulut menahan ketawa yang masih bersisa dan sama-sama melangkah ke ruang hadapan bilik pameran supaya jeritan yang ibarat halilintar itu tidak berkumandang lagi. Nasib baik lah tak ada pelanggan. Kalau tak, mau lari diaorang semua mendengar lontaran suara dari Supervisor aku tu.

Malam itu selepas waktu kerja, kamu semua sepakat untuk pergi menjamu selera di restoran Shogun yang terletak di Kompleks membeli belah 1Utama. Kalau nak diikutkan, inilah aktiviti staf di bilik pameran Greta's Curtains hampir setiap bulan. Cuma aku saja yang jarang turut serta kerana lebih suka terus balik ke rumah dan lepak-lepak dengan Umi dan Babah.

Oleh kerana reservation telah dibuat lebih awal, maka sesampainya kami di restoran tersebut, beberapa buah meja telah disediakan untuk kami. Siap tersedia lagi air green tea dia atas meja. Tinggal tuang dan minum saja. Aku dan Shahrul awal-awal sudah menyerbu meja buffet dimana terdapatnya hidangan tempura. Segala macam sayur digoreng tepung ada termasuklah makanan laut iaitu udang dan sotong. Kebetulan malam itu tidak terlalu ramai orang. Jadi, tak perlulah kami menunggu lama dan berebut-rebut dengan orang lain.

Jam sudah menunjukkan pukul 9 malam. Aku mohon diri untuk pulang. Walaupun pada mulanya Miss Lai tidak mengizinkan aku pergi, tapi setelah memberitahunya yang Umi sudah beberapa kali menelefonku akhirnya dia melepaskan aku pergi.

"Eh Saf. Tunggu! "Baru saja aku melangkah keluar, kedengaran namaku dipanggil. "Aku tumpang kau ye. Kereta aku ada kat showroom la. Lagipun diaorang ni nak sambung pergi karaoke pulak lepas ni. Aku malas nak join"  Shahrul yang kemengahan berkata dengan nafas yang turun naik."Tula. Tak pernah nak exercise. Lari sikit dah mengah" Perliku."Jomlah" Kami berjalan beriringan.

"Mummy! Mummy!" Sayup-sayup aku terdengar suara yang amat kukenali. Terhenti langkahku dibuatnya. Perasaan panik mula menyerang. Mintak-mintaklah suara halus yang memanggil aku itu bukan dari kanak-kanak kecil yang tergambar dalam kepala otak aku saat ini.

"Kau kenapa ni Saf?" Shahrul yang telah meninggalkan aku beberapa tapak di hadapan menoleh kearahku dan turut sama menghentikan langkahnya."Err .. Errr" Otak aku tiba-tiba kosong. Tak tahu apa yang perlu aku jawab.

"Mummy!" Bagai nak tercabut jantungku disaat terasa tanganku dipaut seseorang. "Eh, Rania. Ingatkan siapalah tadi" Dengan pergerakan yang agak teragak-agak aku melutut sebelah kaki di hadapan kanak-kanak comel itu. Dari ekor mata dapat kutangkap riak wajah Shahrul yang kehairanan.

"Rania buat apa kat sini ni?" Kedua belah pipi tembam itu ku pegang lembut. Dia tersengih. "Jalan-jalan dengan Daddy" Pantas jarinya menunjuk kepada seseorang yang sedang berjalan menghampiri kami. Mankin sesak nafas aku dibuatnya. Shahrul sudah berdiri di sebelah aku."Eiiii ... Comelnya dia" Pipi gebu Rania dicuit Shahrul geram.

" Saf buat apa kat sini?" Rayyan yang sudah berada di hadapan kami membuatkan wajah Shahrul semankin kebingungan. Aku bangun memandangnya. Jari jemari Rania masih berada dalam genggaman tanganku."Err ... Keluar makan-makan dengan geng kat tempat kerja. Diaorang ada lagi lepak kat Shogun tu. Kami nak balik dah ni. Nak hantar si Erul ni kat showroom dulu ambik kereta dia" Jawapan penuh aku berikan padanya.

"Oh ye. Erul,  ni Encik Rayyan. Anak Puan Sri Maria. Encik Rayyan, ini Erul, kawan sekerja saya " Walau aku sudah tahu yang Shahrul memang sudah kenal benar gerangan si empunya wajah yang kacak itu, aku masih ingin memperkenalkan juga kerana aku tahu Rayyan belum berjumpa dengan Shahrul secara rasmi lagi. Huluran salam sama-sama diberikan dan mereka bertukar senyuman.

"Puan Sri tak ikut sekali ke?" Aku cuba berlagak selamba. Mataku melilau tercari-cari wajah bakal Ibu mertuaku itu. "Tak. Saja bawa Rania jalan-jalan. Mama tak larat nak ikut. Penat katanya. Lagipun dah lama tak ke sini" Tangan kanan dimasukkan ke dalam poket manakala tangan kirinya membelai rambut Rania yang masih setia berdiri di sebelahku.

"Errmm ... Okla Encik Rayyan. Kami mintak diri dulu la ye." Akhirnya aku bersuara setelah menyedari wajahku tak lepas-lepas jadi bahan renungan dan tenungan lelaki berbadan sasa di hadapanku ini."Rania. Mummy balik dulu ye. Nanti kalau Mummy cuti, Mummy datang jenguk Rania ok" Aku berlutut lagi. Kedua belah bahu kecil itu kupegang erat."Promise?" Dia menghulurkan jari kelingkingnya kepada aku."Promise" Jari kelingking kami bertaut dan kami tergelak kecil. Hidungku lagakan kehidungnya.

Setelah melambai-lambai pada Rania aku terus melangkah pergi dari situ tanpa menoleh ke belakang. Puas juga si Shahrul cuba mengejar langkah aku yang sengaja kuatur panjang-panjang. Tali beg aku pintal-pintal sambil otak ligat memikirkan jawapan-jawapan yang bakal aku berikan kepada soalan-soalan cepu emas dari Shahrul di dalam kereta nanti.


SHAHRUL  menatap wajahku, masih tidak puas hati. Aku berlagak selamba dengan mata masih kutumpukan pada pemanduan."Kau tak jawab lagi soalan aku Saf. Kenapa anak si Rayyan tu panggil kau Mummy?" Soalan yang sedari tadi diajukan sejak kami meninggalkan bangunan 1Utama diulang semula. Masuk kali ini rasanya sudah dekat 10 kali dia bertanya. Aku hanya menjawab dengan senyuman atau dengan keduabelah bahuku naikkan. Sengaja membiarkan dia berspekulasi sendiri.

"Saje jela. Si Rania tu kan dah takde mak. Kebetulan aku kan kerap ke sana masa buat projek kat rumah Puan Sri tu. So, lama-lama dia tukar panggilan Aunty jadi Mummy. Aku pun tak sedar bila dia start panggil aku Mummy" Jawapan yang sedari tadi aku rangka, terluah juga akhirnya. Bagi aku, jawapan itu sudah cukup logik.

"Eh ... Wait, wait. Tak ada mak? Mak dia kenapa? Divorce ke? Atau ... dah meninggal?" Aku terlupa yang cerita Rayyan memegang status duda memang sengaja aku rahsiakan dari budak-budak di tempat kerja memandangkan sebelum ini, Miss Lai dan Shahrul sangat suka menyakat aku. Tapi nak menyesal pun tak guna. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, hah .. Tanggung la sendiri Safiyyah Akina oiiii. Aku menggaru kepala yang tak gatal.

"Err .. Mak dia dah meninggal setahun yang lepas" Akhirnya aku berterus terang."Oooohh ... ok ... and you already know about this since when?" Shahrul mencekak pinggang memandang aku tak puas hati. Keningnya terangkat sebelah ala Ziana Zain. "Eh .. Aa .. Aku pun baru tau la! Haa ... Masa hari last pasang wooden blind kat rumah Puan Sri hari tu" Aku cuba mereka cerita. Malas nak memanjangkan isu. Si Shahrul ni memang tak boleh nak diajak berlawan kata. Nanti, tak pasal-pasal aku tercerita mengenai status terkini aku yang sudah menjadi tunangan orang.

"Iyee kee ..??" Dagunya yang tak berjanggut diurut-urut dengan pandangan mata masih tertumpa padaku."Eh ... Iyalah. Takkan la aku nak tipu kau pulak kan" Maafkan aku kawan! Aku berteriak di dalam hati. Aku bukan sengaja ingin menipu. Hakikatnya, aku masih belum bersedia untuk berterus terang dengan kawan-kawan di tempat kerja mengenai statusku sekarang. Apatah lagi, pertunanganku ini adalah kerana aturan keluarga. Dah macam zaman dulu-dulu pulak. Nasib baiklah bakal suami aku hensem. Aku tersengih sendiri.

"Oiiii ... Kau ni tersengih-sengih sendiri kenapa? Tengah pasang angan-angan nak jadi Mrs Rayyan la tuuuhh" Shahrul mula menyakat. Aku hanya tersenyum hambar. Ini lah yang aku ingin elak. Terpaksa mendengar usikan yang pasti akan membuatkan hati aku membengkak. Ini baru tahu yang Rayyan tu duda. Aku tersengih pun dia boleh kaitkan dengan mamat tu. Kalaulah dia tahu aku ni tunang Rayyan. Lagi parah la jawabnya. Mahu bernanah telinga aku nak mendengar Shahrul menggusik dan memperli aku setiap hari. Tu belum lagi Miss Lai dan Wani bersuara lagi. Aduh .... !!

Jam di dashboard sudah menginjak kepukul 10 malam sewaktu aku menurunkan Shahrul di tempat parkir Greta's Curtain tadi. Lima minit selepas itu, aku sudah dalam perjalanan pulang ke rumah.

Bunyi isyarat whatsapp yang masuk dari handphone mengganggu sedikit tumpuan pemanduanku. Tertera nombor yang asing di skrin whatsapp. Kubuka mesejnya sambil mata silih berganti memandang ke jalan. Nasib baiklah jumlah kereta di atas jalanraya sudah agak berkurangan.

'Assalammualaikum. Dah sampai rumah ke?'

Aku mengerutkan kening membaca sebaris ayat itu. Siapa la pula ni? 019 2821771. Siapalah agaknya yang empunya nombor ni. Ligat kepala aku cuba mengingat.

'Waalaikummussalam. Siapa ni?'

Satu persatu aku menaip. Tak sampai seminit Whatsapps aku sudah berbalas.

'Nombor tunang sendiri pun tak kenal ke?'

Gulp!! Aku menelan air liur. Kesat saja rasanya. Tunang? Rayyan ke??? Membulat mata aku memikirkan kemungkinan itu. Kedengaran kereta di belakang aku membunyikan hon. Baru aku tersedar yang aku memandu pada kelajuan 60km/jam di lorong laju. Segera aku beralih kelorong perlahan. Pemandu kereta BMW putih yang baru memotong aku memberikan pandangan tajam sambil mengangkat tangan tanda protes. Aku buat muka selamba.Nak kemana la bawa laju macam pelesit tu. Aku merungut dalam hati.

'Kenapa diam?'

Satu lagi Whatsapp menyedarkan aku yang pertanyaan Rayyan tadi belum kujawab.

'Tengah drive. Sorry, saya tak simpan nombor awak. Yang ada nombor Mama je'

Agak lambat aku menaip memandangkan aku belum cukup pakar untuk berbalas mesej dengan menaip huruf-huruf di touch screen telefon aku ini sambil memandu.

'So, ni dah ada, simpanlah. Lain kali senang kalau ada apa-apa. Boleh call saya terus'

Hah!! Nak call dia? Eiii ... Tak adalah kot. Mintak-mintak janganlah ada 'apa-apa' yang berlaku yang boleh menyebabkan aku terpaksa menghubunginya. Aku berdoa sungguh-sungguh.

'Saya dah sampai rumah. Baru parking kereta. Kirim salam dengan mama dan papa. Assalammualaikum'

Ayat itu kutaip laju sebaik sahaja kereta memasuki perkarangan rumah dan handbreak ku tarik.

'Waalaikummussalam. Ok'

Ringkas jawapan penutupnya. Tiba-tiba terasa lucu. Kenapa pulak dengan mamat ni? Selama ni, kalau aku balik lambat pun tak ada lah pula dia nak bertanya bagai. Ataupun, ini sebab dia nampak aku dengan Erul tadi? Persoalan-persoalan dan telahan-telahan yang baru muncul membuatkan aku tersenyum. Alarm kereta kuaktifkan dan langkah kuatur lemah menuju ke dalam rumah.

Sebaik sahaja pintu kubuka, suasana yang gelap gelita menyambutku.. Jam dinding di atas TV aku kerling. Dah pukul 11.30 malam. Patutlah kelibat Umi dan Babah tak kelihatan. Dah masuk tidur lah tu. Mungkin kerana aku telah menelefon mereka untuk memberitahu yang aku akan sampai di rumah sekitar pukul 11 dan menyuruh Umi dan Babah supaya tidak perlu menunggu sehingga aku pulang.

Aku membersihkan diri kerana badan sudah rasa agak berlengas. Lagipula aku sedang 'uzur'. Sungguh tak selesa sekiranya tidur tanpa mandi terlebih dahulu. Nasib baiklah Babah memasangkan water heater di dalam bilik airku. Dapatlah aku merasa mandi air panas. Itupun setelah kerap dilihatnya aku balik lewat dan mandi ketika jam sudah melepasi pukul 10 malam.

Selesai mandi aku terus melabuhkan kepala di atas bantal empukku. Tak sampai 10 minit, aku sudah lena dibuai mimpi. Entah kenapa, malam ini, wajah Rayyan menghiasi watak utama di dalam mimpiku. Dah kenapa dengan aku ni?? Gila bayang ke?? Tidak !!!!!

Monday, February 3, 2014

KISAH KAMI : BAB 9

HARI-HARI mendatang berlalu dengan terlalu pantas bagiku. Sedar tak sedar, projek langsir aku di rumah Puan Sri Maria merangkap bakal ibu mertuaku hampir siap. Tinggal bilik tidur Rania dan Rayyan yang masih belum siap.

Pada Puan Sri Maria aku mohon agar status aku dirahsiakan dahulu. Bukan malu tapi tidak mahu timbul spekulasi yang bukan-bukan dari rakan sekerjaku yang lain. Puan Sri Maria tiada bantahan asalkan aku pandai menjaga diri yang sudah menjadi tunangan orang.

Hari ini atas permintaan Puan Sri Maria, aku turut sama turun padang untuk melihat hasil dari penat lelah aku selama hampir sebulan lebih ini.

Ketika Alex dan 3 lagi Installer yang lain masih mengemaskini kerja mereka di bahagian dapur, aku menuju ke bilik Rania sambil anak itu bergayut ditanganku seperti selalunya tiap kali aku berkunjung ke banglo mewah itu.

“Mummy, inilah bilik Rania” Dia terus menerpa kearah katilnya yang dihiasi persalinan serba ungu berkonsepkan gambar kartun animasi Snow White. Set bilik tidurnya nampak sungguh comel dengan tema ala-ala Princess Castle.

Amat bersesuaian dengan design langsir yang aku pilihkan untuknya. Roman Blind yang bercorak garisan halus berwarna-warni dengan corak melintang dan digandingkan dengan kain sheer berwarna putih yang pada kakinya terdapat corak lace berwarna ungu gelap digantung ke aluminium track yang disembur dengan warna lilac.

Tiba-tiba mata aku tertacap pada 2 bingkai gambar yang terletak di atas meja solek gadis kecil itu. Satu bingkai terisi gambar aku, Rania dan Rayyan pada hari pertunangan ku tempohari. Manakala satu lagi bingkai terisi gambar seorang wanita yang ayu bertudung sedang sarat mengandung  dimana keduabelah tangannya di letakkan di bawah perutnya yang bulat memboyot.

Perlahan-lahan gambar itu aku angkat. Rania yang duduk bersila di atas katilnya hanya memerhati.” Tu gambar Mummy lama Rania. Cantikkan? Cantik macam Mummy Rania sekarang ni. Dia merangkul leherku yang sudah duduk di birai katil, dari arah belakang.

Aku tersenyum. Pipi gebunya kucium penuh kasih. Memang cantik Mak kandung Rania. Dari pandangan mata aku, wajahku langsung tak mirip dengan wajahnya kerana dia jauh lebih cantik dari aku. Wajahnya sekali pandang ada iras 'Mat Saleh' yang bertudung. Hidung mancung, anak mata berwarna agak kehijauan dan bibir penuh yang menguntum senyuman manis.

Ciuman yang hinggap dipipi menyentap lamunanku.”Rania sayang Mummy sekarang. Daddy cakap, Mummy Rania dulu, Allah dah panggil dia balik. Daddy cakap nanti, dia, Nenek, Atuk, Rania pun Allah akan panggil. Tapi, sebelum tu, Daddy cakap Rania kena banyak-banyak doa untuk Mummy. Nanti lagi senang Rania nak jumpa dia lagi. Daddy cakap, Mummy Rania yang sekarang ni Allah bagi sebab Allah kesian dengan Rania yang selalu sedih sebab tak ada Ibu. Jadi, Rania kena selalu bersyukur. Alhamdulillah” petah anak kecil itu bercerita.

Ayat terakhirnya betul-betul menyentuh hatiku. Sungguh aku kagum kerana anak sekecil itu sudah benar-benar memahami erti kehilangan. Tubuh kecil itu kurangkul dan kubawa kepelukanku erat.

“Laaa … Kat sini rupanya dia. Dok berkepit je dengan Mummy baru dia.” Puan Sri Maria yang entah sedari bila tercegat di muka pintu mula menapak menghampiri kami. “Jom makan. Mummy kan tengah buat kerja. Jangan lah kacau dia sayang. Jom ikut nenek” Puan Sri Maria menghulurkan tangan pada Rania. Anak kecil itu mengeleng-gelengkan kepalanya laju.

“Rania. Janganlah macam ni. Pergi la mamam dulu ye. Mummy ada kerja nak buat ni. Nanti, kita sembang lagi, ok?” Aku pula cuba memujuk.”Bila Mummy nak pindah duduk sini?” Soalan yang tak kuduga itu membuatkan lidahku tiba-tiba jadi kelu.

“Kalau Rania be a good girl, ikut kata Nenek, Daddy dan Atuk, tak lama lagi Mummy duduk la sini ” Akhirnya aku bersuara apabila gadis cilik tu setia menatap wajahku penuh pengharapan.

Rania tersenyum puas hati dengan kata-kataku sebelum mencapai huluran tangan neneknya. “Saf nak balik nanti bagitau Mama dulu ye. Nak uruskan sikecik ni kejap” Puan Sri Maria keluar sambil memimpin Rania dan menghilang di sebalik dinding yang dicat dengan warna lilac.

Alex dan orang bawahannya sudah selesai menyiapkan kerja mereka hari itu. Esok mereka akan datang lagi untuk menguruskan bilik Rania dan Rayyan pula. Jam sudah menunjukkan ke pukul 7 petang. Memandangkan aku tak perlu pulang semula ke Greta’s Curtain kerana sudah lewat, Puan Sri Maria meminta agar aku dapat sama-sama menikmati makan malam di rumahnya.

Seperti biasa, bila melibatkan pujuk rayu dari Rania, aku akhirnya mengalah dan menurut sahaja. Umi dan Babah telah aku hubungi supaya mereka tidak terlalu risau sekiranya aku balik lambat nanti.

Malam itu, Puan Sri Maria memberi ‘cuti masak’ kepada orang-orang gajinya kerana ingin menyediakan juadah makan malam bersama aku. Selesai solat Maghrib tadi kami terus ke dapur.

Tan Sri Rasydan sedang membaca suratkhabar di ruang tamu dengan tv terpasang. Itu yang sempat aku lihat sewaktu turun dari bilik solat dan disapa ramah oleh Tan Sri Rasydan.

“Rayyan balik malam ni. Sedar tak sedar, dah seminggu dia ke London” Puan Sri Maria yang sedang mengacau kuah asam pedas ikan pari yang baru hendak mendidih bersuara pada aku yang sedang sibuk memotong sayur sambil diperhatikan oleh Rania yang duduk bertongkat dagu di sebelah aku.

“Err … Ooo … Yeke? Kerap ke dia ‘terbang’ ke London Ma?” Aku memberanikan diri bertanya. Tangan yang sedang mematah-matahkan kacang panjang menjadi sedikit gugup apabila mendengar nama Rayyan disebut. Seingat aku, kali terakhir aku bertentang mata dengannya adalah ketika majlis pertunangan kami beberapa minggu yang sudah.

“Memang regular trip dia Saf. Jadi, memang kerapla. Dalam sebulan, dia mesti ke sana dalam seminggu ke dua minggu. Tapi biasanya, lepas long trip macam ni,  lama dia akan dapat cuti” Asam pedas yang telah mengelegak kuahnya ditutup apinya. Dia mencapai mangkuk kaca dari kabinet di atas kepalanya dan mencedok keluar asam pedas itu penuh tertib.

“Kenapa? Takut dah kahwin nanti, kena tinggal lama ke? Kalau dah biasa nanti ok la tu Saf. Mama ni pun sampai sekarang kerap jugak kena tinggal dengan Papa tu tiap kali ada projek baru nak jalan. Tapi, dalam Malaysia aje la. Takdelah jauh sampai ke London tu” Lancar mama bercerita. Aku hanya tersenyum. Sempat jugak nak mengusik aku tu.

Sedang kami sibuk menyusun hidangan di atas meja, kedengaran suara orang memberi salam dari luar.

“Bakal suami Saf dah balik kot tu” Sempat Puan Sri Maria berbisik ditelingaku dengan tangannya sudah menatang dulang berisi jug air lemonade berais beserta beberapa biji gelas. Aku yang sedang mencedok paprik campur dari kuali sedikit tersentap.

Terasa panas menjalar keseluruh muka. Kendengaran suara Puan Sri Maria tergelak kecil. Agaknya lucu bila melihat wajahku yang mula merona merah. Buat malu betullah! Aku menyalahkan diri sendiri.

Sementara menunggu Rayyan mandi dan menukar baju, kami berempat duduk di ruang tamu sambil menonton siaran Berita di TV3.

“Laaa … Kenapa tak makan dulu Ma, Pa? Tak payahlah tunggu Ray”  Sedang aku leka melayan Rania yang sedang berbaring di atas riba sambil bercerita mengenai patung teddy bear yang baru dibeli papanya tadi, suara Rayyan yang begitu hampir dengan telingaku tiba-tiba membuatkan pergerakkanku jadi serba tak kena.

“Tak apa la. Bukan selalu dapat makan dengan Ray. Lagipun kamu dengan Saf pun memang dah lama tak jumpa kan. Dah, jom makan” Puan Sri Maria sudah terlebih dahulu mendahului kami menuju ke meja makan.

Rania seperti biasa akan mengambil tempat duduk bersebelahan denganku. Manakala Rayyan mengambil tempat duduk bersebelahan dengan anak daranya itu. Ketika aku mengusap kepala Rania, tangan Rayyan turut melakukan perkara yang sama menyebabkan tangannya berada di atas tanganku.

Sedikit tersentap aku dibuatnya. Pandangan kami bersatu. Agak lama kami berkeadaan begitu sehinggalah kedengaran Puan Sri Maria yang duduk berhadapan kami berdehem menyebabkan kami menarik pantas tangan masing-masing kembali ke kedudukan asal. Terasa panas membahang wajahku sampai ketelinga.

Aku cuba menenangkan hati sendiri dengan mencedokkan nasi ke dalam pinggan mereka semua satu persatu sebelum melayani kerenah Rania yang agak cerewet bila memilih lauk. Tak boleh terlalu pedas dan janganlah nak pandai-pandai bagi dia makan udang ataupun sotong. Kerana kulitnya akan meruam kemerahan akibat alergik. Beberapa perkara yang aku pelajari sebagai persediaan untuk menjadi Ibu kepada anak kecil itu.

Selesai makan dan menolong mengemas apa yang perlu, aku menunaikan solat isyak di bilik solat di tingkat atas. Selesai memberi salam, Rania kulihat yang tadinya sibuk untuk mengikut aku sekali ke bilik solat itu sudah tidur tertiarap berlapikkan tangan tidak jauh dariku.

Selesai menyidai telekung ditempatnya, tubuh kecil Rania kukendong dan kubawa ke biliknya. Alat penghawa dingin di biliknya aku setkan  ke suhu 21 darjah Celsius. Tidak mahu nanti anak comel itu kesejukan. Quilt yang bercorakkan bunga-bunga kecil dan gambar Snow White  ku selimutkan ke tubuhnya sehingga keparas dagu. Pipinya kucium.

“Dah lama ke Saf kat sini?”  suara yang kerap membuat jantungku berdebar hebat itu kedengaran menyapa perlahan. Aku menoleh kearah pintu dan Rayyan sedang memeluk tubuh sambil bersandar didinding.

“Ermm … Lama la jugak. Dari petang tadi. Settlekan pasang blind dengan langsir kat tingkat satu dengan 2.” wajah Rania yang tulus, tak berdosa aku tatap kembali.

“Lepas kita kahwin, saya nak Saf berhenti kerja” Terkejut aku mendengar permintaan Rayyan yang tak terduga itu. Segera aku berpaling kearahnya yang sudah menyelukkan keduabelah tangan ke dalam poket seluar jeannya. “Apa?” Sengaja aku ingin dengar dia mengulangi kata-katanya tadi walaupun sebenarnya telah ku dengar dengan jelas.

“Saya nak Saf tumpukan perhatian pada Rania. Saf tak payah kerja. Pasal duit belanja, Saf jangan risau. Tiap bulan saya akan masukkan dalam akaun Saf. Beritahu je berapa gaji Saf sekarang.Nanti saya bagi lebih dari itu” Dia datang menghampiri Rania dan mengucup dahi anak kecil itu lembut. Aku hanya memerhati perlakuannya sambil kepala ligat memproses bait-bait kata yang aku dengar sebentar tadi.

“Saf tidur sini ke malam ni?” Dia sudah berdiri tegak sambil memerhatikan aku yang masih terdiam.”Ha? Err … Takdelah. Nak balik la ni” Cepat-cepat aku bangun dan bergerak keluar dari bilik itu. Rayyan kutinggalkan tanpa kata. Hati sedikit berbelah bagi dengan permintaannya tadi.

Selesai bersalaman dengan Puan Sri Maria dan mohon pamit daripada Tan Sri Rasydan, aku terus mengorak langkah keluar menuju ke kereta Myviku dan memandu pulang dengan seribu satu rasa. Menimbang-nimbang apa yang dipinta oleh Rayyan sebentar tadi. Kepala yang tadinya ok tiba-tiba rasa berdenyut.
 
ADIALUZEONLINENOVEL : WHERE DREAMS CAME TRUE Blogger Template by Ipietoon Blogger Template