Mesej Poyo dari Adialuze

Assalammualaikum w.b.t

Bismillahirrahmannirrahim ...

Thanks for those that have the time to come by to this blog whether accidentally or intentionally. Thanks a bunch!

As an introduction, I'm a wife and a daughter to a wonderful husband and family that ALLAH have lend me. Syukur, Alhamdulillah ... I'm truly feel bless always ... 24 by 7.

To be a writer one should have the gift to write ... That what 'they' say. But for me, I'm writing because I love to write. Gifted or not, I will continue to write as long as ALLAH gave me the ideas an inspirations to do so ...

I do apologize for any error or discomfort feeling that cause by my writing ...

Please drop your comment for a better me as a writer ... and please do comment in a civilize way cause I believe we all yearn for love and peace not hatred and war.

HAPPY READING ^_^

-Aidaluze-

Wednesday, July 9, 2014

CERPEN : SEINDAH ILHAM RIZQI TAKDIR



“INDAH!! Apa kamu buat kat atas pokok tu? Turunlah sayang. Nanti kalau Ayah kamu nampak, teruk kamu dikerjakan” Mak Dara sudah bercekak pinggang sambil mendongakkan kepalanya memandang tajam kearah anak daranya yang bertenggek santai di atas dahan pokok pulasan sambil asyik memetik buah yang sedang ranum berbuah itu. Geram sungguh hatinya apabila panggilannya dari tadi tidak diendahkan.

“Ala. Indah bukan buat apa pun. Nak makan buah pulasan ni je pun. Mak ni kecoh la” berkerut-kerut wajah putih bersih itu dengan muncung yang sudah panjang sedepa. Bingit telinganya mendengar Ibunya itu tak sudah-sudah hendak menganggu ketenangan harinya. Sebiji buah pulasan yang sudah dikupas kulitnya dimasukkan ke dalam mulut.

Mak Dara merengus geram. 

“Cuba kamu jangan degil Indah. Penatlah Mak nak berleter hari-hari dekat kamu ni. Perangai tu tak reti nak ubah. Cubalah ikut perangai Kak Ilham kamu tu. Kamu tu perempuan tahu tak? Dok memanjat sana-sini dah serupa jantan. Kamu tak kesian ke kat Ayah kamu tu? Dahlah dia tu Tok Bilal kat kampung ni.” Mak Dara semankin rancak bebelannya. Indah sudah sedia tayang muka kebosanan. Siap menguap lagi.

“Ha! Tengok tu. Mak cakap sikit dah sibuk dok menguap-nguap. Bukannya nak dengarkan betul-betul. Hish budak ni kan …” Mak Dara mankin berasap dengan perangai anak bongsunya itu. Lengan baju kurungnya sudah diselak sampai kesiku.

“Mak ni tak rock la” akhirnya Indah turun juga dari pokok pulasan itu. Satu persatu dahan dipijak dengan berhati-hati manakala sebelah tangan memegang dahan yang lain. Sebelah lagi tangan memegang erat bucu t-shirt yang dibuat bekas tempat isi buah pulasan yang dipetiknya. 

Indah segera memanjat turun bukan kerana takut dengan Mak Dara tapi kerana dia sudah ternampak kelibat motor Ayahnya membelok ke perkarangan rumah. Sedegil-degil dia, dengan Pak Ihsan, ayahnya, memang dia kalah. Bukan kerana Pak Ihsan akan mengerjakannya seperti yang diugut Mak Dara. Tapi, takut dia akan ditarbiyah tiga hari tiga malam tanpa henti. Siap keluar segala macam hadith sahih dan keratan ayat-ayat Al Quran lagi.

“Haaa tengok. Banyak tak Indah dapat petik buah pulasan ni?” longgokan buah pulasan yang beralaskan baju t-shirt yang dipakai ditunjukkan pada Mak Dara. Bahu Ibunya itu dipeluk sambil ditepuk-tepuk. 

“Kamu ni lah. Perangai dah serupa jantan. Nasib baiklah bertudung” Mak Dara masih tayang muka ketat. Indah hanya tersengih menunjukkan sebaris gigi yang tersusun cantik.

“Tula Mak. Masa mengandungkan Indah, Mak suka sangat tengok bolasepak kan? Lepas tu masa Indah kecil dulu, mak suka sangat pakaikan baju lelaki kat Indah” Indah menjawab. Cerita yang sudah berulang-ulang kali diceritakan padanya oleh Nenek Asma, Ibu kepada Mak Dara, disampaikan kepada Ibunya pula.

“Habis tu, kamu nak salahkan Mak la ni?” Semankin lebar senyuman Indah apabila diajukan soalan itu. 

“Ish! Mana ada. Indah bersyukur apa Tuhan jadikan Indah macam ni. Barulah ganas. Takdalah nak jadi mangsa buli kan?” Kaki sudah sama-sama diatur menuju ke rumah mereka. 

“Kamu ni ada saja lah jawabnya. Malas la Mak nak cakap apa-apa lagi” akhirnya Mak Dara mengalah. Kalau berbahas kata dengan Indah, memang sampai esok pagi pun takkan habis. Indah sudah tersenyum kemenangan. Memang begitulah selalunya. Dengan Ibunya bolehlah dia membalas kata. Cuba dengan Pak Ihsan. Memang mati kutulah dia jawabnya. Terkena renungan tajam Pak Ihsan sekali saja sudah cukup membuatkan semua organ-organ dalamannya menggigil ketakutan. Entah ilmu apalah yang dipakai Ayahnya itu.
 
***
“Akak … Akak tak sayang ke kat Indah? Kenapa Akak nak pergi belajar jauh-jauh ni?” Airmata sudah mula bergenang ditubir matanya. Sekeras-kerasnya, dalam hati tetap warna pink. Selama 17 tahun kehidupannya, mana pernah dia berpisah dengan Ilham. Kalau berpisah pun, paling lama 2 hari. Itupuh kalau salah seorang antara mereka terlibat dengan lawatan sekolah.

Ilham tersenyum memerhatikan Indah yang sedang duduk tegak bersila di hadapannya yang sedang sibuk tercari-cari beberapa sijil sekolah di dalam kotak khazanahnya yang selama ini tersimpan tak terusik di bawah katil.

Ilham menghela nafas panjang. Sedari kecil, memang impiannya melanjutkan pelajaran ke luar Negara. Surat urusan Seri Paduka Baginda yang sampai tengahari tadi memberikan khabar gembira bahawa cita-citanya itu akan tercapai tidak lama lagi. Dia telah diterima untuk memasuki salah sebuah Universiti di Melbourne, Australia. Ibu dan Ayahnya tiada bantahan memandangkan dia merupakan salah seorang pelajar yang ditaja oleh Petronas sepenuhnya. Yang menjadi masalah adalah Indah. Satu-satunya adiknya. Gadis yang nampak ganas diluar tapi sangat mudah tersentuh hatinya. Tubuh Indah sudah didakap erat. Teresak-esak Indah menangis dalam pelukan kakaknya.

“Akak bukan pergi lama pun. Empat tahun je. Pejam celik, pejam celik, akak dah balik” Ilham memujuk. Bahu adiknya dielus lembut.

“Lama la empat tahun tu. Kalau kahwin, dah boleh dapat tiga orang anak tau. Itupun kalau tak kembar” Ilham tersenyum mendengar kata-kata Indah yang masih sempat bergurau dalam tangisan.

“Lagipun, Akak sanggup ke nak tinggalkan Abang Rizq tu sampai empat tahun? Tak takut ke kalau dia kena kebas dengan si Mona gedik tu?” Indah sudah meleraikan pelukan pada Ilham. Airmata dikesat dengan hujung lengan baju t-shirt yang dipakainya. Wajah Ilham berubah apabila nama Rizq, Muhammad Rizqi Emir, disebut Indah. Dia dan Rizqi sudah lama menjalinkan hubungan kasih. Sejak mereka sama-sama dalam Tingkatan satu lagi. Segala cerita cinta mereka Indah tahu. Malah, Rizqi melayan Indah sudah seperti adiknya sendiri.

“Kami dah bincang dan dia faham. Lagipun, Akak buat semua ni bukan untuk diri Akak sendiri. Tapi, untuk keluarga kita juga. Akak nak kerja yang hebat-hebat. Nak buatkan Mak dengan Ayah rumah yang besar-besar” Ilham kembali tersenyum apabila menyatakan harapannya. Indah turut tersenyum. 

Memang patut pun Kakaknya itu menyulam impian sebegitu. Ilham seorang anak yang cerdik. Dari sekolah rendah lagi dia memang sering mendapat gelaran Pelajar Terbaik. Bukan hanya dalam bidang akademik malah juga kokurikulum. Serba-serbi sempurna. Lemah-lembut, baik, cantik dan juga cerdik. Tidak hairanlah jika Rizqi yang mendapat jolokan jejaka idaman Malaya di kampung itu boleh terpikat dengan Ilham.

Jika hendak dibandingkan dengan Indah memang sangat berbeza. Ilham lemah-lembut, Indah ganas. Ilham cerdik, Indah tak berapa nak cerdik. Tapi, bab baik dan cantik, mereka sama-sama mempunyai kualiti itu. Walaupun mungkin Ilham lebih baik dan lebih cantik sedikit dari Indah.

“Tapi, kalau si Mona gedik tu masuk meminang Abang Rizq macamana?” Indah cuba menduga lagi hati Ilham. Sengaja hendak melihat reaksi Kakanya itu. Walaupun lemah-lembut, hati Ilham sangat keras. Malah lebih keras dari Indah yang luarannya memang semedang kasar.

“Daripada dapat kat si Mona tu, Akak lebih rela dia jadi Adik Ipar Akak tau” penuh bersemangat Ilham menjawab. Berkerut dahi Indah dibuatnya.

“Adik Ipar? Maksud Akak?” Indah tayang wajah keliru. Tidak dapat menangkap maksud kata-kata Ilham.

“Isk budak ni. Setahu Indah la kan, Suci Ilham bin Ihsan ni ada berapa adik ye?” Ilham tersenyum dengan kebluran Indah. Tak boleh langsung hendak cakap berkias dengannya. Pasti langsung tak difahami. Semua benda kena cakap straight to the point kalau dengan Indah. Kalau berbahasa-basi dan berkias-kias memang sampai sudahlah Indah tak faham.

“Sorang je la. Kenapa? Ke Ayah ada bini lain yang kita tak tahu?” Kening Indah sudah ternaik sebelah ala Ziana Zain memandang kearah Ilham yang sudah meledak tawanya sampai terbaring-baring. 

“Hish Akak ni. Gelak pula! Tak faham la Indah. Cakap kalau tak bengkang-bengkok tak boleh ke?” Indah sudah tayang wajah cemberutnya. Ilham sudah kembali bersila mengadapa Indah yang berpeluk tubuh sambil menjuihkan bibirnya.

“Apalah Indah ni. Maksud Akak … Lebih baik Abang Rizq tu kahwin dengan Indah daripada dapat kat si Mona tu!” Terbeliak mata Indah apabila Ilham habis berkata-kata.

“Euuwwwww!! Tak mahulah Indah! Setakat Abang Rizq tu. Dahlah badan ketul-ketul. Eeiiii!! Tak lalulah Indah”  Terangkat-angkat bahu Indah mengambarkan kemungkinan kata-kata Ilham itu menjadi kenyataan. Mana mungkin dia sukakan Rizqi yang bertubuh sasa itu kalau criteria lelaki idamannya adalah yang kurus tinggi seperti Pelakon Korea, Lee Min Ho.

Semankin galak Ilham mentertawakan Indah. Suka benar melihat riak wajah Indah ketika itu. Pasti dia akan merindui adiknya itu. Rindu nak mati!

***

“Isk Mak ni. time ada cerita Lee Min Ho kat Tv lah dia sibuk nak suruh beli gula la, garam la .. Hurrmmpphhh” Indah merungut-rungut sendiri. Laju hayunan kakinya dipacu ke kedai Pak Ali yang terletak di hujung jalan. Hanya selang beberapa rumah dari rumahnya. Hendak menaiki motor, Ayahnya yang ke Masjid sedari solat Zuhur masih belum balik-balik. Hendak menaiki basikal, tayar pula pancit. Hendak tak hendak, terpaksalah Indah menapak. Mujur Cuma garam dan gula yang dikirim Ibunya. Jika beras sepuluh kilo, memang tunggu Ayahnya baliklah jawabnya.

Indah berjalan sambil matanya meliar memerhatikan pemandangan sawah padi yang sedang menghijau di kiri dan kanan jalan. Tiba-tiba matanya terpaku pada dua susuk tubuh yang sedang berbual di atas dangau kayu di bawah pokok mempelam mengadap ke sawah padi. Dari susuk tubuh keduanya dari arah belakang, Indah seperti sudah dapat meneka siapa mereka. 

Dengan lagak sepantas kilat, Indah segera menyorok di sebalik rumput yang memanjang yang memisahkannya dengan sebatang sungai selebar tiga kaki yang mana memisahkannya pula dengan dua orang makhluk Tuhan yang sedang asyik berbicara di bawah pohon mempelam itu.

“Rizq sanggup ke nak tunggu? Empat tahun tu bukan sekejap tau” Indah cuba sefokus mungkin untuk menangkap setiap butir bicara pasangan Teruna dan Dara itu. Si Teruna yang dia pasti adalah Rizqi dan si Dara belum dikenalpasti siapa tapi yang pasti bukan Ibunya. Indah tersenyum sendiri. Sempat lagi fikirannya mengarut sendiri.

“Sudahlah tu Mona.”

Mona?? Aik! Belum sampai seminggu dah berdating dengan si Mona gedik? Takpa, takpa. Sabar Indah, sabar. Siasat lagi. Jangan fikir yang bukan-bukan dulu. Indah menyabarkan hatinya. Kalau ikutkan, memang dah kena serang mereka berdua kerana berani berskandal di belakang Kakaknya, Ilham. Indah kembali mencuri dengar.

“Saya sayangkan Ilham. Sayang yang betul-betul. Bukan main-main. Habis saja dia belajar, keluarga saya akan masuk meminang” meleret senyuman Indah mendengar kata-kata Rizqi. Bagus! Setia juga bakal Abang Ipar aku ni. Sepuluh markah aku bagi! Indah berbicara dalam hati.Misi pengintipan diteruskan.

“Rizq … Awak tahu kan yang saya dah lama sayangkan awak …” Disebalik rumput lalang yang diselak, buntang mata Indah memerhatikan Mona yang sudah merapatkan duduknya dengan Rizqi. Berbulu pula rasa mata dan hatinya saat itu. Walaupun Rizqi itu bukanlah pakwenya sekalipun, dia rasa, dia berhak rasa sakit hati bagi pihak Ilham, Kakaknya.

Kelihatan Rizqi bingkas bangun dari duduknya apabila tangan Mona sudah menjalar di atas pehanya. Bebahang rasa wajah dan telinga Indah saat itu. Ingin saja diterkam Mona yang tanpa segan silu berpelakuan kurang sopan di kawasan terbuka seperti itu. Dengan bakal Abang Iparnya pula tu!

“Rizq … “ Mona sudah mula merengek dan beraksi gaya kucing miang. Lengan Rizqi sudah berada dalam dakapannya yang turut sama berdiri.

“Err … Abang Rizq!!” Entah kenapa, tidak sanggup lagi untuk melihat sejauh mana keberanian Mona bertindak untuk menggoda Rizqi, Indah sudah keluar dari persembunyiannya sambil melaung memanggil Rizqi sambil tersenyum simpul.

Lengan yang dipeluk Mona ditarik pantas. Wajah Mona berubah apabila terpandang Indah yang sedang tayang muka selamba sambil tersengih macam sedang buat iklan ubat gigi di seberang sungai. Hatinya sebal apabila niatnya untuk menggoda Rizqi terganggu. Sudahlah bukan main payah dia hendak memujuk lelaki itu untuk berjumpa dengannya. Setelah dia berjanji yang itu akan menjadi pertemuan terakhir mereka, barulah Rizqi bersetuju. Namun, setelah berpeluang untuk melancarkan pelan menggodanya, Indah pula muncul menganggu entah dari mana.

“Woi! Kau mengintai kami ke ha?!!” Mona bercekak pinggang memandang kearah Indah yang masih tersengih. Mankin sakit pula hatinya melihat wajah selamba Indah.

“Eh … Mana ada Kak Mona. Err … Saya memang tengah cari Abang Rizq la! Tadi saya pergi rumah dia tapi Mak dia cakap dia takde kat rumah. Tengah jalan-jalan kat sini tiba-tiba terserempak pula. Tu yang saya panggil tu” Indah main belasah saja melontarkan alasan yang sempat terlintas dikepala otaknya ketika itu.

“Ada apa Indah cari Abang?” Tenang saja Rizqi bertanya. Dia sudah berdiri agak jauh dari Mona. Bimbang sekiranya Mona bertindak lebih berani dari tadi ke atas dirinya. Tak pasal pula dia kena fitnah dengan orang kampung kerana berkelakuan tak senonoh di khalayak ramai. Lega juga hatinya apabila melihat Indah yang tiba-tiba muncul di situ.

“Err …. Indah mengaru-garu kepalanya yang dilitupi tudang bawal sambil memikirkan apakah alasan yang paling logik untuk dia kemukakan lagi.

“Ada hal sikit Indah nak cakap dengan Abang. Pasal Kak Ilham” hentam sajalah Indah oiii! Janji kau dapat bawa Abang Rizqi tu jauh dari perempuan gedik tu. Getus Indah dalam hati. Dia tersengih lagi. Nasib baik giginya cantik tersusun. Kalaulah berterabur, memang nak makan penumbuk la jawabnya sebab asyik tersengih-sengih macam kerang busuk dari tadi.

“Oh yeke. Kejap. Abang datang situ” tanpa sebarang kata, Rizqi pantas meninggalkan Mona dan menghampiri Indah yang sedang menuggunya dengan tangan yang diletakkan kedahi bagi menghalang silau matahari yang sudah mula hendak tenggelam.

“Ha. Kenapa dengan Kak Ilham?” terus saja Rizqi bertanya sebaik saja Indah sudah berada di hadapannya. Terkulat-kulat gadis untuk berkata-kata. Sesekali pandangannya tertumpu pada Mona yang masih berdiri di seberang sungai sambil memandangnya garang sambil berpeluk tubuh.

“Sebenarnya … “ Indah berkata separuh berbisik. Rizqi menaikkan keningnya menunggu perkataanya selanjutnya dari Indah.

“Indah saja je panggil Abang. Indah takut Abang Rizq ternoda dan tergoda dengan minah gedik tu” bisik Indah. Cuba mengekalkan riak serius agar Mona dapat melihat dan seterusnya membuat kesimpulan sendiri bahawa apa yang dibincangkan dengan Rizqi saat itu adalah sesuatu yang sangat penting.

Hampir tergelak Rizqi dibuatnya namun sempat disiku oleh Indah agar meneruskan lakonan drama serius mereka kerana Mona masih asyik memerhati. Indah membuat isyarat mata agar Rizqi mengikut saja lakonannya. Mujur Rizqi faham. Dalam hati sudah tergelak sakan.

“So, kita nak buat macamana ni?” Rizqi menunggu rancangan seterusnya dari Indah.

“Emmm … Indah nak pergi kedai ni. Apakata Abang ikut je Indah?” Baru teringat tentang pesanan Ibunya tadi. Terus saja diajaknya Rizqi memandangkan lelaki itu memang hendak meloloskan diri dari cengkaman Mona yang masih setia menunggu.

“Ok” ringkas jawapan yang diberikan oleh Rizqi.

“Mona! Saya kena pergi dulu. Maaf. Ada hal mustahak nak kena buat!” Usai saja berkata-kata, Rizqi dan Indah jalan beriringan berlalu dari situ meninggalkan Mona yang agak terpinga-pinga. Hatinya terbuku rasa tidak puas hati sambil melihat Indah dan Rizqi semankin jauh meninggalkannya.

***

“Ala Mak … Ayahkan memang nak pergi jemput-jemput orang kan? Suruh je la dia hantar sekali kat rumah Mak limah tu” Indah masih asyik menatap skrin Tv yang menayangkan rancangan kartun Upin Ipin. 

Nak kata dia macam budak tak cukup umur pun katalah. Dia tak kisah pun. Dah dia memang minat dengan Upin Ipin, nak buat macamana? Oklah tu. Sekurang-kurangnya cerita buatan Malaysia. Siapa lagi nak menyokong produk sendiri kalau bukan kita? Itulah jawapan yang akan dilontarkan setiap kali dimarahi Ibunya dan diejek Ilham dulu kerana tepat jam 5.30 petang, pasti dia sudah duduk di hadapan Tv untuk melayan rancangan Upin Ipin walaupun sudah beberapa kali diulang tayang.

“Ayahkan nak pergi banyak rumah. Yang dekat-dekat ni kamu tolonglah pergi. Kan tayar basikal tu dah dibaiki. Bukan jauh sangat pun rumah Mak Limah tu. Cerita Upin Ipin tu, esok-esok kan ada lagi” Mak Dara sudah berdiri di sebelah Indah bersama bungkusan yang berisi nasi dan lauk pauk untuk dihantar ke rumah Mak Limah yang merupakan Ibu Mona. Kerana itulah Indah malas hendak ke sana. Malas hendak bertembung pandang dengan Mona yang sering meluahkan kata-kata provokasi yang boleh mengundang kemarahannya.

Apabila asyik didesak, akhirnya Indah angkat juga punggung. Basikal racing jenama shimano yang dibelikan Pak Ihsan sewaktu dia di tingkatan 3 dicapai dan bungkusan nasi berlauk diletakkan di dalam bakul yang dipasang di bahagian depan basikal. Laju dia mengayuh menuju ke rumah Mak Limah dekat saja dari rumahnya Cuma dari jalan besar perlu masuk jauh sikit ke dalam untuk sampai ke muka pintu rumah. Rumah yang dibina di atas tanah dusun memang begitu kerana pokok buah-buahan telah lebih dahulu ditanam di halaman sebelum rumah dibina.

“Assalammualaikum! Assalammualaikum!!” Naik serak suaranya melaungkan salam namun satu pun tak dijawab. Suasana sepi dan hanya bunyi cengkerik yang kedengaran. Keadaan rumah yang agak jauh dari jalan utama membuatkan Indah agak kecut perut. Nasib baiklah keadaan persekitaran masih lagi terang walaupun jam sudah menginjak ke pukul 6 petang. Kalau tak, memang dah macam lokasi drama cerita hantu dah rupanya kawasan rumah Mak Limah itu.

Setahu Indah, rumah itu cuma diduduki oleh Mona dan Ibu bapanya saja. Mak Limah dan Pak Halim. Mona merupakan anak tunggal jadi memang tinggal mereka bertiga sajalah di rumah itu.

Indah mencagakkan basikalnya dan dengan menjinjit bungkusan nasi di tangan dia menghampiri pintu rumah di bahagian dapur yang kelihatan sedikit terbuka. Perlahan-lahan daun pintu ditolak sambil kepalanya tertinjau-tinjau keadaan di sekeliling ruang dapur rumah yang nampak tersusun kemas.

“Assalammualaikum!” Sekali lagi Indah memberi salam. Dia diam sebentar untuk mengesan sekiranya ada sebarang bunyi yang kedengaran namun hampa. Masih juga suara cengkerik dan unggas hutan yang menyapa kependengarannya.

Memandangkan langsung tidak ternampak kelibat sesiapa, Indah terus meletakkan bungkusan nasi di atas meja makan. Dalam hati sudah berniat untuk balik saja. Yang penting, apa yang diamanahkan oleh Ibunya sudah pun disampaikan. Walaupun bukan by hand seperti yang sepatutnya. Baru hendak bergerak keluar, Indah ternampak pensil dan kertas lalu dicapai dan secebis nota dikarang dan diselitkan di bawah bungkusan nasi.

“Indah?” 

Pantas kepala Indah tertoleh kearah muka pintu dan sesusuk tubuh sasa Rizqi menyapa pandangan matanya. Berkerut keningnya apabila melihat lelaki itu di rumah Mona.

“Apa yang indah buat kat sini?” Soalan yang sepatutnya hendak diajukan oleh Indah terlebih dahulu terpacul dari mulut Rizqi.

“Indah nak …” 

“Assalammualaikum!” Belum sempat Indah menghabiskan kata-katanya , suara salam yang kedengaran menyebabkan mereka serentak menoleh dan menjenguk ke arah ruang tamu dimana suara itu kedengaran.

Beberapa kali salam diberikan barulah Rizqi menjawab lantang dari arah pintu dapur. Kepala menjengah siapa yang datang.

Dada Indah yang sedang berdiri di belakang Rizqi bergetar hebat apabila terlihat Ayahnya, Imam Asri bersama beberapa lagi ahli jawatankuasa Masjid melangkah menghampiri mereka. Terpamer riak terkejut diwajah Pak Ihsan apabila matanya terpandangkan Indah di belakang Rizqi yang berdiri di muka pintu.

“Ada apa ni Tok Imam?” Rizqi bertanya tenang. Masih keliru dengan kehadiran ramai orang di situ. Beberapa minit yang lalu, dia menerima panggilan dari Mona yang memerlukan pertolongannya untuk menghantar Ayahnya, Pak Halim yang dikatakan tiba-tiba diserang sesak nafas. Memandangkan jarak rumahnya yang tidak jauh dari situ, maka dia segera datang. Tapi dia pelik kerana bukan Mona yang ada di dalam rumah, tapi Indah. Malah kelibat Mona dan keluarganya langsung tidak kelihatan.

“Kamu berdua buat apa berdua-duaan kat sini ni?” Belum sempat Tok Imam membuka mulut, Pak Ihsan sudah terlebih dahulu bertanya. Tegas saja bunyi suaranya.

“Indah hantar nasi … “ Indah menjawab jujur. Namun wajah mereka-mereka di hadapannya penuh dengan rasa curiga.

“Macamana kamu boleh masuk ke dalam rumah? Bukan ke Mak Limah dengan Pak Halim tak ada? Diaorang pergi kenduri rumah saudara diaorang yang kat Kuala Lumpur tu. Si Rizqi ni pula macamana boleh ada sama kat sini?” Giliran Imam Asri bertanya. Indah pelik. Pergi Kuala Lumpur? Habis tu, kenapa pintu dapur terbuka? Takkan lupa nak kunci kot? Indah bersoal jawab sendiri.

“Indah! Baik kamu cakap apa yang kamu dengan Rizqi ni buat kat rumah Pak Halim ni ha?” Nada suara Pak Ihsan sudah naik satu oktaf. Wajah bengis yang sering membuatkan Indah gerun sudah terpamer jelas. Indah kelu tak bersuara. Begitu juga Rizqi.

“Indah, Rizqi, kamu berdua tahu kan apa hukumnya kalau seorang lelaki dan seorang perempuan berdua-duaan berada di tempat sunyi macam ni? Kamu tahu kan kamu berdua boleh ditangkap kerana disyaki berkhalwat? Kamu tahu kan??” bagai nak luruh jantung Indah apabila mendengarkan kata-kata Imam Asri itu. Menggigil habis seluruh tubuhnya. Dia berpandangan dengan Rizqi sebelum menala pandang pada Pak Ihsan yang sudah membuka kopiahnya sambil meraup wajahnya yang sudah kemerahan berulang kali. Airmata sudah mula membasahi wajahnya. Esak tangisnya semankin kedengaran.

***

“Indah tak mahulah! Kenapa Ayah dengan Mak nak paksa Indah juga ni?!” Indah sudah hilang pertimbangan. Airmata sedari tadi tak berhenti membasahi pipinya. Dia sudah berada di rumahnya. Tok Iman, Rizqi, beberapa ahli jawatankuasa masjid, ahli keluarga Rizqi dan juga Mona turut berada di situ juga.

“Indah. Indah sanggup ke tengok Ayah dengan Mak tanggung malu lepas apa yang Indah buat dengan Rizqi ni? Sanggup?” Pak Ihsan bersuara tegas. Dalam hati sudah tak tergambar betapa kecewanya dia dengan apa yang berlaku.

“Kami tak buat apapun Ayah, Mak. Kenapa tak ada orang nak percaya apa yang Indah dengan Abang Rizq bagitau dari tadi ni! Kami tak buat apa-apa lah!” Matanya memandang tunak kearah Ayahnya mohon pengertian.

“Rizqi. Abah tak mahu dengar lagi apa-apa cerita dan alasan kamu. Keluarga kita dengan Tok Bilal dah cukup malu dengan perbuatan kamu berdua ni. Untuk mengelak dari mulut-mulut jahat orang mengata, Abah nak kamu nikah dengan Indah” Rizqi terbangun dari duduknya. Walau tidak menangis seperti Indah namun kekeruhan diwajahnya sudah mengambarkan perasaannya saat itu.

“Tapi Abah … “

“Tak ada tapi-tapi lagi! Indah. Bulan depan kamu akan menikah dengan Rizqi!” suara berbaur arahan sudah dikeluarkan dari mulut Pak Ihsan. Pak Razak turut menyokong. Indah sudah mengongoi di dalam pelukan Ibunya manakala Rizqi sudah duduk bertongkatkan lutut sambil tangannya menekup rapat wajahnya. Yang lain hanya menjadi pemerhati bisu. Mona yang turut ada di situ rasa mahu menangis apabila jejaka pujaannya bakal dikahwinkan dengan orang lain.

Sudah seminggu Indah berkurung dalam bilik. Keluar hanya untuk makan, mandi dan mengambil air sembahyang. Kerjanya hanya termenung dan menangis. Puas Mak Dara memujuk tapi begitu juga keadaannya. 

Malam tadi Ilham menelefon dari Melbourne namun Indah enggan untuk bercakap kerana merasa seperti dia sudah mengkhianati Ilham. Rasa bersalah sangat-sangat. 

Berkali-kali dia menyalahkan dirinya kerana bertindak masuk ke dalam rumah Mak Limah tempohari. Kalaulah dia tak masuk dan terus balik, pasti dia takkan ditangkap. Kalaulah dia terus menonton cerita Upin dan Ipin, pasti nasib dia tak seperti ini. Kalaulah … Indah mengeluh lagi. Entah sudah kali keberapa dia begitu.

“Indah. Ayah nak cakap sikit ni” malam itu, pulang dari Masjid dan selesai menjamah juadah makan malam, Pak Ihsan masuk ke dalam bilik Indah. Itulah kali pertama dia menghampiri anak daranya itu setelah seminggu membiarkan Mak Dara yang memujuk. Dia sudah tidak sanggup melihat Indah begitu. Dia sudah tahu Indah tak bersalah. Itupun setelah Mona datang berjumpa dengannya sewaktu di Masjid tadi. Menangis-nangis gadis itu menceritakan yang sebenarnya dia hendak memerangkap Rizqi supaya tertangkap dengannya. Tapi, kerana dia lambat sampai ke rumah, akhirnya, Indah yang menjadi mangsa.

Hendak dimarahi anak dara Pak Halim dan Mak Limah itu, dia tahu sudah tidak berguna. Segalanya sudah tertulis dan tersurat di dalam Luh Mahfuz. Masa juga takkan dapat diputar kembali. Jadi, demi menyelamatkan maruah keluarga mereka dan keluarga Rizqi, Indah dan Rizqi terpaksa juga disatukan.

Indah hanya memerhati dengan ekor mata kearah Pak Ihsan yang sudah duduk di birai katil. Tangannya masih erat memegang Novel 13 Jam A380 hasil tulisan Evelyn Rose.

“Ayah tahu Ayah tak patut nak paksa Indah dengan Rizqi berkahwin. Ayah tahu Indah dengan Rizqi tak salah. Tapi, orang luar takkan percaya semua tu. Mereka akan tetap pandang serong dan akan tetap mengata. Pak Razak dengan Ayah fikir, itulah saja caranya nak tutup aib kita Indah” lembut saja Pak Ihsan melontarkan satu persatu bait katanya.

Airmata Indah tertumpah lagi namun mulutnya masih bungkam tanpa kata.

“Ayah percaya Rizqi boleh jadi suami yang baik untuk Indah. Dia boleh bimbing Indah kejalan yang diredhai Allah” Pak Ihsan sudah terasa sebak. Dia langsung tidak menyangka yang Indah yang baru berusia 17 tahun dan baru saja habis SPM terpaksa dikahwinkan lebih awal dari kakaknya, Ilham.

“Surah al-Baqarah ayat 216 ada menyebut, ‘....boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui’. Dan dari surah al-Baqarah juga  ayat 233, Allah menyebut lagi, ‘.....seseorang tidak di bebani lebih dari kesanggupannya...’. “ Pak Ihsan menarik nafas panjang sebelum menyambung.

“Perkara yang terjadi ni kita kena terima dengan hati yang redha. Ayah percaya, keperitan yang kita rasa sekarang, akan membawa seribu satu kemanisan dimasa akan datang. Allah menduga kerana dia sayang. Ayah nak Indah percaya tu” setitis airmata jatuh dipipi tuanya.

Indah tidak dapat menahan rasa. Tubuh Ayahnya diterpa dan dipeluk erat. Dia menghamburkan tangisan sepuas-puasnya didada Ayahnya. Pak Ihsan mengelus rambut Indah penuh kasih. Apapun yang terjadi, Indah tetap anaknya. Selagi belum terpatri akad, tanggungjawab untuk mendidik Indah kearah jalan yang diredhai Allah akan sentiasa terletak di atas bahunya.

***

Hanya tinggal dua minggu saja lagi sebelum majlis pernikahan Indah dan Rizqi berlangsung. Fikiran Indah sudah semankin tenang. Berkat dari melakukan solat sunat setiap malam, dia kini dapat menerima apa yang telah berlaku sebagai takdir yang telah ditentukan Allah. Cuma, dia masih belum punya kekuatan untuk bercakap dengan Ilham dan bertemu muka dengan Rizqi.

“Indah, Rizqi datang tu. Dia kata ada benda nak bincang” lamunan Indah terhenti apabila suara Mak Dara yang sudah masuk ke dalam biliknya menyapa pendengarannya.

“Indah tak mahulah Mak. Kalau dia nak bincang pasal hal nikah, dengan Mak dengan Ayah pun boleh bincang kan? Indah ikut je” Indah membuang pandang ke luar tingkap semula. Memandang kearah lautan sawah padi yang sering mendamaikan hatinya.

“Indah. Pergilah jumpa dia. Sampai bila Indah nak mengelak? Dia kan nak jadi suami Indah tak lama lagi. Kalau nak leraikan apa-apa kekusutan, sekarang ni la masanya” bahi Indah dielus lembut oleh Mak Dara. Walau dia kecewa dengan apa yang berlaku, dia tak mahu Indah terus menyalahkan diri sendiri sehingga boleh memudaratkan emosi dan jasmani.

Indah terdiam. Apa yang hendak diperkatakan Rizqi? Hendak membatalkan perkahwinan mereka ke? Atau hendak meluahkan kekecewaan kerana dia yang akan dinikahi bukan Kak Ilham? Pelbagai persoalan mula menerjah kepala otaknya.

Ah! Betul juga kata Mak. Kalau nak leraikan apa-apa kekusutan pun, baik buat sekarang. Sebelum akad. Akhirnya Indah bersetuju untuk berjumpa dengan Rizqi. Tudung bawang dicapai dan disarung kekepala seringkas mungkin. Perlahan-lahan dia mengorak langkah menuju kearah Rizqi yang sedang menunggu di anjung rumah.

“Assalammualaikum” Rizqi bangun dari duduknya seraya menghulurkan salam sebaik sahaja Indah berdiri di hadapannya.

“Waalaikummussalam” Indah mengambil tempat duduk disofa berhadapan dengan Rizqi dan lelaki itu turut sama kembali duduk.

“Abang faham perasaan Indah sekarang ni. Abang pun sama. Rasa marah, sedih, kecewa, semua ada. Tak tahu macamana nak luahkan” Rizqi memulakan perbualan. Wajah Indah yang sedari tadi hanya menunduk dipandang. Tidak dinafikan gadis sunti di hadapannya itu memang cantik. Walau tak secantik Ilham, Indah tetap cantik dalam kelasnya yang tersendiri. Mata yang bundar, alis mata yang cantik terbentuk, bulu mata yang lebat dan lentik, bibir merah yang mungil dan tulang pipi yang tinggi. Cukup menarik di mata yang memandang.

Tapi … dalam hatinya sudah ada Ilham. Sukar dia hendak mengantikannya dengan orang lain. Apatah lagi dengan Indah. Adik kandung Ilham sendiri. Lagilah payah.

“Sebagai menghormati kedua orang tua kita, Abang setuju untuk dijodohkan dengan Indah. Bukan senang tapi Abang akan cuba terima Indah. Abang dapat offer kerja dekat Kuala Lumpur. Lepas kahwin, Indah ikut Abang ke sana. Kita bina hidup kita sendiri” satu-persatu perancangannya dinyatakan pada Indah, bakal isterinya.

Indah masih diam. Hanya mendengar apa juga yang dikatakan Rizqi.

“Abang dah cakap apa yang Abang nak cakap. Indah ada apa-apa ke nak cakap? Abang harap, apapun rasa yang berbuku, Indah bagitahulah sekarang. Abang tak nak nanti lepas nikah ada benda yang tak sedap berbangkit” Rizqi menyandarkan tubuhnya. Pandangannya masih melekat pada Indah yang sedari tadi diam tak berkutik.

“Kak Ilham ada call?” Indah bertanya tanpa mengangkat wajahnya. Lantai yang beralaskan tikar getah masih ditatap.

Kedengaran Rizqi menghela nafas panjang.

“Ada. Dia dah tahu pasal kita. Mak dengan Ayah Indah dah ceritakan pada dia. Abang bagitau dia kita tak salah. Dia faham dan dia redha. Abang bagitau dia Mona yang buat perangkap supaya dapat kahwin dengan Abang tapi Indah yang terjerat” cepat-cepat Indah mengangkat wajahnya. Pandangannya bertembung dengan pandangan mata Rizqi. Entah kenapa, tiba-tiba dadanya berdegup laju. Baru dia sedar betapa kacaknya lelaki yang duduk di hadapannya saat itu. Patutlah separuh mati Mona mengilainya. Pandangan segera dialihkan ketempat lain. Pipinya terasa hangat.

“Mana Abang tahu Mona yang buat perangkap?” Dia terus bertanya untuk manghilangkan rasa debar yang masih terasa.

“Dia jumpa Ayah Indah dan mengaku. Ayah Indah yang ceritakan pada Abang” Rizqi yang turut sama terpana kerana pandangan mata Indah tadi cepat-cepat menjawab. Dia turut merasa debaran yang sama di dadanya. Pelik. Kenapa tiba-tiba ada getaran itu apabila menatap mata Indah sekiranya benar dalam hatinya cuma ada Ilham? Batu tadi dia mengatakannya kenapa sekarang lain pula rentak jantungnya? Rizqi mula keliru.

“Err … Kalau dah tak ada apa, Abang balik dulu lah. Hujung minggu ni jangan lupa pergi kursus kahwin. Nanti Abang jemput Indah. Boleh kita terus uruskan apa-apa dokumen yang belum selesai lagi” Rizqi segera meminta diri untuk berlalu. Indah hanya menganggukkan kepalanya. Air teh panas yang dihidangkan Mak Dara tadi dihirup habis sebelum dia bangkit dan berlalu pergi. Indah menghantar hingga ke muka pintu dan kereta Honda Civic yang dipandu Rizqi dipandang sehingga hilang di sebalik selekoh jalan.

***

Majlis pernikahan Indah dan Rizqi sudah seminggu berlalu. Majlis di rumah lelaki juga telah selamat berlangsung. Rizqi sibuk menyelesaikan urusan di pejabatnya di situ sebelum memulakan kerja di tempat baru beberapa hari lagi. Memandangkan Indah akan dibawa bersama berpindah ke Kuala Lumpur, Indah masih lagi dibenarkan tinggal bersama Ibu dan Ayahnya. Sesekali, Rizqi akan datang melawat dan tidur di situ.

Selesai bersarapan dan sepergian Mak Dara dan Pak Ihsan ke kebun pisang, seperti hari-hari biasa, Indah akan duduk bersantai di dalam bilik sambil membaca novel.

“Amboi … Seronoknya baca novel sampai Abang bagi salam kat luar tak dengar. Dahlah pintu tak kunci. Nasib baik Abang yang datang. Kalau orang lain? Hish dia ni” pandangan mata Indah segera berkalih sebaik sahaja kedengaran suara Rizqi yang membebel di muka pintu bilik.

Tak berkedip mata Indah memandang kearah Rizqi yang berkemeja ungu dengan butang atas terbuka dan hujung lengan dilipat hingga kesiku. Nampak lebih kacak dari biasa. Extra hot! Dada Indah sudah muka berdebar sakan.

“Hei! Kenapa ni? Takkan kena sampuk kot?” Rizqi yang sudah duduk dibirai katil sambil tersengih dan mengawangkan tangan di depan matanya membuatkan Indah tersedar terus. Malu! Mata kembali tertancap pada novel yang masih ditangan dengan fikiran yang sudah melayang entah kemana.

Rizqi masih tersenyum melihat telatah Indah. Hatinya perlahan-lahan sudah dapat menerima isterinya itu. Perasaan sayang sudah mula tumbuh dalam taman hatinya pada Indah. Namun, untuk meluahkan dan memulakan langkah pertama, dia masih tak yakin. Bimbang sekiranya Indah menolaknya mentah-mentah. Malah, selama seminggu menjadi suami-isteri, andai dia balik ke rumah mertuanya itu pun, dia akan tidur di atas lantai beralaskan toto kerana tidak mahu memaksa Indah untuk menerimanya. Indah juga kelihatannya senang dengan keadaan mereka itu.

“Mak dengan Ayah kemana? Sunyi ke rumah” Rizqi memulakan perbualan.

“Kebun” Indah menjawab ringkas dengan mata masih pada novel.

“Abang hauslah. Boleh Indah buatkan Abang air kopi panas?” Rizqi bertanya dalam nada yang cukup lembut. Sangat lembut sehinggakan dada Indah kembali tak karuan.

“Jap, Indah pergi buat” tanpa memandang kearah Rizqi, laju saja Indah melangkah ke dapur. Rizqi masih tersenyum melihat Indah berlalu pergi. Novel yang dibaca Indah tadi dicapai. Dia menyandarkan badan ke kepala katil beralaskan bantal. Helaian demi helaian mukasurat novel di selak dan baris demi baris perkataan dibaca sehinggalah dirasakan pandangannya kelam. Rizqi sudah tertidur dengan novel terlangkup di atas dadanya. Mudah saja dia terlena apabila dihembus angin bendang yang bertiup lembut dari tingkap bilik yang terbuka luas.

“Abang … “ langkah Indah mati di muka pintu apabila ternampak Rizqi yang sudah elok terlena di atas katilnya dengan novel di atas dada. Perlahan-lahan dia menghampiri dan secawan kopi yang dibawanya diletakkan di atas meja solek. Dengan penuh hati-hati, dia melabuhkan punggung di atas birai katil berdekatan dengan Rizqi. Novel di atas dada Rizqi dialihkan perlahan-lahan.

Wajah yang sudah ditumbuhi misai dan jambang halus itu direnung dalam. Setiap pelosok menjadi sasaran matanya. Selepas bernikah, inilah kali pertama wajah itu ditatap sedekat ini. Selama ini, kalau Rizqi duduk dekat, pasti dia akan membuang pandang kearah lain. Bukan kerana tak suka. Tapi dia tak sanggup nak membiarkan nafasnya jadi tersekat dikerongkong dan dadanya berdebar laju tak ingat. Entah kenapa sekarang, dia malu hendak bertentang mata dengan Rizqi. Dulu, sewaktu Rizqi berkawan dengan Ilham, tak ada lah pula perasaan sebegitu.

Tangan Indah mengelus lembut pipi Rizqi.

“Indah sayangkan Abang” entah kenapa, sebaris ayat itu diucap oleh Indah dalam nada perlahan. Dia sendiri terkejut dengan apa yang baru terluah dari bibirnya.

“Abang pun” buntang mata Indah apabila Rizqi bersuara dengan mata yang luas terbuka. Tangannya segera ditarik namun sempat ditahan Rizqi. Tangan Indah dibawa kebibirnya dan dikucup lembut. Perut Indah terus rasa sebu.Terasa ada sekumpulan rama-rama sedang terbang di dalamnya. Wajah dan telinganya sudah rasa membahang tahap tak ingat. Rizqi tersenyum melihat pipi Indah yang sudah memerah.

“Abang pun sayangkan Indah”

“Habis Kak Ilham macamana?”

“Macamana? Macam tula dia. Masih elok belajar di Melbourne”

“Abang ni. Maksud Indah, bukan ke Abang pernah kata cuma ada dia dalam hati Abang”

“Itu dulu. Sebelum kita kahwin. Sekarang, Ilham dah Abang masukkan dalam kotak memori dan dalam hati Abang cuma ada dua I  je”

Kening Indah berkerut. Dua I? Tadi kata Kak Ikham dan dimasukkan dalam kotak memori. Kenapa masih ada dua I lagi? Takkanlah laki aku dah ada cita-cita nak bagi aku payung emas? Baru seminggu je kahwin kot. Huwaaaaaa!!!! Tak nak payung emas!!!! Barang kemas pun aku tak nak!!!! Aku nak Muhammad Rizqi Emir je!!! Airmata Indah sudah mula bergenang. Tangan yang masih digenggam Rizqi pantas ditarik. Dia sudah bangun hendak meninggalkan Rizqi.

“Eh, nak kemana tu. Abang tak habis lagi cakap” lengannya sudah kejap dalam genggaman Rizqi. Puas dia meronta untuk melepaskan tapi gagal. Akhirnya dia mengalah dan kembali duduk di sisi Rizqi.

“Maksud Abang, dua I tu … Indah dengan Ibu” tanpa dapat ditahan segaris senyuman terbit dibibir Indah. Airmata yang sempat menitis sempat diseka. Rizqi menarik tubuh Indah ke dalam dakapannya. Indah membalas. Kini hati mereka tenang dan lapang selapang-lapangnya.

***

“Jasmin! Jangan panjat rak buku tu! Ish budak ni” dengan perut yang sudah memboyot, langkahnya pantas menghampiri anak sulungnya yang berusia 5 tahun yang sedang ligat menajat kabinet buku yang terdapat di ruang tamu rumak Mak Dara dan Pak Ihsan itu.

“Tengok tu. Perangai sebiji macam Mamanya kan Mak?” Ilham yang sedang mengendong anaknya, Rayyan yang berusia 2 tahun menegur sambil tertawa melihat Indah yang sudah menarik tangan anaknya sambil tercungap-cungap.

“Itulah. Dulu, dia salahkan Mak. Sekarang ni, anaknya ikut perangai dia, baru tahu” Mak Dara yang sedang sibuk menghidangkan rending, ketupat dan soto di atas meja tersenyum. Indah sudah memuncungkan mulutnya.

Meriah rumah Pak Ihsan di pagi Raya itu. Ilham yang sudah lima tahun menetap di Australia dan bertemu jodoh dengan orang sana, baru pertama kali pulang menyambut Aidilfitri di kampung. Indah pula, giliran tahun ini beraya di situ dahulu sebelum ke rumah Mertuanya pada petang Raya kedua.

“Hish kamu ni tak menyempat. Tunggulah orang lelaki balik dari Masjid dulu” Mak Dara menegur Indah yang sudah memotong ketupat ke dalam pinggan. Jasmin dibiarkan bermain dengan Rayyan yang sudah dilepaskan Ilham bermain dengan selonggok permainan yang dibelikan Atuk dan Neneknya.

“Ala Mak … Bukan Indah nak makan. Baby dalam perut ni yang dah lapar” kuah soto sudah disenduk ke dalam pinggannya. Terliur sungguh dia melihat hidangan di atas meja itu. Mak Dara hanya mengeleng-gelengkan kepala.

“Melantak kuat, tapi badan macam tu juga. Jeles la Akak dengan Indah ni” llham yang baru meletakkan dulang berisi jug air mencemik sebelum mengambil tempat di sebelah adiknya.

“Indah ikut gen Mak, Akak tu ikut gen Ayah. Okaylah tu. Muka Akak ikut Mak, muka Indah ikut Ayah …  Barulah kita ni layak digelar anak Mak dan Ayah!” Ilham tergelak mendengar kata-kata Indah. Rindu benar dia dengan adiknya itu. Setelah lima tahun baru sekarang bertemu semula.

Bukan dia rancang pun. Semuanya sudah tersurat. Apabila mendengar berita mengenai Rizqi yang terpaksa berkahwin dengan Indah, berbulan jugalah Ilham bersedih. Dengan izin Allah, dalam keperitan mengubat hati yang terluka, dia bertemu dengan Daniel. Warga Australia yang keluarganya memang beragama Islam. Mereka berkawan,  menjadi rapat dan akhirnya melahirkan bibit-bibit cinta.

Habis belajar, Daniel menyatakan hasrat untuk memperisterikannya. Lalu, setelah berbincang dengan Ayah dan Ibunya, akhirnya, keluarga Daniel terbang ke bumi Malaysia untuk meminang dan seterusnya menikahkan Daniel dengan Ilham. Seminggu selepas itu dia kembali ke Australia kerana Daniel sudah mendapat tawaran kerja di sana. Selepas itu, dia terus menetap di sana. Malah Rayyan juga dilahirkan di sana. Inilah Raya pertama yang di sambut bersama keluarganya. Itupun kerana kebetulan Daniel sudah tiga bulan ditukarkan ke Terengganu dan akan berada di situ selama 3 tahun. Bersorak gembiralah keluarganya apabila mendengar. Lebih-lebih lagi Indah yang sememangnya merindui kakaknya itu.

“Assalammualaikum!!”  Suara nyaring dari Jazim, kembar Jasmin membantutkan perbualan antara Indah dan Ilham.

“Waalaikummussalam. Haaa dah balik pun semua. Meh sini makan. Semua dah siap hidang dah ni. Ada yang dah siap melantak pun ni haaa” riuh suara Mak Dara berkumandang. Indah hanya buat tak tahu. Dia melayan Jazim yang sudah berlari mendapatkannya. Semua yang ada disitu tergelak melihat Jazim memeluk perut Indah dan menciumnya sambil mengucapkan ‘Sayang adik’.

Masing-masing sudah mengambil tempat duduk. Rizqi memangku Jasmin di sebelah Indah yang memangku Jazim. Daniel memangku Rayyan di sebelah Ilham. Pak Ihsan pula sudah menadah pinggan menunggu Mak Dara memotongkan ketupat untuknya.

Segala peristiwa sedih yang pernah berlaku sudah lama dilupakan. Mereka masing-masing sudah melakar bahagia di atas jalan yang sudah tertulis di Luh Mahfuz. Takdir yang diterima dengan redha dan ikhlas pasti akan membuahkan bahagia akhirnya. Pasti.

P/S : Surah al-Imran ayat 54 : Allah berfirman dalam al-Quran “Dan Mereka Merancang, Allah juga merancang,Dan Allah sebaik-baik Perancang”.

Friday, June 13, 2014

TUHAN BERI AKU CINTA : BAB 1 (PENGENALAN)

 
"APA??? Kau ni dah fikir masak-masak ke Riss? Kau ingat nak kawin ni cuma sehari dua ke? Sekarang ni kau boleh la cakap yang cinta tu boleh dipupuk lepas kawin. Tapi, kau pernah tak terfikir kalau lepas kawin nanti, langsung takde rasa cinta antara korang berdua?" Fatihah tak putus-putus membebel kepada teman baiknya yang dirasakan seperti sudah hilang akal apabila semudah itu bersetuju untuk dikahwinkan oleh Ibu Saudaranya dengan duda kaya beranak dua yang merupakan anak buah Ketua Kampung sebelah.

"Kau cakap memang la senang Fat. Mak Long aku tu dah banyak berjasa dengan aku dua beradik semenjak Mak dengan Ayah aku meninggal kau tau tak? Tak gamak aku nak lukakan hati dia" Wajah putih mulus sahabatnya ditatap pohon pengertian. Fatihah membuang pandang kearah sawah bendang yang menghijau di hadapan pondok kayu yang mereka duduki itu.

"Aku tak sangka, Cahaya Arissa Binti Azmi, kawan baik aku yang selama ini berjiwa kental, akhirnya tunduk saja pada takdir tanpa mahu berjuang bila melibatkan bab jodoh" ada nada kekesalan di hujung ayat yang keluar dari bibir mungil Fatihah membuatkan Arissa melepaskan keluhan berat.

"Habis, macamana dengan plan kita nak sambung belajar sama-sama? Macamana dengan cita-cita kau nak jadi Pensyarah? Kau nak lupakan macam tu je?" pertanyaan demi pertanyaan dari Fatihah membuatkan Arissa semankin runsing. Fikirnya, dengan meluahkan keputusan yang telah dibuatnya ini kepada Fatihah dapatlah juga meringankan sedikit bebanan perasaan yang di tanggungnya. Namun, reaksi yang diterima dari gadis kecil molek itu betul-betul menambahkan lagi tekanan perasaan yang dirasainya.

Hembusan angin bendang yang menyapa lembut pipinya serba sedikit dapat juga membuatkan hatinya merasa sedikit lapang.

"Aku bukan apa Riss. Kau tu pelajar harapan sekolah tau. Trial pun hari tu, keputusan kau lagi bagus dari aku. Semua 'A' tau! Rugi kalau kau tak sambung belajar" suara Fatihah sedikit mengendur apabila Arissa yang duduk di sebelahnya mempamerkan wajah sugul. Bahu temannya itu dipeluk erat.

"Apa pilihan yang aku ada Fat? Lagipun, aku tak nak menyusahkan Mak Long dengan Pak Long aku lagi. Diaorang sanggup nak sekolah kan aku sampai habis tingkatan enam ni pun dah cukup bagus. Adik aku, si Amin tu pun kena la aku fikirkan sama. Ni dia baru je masuk Tingkatan 4. Tahun depan nak SPM. Masih banyak lagi belanja yang kena Mak Long dengan Pak Long aku tanggung untuk sekolahkan dia. Nasib baiklah diaorang tak ada anak sendiri tau. Kalau tak, tak tahulah macamana. Dahlah cuma Pak Long aku je yang bekerja. Tu pun cuma kerja kilang je."

Panjang berjela Arissa menerangkan kepada Fatihah dengan harapan gadis itu faham akan situasinya saat itu. Tudung bawal dikepala yang sedikit senget dibetulkan sedikit.

Arissa memang berhati kering. Namun, bila ianya melibatkan takdir, qada' dan qadar, Arissa segera bermuhasabah diri.

Tiba-tiba dia teringatkan bait kata-kata dari Ustaz Asri, guru agamanya ketika dia berumur 12 tahun dulu yang sentiasa terpahat kemas dalam hatinya. Waktu itu, dia adalah Arissa si Perengus. Sangat mudah marah dan suka menyalahkan orang lain di atas setiap perkara buruk yang berlaku dalam hidupnya.

Segala-galanya bermula semenjak kematian kedua orang tuanya yang terlibat dalam kemalangan langgar lari. Dia menjadi kanak-kanak yang sering memberontak.

Sehinggalah, pada suatu hari ketika dia dibawa oleh Mak Long Asmah dan Pak Long Amdannya untuk mendengar ceramah Agama yang dikendalikan oleh beberapa panel termasuk Ustaz Asri yang ketika itu merupakan Guru Agama di sekolahnya, Arissa seolah-olah mendapat jawapan kenapa Ibu dan Ayahnya dijemput Allah pada usia dia semuda itu.

Sesuai dengan tajuk ceramah pada malam itu, 'Hidup Untuk Mati, Mati Untuk Hidup', Ustaz Asri selaku Moderator memulakan bicaranya dengan alunan bacaan dari surah Al-A’raaf Ayat 34 beserta maksudnya :

“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan. ”

Pada saat itu, Arissa seolah-olah baru tersedar akan kekhilafannya menyalahkan takdir selama ini. Bukankah mati itu adalah janji Allah yang pasti? Kalau dah memang sudah tertulis di Luh Mahfuz yang Ayah dan Ibunya akan mati pada usianya 12 tahun, dengan apa cara sekalipun, mereka pasti akan dijemput juga oleh Allah melalui Malaikat Izrail. Siapa dia hendak mempersoalkan semua itu?

Mujur dia cepat disedarkan oleh Allah. Jika tidak, sia-sia sahaja arwah Ayah dan Ibunya sering membawanya ke ceramah Agama dulu. Itu belum lagi dikira dengan kelas Agama yang mereka hadiri saban hari selepas selesai solat Maghrib di Masjid atau Surau.

Sehingga ke hari ini,salah satu ayat Al-Quran yang menjadi pegangannya apabila ada saja perkara yang di luar keinginannya berlaku adalah dari Surah Al-An'aam ayat 18 yang bermaksud : Dan Dialah yang Berkuasa atas sekalian hambaNya (dengan tadbir dan takdir); dan Dialah Yang Maha Bijaksana serta Amat Mendalam PengetahuanNya.

"Hmmm .. Kalau macamtu dah keputusan kau, aku nak kata apa lagi. So, bakal suami kau ni berapa umurnya sebenarnya? Kalau anak dah 2 orang, mesti dah tua kan?" Kata-kata lantang dari Fatihah menariknya kembali ke dunia nyata. Memek muka Fatihah yang seperti kegelian itu mengundang tawa kecil dibibir Arissa.

"Mak Long aku cakap umur dia dalam awal 30an la. Takdelah tua sangat. Kahwin muda kot" Arissa menjawab dengan sisa tawa yang masih lagi berbaki. "Tak tua kau kata? Eh Cik Kak. Kau tu baru nak masuk 20 tahun tau tak? Kalau umur bakal suami kau tu 32 tahun, beza satu abad tau tak?!" Fatihah membulatkan matanya. Arissa hanya tersenyum.

Bagi Arissa, jurang umur yang besar bukanlah menjadi satu masalah buatnya. Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W pun, sewaktu mengahwini Siti Aisyah yang baru berusia 7-9 tahun, Baginda Rasulullah ketika itu sudah pun berusia sekitar 50 tahun. Jadi, apalah sangat perbezaan 10 tahun diantara dia dan bakal suaminya nanti.

"Tapi kan .. Oleh kerana aku tengok kau macam tak kisah, aku agak mesti dia ni hensem kan? Entah-entah macho giler ala-ala Aaron Aziz!" riak wajah Fatihah sudah bertukar. Tiba-tiba dia yang rasa teruja bila membayangkan bakal suami Arissa setampan dan sesegak pelakon kegemarannya, Aaron Aziz.

"Kau ni ada-ada sajalah Fat. Aku pun tak taulah. Tak pernah tengok pun lagi. Lagipun, Pak Long kata dia kerja kat Kuala Lumpur. Jarang balik kampung" Arissa berkata selamba sambil kaki yang tergantung digoyang-goyangkan.

Mata Fatihah membuntang memandang Arissa yang masih mempamerkan wajah selamba. Rasa ingin saja dicekik sahabat baiknya itu.

"Kau ni dah kenapa? Kalau bakal laki kau boroi, kepala botak, gigi rongak dan .. entah-entah mata pun kero .. engkau nak???" bahu Arissa yang dipeluknya tadi ditampar geram. "Adoi! Sakitlah!" bahu yang terasa perit ditampar Fatihah digosok-gosok laju. Wajah Fatihah yang masih tegang dipandang penuh persoalan. Ni aku ke dia yang nak dikahwinkan ni? Detik hati Arissa.

"Kau ni banyak sangat fikir la Fat. Takkan la Pak Long aku tu nak jodohkan anak buah dia yang comel mengalahkan Nora Danish ni dengan lelaki macamtu kot" Arissa tersengih melihat Fatihah masih berwajah kelat. Dia tahu temannya itu sayangkan dirinya. Oleh kerana itulah, Fatihah terlebih-lebih risau darinya.

"Kau ni cubalah serius sikit Riss! Sebab kau tu comel sangat la aku ni risau tau tak?" berkerut-kerut dahi Fatihah memandang Arissa yang masih tersenyum lebar kearahnya.

"Aku seriuslah ni. Pak Long aku ada cakap yang dia ni ada kacukan darah Pakistan. So, kalau dah anak kacukan tu, mestilah hensem kan?" akhirnya Arissa berterus terang. Tak mahu menyeksa perasaan Fatihah lagi.

"Laa kau ni. Bukan pasal hensem ke tak. Kalau muka hensem pun, tapi kalau dia tu botak ke, boroi ke .. gigi jongang ke .. kau tak takut?" dahi Fatihah berkerut lagi. Arissa ketawa. Mankin geram Fatihah dibuatnya.

"Entah. Aku dah redha je sekarang ni. Yang penting, dia boleh jadi Imam kepada aku dan bakal anak-anak aku Fat" Arissa bangun dan mengibas-ngibaskan habuk yang melekat di punggungnya.

"Wei, aku balik dulu lah. Dah nak Maghrib ni. Hujung minggu ni rombongan meminang tu datang. Kau datang lah ye. Assalammuaalaikum" Arissa melangkahkan kakinya meninggalkan Fatihah yang masih tercengang-cengang. Ayat terakhir dari Arissa menambahkan rasa sebalnya terhadap Arissa yang dirasakan terlalu cepat mengalah pada takdir.

WAJAH yang telah didandan ringkas oleh Mak Andam Salmy di tatap lagi. Fatihah yang berada di dalam bilik setia menemaninya sedari jam 8 pagi tadi tak putus-putus memuji betapa cantik wajahnya setelah disolekkan. Walaupun solekkan yang dikenakan kepadanya tidaklah setebal mana.

Tepat jam 11 pagi, rombongan meminang dari pihak lelaki yang datang dengan menaiki beberapa buah kereta akhirnya sampai juga.

"Weeii .. rombongan dah sampai la" Fatihah yang mengintai dari celah pintu bilik memberitahu dengan  nada penuh teruja. Arissa mula mengepal-ngepal tangan yang mula terasa seram sejuk. Fatihah yang masih mengintai diperhatikan. Di dalam bilik cuma tinggal dia dan Fatihah sahaja ketika itu.

"Semua orang tua je aku nampak Riss. Takkan bakal tunang kau tak datang kot?" Wajah Arissa ditatap sekilas sebelum pandangan mata Fatihah tertumpu semula pada setiap tetamu yang semankin memenuhi ruang tamu rumah Mak Long Asmah.

"Dia sibuk kot. Bagus juga dia tak datang" Arissa menyahut selamba. "Bagus kau cakap?? Ishk kau ni Riss. Kau tau tak? Inilah masanya kalau kau nak tengok bakal suami kau tu tau. Kalau agak-agak muka tak boleh blah, boleh la kau reject awal-awal" Fatihah menghampiri Arissa yang duduk di birai katil. Wajahnya sudah berkerut-kerut tanda dia sebal dengan sikap endah tak endah Arissa.

"Nak reject macamana lagi Fat? Kau nak aku lari dari rumah ke apa?" Arissa tertawa kecil. Lucu melihat riak wajah Fatihah saat itu. Dengan mulut melopong, dahi berkerut seribu dan mata yang membulat memandang tepat kewajahnya.

"Riss!! Kau ni! Aku serius la!" suara Fatihah sudah sedikit meninggi. Geram dengan perangai Arissa yang seolah-seolah sedang bermain pondok-pondok sahaja lagaknya.

"Hisshh.. Apalah anak dara ni. Cubalah senyap sikit. Orang tua tengah berbincang kat luar sana tu" keras suara Mak Long Asmah yang baru saja melangkah masuk ke dalam bilik Arissa menyebabkan Fatihah yang baru saja ingin meneruskan bebelannya, terdiam terus. Tawa Arissa juga tiba-tiba mati apabila melihat wajah garang Mak Longnya.

"Maaf Mak Long" Fatihah bersuara sambil memandang kearah Mak Long Asmah yang sudah berdiri sambil bercekak pinggang di hadapan mereka berdua. Arissa hanya tersengih, serba salah. Mak Long Asmah menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Awak tu dah nak jadi bini orang Arissa. Cubalah buang sikit perangai budak-budak awak tu" Selendang di kepala Arissa dibetulkan sedikit. Wajah ayu yang persis wajah arwah adiknya itu ditatap lama.

Dia sayangkan Arissa dan Amin. Itulah saja harta peninggalan paling berharga dari Maisarah, satu-satunya adik-beradik yang dia ada. Keputusan mengahwinkan Arissa dalam usia semuda ini dibuat setelah memikirkan buruk baiknya dengan mendalam. Bukan kerana dia dan suaminya gilakan harta keputusan ini diambil.

Semuanya dibuat adalah untuk masa depan Arissa. Dia mahu Arissa hidup senang. Selepas 8 tahun pemergian kedua orang tuanya, dia rasa, sudah tiba masanya Arissa diserahkan kepada orang yang sepatutnya untuk menjaganya. Dia mahu Arissa terus berjaya dalam hidupnya. Dia pasti andai Arissa berjaya, Amin juga akan turut berjaya. Segalanya dengan izin Allah.

"Mak Long" panggilan lembut dari Arissa menghentikan lamunannya. Dia segera mengesat air mata yang sudah mula bertakung di tubir matanya. "Cantik anak buah Mak Long hari ni" pipi mulus Arissa dielus lembut. "Bukan ke Riss hari-hari memang cantik?" sempat Arissa bergurau. Sekadar untuk menghiburkan Mak Longnya yang dirasakan sedang menahan sebak walau segaris senyuman cuba dipamerkan.

"Ha yelah. Hari-harilah awak tu nampak cantik. Cuma hari ni lain la sikit sebab muka tu dah kena tepek dengan bedak berkilo-kilo. Silap haribulan, Mak Long ni kalau kena solek dengan Andam Salmy tu mesti ada rupa Erra Fazira agaknya" tergelak Fatihah dan Arissa mendengar kata-kata Mak Long Asmah.

"Dah, dah. Asyik gelak je kerjanya. Kejap lagi bakal Mak Mertua awak nak masuk sarung cincin. Kesat sikit airmata tu. Seronok sangat ketawa sampai keluar airmata" Mak Long Semah menegur sambil tangannya merapikan lagi tudung dan selendang yang dipakai Arissa. Tawa antara mereka sudah agak reda.
 
ADIALUZEONLINENOVEL : WHERE DREAMS CAME TRUE Blogger Template by Ipietoon Blogger Template