SUDAH
3 hari Puan Saadiah dan Encik Azman berada di Hospital dan ditempatkan di wad
ICU. Selama itu jugalah Ammara berkampung di Hospital. Makan, mandi dan tidur
di situ. Kain bajunya dihantar oleh Ammar setiap hari.
Walau puas dipujuk untuk berganti orang, Ammara tetap
berkeras untuk sentiasa berada di situ. Dia ingin menjadi orang pertama yang
dihubungi sekiranya ada apa-apa perubahan pada keadaan Ayah dan Ibunya. Ammar
terpaksa akur. Memandangkan alahan Fatin masih agak teruk, dan keadaan
kesihatan Nek Lijah dan Tok Lan yang tak begitu baik, dia tak boleh selalu
datang ke situ. Mujur ada Imtiyaz yang sanggup bergilir setiap hari untuk
melawat Ibubapanya dan pada yang sama menjenguk keadaan Ammara.
“Ara … Ara … Ara …” Bahu Ammara yang terlena sambil duduk dengan
kepala hanya beralaskan lengan di kerusi menunggu digoncang lembut. Wajah yang
jelas kepenatan itu dipandang lama oleh Imtiyaz. Walau baru beberapa hari namun
wajah mulus itu sudah kelihatan agak cengkung.
Melihatkan Ammara yang masih lena, Imtiyaz mengoncangkan
lagi tubuh gadis itu sehinggalah Ammara terpisat-pisat membuka matanya.
Perlahan-lahan matanya digosok.
“Eh, Encik Imtiyaz. Bila sampai? Dah pukul berapa
sekarang?” Dalam keadaan masih mamai dan suara agak serak, Ammara bertanya pada
Imtiyaz yang sudah duduk di sebelahnya.
“Saya baru je sampai. Sekarang dah pukul 6.30 pagi. Ara
pergilah bersihkan diri dulu dan solat subuh. Ni Along ada kirimkan baju dan
sarapan untuk awak. Dia tak dapat nak datang hari ni sebab ada Auditor nak datang office. So, dia kena standby” Ammara mengangguk-anggukkan
kepalanya. Dua buah beg kertas berwarna coklat yang dihulurkan Imtiyaz disambut
tanpa banyak soal. Ammara bangkit dan berjalan menuju kearah bilik air untuk
membersihkan diri dan terus ke surau untuk menunaikan solat subuh.
Selesai solat subuh, Ammara kembali semula ke wad ICU tapi
pandangan yang menyapanya membuatkan dadanya berdegup kencang. Imtiyaz, Ammar, Nek
Lijah, Tok Lan, Fatin dan Fath sudah berkumpul dengan masing-masing berwajah
sugul. Ammara mempercepatkan langkah kakinya. Di dalam surau tadi dia sempat
melelapkan mata sekejap. Tapi, rasanya belum sampai 2 jam dia pergi tapi kenapa
dalam sekelip mata suasana boleh berubah sesuram itu?
“Along? Kenapa Along datang ni? Encik Imtiyaz cakap Along
tak boleh datang hari ni … Kenapa semua ada kat sini ni?” Ammar orang pertama
yang dituju. Mata Ammar yang nampak berkaca membuatkan Ammara tak sedap hati.
Tanpa sepatah kata Ammar terus memeluk tubuh Ammara erat. Yang lain hanya
memerhatikan dengan pandangan sayu.
“Along … Kenapa ni? Kenapa Along menangis? Mama dengan Papa
dah sedar ke?? Kenapa Mak Tok nangis? Ayah Tok?” Ammara menepuk perlahan
belakang tubuh Abangnya yang sudah teresak-esak menangis. Wajah Nek Lijah dan
Tok Lan yang berdiri di belakang Ammar turut dipandang dengan terpinga-pinga.
“Papa dengan Mama dah tak ada Ara …” Kata-kata berbaur
sendu dari Ammar membuatkan tubuh Ammara terus longlai. Nasib Ammar sempat
merangkulnya erat agar tidak melorot terus kelantai. Tanpa dapat ditahan Ammara
terus meraung pilu. Mak Tok dan Fatin yang sudah turut sama menangis memeluk
erat tubuh Ammara itu dari belakang. Tok Lan, Fath dan Imtiyaz hanya memandang
tanpa suara.
UPACARA pengkebumian dan kenduri doa
selamat sudah berlangsung dengan tenang dan damai di kediaman Arwah. Ammara
menyibukkan diri dengan segala kerja untuk mengelakkannya dari terus meratap
dan menangis. Dari memasak, mengemas, mencuci pinggan mangkuk sampailah
melayani tetamu yang datang melawat semuanya dia lakukan. Sebaris senyuman tak
lekang dari bibirnya walaupun terlihat tanpa sinar.
Malam itu, selesai sahaja kenduri 7
hari pemergian Arwah, Tok Lan, Nek Lijah, Ammar, Ammara, Fatin, Fath, Imtiyaz,
Datuk Muzaffar, Datin Suhana dan Imtithal yang sedang memangku Imdad yang sudah
terlena, duduk berkumpul di ruang tamu setelah semua tetamu yang lain beredar
pulang. Masing-masing senyap sambil menghirup kopi yang dibancuh Ammara.
“Tok Lan, Ammar, Saya ada benda nak
dibincangkan” Datuk Muzaffar bersuara memecahkan kesunyian. Tok Lan dan Ammar
yang duduk di sebelahnya dipandang. Ammara yang duduk berapit Mak Tok dan Fatin
dengan kepala dilentokkan di atas bahu neneknya itu turut dipandang.”Pasal Ara dengan
Tiyaz” mendengar namanya di sebut Ammara terus duduk tegak. Matanya yang layu terus
memandang kearah Datuk Muzaffar.
“Saya pun sebenarnya pun nak bincang dengan Uncle pasal mereka berdua” pandangan
Ammara sudah berkalih pada Ammar. Fatin meraih tangan Ammara dalam genggamannya
dan dielus lembut. Perlahan-lahan Ammara menoleh kearah Fatin yang sedang
tersenyum kearahnya seolah-olah mahu menenangkannya.
“Saya rasa kita percepatkan perkahwinan Ara dengan Tiyaz.
Apa pendapat Tok Lan dan Ammar?” Laju kepala Ammara berpusing memandang kembali
kearah Datuk Muzaffar dengan pandangan tak percaya. Mukanya sudah berkerut
seribu. Betul ke apa yang didengarnya? Baru sahaja dia kehilangan dua insan
penting dalam hidupnya dan baru saja dia hendak mengatur semula nafas, kini
Datuk Muzaffar pula mengemukakan cadangan yang membuatkannya kembali sesak
nafas.
“Saya pun fikirkan yang sama Uncle” kata-kata persetujuan dari Ammar membuatkan dada diserang
rasa yang mencengkam. Tok Lan yang duduk di sebelah Abangnya turut dipandang.
Walau tanpa suara, anggukan kepala Ayah Toknya itu cukup menandakan
persetujuannya.
“Tapi Ara tak setuju” sebaik saja dia habis berkata, 9
pasang mata tertumpu padanya. Masing-masing memandangnya dengan pandangan sayu.
Entah kenapa saat itu dia benci dipandang begitu. Damsel in distress. Itulah ibarat dirinya sekarang bila dipandang
begitu. ‘Along dah tak sayang aku’. Itu yang terlintas dalam fikiran Ammara
ketika itu.
“Kenapa? Along dah tak sabar nak lepas tangan dari jaga Ara
ke? Sebab Along dah nak ada anak sendiri? Jadi Along rasa Ara ni akan
menyusahkan dan jadi beban Along ke??! Ayah Tok pun sama!” Entah kenapa hatinya
menjadi terlalu sensitif ketika itu. Tiba-tiba dia rasa yang Ammar dan Tok Lan
ingin membuangnya. Dia rasa sangat sunyi dan keseorangan saat itu.
“Apa Ara cakap macam
ni … Along …” Belum sempat Ammar menyudahkan ayatnya, Ammara sudah
bangun dan berlari masuk ke dalam biliknya yang berada di tingkat atas.
“Ara …” Ammar yang ingin mengejar pantas ditegah oleh
Fatin. “Biar Fatin yang pujuk dia” Fatin menawarkan diri dan Ammar hanya
mengangguk setuju. Fatin meminta diri kepada Nek Lijah, Tok Lan, Datuk Muzaffar
dan Datin Suhana sebelum berlalu menurut langkah Ammara.
Pintu bilik
diketuk sebelum tombol pintu yang tak berkunci di pulas. Fatin melangkah masuk
ke dalam bilik Ammara sebelum pintu bilik ditutup semula. Ammara yang meniarap
di atas tilam dengan tubuh terenjut-enjut teresak menangis dihampiri. Belakang
tubuh kecil itu diusap perlahan.
“Along dah tak
sayang Ara” Setelah beberapa minit sunyi tanpa kata, akhirnya Ammara bersuara
tapi masih meniarap tanpa memandang kearah Fatin.
“Ara … Along
sayangkan Ara. Sayang sangat. Sebab tu Along ambil keputusan macam tu” lembut
Fatin memujuk. Ammara bangun dan duduk bersila mengadap Fatin. Airmata yang
membasahi wajahnya diseka dengan kedua telapak tangan.
“Sayang? Kalau
sayang, kenapa Along macam tak sabar nak kahwinkan Ara?? Kalau Along tak nak
Ara duduk kat rumah dia, bagitahu jela. Ara boleh je balik duduk rumah Papa
dengan Mama ni” Airmata menitis lagi. Sebak hati dia bila mengingatkan
satu-satunya darah dagingnya yang masih tinggal sudah tidak sabar untuk
melepaskan tanggungjawab dari menjaganya. Baru seminggu Ibu dan Bapa mereka
meninggal, Ammar sudah tak mahu lagi menjaganya. Sampai hati Ammar
memperlakukannya sebegitu. Ammara sudah celaru dengan emosi prasangkanya
sendiri.
Fatin menghela
nafas panjang. Sampai begitu sekali Adik Iparnya itu berprasangka terhadap
suaminya.
“Ara … Ara kenal
kan Along Ara tu. Akak rasa, Ara lebih kenal dia dari Akak sendiri. Dalam hati
dia tu, Selain dari arwah Papa dengan Mama, Aralah yang paling utama tau. Lebih
dari Akak ni … Sebab tu dulu Akak selalu cari pasal dengan Ara. Sebab Akak
cemburu Abang Ara tu selalu lebihkan Ara” Fatin mengusap keduabelah lengan
Ammara. Dia berharap sangat yang Ammara tidak memandang serong terhadap
keputusan Ammar untuk menyegerakan perkahwinan Ammara dan Imtiyaz.
Esak tangis Ammara
sudah perlahan-lahan terhenti. Sisa airmata dikesat sehingga kering. Wajah Fatin
ditatap. Cuba mencari kejujuran dalam kata-katanya. Dia berharap yang kata-kata
itu bukan sekadar untuk menyedapkan hatinya saja.
“Tapi Ara belum
bersedia nak kahwin Kak …” malah sebenarnya, kalau boleh, dia tak ingin
langsung mengahwini Imtiyaz. Tapi, kalau dia tiba-tiba membatalkan pertunangan
mereka, pasti semua orang akan merasakan yang emosinya tak stabil dan terganggu
dek kerana kehilangan kedua orang tuanya. Tak memasal pula nanti dia dihantar
berjumpa dengan Doktor Psikiatri. Eeeeiiiii …. Jangan cari pasal Ammara! Dia
cuba menasihati diri sendiri supaya tidak membuat keputusan mengikut perasaan.
“Kenapa? Ammara
tak sayangkan Tiyaz ke? Kamu memang akan berkahwin pun nanti. Jadi, cepat atau
lambat takda beza pun kan?” Berkerut kening Fatin sambal memandang tepat ke
wajah Ammara yang sudah terdiam.
Aduh! Macamana aku
boleh lupa drama aku dengan Imtiyaz ni?! Ammara rasa nak hantuk dahi ke
dinding. Dia betul-betul lupa yang pada pandangan semua orang, dia dan Imtiyaz
memang saling menyintai antara satu sama lain. Mesti semua orang pelik dengan
reaksinya sebentar tadi. Lagi sekali Ammara rasa nak hantuk kepalanya bagi koma
terus.
“Kalau Ara nak
tau, Mama dengan Papa tu berkenan sangat kat Tiyaz. Tiyaz pun rajin jenguk Papa
dan Mama kalau kebetulan dia ada meeting
atau jumpa orang dekat area sini.
Mama dan Papa dah memang anggap Tiyaz tu macam anak diaorang sendiri. Ada satu
kali tu, kereta Papa rosak masa Papa pergi kursus kat Cameron. Dia call Along dan kebetulan Tiyaz ada
sekali. Nak dijadikan cerita, Along ada meeting
penting dengan Kementerian so Tiyaz offer
diri tolong Papa. Papa masa tu ada kat Tapah kalau tak silap akak. Cuba
bayangkan, dari Putrajaya Tiyaz memandu ke Tapah tu, tak sampai 2 jam dia dah
sampai. Tak tahu laju macamanalah laju dia bawa kereta masa tu” melongo Ammara
mendengar Fatin bercerita.
Betul ke kakak
iparnya itu sedang bercerita tentang Syed Imtiyaz Omar? Anak Datuk Muzaffar?
Lelaki yang selalu membuatnya naik angin dan menyampah? Kenapa lain benar je
perangainya? Berkerut-kerut muka Ammara cuba menghadam cerita yang disampaikan
Fatin.
“Sebelum Papa dan
Mama kemalangan, dia ada pesan dengan Along yang kalau apa-apa jadi kat
diaorang, Papa minta Along percepatkan perkahwinan Ara dengan Tiyaz. Papa
dengan Mama taknak Ara sunyi sendiri. Mak Tok, Ayah Tok, Along dengan Kak Fatin
memanglah sentiasa ada untuk Ara, tapi tak sama kalau bertemankan seorang yang
bergelar suami. Sakit pening kita ada orang jaga” Sekali lagi Ammara terkedu.
Ammara betul-betul
tidak menyangka Papa dan Mamanya sudah mempunyai perancangan untuk
mempercepatkan perkahwinannya dengan Imtiyaz. Dalam pada dia cuba mencari jalan
memutuskan ikatannya dengan Imtiyaz, Ibu Bapa dan Abangnya berusaha pula untuk
mengeratkan lagi ikatannya dengan lelaki itu. Ammara melepaskan keluhan berat.
“Kak Fatin …
Tolong bagitahu Along yang Ara ikut je dengan keputusan Along” Akhirnya Ammara
mengalah. Jika itu merupakan permintaan terakhir Papa dan Mamanya, biarlah kali
ini dia menjadi anak yang patuh … buat kali terakhir.
Fatin menarik
tubuh Ammara dalam pelukannya. Erat tubuh kecil itu didakapnya Dia tahu betapa
terkesannya adik iparnya itu dengan kehilangan Puan Saadiah dan Encik Azman.
Fatin juga sedar betapa erat dan akrabnya hubungan Ammara dengan kedua orang
tuanya. Terlalu akrab sampaikan tak ada satu pun rahsia antata mereka. Sakitnya
sebuah kehilangan itu dia sendiri pun tak akan boleh membayangkannya. Apatah
lagi untuk menghadapinya. Simpatinya tumpah sepenuhnya terhadap Ammara.
0 comments:
Post a Comment