“YA ALLAH Ara … Apa dah jadi dengan kereta kamu ni? Kamu accident ke? Teruk ke? Kamu tak
apa-apa?” Wajah Puan Saadiah berkerut-kerut sebaik sahaja kereta anak bongsunya
yang memarkirkan kereta di hadapan rumah menyapa matanya.
Ammara
yang baru melangkah keluar dari keretanya menepuk dahi. Macamanalah dia boleh
lupa tentang keretanya yang masih kemek di bahagian bumper hadapan itu. Nampak gayanya, puaslah dia kena bebel dengan
Mamanya hari ni. Ingatkan dapat lari dari Fath, amanlah dia di rumah orang
tuanya itu. Tapi, lain pulalah jadinya sekarang.
“Ala Ma …
Sikit je ni. Ara tak ada apapun. Sihat je ni ha” Ammara mengangkat keduabelah
tangan seperti ahli bina badan saja lagaknya. Sengaja berlawak untuk
menghilangkan kerunsingan dihati Puan Saadiah.
“Kamu ni
memang. Sekarang ni semua benda taknak bagitau Mama dengan Papa dah. Semua
simpan sendiri” ada sedikit rajuk dalam nada suara Puan Saadiah ketika itu.
“Alolololo
… Comelnya Mama Ara ni merajuk … Sebijik macam muka Neelofa … punya nenek!” Tertawa
Puan Saadiah akhirnya dengan gurauan Ammara. Tubuh kecil itu dirangkul erat.
Baru seminggu berpisah, rasa rindunya sudah ditahap maksimum.
“Ingatkan dah tak ingat lagi kat
Mama dengan Papa. Almaklumla, orang tu kan dah pandai berdikari” kata-kata perlian
yang keluar dari mulut Mamanya, hanya disambut dengan senyuman. Lengan Puan
Saadiah dipeluk erat sambil kepala dilentukkan kebahu ala-ala gaya manja.
Mereka berjalan beriringan memasuki rumah.
“Mana boleh Ara lupakan Mama dengan
Papa. You two are my sunshine forever and
ever and ever … “ Puan Saadiah menarik hidung Ammara, lembut namun cukup
untuk membuatkan wajah anak gadisnya itu berkerut kesakitan.
“Pandailah tu nak bodek. Ni kenapa
tetiba balik sorang-sorang ni? Along mana?” Kedua-dua mereka melabuhkan
punggung di atas sofa kulit yang menghias ruang tamu utama rumah itu.
“Hurmm … Biasalah cuti-cuti ni Ma.
Habiskan masa dengan isteri yang tercinta laaa” Puan Saadiah tersenyum melihat
memek wajah Ammara. Bukan dia tak tahu tentang hubungan tegang antara anak
kesayangannya itu dengan menantunya. Pantang berjumpa. Dah macam Korea Selatan
bertemu Korea Utara. Tak pernah nak sebulu.
“Eh Ma.
Papa mana? Takkan hari Sabtu pun ada kelas kot?” Malas hendak terus berbicara
mengenai kakak iparnya itu, Ammara terus saja merubah tajuk. Mankin lebar
senyuman Puan Saadiah disertai dengan gelengan kepala.
“Biasalah
Papa kamu tu. Hujung minggu ni sibuk pula mengajar student part time. Bukan reti duduk kat rumah pun” Puan Saadiah
bangun dan berlalu ke dapur. Ammara yang membontoti dari belakang hanya
terangguk-angguk macam burung belatuk.
“Waahhh … Nasi dagang! Sedapnyaaa
Maaa…” teruja benar Ammara apabila melihat juadah sarapan yang disediakan
Mamanya yang sememangnya berasal dari Terengganu itu. Baru seminggu meninggalkan
rumah itu, mencanak-canak rasa rindu pada masakan Mamanya.
“Tak sarapan lagi ke tadi? Kak
Fatin tak masak ke?” Puan Saadiah yang sudah menuangkan air buat Ammara
bertanya kehairanan. Setahunya, walau Fatin dan Ammara tidak sebulu, tapi
menantunya itu tidaklah sampai tahap Mak tiri Cinderella apabila melayan anak
daranya yang manja itu.
“Eh, masak. Tapi tadi, Ara teruja
sangat nak balik jumpa Mama dengan Papa. Tu yang langsung tak sempat sarapan”
Ammara terpaksa berbohong. Untuk menceritakan yang Fath ada di rumah Alongnya
itu memang tidaklah. Mahu disuruh Alongnya menghalau Fath andai Mamanya tahu.
Mamanya menyaksikan sendiri kesan
dari perbuatan Fath pada dirinya 4 tahun yang lalu. Hampir dua bulan dia tidak
menghadiri sebarang kuliah. Hampir dua bulan jugalah dia tak lalu makan. Dari
berat hampir 70kg, tubuhnya susut hingga menjadi 50kg hanya dalam masa dua
bulan. Ibu mana yang tidak sedih apabila anaknya diperlakukan sebegitu sehingga
mempengaruhi kehidupan hariannya?
“Nah makan
banyak sikit. Baru seminggu duduk dengan Along, mankin kurus pulak Mama tengok
anak Mama ni” nasi sudah disenduk ke dalam pinggan di hadapan Ammara. Dia hanya
tersengih mendengar komen Mamanya.
Mana tak kurus Ma … Kat rumah ada
si malaun Fath tu, bila kat office,
ada pulak si poyo Imtiyaz dan si miang Haikal. Memang tak lalu makanlah dia
dibuatnya dek kerana perangai tiga orang makhluk Tuhan itu.
Itu belum lagi diambilkira
mulut-mulut longkang Fatin dan Suraya yang ada saja bahannya untuk dibalahkan
dengannya. Namun, segala jawapan itu disimpan sendiri. Ammara tidak mahu
Mamanya risau. Cukuplah dengan masalah-masalah yang diketahui sewaktu zaman
pembelajarannya dulu. Sekarang dia sudah cukup dewasa untuk menangani segalanya
seorang diri. Nantilah, agak-agak sudah tidak tertanggung lagi, pasti
Mamanyalah yang akan dicari untuk dia meluah rasa.
“Dah malam
ni. Tidurlah sini. Kain baju Ara pun ada lagi kan dalam bilik tu” puas Puan
Saadiah dan Encik Azman memujuk Ammara supaya bermalam di situ, namun gadis itu
terus berdegil untuk pulang ke rumah Abangnya.
Akhirnya,
kedua orang tuanya terpaksa akur dengan kedegilan Ammara itu. Mereka seperti
Ammar, sudah arif benar dengan sikap keras kepala Ammara itu. Kalau A yang
dikata, A la yang akan dibuat. Janganlah sesiapapun cuba mengubah. Memang
takkan terkesan langsunglah jawabnya.
Ammara
bukan sengaja tidak mahu bermalam di rumah orang tuanya, tapi dia baru menerima
mesej sms dari Angel, salah seorang Pegawai Pemasaran di Muz Holding berkenaan tender yang dia perlu periksa sebelum
diserahkan kepada Imtiyaz awal pagi Isnin. Bengang juga bila memikirkan
kerja-kerja last minute yang perlu
dilakukannya itu. Tapi, itulah rencah yang terpaksa dihadapi memandangkan buat
masa sekarang, hanya dia seorang saja Admin Exec yang ada.
Jam
menunjukkan ke pukul 11 malam namun Lebuhraya LDP dari Kelana Jaya ke Putrajaya
masih lagi sibuk.
Sampai
saja di rumah Abangnya, jam sudah menunjukkan ke puluk 11.45 malam. Keadaan
rumah yang sudah gelap gelita mengambarkan semua penghuninya sudah lena diulit
mimpi. Nasib baik ada lampu di bahagian beranda rumah. Jadi, suasana tidaklah
terlalu gelap untuk Ammara membuka pintu grill
dan pintu rumah dengan kunci yang awal-awal sudah diberikan oleh Ammar
kepadanya.
“Ara”
Kaki yang baru hendak menapak
mendaki tangga terus terhenti apabila terdengar namanya dipanggil dari arah
ruang tamu yang gelap gelita. Berdebar dada Ammara dibuatnya.
“Ara”
Kedengaran namanya diseru sekali
lagi apabila dia masih kaku di kaki tangga, langsung tak berkutik.
Ammara sudah rasa mahu menangis
apabila terasa bahunya disentuh dari arah belakang. Dia memejamkan matanya
rapat-rapat sambil cuba mengumpul semangat untuk berlari menaiki tangga untuk
kebiliknya selaju yang mungkin. Mankin hebat debaran didadanya.
“Hei Ara, Ara ok ke?” Matanya masih
terpejam disaat tubuhnya dipusingkan mengadap suara yang memanggilnya.
“Ara …” Terasa tubuhnya
digoncangkan perlahan.
“Ini Fath la. Buka la mata tu”
nyaris naik kakinya apabila terdengar si empunya suara memperkenalkan diri. Matanya
pantas dibuka. Pandangannya tajam pada Fath yang berdiri tenang di hadapannya
sambil tersenyum menggoda. Tangan Fath yang masih mendarat dibahunya ditepis
kasar.
Ammara kembali berpaling dari Fath
meneruskan niatnya untuk mendaki tangga menuju kebiliknya.
“Ara … please give me one sec” mendidih rasa hatinya apabila tangannya
sudah berada dalam genggaman Fath. Dia kembali mengadap Fath dengan wajah yang
masih menyinga. Pegangan tangan lelaki itu cuba dileraikan namun gagal.
“Lepaslah. Aku tak sukalah kau
pegang-pegang aku” dengan nada perlahan, ada kekerasan dalam kata-kata yang
dilemparkan Ammara. Dia tidak mahu mengejutkan Ammar dan Fatin hanya kerana hal
sekecil ini.
“Saya akan lepaskan awak tapi awak
kena bagi saya peluang untuk bercakap dengan awak dulu. Boleh?” Malas hendak
terus bertelagah akhirnya Ammara setuju. Genggaman di lengannya akhirnya
dileraikan.
“Come”
Ammara menurut langkah Fath ke luar
rumah. Buaian yang terletak di beranda menjadi pilihan tempat duduk Fath.
Ammara masih menurut tanpa suara. Ammara mengambil tempat berhadapan dengan Fath.
Pandangan dibuang jauh ke dalam kepekatan malam yang sudah mula membawa
kedinginan angin awal pagi.
“Saya tahu saya dah lukakan hati
awak dulu” Fath memulakan bicara. Kedengaran ada keluhan perlahan dilepaskan.
Ammara masih tidak memandang kearah lelaki itu.
“Saya juga
tahu saya dah malukan awak depan semua orang. Saya layan awak macam awak tak
ada perasaan. Tak ada maruah. Kan?” Fath menatap seraut wajah putih bersih di
hadapannya itu. Gadis yang suatu ketika dulu amat gemar mengikat tinggi
rambutnya kini kelihatan ayu bertudung litup. Rasa kesal dan sesal yang sudah
terpendam semenjak beberapa tahun yang lalu perlu dihadapinya kini. Andai
dibiarkan saja, pasti hubungannya dengan Ammara tidak akan pernah tenang sampai
bila-bila.
“Saya
minta maaf. Saya betul-betul minta maaf. Saya akui, dulu saya tak matang dan
jalan selalu menongkat langit. Saya pun tak tahu kenapa saya marah sangat masa
saya dapat tahu yang semua surat-surat tu dari awak” Fath meraup wajahnya. Dia
betul-betul kesal dengan apa yang pernah dilemparkan pada Ammara dahulu. Hanya
kerana kata-kata hasutan dari rakan-rakannya ketika itu, Ammara diserang dan
dihinanya tanpa belas kasihan.
Apabila
mengetahui yang kakaknya, Fatin bakal berkahwin dengan Abang Ammara dua tahun
yang lepas, Fath cuba untuk berhadapan dengan Ammara namun dia malu. Rasa malu
mengatasi rasa bersalah pada gadis itu. Selama 2 tahun Ammara hanya dipandang
dari jauh. Tapi, malam ini, dia harus memohon maaf pada Ammara. Dia tidak mahu
menunggu lagi.
Ammara
menarik nafas dalam. Perlahan-lahan wajah Fath ditatap.
Rasa marah
dan benci yang selama ini terhimpun untuk Fath dirasakan sudah sedikit
berkurangan. Mungkin benar kata Abangnya suatu ketika dulu. Dia bukanlah marah
sangat pada Fath. Her heart only desire
for forgiveness. Ya. Hanya sebaris kata ‘Maaf’ dari Fath sahaja yang
sebenarnya hatinya perlukan.
“Dah malam
ni. Saya nak masuk” tona suara Ammara sudah tidak setegang selalu. Dia bangkit
dan melangkah masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan Fath yang sedikit
terpinga dengan reaksinya.
“Saya
maafkan awak. Tapi, saya masih tak boleh layan awak macam dulu. Saya perlukan
masa. Jangan tanya berapa lama sebab saya pun tak tahu” Fath terasa sedikit
lega dengan ucapan Ammara itu. Gadis itu dibiarkan masuk ke dalam rumah meninggalkannya
bersendirian disitu melayan fikiran.
Suatu
ketika dahulu dia memang rapat dengan Ammara. Malah rakan-rakan lelakinya yang
lain kerap mengusiknya setiap kali terserempak dengannya sedang berbual
dengan Ammara yang mereka panggil
Doraemon itu. Gadis badan bulat dengan cermin mata bulat dan gigi besi yang
sering membuatnya ketawa dan hilang stress.
Namun,
segalanya berubah apabila dia mengetahui yang surat-surat cinta yang sering
terselit dibukunya adalah kiriman gadis bernama Ammara Saffiya. Entah kenapa,
dia tidak dapat menerima bahawa gadis itu mencintainya dalam diam.
Keadaan
menjadi semankin menyakitkan kepalanya apabila rakan-rakan serumahnya tahu
mengenai hal tersebut dan mula mengejek-ngejeknya yang dikatakan terpaut hati
dengan si Doraemon Kampus. Lalu, dek kerana hasutan orang, Ammara telah
diserangnya dengan bait-bait kata yang menjatuhkan maruah gadis itu sehingga 2
bulan kelibat Ammara tidak kelihatan di Kampus.
Terlajak
perahu boleh diundur, terlajak kata … bertahun dia menanggung rasa bersalah
yang semankin menggunung pada Ammara.
Tapi, dia
perasan ada sesuatu yang dirasainya tatkala berhadapan secara dekat dengan
Ammara buat pertama kalinya pagi tadi setelah sekian lama. Rasa yang menyesakkan
dada. Rasa yang sudah lama tidak melandanya. Apakah sebenarnya rasa itu? Dia
keliru sendiri.
0 comments:
Post a Comment