Mesej Poyo dari Adialuze

Assalammualaikum w.b.t

Bismillahirrahmannirrahim ...

Thanks for those that have the time to come by to this blog whether accidentally or intentionally. Thanks a bunch!

As an introduction, I'm a wife and a daughter to a wonderful husband and family that ALLAH have lend me. Syukur, Alhamdulillah ... I'm truly feel bless always ... 24 by 7.

To be a writer one should have the gift to write ... That what 'they' say. But for me, I'm writing because I love to write. Gifted or not, I will continue to write as long as ALLAH gave me the ideas an inspirations to do so ...

I do apologize for any error or discomfort feeling that cause by my writing ...

Please drop your comment for a better me as a writer ... and please do comment in a civilize way cause I believe we all yearn for love and peace not hatred and war.

HAPPY READING ^_^

-Aidaluze-

Friday, April 3, 2015

KISAH KAMI : BAB 28



PAGI jumaat itu, awal-awal lagi aku telah menyiapkan Rania untuk ke rumah Umi dan Babah. Malam ini mereka ingin mengadakan kenduri arwah. Kebetulan Rayyan tiada. Maka aku mengambil kesempatan itu untuk membawa Rania menginap di rumah Umi dan Babah sehingga hari Ahad. Puan Sri Maria yang sudah mula sibuk di cawangan butik yang baru dibukanya tiada bantahan ketika aku menyuarakan hasrat aku itu. Mujur juga sekarang memang sekolah sedang bercuti. Memudahkan untuk aku membawa Rania ke sana ke mari.

Aku hanya ditemani Rania sahaja memandangkan Puan Sri Maria dan Tan Sri Rasydan hanya dapat menghadiri majlis kenduri pada sebelah malamnya sahaja kerana kesibukan kerja. Mak Som yang aku ajak menolak dengan alasan dia punya banyak kerja yang perlu dibereskan. Seawal jam 9 pagi, kereta BMW berwarna putih yang sudah menjadi kenderaan rasmiku mula bergerak menuju ke destinasinya.

Jam dipergelangan tangan kukerling sebentar. Baru pukul 9.30 pagi. Terlalu awal rasanya bagiku untuk terus ke rumah Umi. Setelah berkira-kira dalam hati, akhirnya kereta kupandu menuju ke 1Utama. Aku bercadang untuk singgah di Jusco sebentar untuk membelikan beberapa barang keperluan dapur buat Umi. Ayam, gula, garam dan minyak masak adalah beberapa senarai barang yang terlintas difikiranku untuk dibeli nanti.

Memandangkan hari ini bukan hari cuti, maka dalam masa yang tidak sampai 10 minit, aku sudah dapat mencari tempat letak kereta. Kebiasaanya, jika ke sini pada hujung minggu, kadangkala sampai satu jam aku berlegar-legar mencari tempat untuk memarkirkan kenderaan. Itupun, kadangkala sampai terpaksa berebut dengan orang lain. Kelakar pula bila aku memikirkannya semula.

Jari-jemariku dan Rania sudah bertaut erat dan kami berjalan beriringan menuju ke lif untuk turun ke tinggkat bawah dimana terdapatnya barang-barang dapur yang aku ingin cari. Gembira sungguh kulihat Rania kerana dapat keluar berjalan-jalan denganku. Sudah agak lama kami tidak keluar berdua seperti ini. Ini semua kerana Bapanya ada di rumah dan jika keluar sekalipun, lokasinya samada di Pavillion ataupun KLCC. Tapi, Pavillion adalah tempat yang paling kerap kami kunjungi. Ini kerana cawangan butik terbaru  Puan Sri Maria dibuka di situ. Maka kebanyakkan masa kami dihabiskan di butiknya sahaja.

Bila aku menyuarakan hasrat mengajaknya ke 1Utama ataupun Ikea, pantas dibantah oleh Rayyan dengan alasan, jauh dan dia tidak sanggup tersangkut lama dalam kesesakan lalu lintas. Aku ingin memandu sendiri tidak dibenarkan juga dengan alasan, aku ada dia untuk membawaku kemana-mana. Inilah satu-satunya sikap Rayyan yang masih belum berubah. Semuanya hendak ikut cara dia saja. Jika dibantah, mulalah mukanya berkerut seribu dan berubah warna. Hebat betul egonya. Mujurlah aku bukan jenis yang suka memberontak. Jika tidak, alamatnya, hari-harilah kami akan melancarkan perang dingin yang pastinya akan menyebabkan Rania menjadi mangsa. Biarlah aku beralah. Bukan rugi apa pun.

Sesampainya kami di tempat terjualnya segala jenis makanan, pantas tanganku ditarik Rania menuju ke bahagian kek dan pastri. Pastinya dia ingin menyuruhku membelikannya tat keju blueberry yang sememangnya menjadi kegemarannya. Tersenyum panjang dia apabila bungkusan berisi 3 biji tat keju sudah berada ditangannya. Aku hanya tersenyum memerhatikan gelagatnya sambil membuat bayaran.

"Hai" sapaan dari arah belakang membuatkan aku berpaling dan agak terkejut aku dibuatnya apabila melihat gerangan si empunya suara sedang tersenyum manis kearahku. "Err ... Ni Safiyyah kan? If I'm not mistaken" Dia mengunjukkan ibu jarinya kearah aku. "Err .. mmm .... Ya saya. And you are Da ... Daniel, right?" Aku turut menguntumkan senyuman buatnya. Keningku kerutkan sedikit kerana tak pasti samada nama yang aku sebut adalah kepunyaannya ataupun tidak. "Yup! So, you do remember me" Dia tersenyum senang. " And, this must be Rania kan?. Gosh, dah besar rupanya anak dara Ray ni. Mankin comel!" Rambut Rania dibelainya mesra. Rania hanya tersengih malu sambil sebelah tangannya memaut jari-jemariku.

"Safiyyah buat apa kat sini? Shopping ke? Err .. Ray tak ikut sekali?" Matanya melilau mencari kelibat Rayyan yang difikirnya ada bersama. "Nak beli barang dapur sikit. Rumah Umi saya ada buat kenduri malam ni. Ray tak ada. Dia 'fly'. Saya dengan Rania je" aku memandang Rania yang turut sama memandang aku sambil tersenyum. "Owh. Saya pun sorang saja ni. Bolehlah kalau saya nak temankan Safiyyah kan?" Pelawaannya membuatkan aku serba salah. Namun, apabila memikirkan yang dia adalah sahabat Rayyan, akhirnya aku membenarkannya menemani aku dan Rania. Pantas dia menuju ketempat troli dan dibawakannya kepadaku."Jom. Let start shopping!" Aku tergelak kecil melihat keterujaannya. Langkah segera kuatur menuju ke bahagian bahan basah seperti ikan dan ayam. Daniel yang mengikut dari belakang nampak gembira dapat menolak troli untukku. Dalam kepala sudah terfikir untuk membelikan beberapa ekor ayam segar untuk Umi.

Selesai membeli barang yang diingini, Daniel terus mengajak kami makan bersama tetapi aku menolak dengan alasan aku perlu sampai ke rumah Umi sebelum tengahari. Walaupun agak kecewa, Daniel menerima dengan senyuman dibibir walaupun nampak ianya diukir dalam terpaksa. Kami sempat bertukar nombor telefon sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.

Keadaan jalanraya yang tak terlalu sesak memudahkan perjalananku ke rumah Umi. Jam didashboard kereta menunjukkan pukul 11.30 pagi sewaktu kereta kuparkirkan di hadapan rumah Umi. Hendak membelokkan kereta terus ke dalam perkarangan rumah, kereta Estima milik Kak Dina sudah terlebih dahulu ada di situ. Tangan kananku menjinjit beg plastik yang berisi barangan dapur yang dibeli manakala tangan kiriku memimpin Rania. Kami melangkah beriringan menuju ke rumah Umi. Sebaik sahaja salam diberi dan pintu rumah kubuka, ternampak kelibat Hakimi berlari laju kearah kami dan disambut pantas oleh Rania. Tangan Hakimi dipimpin menuju ke ruang tamu dimana terdapat longgokan mainan milik anak kecil itu. Setelah menutup kembali pintu rumah, aku terus menuju ke dapur.

"Assalammualaikum .. Amboi khusyuk betul buat kerja. Sampai orang bagi salam dari luar pun tak perasan" Aku menegur kearah Kak Dina dan Umi yang terkejut memandang kearahku yang sedang menyusun beg plastik Jusco di atas meja makan.

"Waalaikummusalam" Umi dan Kak Dina menjawab serentak. "Orang tengah sibuk kat dapur ni. Manalah nak dengar" Kak Dina menyambung kerja mengisar segala jenis bawang yang telah siap dikupas dan diracik-racik halus di atas dulang besar di sebelahnya.

Setelah menyalami dua orang jiran Umi yang turut sama ada di situ, aku membawa beg plastik berisi ayam yang telah siap dipotong kepada Umi yang berada disinki. "Laa .. banyaknya beli ayam. Babah dah beli 10 ekor dah" Umi memandang kearahku yang sedang mengeluarkan ayam dari beg plastik ke dalam mangkuk plastik untuk dibersihkan. "Takpe. Yang ni Umi simpan la buat makan sendiri" Aku tersenyum memandang Umi.

"Eh .. Famili Mak Long dengan Mak Ngah tak datang ke? Biasanya diaorang yang paling awal datang" Aku bertanya setelah menyedari kelibat keduaorang adik beradik yang paling rapat dengan Umi tiada dimana-mana. "Lepas zohor baru diaorang datang. Pak Long dengan Pak Ngah kan kerja. Diaorang ambil cuti setengah hari" Umi membantu aku mencuci 3 ekor ayam yang telah siap dipotong-potong kecil. "Babah dengan Abang Asyraf mana? Tak nampak pun diorang kat luar tadi" Wajah Umi kupandang sekilas. "Hmm .. Diaorang pergi ambil bekas catering kat surau" aku menganggukkan kepala mendengar jawapan dari Umi.

Memandangkan kenduri doa selamat yang dibuat hanyalah secara kecil-kecilan, keadaan agak terkawal. Kami membuat kerja dalam keadaan yang tenang dan tak terlalu terkejar-kejar. Menu makan malam ini juga tidak terlalu rumit untuk disediakan. Hanya Nasi Briyani Ayam dengan acar timun sebagai hidangan utama dan Puding laici sebagai pencuci mulut. Ada juga beberapa hidangan kuih muih yang lain hasil pemberian jiran tetangga.

KERIUHAN dan kebecokkan mulut kedua orang kakak Umi yang kupanggil Mak Long Sakinah dan Mak Ngah Sally yang baru tiba jam 2 petang tadi membuatkan suasana dalam rumah semankin riuh rendah. Nasib baiklah Pak Long Hamdan dan Pak Ngah Dali agak pendiam orangnya. Sekurang-kurangnya tak adalah orang di kawasan perumahan ini terkejut dengan kegamatan yang tiba-tiba melanda rumah Umi dan Babah. Almaklumla. Selama ini rumah Umi dan Babah memang agak sunyi memandangkan hanya mereka berdua sahaja yang tinggal di rumah ini semenjak aku berkahwin.

"Iyah. Cik Abang kamu tak datang sekali ke?" Mak Long Sakinah yang sama-sama mengupas timun dan lobak merah utuk dibuat acar denganku bertanya ramah. "Tak Mak Long. Dia kerja. Minggu depan baru balik" Tanganku lincah memotong-motong timun yang masih ada lagi sebesen besar menjadi potongan panjang bersaiz 2 inci. "Ala Kak Long, laki dia kan kerja pilot. Memang jaranglah ada kat sini. Tapi, untung kamu Iyah. Tiap kali dia balik mesti banyak cenderahati dia belikan kamu dari oversea tu kan?" Mak Ngah Sally yang sedang membantu Umi membasuh beras basmathi untuk dibuat Briyani menyampuk.

"Mana ada Mak Ngah. Kalau dah selalu pergi tu, tak ada beli apapun. Lagipun, banyak sangat benda yang dibeli pun nak buat apa" Aku tersenyum. Seingat aku, sepanjang 3 bulan usia perkahwinan kami, cuma ada sekali Rayyan membelikan aku buah tangan dari London. Itupun kebetulan Puan Sri Maria menyuruhnya membelikan beg tangan Louis Vuitton keluaran terbaru dan dia turut membelikan untuk aku sekali. Lagipula, aku bukanlah jenis yang suka mengirim itu dan ini darinya. Bagi aku, jika dia ada membelikan buah tangan untuk Rania dan melihat kanak-kanak itu tersenyum girang, sudah cukup membuatkan aku gembira.

"Laaa .. Kamu takkan takde mintak dia belikan apa-apa kat luar negara tu?" Mak Ngah Sally yang masih berdiri di sinki bersuara lagi. Tangan kanannya memegang paip air yang disalurkan pada periuk besar berisi beras yang telah dicuci di sebelah kakinya manakala tangan kirinya cuba menyukat isi kandungan air dan beras supaya seimbang. Umi yang berdiri di sebelahnya turut sama membantu.

"Nak beli apa je Mak Ngah?"  Mataku memandang Mak Ngah Sally sebentar sebelum mata kembali tertumpu pada timun yang sedang kupotong.

"Anak kamu ni Ifah, dari kecik sampailah kebesar ni. Memang tak pandai sungguh nak ambik kesempatan. Walaupun orang yang nak memberi tupun tak kisah sebenarnya. Kalau dapat kat anak aku yang si Zima tu, mau macam-macam dia dapat. Duit gaji dia yang empat lima ribu tupun selalunya habis membeli beg tangan dengan kasut berjenama saja" Kata-kata Mak Ngah Sally hanya disambut dengan senyuman oleh Umi.

Zima. Baru aku teringat sepupu aku yang seorang itu. Usianya lebih tua 3 tahun dari aku dan bekerja sebagai Pegawai di Bank Cimb. Sedari kecil, dia merupakan sepupu perempuanku yang paling bergaya. Berhidung mancung dan berkulit hitam manis persis heroin filem Bollywood. Hasil gabungan darah kacukan Pakistan dan Melayu. Pak Ngah Dali berketurunan Pakistan. Mungkin kerana itu, ketiga-tiga anak Mak Ngah Sally semuanya berhidung mancung terpacak. Dua lelaki dan seorang perempuan.

Zima merupakan anak yang bongsu dan masih belum berkahwin. Setahu aku, dua orang Abangnya sudah berumahtangga. Zafuan, yang sulung sekarang menetap di Sarawak dan Zikri, yang nombor dua menetap di Kedah. Tak pasti pula apa pekerjaan mereka berdua. Seingat aku, semasa majlis perkahwinan aku tempohari, hanya Zima yang hadir. Itupun pada majlis resepsi sebelah malam di PICC sahaja. Aku dengannya memang tidak berapa akrab. Kami hanya bertemu pada Hari Raya sahaja. Ataupun jika ada majlis keramaian keluarga.

"Samalah dengan anak Long si Habibah tu. Nasib baiklah laki dia Engineer. Mampulah jugak nak sara dia." Giliran Mak Long Sakinah pula mencelah. Tak mahu kalah dia bercerita. Aku tersenyum sendirian. Disebalik hubungan baik mereka adik beradik, tidak dinafikan wujudnya sikap ingin menunjuk-nunjuk yang tinggi antara mereka. Hanya Umi kulihat tak pernah bermegah dengan apa yang dimiliki oleh anak menantunya. Jika ditanya apa pekerjaan menantu-menantunya, dengan rendah diri dia hanya menjawab 'Biasa-biasa aja'.

Dalam diam aku bersyukur punya Ibu sebegitu. Mungkin juga kerana itu aku dan Kak Dina tidak terlalu akrab dengan sepupu-sepupu kami. Kami sekeluarga lebih bersederhana jika hendak dibandingkan dengan keluarga Mak Long Sakinah dan Mak Ngan Sally yang hidup dalam keadaan mewah. Almaklumla. Pak Long Hamdan punya firma guamannya sendiri manakala Pak Ngah Dali pula memiliki beberapa cawangan kedai karpet di serata Malaysia.

Namun aku bersyukur punya seorang Ayah yang merupakan seorang pesara Guru Besar. Aku dan Kak Dina tidak pernah terkurang satu apapun sewaktu membesar. Segalanya cukup. Didikan agama dan dunia diberikan sama rata oleh Umi dan Babah. Kami diajar untuk sentiasa bersyukur dan merendah diri dengan apa yang kami ada kerana semuanya milik Allah.

4 comments:

  1. Memg x update yg terbaru dh ke sis? Tertunggu2..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada... tp sbuk skit skrg ni... ny akn di update ye sis ... thanks for the comment :)

      Delete
    2. Ada... tp sbuk skit skrg ni... ny akn di update ye sis ... thanks for the comment :)

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete

 
ADIALUZEONLINENOVEL : WHERE DREAMS CAME TRUE Blogger Template by Ipietoon Blogger Template