PAGI
jumaat itu, awal-awal lagi aku telah menyiapkan Rania untuk ke rumah Umi dan
Babah. Malam ini mereka ingin mengadakan kenduri arwah. Kebetulan Rayyan tiada.
Maka aku mengambil kesempatan itu untuk membawa Rania menginap di rumah Umi dan
Babah sehingga hari Ahad. Puan Sri Maria yang sudah mula sibuk di cawangan
butik yang baru dibukanya tiada bantahan ketika aku menyuarakan hasrat aku itu.
Mujur juga sekarang memang sekolah sedang bercuti. Memudahkan untuk aku membawa
Rania ke sana ke mari.
Aku
hanya ditemani Rania sahaja memandangkan Puan Sri Maria dan Tan Sri Rasydan hanya
dapat menghadiri majlis kenduri pada sebelah malamnya sahaja kerana kesibukan
kerja. Mak Som yang aku ajak menolak dengan alasan dia punya banyak kerja yang
perlu dibereskan. Seawal jam 9 pagi, kereta BMW berwarna putih yang sudah
menjadi kenderaan rasmiku mula bergerak menuju ke destinasinya.
Jam
dipergelangan tangan kukerling sebentar. Baru pukul 9.30 pagi. Terlalu awal
rasanya bagiku untuk terus ke rumah Umi. Setelah berkira-kira dalam hati,
akhirnya kereta kupandu menuju ke 1Utama. Aku bercadang untuk singgah di Jusco
sebentar untuk membelikan beberapa barang keperluan dapur buat Umi. Ayam, gula,
garam dan minyak masak adalah beberapa senarai barang yang terlintas
difikiranku untuk dibeli nanti.
Memandangkan
hari ini bukan hari cuti, maka dalam masa yang tidak sampai 10 minit, aku sudah
dapat mencari tempat letak kereta. Kebiasaanya, jika ke sini pada hujung
minggu, kadangkala sampai satu jam aku berlegar-legar mencari tempat untuk
memarkirkan kenderaan. Itupun, kadangkala sampai terpaksa berebut dengan orang
lain. Kelakar pula bila aku memikirkannya semula.
Jari-jemariku
dan Rania sudah bertaut erat dan kami berjalan beriringan menuju ke lif untuk
turun ke tinggkat bawah dimana terdapatnya barang-barang dapur yang aku ingin
cari. Gembira sungguh kulihat Rania kerana dapat keluar berjalan-jalan
denganku. Sudah agak lama kami tidak keluar berdua seperti ini. Ini semua
kerana Bapanya ada di rumah dan jika keluar sekalipun, lokasinya samada di
Pavillion ataupun KLCC. Tapi, Pavillion adalah tempat yang paling kerap kami
kunjungi. Ini kerana cawangan butik terbaru
Puan Sri Maria dibuka di situ. Maka kebanyakkan masa kami dihabiskan di
butiknya sahaja.
Bila
aku menyuarakan hasrat mengajaknya ke 1Utama ataupun Ikea, pantas dibantah oleh
Rayyan dengan alasan, jauh dan dia tidak sanggup tersangkut lama dalam
kesesakan lalu lintas. Aku ingin memandu sendiri tidak dibenarkan juga dengan
alasan, aku ada dia untuk membawaku kemana-mana. Inilah satu-satunya sikap
Rayyan yang masih belum berubah. Semuanya hendak ikut cara dia saja. Jika
dibantah, mulalah mukanya berkerut seribu dan berubah warna. Hebat betul
egonya. Mujurlah aku bukan jenis yang suka memberontak. Jika tidak, alamatnya,
hari-harilah kami akan melancarkan perang dingin yang pastinya akan menyebabkan
Rania menjadi mangsa. Biarlah aku beralah. Bukan rugi apa pun.
Sesampainya
kami di tempat terjualnya segala jenis makanan, pantas tanganku ditarik Rania
menuju ke bahagian kek dan pastri. Pastinya dia ingin menyuruhku membelikannya
tat keju blueberry yang sememangnya menjadi kegemarannya. Tersenyum panjang dia
apabila bungkusan berisi 3 biji tat keju sudah berada ditangannya. Aku hanya
tersenyum memerhatikan gelagatnya sambil membuat bayaran.
"Hai"
sapaan dari arah belakang membuatkan aku berpaling dan agak terkejut aku
dibuatnya apabila melihat gerangan si empunya suara sedang tersenyum manis
kearahku. "Err ... Ni Safiyyah kan? If I'm not mistaken" Dia
mengunjukkan ibu jarinya kearah aku. "Err .. mmm .... Ya saya. And you
are Da ... Daniel, right?" Aku turut menguntumkan senyuman
buatnya. Keningku kerutkan sedikit kerana tak pasti samada nama yang aku sebut
adalah kepunyaannya ataupun tidak. "Yup! So, you do remember me"
Dia tersenyum senang. " And, this must be Rania kan?. Gosh, dah besar rupanya anak dara Ray ni. Mankin
comel!" Rambut Rania dibelainya mesra. Rania hanya tersengih malu
sambil sebelah tangannya memaut jari-jemariku.
"Safiyyah
buat apa kat sini? Shopping ke? Err .. Ray tak ikut sekali?"
Matanya melilau mencari kelibat Rayyan yang difikirnya ada bersama. "Nak
beli barang dapur sikit. Rumah Umi saya ada buat kenduri malam ni. Ray tak ada.
Dia 'fly'. Saya dengan Rania je" aku memandang Rania yang turut
sama memandang aku sambil tersenyum. "Owh. Saya pun sorang saja ni.
Bolehlah kalau saya nak temankan Safiyyah kan?" Pelawaannya membuatkan aku
serba salah. Namun, apabila memikirkan yang dia adalah sahabat Rayyan, akhirnya
aku membenarkannya menemani aku dan Rania. Pantas dia menuju ketempat troli dan
dibawakannya kepadaku."Jom. Let start shopping!" Aku tergelak
kecil melihat keterujaannya. Langkah segera kuatur menuju ke bahagian bahan
basah seperti ikan dan ayam. Daniel yang mengikut dari belakang nampak gembira
dapat menolak troli untukku. Dalam kepala sudah terfikir untuk membelikan beberapa
ekor ayam segar untuk Umi.
Selesai
membeli barang yang diingini, Daniel terus mengajak kami makan bersama tetapi
aku menolak dengan alasan aku perlu sampai ke rumah Umi sebelum tengahari.
Walaupun agak kecewa, Daniel menerima dengan senyuman dibibir walaupun nampak
ianya diukir dalam terpaksa. Kami sempat bertukar nombor telefon sebelum
masing-masing membawa haluan sendiri.
Keadaan
jalanraya yang tak terlalu sesak memudahkan perjalananku ke rumah Umi. Jam didashboard
kereta menunjukkan pukul 11.30 pagi sewaktu kereta kuparkirkan di hadapan rumah
Umi. Hendak membelokkan kereta terus ke dalam perkarangan rumah, kereta Estima
milik Kak Dina sudah terlebih dahulu ada di situ. Tangan kananku menjinjit beg
plastik yang berisi barangan dapur yang dibeli manakala tangan kiriku memimpin
Rania. Kami melangkah beriringan menuju ke rumah Umi. Sebaik sahaja salam
diberi dan pintu rumah kubuka, ternampak kelibat Hakimi berlari laju kearah
kami dan disambut pantas oleh Rania. Tangan Hakimi dipimpin menuju ke ruang
tamu dimana terdapat longgokan mainan milik anak kecil itu. Setelah menutup
kembali pintu rumah, aku terus menuju ke dapur.
"Assalammualaikum
.. Amboi khusyuk betul buat kerja. Sampai orang bagi salam dari luar pun tak
perasan" Aku menegur kearah Kak Dina dan Umi yang terkejut memandang
kearahku yang sedang menyusun beg plastik Jusco di atas meja makan.
"Waalaikummusalam"
Umi dan Kak Dina menjawab serentak. "Orang tengah sibuk kat dapur ni.
Manalah nak dengar" Kak Dina menyambung kerja mengisar segala jenis bawang
yang telah siap dikupas dan diracik-racik halus di atas dulang besar di
sebelahnya.
Setelah
menyalami dua orang jiran Umi yang turut sama ada di situ, aku membawa beg
plastik berisi ayam yang telah siap dipotong kepada Umi yang berada disinki.
"Laa .. banyaknya beli ayam. Babah dah beli 10 ekor dah" Umi
memandang kearahku yang sedang mengeluarkan ayam dari beg plastik ke dalam
mangkuk plastik untuk dibersihkan. "Takpe. Yang ni Umi simpan la buat
makan sendiri" Aku tersenyum memandang Umi.
"Eh
.. Famili Mak Long dengan Mak Ngah tak datang ke? Biasanya diaorang yang paling
awal datang" Aku bertanya setelah menyedari kelibat keduaorang adik
beradik yang paling rapat dengan Umi tiada dimana-mana. "Lepas zohor baru
diaorang datang. Pak Long dengan Pak Ngah kan kerja. Diaorang ambil cuti
setengah hari" Umi membantu aku mencuci 3 ekor ayam yang telah siap
dipotong-potong kecil. "Babah dengan Abang Asyraf mana? Tak nampak pun
diorang kat luar tadi" Wajah Umi kupandang sekilas. "Hmm .. Diaorang
pergi ambil bekas catering kat surau" aku menganggukkan kepala
mendengar jawapan dari Umi.
Memandangkan
kenduri doa selamat yang dibuat hanyalah secara kecil-kecilan, keadaan agak
terkawal. Kami membuat kerja dalam keadaan yang tenang dan tak terlalu
terkejar-kejar. Menu makan malam ini juga tidak terlalu rumit untuk disediakan.
Hanya Nasi Briyani Ayam dengan acar timun sebagai hidangan utama dan Puding
laici sebagai pencuci mulut. Ada juga beberapa hidangan kuih muih yang lain
hasil pemberian jiran tetangga.
KERIUHAN
dan kebecokkan mulut kedua orang kakak Umi yang kupanggil Mak Long Sakinah dan
Mak Ngah Sally yang baru tiba jam 2 petang tadi membuatkan suasana dalam rumah
semankin riuh rendah. Nasib baiklah Pak Long Hamdan dan Pak Ngah Dali agak
pendiam orangnya. Sekurang-kurangnya tak adalah orang di kawasan perumahan ini
terkejut dengan kegamatan yang tiba-tiba melanda rumah Umi dan Babah.
Almaklumla. Selama ini rumah Umi dan Babah memang agak sunyi memandangkan hanya
mereka berdua sahaja yang tinggal di rumah ini semenjak aku berkahwin.
"Iyah.
Cik Abang kamu tak datang sekali ke?" Mak Long Sakinah yang sama-sama
mengupas timun dan lobak merah utuk dibuat acar denganku bertanya ramah.
"Tak Mak Long. Dia kerja. Minggu depan baru balik" Tanganku lincah
memotong-motong timun yang masih ada lagi sebesen besar menjadi potongan
panjang bersaiz 2 inci. "Ala Kak Long, laki dia kan kerja pilot. Memang
jaranglah ada kat sini. Tapi, untung kamu Iyah. Tiap kali dia balik mesti
banyak cenderahati dia belikan kamu dari oversea tu kan?" Mak Ngah
Sally yang sedang membantu Umi membasuh beras basmathi untuk dibuat Briyani
menyampuk.
"Mana
ada Mak Ngah. Kalau dah selalu pergi tu, tak ada beli apapun. Lagipun, banyak
sangat benda yang dibeli pun nak buat apa" Aku tersenyum. Seingat aku, sepanjang
3 bulan usia perkahwinan kami, cuma ada sekali Rayyan membelikan aku buah
tangan dari London. Itupun kebetulan Puan Sri Maria menyuruhnya membelikan beg
tangan Louis Vuitton keluaran terbaru dan dia turut membelikan untuk aku
sekali. Lagipula, aku bukanlah jenis yang suka mengirim itu dan ini darinya.
Bagi aku, jika dia ada membelikan buah tangan untuk Rania dan melihat
kanak-kanak itu tersenyum girang, sudah cukup membuatkan aku gembira.
"Laaa
.. Kamu takkan takde mintak dia belikan apa-apa kat luar negara tu?" Mak
Ngah Sally yang masih berdiri di sinki bersuara lagi. Tangan kanannya memegang
paip air yang disalurkan pada periuk besar berisi beras yang telah dicuci di
sebelah kakinya manakala tangan kirinya cuba menyukat isi kandungan air dan
beras supaya seimbang. Umi yang berdiri di sebelahnya turut sama membantu.
"Nak
beli apa je Mak Ngah?" Mataku
memandang Mak Ngah Sally sebentar sebelum mata kembali tertumpu pada timun yang
sedang kupotong.
"Anak
kamu ni Ifah, dari kecik sampailah kebesar ni. Memang tak pandai sungguh nak
ambik kesempatan. Walaupun orang yang nak memberi tupun tak kisah sebenarnya.
Kalau dapat kat anak aku yang si Zima tu, mau macam-macam dia dapat. Duit gaji
dia yang empat lima ribu tupun selalunya habis membeli beg tangan dengan kasut
berjenama saja" Kata-kata Mak Ngah Sally hanya disambut dengan senyuman
oleh Umi.
Zima.
Baru aku teringat sepupu aku yang seorang itu. Usianya lebih tua 3 tahun dari
aku dan bekerja sebagai Pegawai di Bank Cimb. Sedari kecil, dia merupakan sepupu
perempuanku yang paling bergaya. Berhidung mancung dan berkulit hitam manis
persis heroin filem Bollywood. Hasil gabungan darah kacukan Pakistan dan
Melayu. Pak Ngah Dali berketurunan Pakistan. Mungkin kerana itu, ketiga-tiga
anak Mak Ngah Sally semuanya berhidung mancung terpacak. Dua lelaki dan seorang
perempuan.
Zima
merupakan anak yang bongsu dan masih belum berkahwin. Setahu aku, dua orang
Abangnya sudah berumahtangga. Zafuan, yang sulung sekarang menetap di Sarawak
dan Zikri, yang nombor dua menetap di Kedah. Tak pasti pula apa pekerjaan
mereka berdua. Seingat aku, semasa majlis perkahwinan aku tempohari, hanya Zima
yang hadir. Itupun pada majlis resepsi sebelah malam di PICC sahaja. Aku
dengannya memang tidak berapa akrab. Kami hanya bertemu pada Hari Raya sahaja.
Ataupun jika ada majlis keramaian keluarga.
"Samalah
dengan anak Long si Habibah tu. Nasib baiklah laki dia Engineer.
Mampulah jugak nak sara dia." Giliran Mak Long Sakinah pula mencelah. Tak
mahu kalah dia bercerita. Aku tersenyum sendirian. Disebalik hubungan baik
mereka adik beradik, tidak dinafikan wujudnya sikap ingin menunjuk-nunjuk yang
tinggi antara mereka. Hanya Umi kulihat tak pernah bermegah dengan apa yang
dimiliki oleh anak menantunya. Jika ditanya apa pekerjaan menantu-menantunya,
dengan rendah diri dia hanya menjawab 'Biasa-biasa aja'.
Dalam
diam aku bersyukur punya Ibu sebegitu. Mungkin juga kerana itu aku dan Kak Dina
tidak terlalu akrab dengan sepupu-sepupu kami. Kami sekeluarga lebih
bersederhana jika hendak dibandingkan dengan keluarga Mak Long Sakinah dan Mak
Ngan Sally yang hidup dalam keadaan mewah. Almaklumla. Pak Long Hamdan punya
firma guamannya sendiri manakala Pak Ngah Dali pula memiliki beberapa cawangan
kedai karpet di serata Malaysia.
Namun
aku bersyukur punya seorang Ayah yang merupakan seorang pesara Guru Besar. Aku
dan Kak Dina tidak pernah terkurang satu apapun sewaktu membesar. Segalanya
cukup. Didikan agama dan dunia diberikan sama rata oleh Umi dan Babah. Kami
diajar untuk sentiasa bersyukur dan merendah diri dengan apa yang kami ada
kerana semuanya milik Allah.
Memg x update yg terbaru dh ke sis? Tertunggu2..
ReplyDeleteAda... tp sbuk skit skrg ni... ny akn di update ye sis ... thanks for the comment :)
DeleteAda... tp sbuk skit skrg ni... ny akn di update ye sis ... thanks for the comment :)
DeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete