SAKIT hati, sakit kepala, sakit jiwa dan bermacam jenis
sakitlah Ammara rasa apabila memikirkan tentang sikap Imtiyaz dan Fath
terhadapnya. Di pejabat, layanan Imtiyaz
yang semakin prihatin padanya cukup membuatkannya lemas. Tiba-tiba lagu Lemas
nyanyian Ruffedge bergema dalam kotak fikirannya. Dah kenapa dengan dia?
Penderaan perasaan yang dialaminya tidak tamat walau sudah
habis waktu pejabat apabila ianya bersambung pula di rumah. Kali ini, hati dan
jiwanya didera pula oleh lelaki bernama Fath Iqbal. Balik kerja saja, wajah itu
sudah menunggunya di atas buaian dengan senyum simpulnya. Bukan sesekali tapi
setiap hari! Sungguh menjengkelkan!!
Entah bilalah Fath hendak kembali bertugas. Sebagai
Jurutera di pelantar minyak yang terletak di Papua New Guinea, setahu Ammara,
lelaki itu akan pulang bercuti selama 3 bulan. Tidak tahulah pula setiap berapa
tahun sekali baru cuti panjang itu diperolehinya. Fatin dan Ammar pernah
bercerita tapi dia malas hendak ambil tahu. Masuk telinga kanan, keluar terus
ke telinga kiri. Langsung tak ada tapisan. Kecuali info yang cutinya adalah selama 3 bulan. Itu saja yang sempat
melekat dalam kotak memorinya.
Hari minggu Ammara lebih senang berkurung dalam bilik. Jika
dulu, sebelum kehadiran Fath, masanya banyak di habiskan di Gazebo sambil
membaca novel atau majalah. Tapi, memandangkan wujudnya manusia bernama Fath di
dalam rumah itu, segala aktiviti bersantai di luar bilik terpaksa dibekukan.
Lebih-lebih lagi setelah Fath mengandakan usaha untuk mengambil hatinya dan
berusaha keras untuk membuat cintanya berbalas. Bagi Ammara, sekali hatinya
dilukai, walaupun lukanya telah sembuh tapi parutnya akan tetap ada sampai
bila-bila. Sekali lelaki menyakitinya, memang taklah untuk gadis bernama Ammara
Saffiya hendak menerimanya semula.
“Ara! Ara!”
Ketukan di dalam bilik berserta dengan suara Ammar
melaungkan namanya berulang kali mengejutkannya dari tidur. Jam dinding di atas
meja solek dipandang sekilas. Sudah pukul 8.30 pagi. Rasa macam baru sekejap
saja dia terlena selepas menunaikan solat subuh tadi.
“Ya! Ada apa Along?” Suara serak Ammara menyahut panggilan
Ammar. Dia sudah duduk bersila di atas katil namun mata masih lagi terpejam
melayan rasa mengantuk yang masih ada.
“Along nak balik rumah Mama dengan Papa ni. Ara tak nak
ikut ke?”
“Tak naklah. Ara nak sambung tidur”
“Betul ni?”
“Betul”
“Tak menyesal?”
“Nak menyesal kenapa pula Along ni?”
“Okay. Kalau macam tu Along je la yang bincang dengan Papa
dengan Mama pasal kamu dengan Tiyaz”
Ammara terus terasa segar-bugar macam baru terkena simbahan
air terjun Niagara. Neuron-neuron otaknya segera dikerah untuk berhubung dengan
lebih laju dan efisien bagi memproses kata-kata Ammar tadi.
“Ap … Apa Along cakap tadi?” Cepat-cepat dia bertanya mohon
pencerahan dari Ammar. Takut-takut kalau dia tersalah dengar. Almaklumlah.
Mendengar dalam keadaan mamai dan masih mengantuk, saraf yang menyampaikan data
dari telinga ke otak bergerak dengan agak lambat.
“Nak bincang dengan Mama dengan Papa pasal kamu dengan
Tiyaz” Ammar mengulang semula kata-kata terakhirnya. Serta-merta pintu bilik
terbuka dan tersembul wajah Ammara yang baru bangkit dari tidur. Terkejut dia
apabila tangannya pantas ditarik memasuki bilik dan pintu bilik terus dikunci
dari dalam oleh Ammara. Pelik dia apabila melihat wajah kalut adiknya itu.
“Ara ni dah kenapa? Dengan rambut serabai macam Hantu Kak
Limah tu jalan pula mundar mandir macam ni. Terkena sampuk ke apa?” Ammar yang
sudah duduk di atas sofa Cleopatra di kaki katil memandang Ammara kehairanan.
Dah macam rupa perempuan mati laki pun ada.
Ammara menggaru-garu kepalannya dengan kedua belah tangan.
Serabut sungguh fikirannya.
“Dah tergaru-garu macam beruk pula. Ara ni dah kenapa. Cuba
duduk elok-elok cerita dengan Along. Ni pasal family Tiyaz jemput keluarga kita makan malam esok pun kenapa Ara
tak bagitau awal-awal? Nasib baik si Tiyaz tu telefon tadi. Kalau tak, tak
pasal kita ni nanti dituduh tak beradab. Orang dah jemput, kita pula buat
semput” Ammara menjeling geram kearah Ammar yang sudah tersengih-sengih. Sempat
lagi Abangnya itu hendak mengarang pantun dua kerat yang tak berapa nak
berkerat. Berasap saja telinga Ammara mendengarnya.
“Kamu dengan Tiyaz ni ada apa sebenarnya? Kalau betul
bercinta, tak payahlah nak sorok-sorok. Along suka apa dengan Tiyaz tu. Berbudi
bahasa, kacak, segak, kaya, berjaya, keturunan baik-baik …” Bencinya Ammara
mendengar pujian menggunung Ammar terhadap Imtiyaz. Menyampah. Sunggguh!
“Tiyaz, Tiyaz … Eeeiii … Gelilah Ara dengar Along panggil
Bos Ara macam tu! Macam dah kenal lama sangat. Huh!” Ammara menghenyakkan
punggungnya di sebelah Ammar. Seperti biasa, airmata sudah mula membasahi kelopak
matanya.
“Laaa … Menangis pula dia. Dah Bos Ara yang suruh panggil
dia macam tu. Along ikutkan je la. Ni kenapa sebenarnya ni? Hurmmm? Ara dengan
Tiyaz bergaduh ke?” bahu Ammara dirangkul ke dalam dakapannya. Ammara
melentukkan kepalanya ke bahu Ammar. Airmata yang merembes keluar dikesat
dengan lengan baju tidurnya.
“Biasalah tu orang bercinta. Mesti ada gaduh-gaduh sayang”
tubuh Ammara kembali tegak apabila mendengar kata-kata yang kedengaran amat menyakitkan
telinganya. Rasa menyampah memenuhi segenap perasaan. Pandangannya kembali
tajam memanah ke dalam anak mata Ammar. Terjongket kening Ammar dibuatnya.
Pelik apabila pandangan garang Ammara terpanah tepat padanya. Airmata kembali
merembes keluar membanjiri pipi yang sudah kemerahan itu.
“Laaa … Menangis lagi. Along ada salah cakap ke?” Bahu
Ammara digosok-gosok penuh kasih. Ingin kembali ditarik kembali ke dalam
pelukannya, Ammara sudah mengeraskan badan. Masih memandangnya dengan mata
berair. Cuma pandangannya sudah tak segarang tadi.
“Bos Ara ajak Ara kahwin”
Sepotong ayat yang keluar dari mulut Ammara menambahkan
lagi rasa hairan dalam diri Ammar. Pelik! Boyfriend
ajak kahwin pun nak menangis beriya ke? Kalau menangis kegembiraan takpalah.
Tapi, melihat kepada memek muka Ammara saat itu, Ammar yakin yang bukan airmata
gembira yang membasahi wajah Ammara. Kali ini Ammar yang tergaru-garu kepala.
“Okay! Along surrender!
Along pening kepala dah ni. Ara dengan Tiyaz couple kan? So, kenapa
pula Ara nak sedih-sedih bila Tiyaz ajak Ara kahwin? Bukan Ara patut gembira
ke? Along rasa it is every women dreams
to be proposed by their love one” Ammara mengangkat kedua-dua belah
tangannya separas bahu membalas pandangan Ammara dengan dahi berkerut hingga ke
kepala. Bahu turut dinaikkan sebagai tanda kekeliruan yang melampau.
Ammara melepaskan keluhan berat. Dia tak tahu samada ingin
menceritakan segala-galanya pada Ammar atau tidak. Kalau tak diceritakan, pasti
sampai sudah Ammar akan menyangka yang dia memang mempunyai hubungan dengan
Imtiyaz. Tapi, jika diceritakan, takut
nanti terus Imtiyaz dikerjakan Abangnya itu. Bukan dia tak tahu perangai Ammar.
Pantang dia kalau dapat tahu adik kesayangannya itu dibuli atau dipergunakan. Selepas
peristiwa dia diherdik dan dimalukan oleh Fath di khalayak ramai, Ammar menjadi
semakin sensitif sekiranya ada sesiapa yang menganggu dan membuatkan Ammara
bersedih. Atas sebab itu jugalah, dia tak pernah ada teman lelaki. Takut andai
Ammar berubah menjadi seperti CIA atau FBI yang akan merisik segala-galanya
tentang lelaki malang yang akan menjadi teman lelakinya itu.
Tentang Imtiyaz ini pun, Ammara yakin yang Ammar sudah
membuat homeworknya sendiri dengan
menyiasat latar-belakang lelaki itu. Jika tidak, masakan dia boleh sikit punya melambung
apabila memuji Imtiyaz di hadapannya tadi?
“Ara belum sedia la Long. Ara baru 23 tahun. Belum puas la
nak enjoy” kepalanya sudah
disandarkan semula kebahu Ammar. Akhirnya, terpaksa juga dia berbohong. Tak
mahu nanti ada pula keluar di akhbar mana-mana tentang berita waris Muz Holding
teruk dibelasah atau lebih teruk, dibunuh! Dia bukan risaukan Imtiyaz tapi
risau andai Abangnya mendapat masalah kerana hendak membelanya.
Airmata menitis lagi. Kalau dah namanya cengeng, memang
cengeng betullah. Ammara rasa, kalaulah airmata dia tu boleh dikitar semula,
memang dah lama dia mandi, masak dan minum guna airmata dia saja. Walau puas
dikawal, namun tetap juga kalenjar lakrimalnya terlebih aktif.
“Ara, Ara. Kalau tak sedia lagi, tunang la dulu. Minta la
ikat 2 atau 3 tahun. Perempuan umur 25 ke 26 memang dah sedang elok la tu nak
kahwin. Organ-organ pembiakan pun masih aktif. Bolehlah bagi kat Along anak
buah satu pasukan bola sepak” kepala Ammara terus terangkat dengan mata yang
membulat.
“Along ni! Sukalah cakap mengarut-ngarut! Eiii benci! Benci!
Bencilah!!” tangan Ammara semakin rancak menepuk tampar tubuh Abangnya yang
puas mengelak dan menepis namun masih sempat mengekek mentertawakannya.
“Jangan benci sangat! Nanti lama-lama jadi cinta!” Ammar
masih seronok mengusik Ammara yang sudah semakin naik angin.
“Along!!!!!” Bertambah kuat tawa Ammar melihat muncung
Ammara yang boleh dibuat tempat penyangkut baju.
ADUH! Bala, bala, bala!! Semakin semak fikiran Ammara.
Tadi, sewaktu hendak keluar dari rumah bersama Ammar dan Fatin ke rumah Papa
dan Mamanya, Imtiyaz menelefon kata dia sudah hampir sampai di rumahnya. Kalau
ikutkan hati, memang sudah lama lelaki itu dihalau balik. Tapi nasib tidak
menyebelahinya apabila Ammar terdengar perbualan mereka dan segera merampas
telefon dari tangannya.
Sewaktu Imtiyaz tiba tadi, Ammara perasan Fath yang
kebetulan sedang duduk santai di gazebo melirik tajam kearah Bosnya itu. Ammara
malas hendak memikirkannya. Lantaklah. Untuk apa dia hendak menyesakkan lagi
otaknya memikirkan tentang lelaki itu. Perkara antara dia dan Imtiyaz pun sudah
cukup untuk membuatkannya diserang darah tinggi, sakit jantung dan sesak nafas.
“Pandai korang menyorok ye. Kalau Tiyaz tak bagitahu Along,
sampai sudah lah Along tak tahu yang Ara ni rupanya bercinta dengan Bos
sendiri” Ammar yang sedang memandu bersuara ceria. Melalui cermin pandang belakang, wajah Ammara
dan Imtiyaz diperhatikan. Imtiyaz seperti biasa, sibuk menayang senyum lawanya
manakala Ammara malas hendak masuk campur. Daripada mula masuk ke dalam kereta
sampailah sekarang sibuk memandang ke luar kereta. Entah apa yang asyik
dipandangnya Ammar pun tak tahu.
“Ara la Long. Dia kata, dia malu kalau budak-budak office tu tahu. Nanti jatuhlah saham dia
katanya. Maklumlah. Orang tu ramai peminat kat Muz Holding tu. Dari tingkat
satu sampailah tingkat 18, ada je yang dok usha. Kadang-kadang, terbakar juga
hati ni Long” Ammara rasa macam nak cubit-cubit je mulut Imtiyaz yang sesedap
rasa ajinomoto saja mereka-reka cerita. Dia menjeling tajam sebelum memandang
semula ke luar tingkap kereta. Ammar dan Fatin yang mendengar cerita rekaan
Imtiyaz hanya tergelak kecil.
Ini lagi satu yang Ammara hairan. Tentang Kakak Iparnya.
Fatin. Tak tahu kenapa, tapi semenjak bermenjak ni, layanan wanita itu padanya
sudah tidak sedingin dulu. Malah ada masanya sudah pandai hendak bergurau senda
dengannya. Setelah 2 tahun bertegang saraf, akhirnya, Fatin menunjukkan
tanda-tanda hendak berdamai. Takkan lah Ammara hendak buat keras kepala saja.
Nanti, apa pula kata Ammar. Lagipun, Ammara bukanlah benci sangat pun pada
Kakak Iparnya itu. Kalau kerap dihias dengan senyuman, wajah Fatin memang
nampak cantik dan berseri-seri. Persis wajah pelakon Izara Aishah.
“Jangan risaulah Tiyaz. Ara
ni memang ramai peminat tapi, dia ni bukan jenis yang suka melayan
sangat. Kalau datang angin tak betulnya, beranilah mana-mana lelaki datang usik
dia, memang makan penumbuklah jawabnya. Bukan penampar tau. Terus dapat
penumbuk padu” kata-kata Ammar menambahkan rasa sebal dihati Ammara. Meledak
tawa mereka bertiga. Ammara saja masih mencuka. Imtiyaz melirik pandang padanya
dengan senyum senget. Menyampah betul Ammara melihatnya.
Amboi … Seronoklah tu Along! Dah ada geng nak mengenakan
aku! Takpa, takpa … Ada lori ada bas, ada basikal ada jentolak, ada hari aku
balas, bagi dua-dua rasa nak melalak.
Desis hati Ammara siap dengan berpantun lagi. Geram punya pasal. Apa pun
boleh jadi.
“Haaa … Sampai pun budak-budak ni. Ha Tiyaz pun ada ke?
Masuk, masuk … Mama dah siap masak macam-macam tu ha. Penuh satu meja menunya”
Encik Azman yang menyambut kedatangan anak menantunya dan juga bakal menantunya
tersenyum lebar di muka pintu.
Fatin dan Ammara mendahului menyalami Encik Azman sebelum
diikuti oleh Ammar dan Imtiyaz yang turut bertukar pelukan. Imtiyaz rasa senang
dengan penerimaan tersebut. Rasa dirinya sangat dialu-alukan dalam keluarga
itu.
Ammara malas hendak melihat lebih lama kemesraan yang
melemaskannya. Lebih-lebih lagi apabila Papanya turut memanggil Bosnya dengan
panggilan ‘manja’nya. Kakinya sudah dihayun mencari kelibat Mamanya di dapur.
Fatin turut mengekori Ammara dari belakang.
“Mama!!” Puan Saadiah yang sedang sibuk menyusun hidangan
di atas meja makan tersentak apabila tubuhnya dirangkul erat dari belakang.
Wajahnya yang terkejut perlahan-lahan berubah menjadi ceria apabila terdengar
suara Ammara yang sibuk menyatakan kerinduan padanya. Dia memusingkan badan dan
turut sama membalas pelukan anak bongsunya itu.
“Mama sihat?” Fatin turut menyalami Puan Saadiah sebaik
sahaja pelukan dua beranak itu terlerai. “Alhamdulillah, sihat” Puan Saadiah
turut memeluk menantunya dan bertukar-tukar kucupan dipipi. Entah kenapa, Fatin
nampak lebih berseri dari biasa dimatanya.
“Banyaknya makanan. Mama masak ke semua ni? Hurmmm …
Sedapnyaaaa” Ammara sudah mencapai sekeping daging salai yang dicicah dengan air
asam sebelum dimasukkan ke dalam mulutnya. Riak wajah yang terpamer saat itu
menggambarkan betapa lazatnya masakan Puan Saadiah itu.
Tersenyum lebar Ibu tua itu memerhatikan gelagat anak
daranya. Fatin turut sama tersenyum. Dia tak tahu kenapa, tapi, perasaannya
pada Ammara sekarang sudah tidak sedingin dulu. Dia tak pasti juga kenapa
terbit sedikit demi sedikit rasa sayang pada adik iparnya itu.
“Wow! Banyaknya Mama masak!! Lama tak rasa masakan Mama”
Ammar sudah menghimpit tubuh Ammara dan mencapai kepingan daging yang berada di
tangan adiknya itu lantas terus dimasukkan ke mulutnya. Ammara apa lagi,
menjerit lah!
“Papa!!!!” Tengoklah Along ni!! Suka sangat kacau Ara!!”
Ammara mendapatkan Papanya dan lengan Encik Azman digoncang-goncangkan dengan
bibir yang sudah menjuih kearah Ammar yang terpejam-pejam menikmati keenakan
daging salai, sengaja menaikkan darah Ammara.
“Hish kamu berdua ni. Dah besar panjang pun nak bercakar
macam cat dengan dog. Malulah dengan si Tiyaz ni” Imtiyaz yang sudah mengambil
tempat duduk di kerusi makan turut tersenyum melihat gelagat Ammara dan Ammar
itu.
“Tak payah nak pedulikan dua beradik tu Tiyaz. Ha,
jemputlah makan. Ni ada Nasi Kerabu. Tiyaz tahu ke makan nasi kerabu?” Puan
Saadiah yang sedang mencedokkan nasi kerabu ke dalam pinggan untuk suaminya
memandang kearah Imtiyaz dengan kening terjongket.
Pandangan yang lain turut berpusat pada Imtiyaz. Ingin
melihat reaksi anak jati Kuala Lumpur yang berdarah kacukan Syed dan Syarifah samada
tahu atau tidak cara menikmati hidangan Pantai Timur yang terkenal itu.
“Err … Tak pernah makan pun Makcik sebab warna dia macam
pelik sikit. Saya kalau nasi ada warna ni memang tak makan. Macam tak boleh nak
telan“ Imtiyaz tersengih sambil menggaru-garu kening. Rasa malu pula apabila
menjadi tumpuan di meja makan.
Ammara mencemik. Mengada-ngada betul! Apa yang peliknya? Masuk
mulut, kunyah, telan! Apalah yang susah sangat pun?! Hish! Rugi betul tak reti
makan Nasi Kerabu. Salah satu masakan terenak di Malaysia tu! Sempat lagi
Ammara membebel di dalam hati.
“Hah! Apa yang Ara dok terjuih-juih tu. Apalagi, layanlah
bakal suami Ara tu. Nak makan apa, nak minum apa” terjegil mata Ammara kearah
Ammar yang sudah menutup mulut menahan tawa. Pinggan yang berisi nasi kerabu
yang dihulur Fatin disambut. Fatin menepuk lengan suaminya apabila menyedari
wajah Ammara yag sudah berubah kelat.
Aik bini aku ni. Sejak bila pula jadi peguambela adik aku
ni? Berkerut dahi Ammar. Dia turut dihujani rasa kehairanan dengan perubahan
sikap isterinya itu. Namun, ada rasa lega dan senang dengan perubahan itu.
Sekiranya benar mereka berdua sudah berdamai, maknanya, tak perlulah lagi dia
hendak menjadi Pegawai PBB tak bertauliah. Senyuman nipis terukir dibibirnya
sambil tangannya sibuk menyedok pelbagai jenis ulam, sambal belacan dan budu di
dalam pinggannya.
“Ara, tolonglah ambilkan makanan untuk Tiyaz tu. Dia kan
tetamu. Ni ada laksam Mama buat ni. Sendukkan untuk dia” Puan Saadiah yang
sudah duduk di sebelah Encik Azman turut mengeluarkan arahan yang sama.
Bertambah muncunglah mulut Ammara jadinya. Lebih-lebih lagi apabila terpandang
Imtiyaz tayang senyum nakal. Bencinya dia!!
“Ara, tak elok tunjuk muka macamtu kat tetamu. Papa tak
pernah ajar anak-anak Papa macamtu kan. Tetamu ni pembawa rezeki pada kita.
Jadi, kita kenalah layan dengan sehabis baik dan buat diaorang selesa kat rumah
kita” lembut suara Encik Azman memujuk. Kalau Superman kelemahannya pada kryptonite,
suara Encik Azman pula merupakan kelemahan bagi Ammara.
Dengan penuh keterpaksaan, Ammara mencapai mangkuk dan
diisikan dengan laksam seperti yang disuruh. Cuma tanpa disedari sesiapa,
sebelum menuangkan kuah, selonggok cili padi kisar dimasukkan oleh Ammara dibawah
timbunan laksam sambil tersenyum puas.
Layan dengan baik ye? Okay, aku bagi laksam special dari air tangan Ammara Safiyya
buat Syed Imtiyaz Omar. Gerenti terangkat punya! Ammara mengetap bibir cuba
menahan tawa dari meledak. Nanti tak pasal semua orang tahu tentang
perbuatannya untuk mendajalkan Imtiyaz itu.
“Nah Bos. Jemputlah makan ye” Ammara melembutkan suara dan
tayang senyuman paling manis buat Imtiyaz.
“Ok. Thanks Dear”
Imtiyaz membalas senyuman sambil mengenyitkan mata sehingga Ammara nyaris
tersedak air liur sendiri. Eiii! Dasar tak malu! Nasib baiklah Mama dengan Papa
tak nampak. Memang nak makan pelangkung la dia ni! Dengus Ammara dalam hati.
Dada yang baru mula hendak buat kerja overtime
cuba ditenteramkan. Dia kembali menayangkan muncung dan terus menghenyakkan
punggung di sebelah Mamanya yang sudah tersengih-sengih memerhatikannya dengan
Imtiyaz.
“Makanlah laksam tu Tiyaz. Kalau nak tambah, tambah je
jangan malu-malu” Encik Azman seperti tadi masih bersuara ramah. Imtiyaz turut
tersenyum sambil menundukkan kepalanya sebelum memulakan suapan pertamanya.
Ammara yang nampak asyik dengan hidangan nasi kerabunya sempat menjeling kearah
Imtiyaz untuk melihat reaksi wajah lelaki itu apabila deria rasanya terkena bomb trap yang di’hadiah’kannya buat
lelaki itu.
Uhuk!Uhuk!Uhuk!!
Ammara tak dapat lagi hendak menahan gelaknya apabila
jerangkap samar yang dipasang sudah mengena dan wajah Imtiyaz yang sudah
berubah menjadi merah menyala sambil terbatuk-batuk dan mengagau mencapai gelas
berisi jus tembikai ais memang sangat mencuit hatinya.
“Ya Allah Ara! Apa yang kamu dah buat kat si Tiyaz ni?”
Suara garang Encik Azman yang bergema mematikan tawanya serta-merta. Gulp!
Matilah aku kena ‘baham’ dengan Papa! Mama! Tolong Ara!!!
0 comments:
Post a Comment