Tidak
sampai 5 minit di dalam bilik mandi, Kas sudah terkocoh-kocoh keluar. Beg
kertas berisi pakaian yang baru dibelinya semalam digeledah rakus. Sepasang suit
berwarna biru laut dan kemeja satin tak berlengan berwarna putih dicapai pantas
dan disarungkan ke tubuh. Mujur kesan renyuk tidak terlalu jelas. Rambut
panjangnya disanggul tinggi agar nampak kemas. "Bye!" Kas
melambai sekilas pada Dafina sebelum memecut keluar.
"Lya!"
Baru
saja tombol pintu besar hendak dibuka, suara Datin Sri Addura jelas menjengah
kependengarannya. Kas memejamkan mata sambil mengetapkan bibir. Perlahan-lahan
dia menoleh. Pandangan semua orang yang berada di meja makan tidak jauh darinya
tertumpu padanya.
"Mari
sini sarapan dulu" Datin Sri Addura beriya-iya melambai-lambaikan
tangannya pada Kas membuatkannya tidak sampai hati hendak menolak.
Perlahan-lahan langkah diatur ke meja makan dan dia mengambil tempat di sebelah
Datin Sri Addura.
"Nanti
Lya pergi kerja dengan Dean je. Motor Lya pun tak ada kan?" Rasa nak
hantuk saja kepalanya ke meja apabila baru menyedari malam tadi dia ke sini
dengan menaiki kereta Dafina. Tiba-tiba terasa bulu tengkuknya meremang. Rasa
seram sejuk. Apabila dia mengangkat muka, pandangannya bersatu dengan Dean yang
sedang merenungnya entah sejak dari bila. Untuk seketika mereka berpandangan
begitu.
"Good
Morning everybody!" Suara ceria Dani menyebabkan adegan tenung
menenung antara Kas dan Dean terganggu. Masing-masing kembali menumpukan
perhatian kearah pinggan masing-masing.
"Sayang??!
Is that you? Wow! You look good Sayang" Dani terus teruja
sebaik saja terlihat Kas yang sedang duduk di sebelah Ibunya. Laju dia menarik
kerusi di sebelah Kas. Kas memusingkan matanya sambil tayang muka
malas-nak-layan apabila Dani duduk memandangnya sambil menongkat wajah.
"Kita
dah lambat. Aku tunggu kau kat kereta. 5 minit. Lambat, tinggal" Dean
bersuara dingin sebelum berlalu meninggalkan meja makan. "Fun spoiler!"
Dani berdesis sambil menjeling Abangnya. "Angah" Datin Sri Addura
menegur.
Tidak
mahu terlambat pada hari pertama bekerja, Kas terus terkocoh-kocoh menghabiskan
makanan dan minumannya sebelum bangun untuk mengejar langkah Dean.
"Eh,
nak pergi mana tu Sayang?! Sayang!" Pertanyaan dan panggilan dari Dani
langsung tak dipedulikan. Kasut Van berwarna putih disarungkan dan beg sandang
dibahu dibetulkan sebelum dia berlari menuju ke kereta Ford Ranger milik Dean
yang sudah dihidupkan enjinnya.
Perjalanan
selama 20 minit itu sungguh menyiksakan buat Kas. Selama 20 minit itulah
suasana di dalam kereta itu dirasakan dingin. Hanya kedengaran celoteh DJ radio
dan selingan lagu yang disiarkan di Mix FM.
Setibanya
di Teguh Bina Consultant, setelah kereta diparkirkan ditempatnya, Kas masih
lagi membuntuti langkah Dean. Mujur la kakinya panjang. Jika tidak pasti dia
sudah jauh tertinggal di belakang dek kerana langkah panjang Dean.
Namun,
entah dimana silapnya, mungkin juga kerana Dean berhenti agak mengejut sebelum
dia memusingkan tubuhnya ke belakang, Kas yang laju mengekornya tidak sempat menghentikan
langkahnya dan akibatnya dia terlanggar dada Dean dan akibat dari impak yang
agak kuat itu, kedua belah tangan sasa Dean sudah melingkar ke tubuh langsing
Kas. Terkebil-kebil mata Kas menatap wajah Dean yang hanya berjarak beberapa
inci darinya. Nafas berbaur pudina dari Dean jelas dapat dihidunya.
Kadar
degupan jantung Dean dan Kas menjadi lebih laju dari biasa. Kas dapat rasakan
wajahnya sudah membahang.
"Errr
... Excuse me. Boss. Are you alright?" sebelum dada
Dean dan Kas rasa nak meletup, suara teguran dari arah belakang Kas
mengembalikan mereka ke alam nyata. Pantas dada Dean ditolak Kas dan dia
cepat-cepat menjarakkan diri dari lelaki itu.
'Apa
kau dah buat ni Lya Kasilda!!!Gila, gila, gila!! Arrggghhh!!' Kas memarahi dirinya dalam hati. Dada
yang berdetak kuat dipegang. Nafas ditarik dan dilepaskan perlahan. Cuba
menenangkan diri. Tumpuan Dean sudah tertumpu pada seorang wanita berkemeja
satin putih dan berskirt merah separas lutut, berambut ikal separas pinggang di
depannya. Wanita itulah yang menegur sebentar tadi. Sempat Kas menangkap
jelingan tajam wanita yang bercelak ala Cleopatra itu kepadanya. Wajah wanita
itu nampak seperti pernah dilihatnya. Tapi dimana?
Bayangan
wanita itu terus terbang dari fikirannya sebaik saja dia diberikan tugasan demi
tugasan oleh Pengurus bahagiannya yang memperkenalkan diri sebagai Kak Nita.
Hari pertama bekerja di Teguh Bina Consultant yang bermula dengan agak chaotic
berlalu dengan agak aman buat Kas. Ini adalah kerana dia ditempatkan di
bahagian Sumber Manusia yang berada di Tingkat 5. Tingkat yang berlainan dari
Dean. Untuk itu Kas benar-benar menarik nafas lega.
Jam
5.30 tepat, langkah terus dipacu kearah lif. Ingin segera berlalu sebelum
terserempak dengan Dean. Semenjak peristiwa di dapur malam tadi, entah kenapa
jantungnya akan berdenyut laju tiap kali bertentang mata dengan Dean. Kas tidak
suka perasaan itu. Perasaan yang menunjukkan dia mempunyai satu rasa terhadap
makhluk bergelar lelaki. Dia perlu melindungi hatinya dari menghadapi risiko untuk
dilukai lagi.
Tak
tahu nasib malang apa dia hari itu, sebaik saja pintu lif terbuka, Wajah beku
Dean yang pertama menjamah pandangannya. Lebih sadis lagi buat Kas kerana dalam
lif itu hanya ada lelaki itu seorang. Dean menaikkan kening apabila Kas masih
teragak-agak di hadapan lif.
"Kau
nak aku dukung kau ke masuk dalam lif ni?" Suara tanpa nada dari Dean
membuatkan Kas cepat-cepat melangkah masuk ke dalam lif. Dia berdiri
betul-betul di hadapan pintu lif tanpa menoleh langsung kearah Dean yang berada
di belakangnya.
Sampai
di tingkat 4 pintu lif terbuka dan tiba-tiba sekumpulan manusia membanjiri
seluruh ruang lif menyebabkan Kas tertolak ke belakang dan tanpa diduga,
belakang tubuhnya betul-betul mengimpit dada bidang Dean. Degup jantung Dean
yang tiba-tiba berdetak kencang dapat dirasainya menjadikan dia turut sama
resah. Hangat tubuh Dean menjalar ke tubuhnya juga. Nafas hangat Dean menyapa
telinganya. Dalam hati menyalahkan diri kerana beg sandangnya diletakkan di
hadapan tubuhnya. Ingin menyelamatkan bahagian depan tubuhnya dari dihimpit
tapi lain pula jadinya. Esok dan hari-hari seterusnya Kas nekad untuk
menggunakan tangga saja.
Tiba di tingkat G, tanpa menunggu lama, Kas terus meloloskan diri keluar dari lif. Mujur sebelum masuk ke dalam lif tadi dia sudah memesan kereta Grab. Keluar dari bangunan Teguh Bina Consultant, kereta Grab sudah pun menunggunya. Dalam kepala sudah berkira-kira untuk berhenti dari kerja di situ.
0 comments:
Post a Comment