"APA???
Kau ni dah fikir masak-masak ke Riss? Kau ingat nak kawin ni cuma sehari dua
ke? Sekarang ni kau boleh la cakap yang cinta tu boleh dipupuk lepas kawin.
Tapi, kau pernah tak terfikir kalau lepas kawin nanti, langsung takde rasa
cinta antara korang berdua?" Fatihah tak putus-putus membebel kepada teman
baiknya yang dirasakan seperti sudah hilang akal apabila semudah itu bersetuju
untuk dikahwinkan oleh Ibu Saudaranya dengan duda kaya beranak dua yang
merupakan anak buah Ketua Kampung sebelah.
"Kau
cakap memang la senang Fat. Mak Long aku tu dah banyak berjasa dengan aku dua
beradik semenjak Mak dengan Ayah aku meninggal kau tau tak? Tak gamak aku nak
lukakan hati dia" Wajah putih mulus sahabatnya ditatap pohon pengertian.
Fatihah membuang pandang kearah sawah bendang yang menghijau di hadapan pondok
kayu yang mereka duduki itu.
"Aku tak
sangka, Cahaya Arissa Binti Azmi, kawan baik aku yang selama ini berjiwa
kental, akhirnya tunduk saja pada takdir tanpa mahu berjuang bila melibatkan
bab jodoh" ada nada kekesalan di hujung ayat yang keluar dari bibir mungil
Fatihah membuatkan Arissa melepaskan keluhan berat.
"Habis,
macamana dengan plan kita nak sambung belajar sama-sama? Macamana dengan
cita-cita kau nak jadi Pensyarah? Kau nak lupakan macam tu je?" pertanyaan
demi pertanyaan dari Fatihah membuatkan Arissa semankin runsing. Fikirnya,
dengan meluahkan keputusan yang telah dibuatnya ini kepada Fatihah dapatlah
juga meringankan sedikit bebanan perasaan yang di tanggungnya. Namun, reaksi
yang diterima dari gadis kecil molek itu betul-betul menambahkan lagi tekanan
perasaan yang dirasainya.
Hembusan angin
bendang yang menyapa lembut pipinya serba sedikit dapat juga membuatkan hatinya
merasa sedikit lapang.
"Aku
bukan apa Riss. Kau tu pelajar harapan sekolah tau. Trial pun hari tu,
keputusan kau lagi bagus dari aku. Semua 'A' tau! Rugi kalau kau tak sambung
belajar" suara Fatihah sedikit mengendur apabila Arissa yang duduk di
sebelahnya mempamerkan wajah sugul. Bahu temannya itu dipeluk erat.
"Apa
pilihan yang aku ada Fat? Lagipun, aku tak nak menyusahkan Mak Long dengan Pak
Long aku lagi. Diaorang sanggup nak sekolah kan aku sampai habis tingkatan enam
ni pun dah cukup bagus. Adik aku, si Amin tu pun kena la aku fikirkan sama. Ni
dia baru je masuk Tingkatan 4. Tahun depan nak SPM. Masih banyak lagi belanja
yang kena Mak Long dengan Pak Long aku tanggung untuk sekolahkan dia. Nasib
baiklah diaorang tak ada anak sendiri tau. Kalau tak, tak tahulah macamana.
Dahlah cuma Pak Long aku je yang bekerja. Tu pun cuma kerja kilang je."
Panjang
berjela Arissa menerangkan kepada Fatihah dengan harapan gadis itu faham akan
situasinya saat itu. Tudung bawal dikepala yang sedikit senget dibetulkan
sedikit.
Arissa memang
berhati kering. Namun, bila ianya melibatkan takdir, qada' dan qadar, Arissa
segera bermuhasabah diri.
Tiba-tiba dia
teringatkan bait kata-kata dari Ustaz Asri, guru agamanya ketika dia berumur 12
tahun dulu yang sentiasa terpahat kemas dalam hatinya. Waktu itu, dia adalah
Arissa si Perengus. Sangat mudah marah dan suka menyalahkan orang lain di atas
setiap perkara buruk yang berlaku dalam hidupnya.
Segala-galanya
bermula semenjak kematian kedua orang tuanya yang terlibat dalam kemalangan
langgar lari. Dia menjadi kanak-kanak yang sering memberontak.
Sehinggalah,
pada suatu hari ketika dia dibawa oleh Mak Long Asmah dan Pak Long Amdannya
untuk mendengar ceramah Agama yang dikendalikan oleh beberapa panel termasuk
Ustaz Asri yang ketika itu merupakan Guru Agama di sekolahnya, Arissa
seolah-olah mendapat jawapan kenapa Ibu dan Ayahnya dijemput Allah pada usia
dia semuda itu.
Sesuai dengan
tajuk ceramah pada malam itu, 'Hidup Untuk Mati, Mati Untuk Hidup', Ustaz Asri
selaku Moderator memulakan bicaranya dengan alunan bacaan dari surah Al-A’raaf
Ayat 34 beserta maksudnya :
“Dan
bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang
tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat
pula mereka didahulukan. ”
Pada saat itu,
Arissa seolah-olah baru tersedar akan kekhilafannya menyalahkan takdir selama
ini. Bukankah mati itu adalah janji Allah yang pasti? Kalau dah memang sudah
tertulis di Luh Mahfuz yang Ayah dan Ibunya akan mati pada usianya 12 tahun,
dengan apa cara sekalipun, mereka pasti akan dijemput juga oleh Allah melalui
Malaikat Izrail. Siapa dia hendak mempersoalkan semua itu?
Mujur dia
cepat disedarkan oleh Allah. Jika tidak, sia-sia sahaja arwah Ayah dan Ibunya
sering membawanya ke ceramah Agama dulu. Itu belum lagi dikira dengan kelas
Agama yang mereka hadiri saban hari selepas selesai solat Maghrib di Masjid
atau Surau.
Sehingga ke
hari ini,salah satu ayat Al-Quran yang menjadi pegangannya apabila ada saja
perkara yang di luar keinginannya berlaku adalah dari Surah Al-An'aam
ayat 18 yang bermaksud : Dan Dialah yang Berkuasa atas sekalian hambaNya
(dengan tadbir dan takdir); dan Dialah Yang Maha Bijaksana serta Amat Mendalam
PengetahuanNya.
"Hmmm ..
Kalau macamtu dah keputusan kau, aku nak kata apa lagi. So, bakal suami
kau ni berapa umurnya sebenarnya? Kalau anak dah 2 orang, mesti dah tua
kan?" Kata-kata lantang dari Fatihah menariknya kembali ke dunia nyata.
Memek muka Fatihah yang seperti kegelian itu mengundang tawa kecil dibibir
Arissa.
"Mak Long
aku cakap umur dia dalam awal 30an la. Takdelah tua sangat. Kahwin muda
kot" Arissa menjawab dengan sisa tawa yang masih lagi berbaki. "Tak
tua kau kata? Eh Cik Kak. Kau tu baru nak masuk 20 tahun tau tak? Kalau umur
bakal suami kau tu 32 tahun, beza satu abad tau tak?!" Fatihah membulatkan
matanya. Arissa hanya tersenyum.
Bagi Arissa,
jurang umur yang besar bukanlah menjadi satu masalah buatnya. Sedangkan Nabi
Muhammad S.A.W pun, sewaktu mengahwini Siti Aisyah yang baru berusia 7-9 tahun,
Baginda Rasulullah ketika itu sudah pun berusia sekitar 50 tahun. Jadi, apalah
sangat perbezaan 10 tahun diantara dia dan bakal suaminya nanti.
"Tapi kan
.. Oleh kerana aku tengok kau macam tak kisah, aku agak mesti dia ni hensem kan? Entah-entah macho giler ala-ala Aaron Aziz!" riak
wajah Fatihah sudah bertukar. Tiba-tiba dia yang rasa teruja bila membayangkan
bakal suami Arissa setampan dan sesegak pelakon kegemarannya, Aaron Aziz.
"Kau ni
ada-ada sajalah Fat. Aku pun tak taulah. Tak pernah tengok pun lagi. Lagipun,
Pak Long kata dia kerja kat Kuala Lumpur. Jarang balik kampung" Arissa
berkata selamba sambil kaki yang tergantung digoyang-goyangkan.
Mata Fatihah
membuntang memandang Arissa yang masih mempamerkan wajah selamba. Rasa ingin
saja dicekik sahabat baiknya itu.
"Kau ni
dah kenapa? Kalau bakal laki kau boroi, kepala botak, gigi rongak dan ..
entah-entah mata pun kero .. engkau nak???" bahu Arissa yang dipeluknya
tadi ditampar geram. "Adoi! Sakitlah!" bahu yang terasa perit
ditampar Fatihah digosok-gosok laju. Wajah Fatihah yang masih tegang dipandang
penuh persoalan. Ni aku ke dia yang nak dikahwinkan ni? Detik hati Arissa.
"Kau ni
banyak sangat fikir la Fat. Takkan la Pak Long aku tu nak jodohkan anak buah
dia yang comel mengalahkan Nora Danish ni dengan lelaki macamtu kot"
Arissa tersengih melihat Fatihah masih berwajah kelat. Dia tahu temannya itu
sayangkan dirinya. Oleh kerana itulah, Fatihah terlebih-lebih risau darinya.
"Kau ni
cubalah serius sikit Riss! Sebab kau tu comel sangat la aku ni risau tau
tak?" berkerut-kerut dahi Fatihah memandang Arissa yang masih tersenyum
lebar kearahnya.
"Aku
seriuslah ni. Pak Long aku ada cakap yang dia ni ada kacukan darah Pakistan. So,
kalau dah anak kacukan tu, mestilah hensem
kan?" akhirnya Arissa berterus terang. Tak mahu menyeksa perasaan Fatihah
lagi.
"Laa kau
ni. Bukan pasal hensem ke tak. Kalau
muka hensem pun, tapi kalau dia tu
botak ke, boroi ke .. gigi jongang ke .. kau tak takut?" dahi Fatihah
berkerut lagi. Arissa ketawa. Mankin geram Fatihah dibuatnya.
"Entah.
Aku dah redha je sekarang ni. Yang penting, dia boleh jadi Imam kepada aku dan
bakal anak-anak aku Fat" Arissa bangun dan mengibas-ngibaskan habuk yang
melekat di punggungnya.
"Wei, aku
balik dulu lah. Dah nak Maghrib ni. Hujung minggu ni rombongan meminang tu
datang. Kau datang lah ye. Assalammuaalaikum" Arissa melangkahkan kakinya
meninggalkan Fatihah yang masih tercengang-cengang. Ayat terakhir dari Arissa
menambahkan rasa sebalnya terhadap Arissa yang dirasakan terlalu cepat mengalah
pada takdir.
WAJAH yang
telah didandan ringkas oleh Mak Andam Salmy di tatap lagi. Fatihah yang berada
di dalam bilik setia menemaninya sedari jam 8 pagi tadi tak putus-putus memuji
betapa cantik wajahnya setelah disolekkan. Walaupun solekkan yang dikenakan
kepadanya tidaklah setebal mana.
Tepat jam 11
pagi, rombongan meminang dari pihak lelaki yang datang dengan menaiki beberapa
buah kereta akhirnya sampai juga.
"Weeii ..
rombongan dah sampai la" Fatihah yang mengintai dari celah pintu bilik
memberitahu dengan nada penuh teruja.
Arissa mula mengepal-ngepal tangan yang mula terasa seram sejuk. Fatihah yang
masih mengintai diperhatikan. Di dalam bilik cuma tinggal dia dan Fatihah
sahaja ketika itu.
"Semua
orang tua je aku nampak Riss. Takkan bakal tunang kau tak datang kot?"
Wajah Arissa ditatap sekilas sebelum pandangan mata Fatihah tertumpu semula
pada setiap tetamu yang semankin memenuhi ruang tamu rumah Mak Long Asmah.
"Dia
sibuk kot. Bagus juga dia tak datang" Arissa menyahut selamba. "Bagus
kau cakap?? Ishk kau ni Riss. Kau tau tak? Inilah masanya kalau kau nak tengok
bakal suami kau tu tau. Kalau agak-agak muka tak boleh blah, boleh la kau
reject awal-awal" Fatihah menghampiri Arissa yang duduk di birai
katil. Wajahnya sudah berkerut-kerut tanda dia sebal dengan sikap endah tak
endah Arissa.
"Nak
reject macamana lagi Fat? Kau nak aku lari dari rumah ke apa?" Arissa
tertawa kecil. Lucu melihat riak wajah Fatihah saat itu. Dengan mulut melopong,
dahi berkerut seribu dan mata yang membulat memandang tepat kewajahnya.
"Riss!!
Kau ni! Aku serius la!" suara Fatihah sudah sedikit meninggi. Geram dengan
perangai Arissa yang seolah-seolah sedang bermain pondok-pondok sahaja
lagaknya.
"Hisshh..
Apalah anak dara ni. Cubalah senyap sikit. Orang tua tengah berbincang kat luar
sana tu" keras suara Mak Long Asmah yang baru saja melangkah masuk ke
dalam bilik Arissa menyebabkan Fatihah yang baru saja ingin meneruskan
bebelannya, terdiam terus. Tawa Arissa juga tiba-tiba mati apabila melihat
wajah garang Mak Longnya.
"Maaf Mak
Long" Fatihah bersuara sambil memandang kearah Mak Long Asmah yang sudah
berdiri sambil bercekak pinggang di hadapan mereka berdua. Arissa hanya
tersengih, serba salah. Mak Long Asmah menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Awak tu
dah nak jadi bini orang Arissa. Cubalah buang sikit perangai budak-budak awak
tu" Selendang di kepala Arissa dibetulkan sedikit. Wajah ayu yang persis
wajah arwah adiknya itu ditatap lama.
Dia sayangkan
Arissa dan Amin. Itulah saja harta peninggalan paling berharga dari Maisarah,
satu-satunya adik-beradik yang dia ada. Keputusan mengahwinkan Arissa dalam
usia semuda ini dibuat setelah memikirkan buruk baiknya dengan mendalam. Bukan
kerana dia dan suaminya gilakan harta keputusan ini diambil.
Semuanya
dibuat adalah untuk masa depan Arissa. Dia mahu Arissa hidup senang. Selepas 8
tahun pemergian kedua orang tuanya, dia rasa, sudah tiba masanya Arissa diserahkan
kepada orang yang sepatutnya untuk menjaganya. Dia mahu Arissa terus berjaya
dalam hidupnya. Dia pasti andai Arissa berjaya, Amin juga akan turut berjaya.
Segalanya dengan izin Allah.
"Mak
Long" panggilan lembut dari Arissa menghentikan lamunannya. Dia segera
mengesat air mata yang sudah mula bertakung di tubir matanya. "Cantik anak
buah Mak Long hari ni" pipi mulus Arissa dielus lembut. "Bukan ke
Riss hari-hari memang cantik?" sempat Arissa bergurau. Sekadar untuk
menghiburkan Mak Longnya yang dirasakan sedang menahan sebak walau segaris
senyuman cuba dipamerkan.
"Ha yelah.
Hari-harilah awak tu nampak cantik. Cuma hari ni lain la sikit sebab muka tu
dah kena tepek dengan bedak berkilo-kilo. Silap haribulan, Mak Long ni kalau
kena solek dengan Andam Salmy tu mesti ada rupa Erra Fazira agaknya"
tergelak Fatihah dan Arissa mendengar kata-kata Mak Long Asmah.
"Dah,
dah. Asyik gelak je kerjanya. Kejap lagi bakal Mak Mertua awak nak masuk sarung
cincin. Kesat sikit airmata tu. Seronok sangat ketawa sampai keluar
airmata" Mak Long Semah menegur sambil tangannya merapikan lagi tudung dan
selendang yang dipakai Arissa. Tawa antara mereka sudah agak reda.