TENANGNYA Ammara rasa saat itu. Duduk hanya beralaskan
sepasang selipar getah sambil kaki dibenamkan ke dalam pasir putih yang hangat
terasa menyelesakan. Laut hijau kebiruan yang terbentang luas di hadapan
matanya menambahkan rasa damai dihati.
“Kat sini rupanya awak. Penat saya cari keliling rumah”
terasa tangkai ketenangannya tiba-tiba diragut sebaik saja suara garau itu
menyapa pendengaran Ammara. Mata yang tadinya terpejam terus terbuka luas.
Imtiyaz menghenyakkan punggungnya tanpa alas di sebelah Ammara.
Kedua belah tangan ditumpangkan ke atas lutut yang dibengkokkan sambil mata
turut memandang ke arah hamparan lautan yang indah terbentang di hadapan mereka
berdua. Terik matahari tidak begitu terasa memandangkan mereka dapat berteduh
di bawah lindungan pohon rhu yang agak merendang.
“Kenapa senyap je hari ni? Tadi masa sarapan pun awak tak banyak
bercakap” Imtiyaz mengalih pandang pada Ammara yang masih diam tanpa kata.
Pandangan gadis itu tidak berkalih dari memandang laut.
“Kalau awak marah pasal apa yang jadi subuh tadi, saya minta maaf. Saya
tak sengaja langgar awak” pandangannya masih tidak berganjak. Masih pada
Ammara. Entah kenapa, sejak kejadian subuh tadi, perasaanya pada gadis itu semakin
kuat. Mungkin kerana itulah kali pertama gadis itu ditatap tanpa hijab. Cantik.
Malah dia rasakan kecantikan Ammara lebih menarik dari mana-mana wanita yang
pernah didampinginya. Kecantikan yang mempunyai pesonanya sendiri.
Imtiyaz semakin yakin dengan perasaannya pada Ammara dan dia betul-betul
nekad untuk memperisterikannya. Dia akan mencuba sehabis daya untuk membuat
gadis itu setuju untuk mengahwininya.
Kedengaran Ammara menarik nafas dalam sebelum dilepaskannya, panjang. Dia
menunduk memandang kaki yang menguis-nguis pasir. Dia bukan marah pada Imtiyaz.
Sebenarnya, dia malu. Ya. Malu yang teramat. Entah kenapa, tapi dia malu dan rasa
bersalah sangat-sangat kerana lelaki itu telah melihat aurat yang sejak
beberapa tahun ini cuba dijaganya sebaik mungkin dari dilihat lelaki ajnabi.
“Kahwin dengan saya
Ammara”
Kaki yang menguis pasir terhenti serta-merta. Jantung sudah mula mengepam
darah lebih laju dari biasa sehingga menyebabkan degupannya terasa berdetak
kuat dan nafasnya seolah-olah tersekat di salur esafagus.
“Saya ikhlas. Saya serius nak ambil awak sebagai isteri” lanjutan
kata-kata dari Imtiyaz semakin membuatkan Ammara sesak nafas. Hendak pandang
wajah Imtiyaz pun dia tak sanggup. Mata dipejamkan sedetik cuba mencari
kekuatan untuk bersuara.
“Kenapa saya?” Hendak mengeluarkan dua patah perkataan itu sudah cukup
menyeksakan buat Ammara. Jawapan yang bakal diberikan oleh Imtiyaz pada soalan
ringkasnya itu dinanti dengan jantung yang berdebar memandangkan ianya bakal
dijadikan penentu samada dia akan menimbangkan atau tidak lamaran spontan lelaki
itu.
Giliran Imtiyaz menarik nafas panjang. Dalam kepala cuba mencantumkan
bait-bait kata untuk diberi sebagai jawapan yang paling sempurna untuk Ammara.
“Kenapa manusia jatuh cinta?” Imtiyaz menjawab soalan Ammara dengan
soalan juga. Wajah Ammara dipandang lagi. Kali ini Ammara turut memandang
kearahnya dan mata mereka bertatapan agak lama. Senyap antara mereka. Terasa
seolah-olah masa terhenti namun deruan angin laut dan hempasan ombak didada
pantai masih dapat didengari.
Redup pandangan Imtiyaz benar-benar memukau mata dan hati Ammara. Rambut
yang bergerak-gerak ditiup angin laut mempamerkan sisi santai lelaki itu.
Dengan t-shirt putih dan berseluar pendek paras lutut, Imtiyaz masih nampak
menarik dimata Ammara. Kekacakan dan kesegakan lelaki bernama Syed Imtiyaz Omar
itu memang tak dapat disangkal lagi. Ammara mengakuinya.
Tapi, adakah dia boleh menerima
lelaki itu sebagai suaminya? Ammara masih ragu-ragu. Mengingatkan tentang
reputasi Imtiyaz yang memang terkenal sebagai kasanova membuatkan Ammara semakin
dipagut rasa was-was.
“Saya tak layak untuk Encik Imtiyaz” Panggilan kepada Imtiyaz sudah
kembali kepada asal. Dalam keadaan macam ini, panggilan ‘Bos’ rasanya tak
begitu sesuai. Ammara kembali membuang pandang kearah laut. Kedengaran keluhan
halus dari mulut Imtiyaz.
Sukar benar hendak memikat gadis di sebelahnya itu. Dari renungan
matanya, Imtiyaz dapat merasa yang jauh disudut hati, Ammara juga punya rasa
yang sama sepertinya. Tapi, tak tahu kenapa Ammara enggan mengakuinya. Mungkin
kerana gadis itu sudah puas melihat sisi jahatnya yang suka berpoya-poya dengan
ramai wanita.
Ah. Silapnya juga. Suka sangat melayan perempuan sana-sini. Sekarang,
bila dia sudah berjumpa dengan satu-satunya gadis yang mampu membuat dadanya
bergetar hebat, segala aura memikatnya seakan tak berguna lagi. Ammara bukan
seperti bekas-bekas kekasihnya yang mudah dipancing dengan wang ringgit.
Nampak saja cengeng, tapi kepalanya boleh tahan juga kerasnya. Kalau
orang kata hati perempuan sekeras kerak nasi, hati Ammara bukan kerak nasi
biasa. Dah macam kerak hangit yang memang melekat di periuk! Tenyehlah macamana
pun dan rendamlah berapa lama sekalipun. Memang tak tertanggal punya. Kesan
hitamnya pasti akan kekal sampai bila-bila.
“Saya tahu saya tak sempurna dan mungkin maksud awak, saya ni yang tak
layak nak jadi suami awak. Kan?” Imtiyaz cuba memancing simpati Ammara.
Taktik Imtiyaz nampak berjaya apabila riak wajah Ammara berubah.
Serba-salah apabila Imtiyaz berkata begitu. Macamlah dia tu sempurna sangat.
Tapi, bukan niatnya hendak memerli Imtiyaz. Dia benar-benar rasa diri tak layak
nak digandingkan dengan lelaki sehebat Imtiyaz.
Bukan saja dari golongan Syed-Syarifah, malah juga datang dari kalangan
keluarga yang berharta, penampilannya pula kacak bergaya ditambah pula dengan
latarbelakang akedemik yang cukup membanggakan. Cukup lengkap ciri-ciri lelaki
idaman Malaya dalam dirinya. Siapalah dia kalau hendak berdamping dengan lelaki
itu.
“Bukan tu maksud saya. Betul! Saya rasa Encik Imtiyaz layak dapat
pasangan hidup yang jauh lebih baik dari saya. Saya ni orang biasa je. Papa pun
kerja biasa-biasa je. Mama pula tak kerja. Kami ni bukan ada darah bangsawan
pun. Bila difikir-fikirkan, rasanya, pilihan awal Aunty Ana paling sesuai untuk Encik Imtiyaz” matanya sudah berkaca.
Segera wajahnya dilarikan dari ruang pandangan Imtiyaz. Airmata yang menitik
pantas diseka sebelum disedari oleh lelaki itu. Dia menangis bukan kerana
sedih. Tapi, dah dia memang begitu. Pantang hati rasa tertekan sikit pasti ada
airmata yang setia menemani.
“Who are you to decide? Jodoh
pertemuan tu semua kerja Allah. So, you
don’t have the right to say that” Imtiyaz sedikit terkesan dengan apa yang
diluahkan oleh Ammara sebentar tadi. Selama ini, dengan siapapun dia berkawan,
dia tak pernah sekalipun memandang pada pangkat dan darjat.
Baginya, yang penting adalah keserasian dan keselesaan dalam menjalin
hubungan. Kalau berkawan dengan anak raja sekalipun, kalau tak serasi dengan
jiwa dan buat apapun serba tak kena, untuk apa meneruskan hubungan tersebut?
Bahu Ammara dipaut dan tubuh yang berpaling darinya ditarik supaya
mengadapnya. Ammara menundukkan kepala apabila tubuh mereka sudah berhadapan
antara satu sama lain.
Dagu runcing Ammara dipegang dan wajah yang nampak sungul itu diangkat
supaya memandang kearahnya. Airmata yang meluncur laju pantas diseka oleh
Imtiyaz. Dia tersenyum. Tersenyum bukan kerana suka melihat wajah gadis
kesayangannya mendung seperti itu. Sekadar tersenyum untuk memberi isyarat yang
dia tiada niat untuk memarahi Ammara.
“Ammara sayang. Cuba awak fikir. Kalau saya pandang semua tu, at the first place, perlu ke saya suruh
awak menyamar jadi girlfriend saya
semata-mata tak nak kahwin dengan Hanim? Hurmm?” Kedua belah bahu Ammara
digoncang perlahan. Seolah-olah mahu menyedarkan Ammara bahawa dia bukanlah
jenis manusia yang terlalu memandang keduniaan semata.
Wajah Ammara masih mendung.Dia membetulkan baju sejuk yang sedikit
melorot. Hidung yang berair dikesat dengan belakang telapak tangan. Airmata
yang bersisa turut dikesat. Pegangan tangan Imtiyaz yang di kedua belah bahunya
dileraikan. Dia kembali menghalakan tubuhnya mengadap laut. Kedua belah lutut
dipeluk rapat kedada.
Imtiyaz sudah kematian akal. Kenapalah gadis bernama Ammara Safiyya itu
begitu sukar diduga hatinya? Dah tahu begitu, kenapalah juga hatinya degil masih
mahukan gadis itu sebagai teman hidupnya? Kalaulah lamaran tak rasmi itu
disuarakan pada Suraya ke, Zima ke atau Hanim sekalipun, dia yakin seratus
peratus yang jawapannya pasti ‘Ya’. Tak perlu ditanya berulang kali atau
dipujuk-rayu dengan umpan yang macam-macam.
“Honestly Ammara. Tell me. Kenapa awak tak boleh nak
terima saya? Is it because of Fath?”
Ammara terkedu apabila nama Fath disebut oleh Imtiyaz. Kenapa tiba-tiba
persoalan itu yang ditanyakan? Apa yang Imtiyaz tahu tentang dia dan Fath?
Kalaupun dia tahu, siapa tukang ceritanya? Along ke? Ligat kepalanya memjana persoalan demi
persoalan.
“Err .. Saya nak balik. Nanti diaorang cakap apa pula bila sedar kita tak
ada. Lagipun, ini kampung, bukan bandar. Nanti banyak pula mulut-mulut yang tak
ada insuran bercerita yang bukan-bukan pasal kita. Saya taklah nanti, Tok Ayah
dengan Mak Tok pula dapat malu sebab kita” Ammara sudah bangkit sambil
menepuk-nepuk debu pasir yang melekat diseluarnya. Selipar disarungkan kekaki
dan tanpa menunggu sebarang maklumbalas dari Imtiyaz, Ammara terus melangkah
pergi. Soalan dan andaian Imtiyaz dibiarkan tanpa jawapan.
“ARA nak ikut, Ara nak ikuuuuttttt”
“Hisshh anak dara ni. Merengek macam budak-budak” Puan Saadiah menegur
anak gadisnya yang sedang menggedik manja dengan Abangnya. Ketika itu mereka
sekeluarga sedang duduk santai di beranda sambil menikmati hidangan kopi panas
dan keropok losong.
“Biarlah. Bukan dengan sesiapa pun, dengan Abangnya juga” dan seperti
biasa, pasti akan ada suara Nek Lijah membela cucu kesayangannya itu. Ammara
tersenyum seronok dibela Mak Toknya.
“Mak ni, suka sangat manjakan budak Ara ni” mulut Puan Saadiah sudah mula
memuncung. Tok Lan dan Encik Azman hanya tersenyum memerhatikan gelagat wanita
dari tiga generasi itu. Begitu juga yang lain. Tersenyum juga sambil menghirup
kopi panas yang menyegarkan biji mata.
“Ha. Bila kamu nak masuk meminang si Ara ni Tiyaz?” Ammara rasa macam
keropok losong yang baru ditelan tersekat di celah kerongkong tatkala soalan
mengejut dari Tok Lan itu diajukan terus kepada Imtiyaz. Tersedak Imtiyaz
dibuatnya. Merah padam mukanya. Encik Azman yang duduk di sebelah Imtiyaz
mengurut perlahan belakang badan lelaki itu. Wajah selamba Bapa Mertuanya
dipandang sambil tersenyum. Itulah dia Tok Roslan aka Tok Lan. Cakapnya main
lepas. Apa yang terdetik dikepala, itulah yang keluar dimulutnya. Encik Azman
sudah faham benar.
“Eh .. Tersedak pula dia. Tok baru tanya soalan mudah tu. Belum lagi Tok interbiu kamu macam-macam” daun sirih
yang sudah siap digentel Nek Lijah dan disuakan padanya disambut.
“Ishk Ayah ni. Ada ke tanya main redah je macam tu. Terkejut la budak tu
dibuatnya. Tak ada mukadimah langsung. Nasib lah tak tersembur air kopi tu kat
si Ara nun. Kalau tak, mandi air kopilah jawabnya” kata-kata Puan Saadiah
membuatkan mereka semua tergelak kecuali Ammara. Terus saja dia menayang wajah
cemberutnya.
“Ha! Mula la tu buat muka” Ammar pantas menarik hidung mancung Ammara
sehingga gadis itu mengaduh kesakitan. Mankin mencuka wajahnya. Bahu Ammar
ditepuk kuat berkali-kali.
“Adooiii! Sakitlah. Ganas betul. Hai Tiyaz .. Nasib kau lah dapat adik
aku yang lasak macam jantan ni. Pandai-pandai kaulah nak lembutkan yee” Ammar
terus mengusik adiknya.
“Along!! Mak Tok … Tengoklah Along ni!” Ammara bingkas bangun dan terus
menepek di sebelah Nek Lijah pula.
“Ammar! Kamu ni kalau tak mengusik adik kamu, tak sah agaknya” Ammara
menjelir lidah apabila Nek Lijah memarahi Ammar.
“Eleh. Mentang-mentanglah Mak Tok suka bela dia, bolehlah mengadu … “
Ammar menjuih bibir.
“Eh, si Fatin mana Long? Lepas makan tadi terus tak nampak” Puan Saadiah
yang baru menyedari ketiadaan Fatin bertanya.
“Dia pening kepala Ma. Ada kat dalam bilik tu. Biarlah dia rehat. Penat
agaknya tu” keropok losong yang telah dipotong-potong kecil dicapai dan terus
dimasukkan ke dalam mulut.
“Biasalah tu. Awal mengandung ni memang macam tu. Badan rasa letih saja.
Belum lagi tekak asyik meloya. Petang tadi, Mak Tok nampak si Fatin tu kerap
muntah. Itu yang lembik tu. Kesian Mak Tok tengokkan dia tu” Nek Lijah sibuk
menokok sambil tangannya sibuk menggentel sehelai lagi daun sirih yang sudah
diletak pinang dan kapur lalu dimasukkan ke dalam mulut.
“Ha Tiyaz. Ayah Tok tanya tadi kamu tak jawab lagi. Bila kamu nak masuk
meminang? Tak elok kawan lama-lama ni. Banyak maksiat boleh jadi. Zaman Tok
dulu, tak payah tunggu nak bercinta, Mak Ayah dah masuk meminang. Nak tak nak,
anak-anak semua kena terima saja. Tak boleh membantah langsung” Tok Ayah
kembali semula kepada persoalan asalnya tadi. Imtiyaz kembali terkedu dan
Ammara kembali dihurung resah. Mereka berpandangan sesama sendiri. Cuba
berbincang dalam hati seolah-olah masing-masing ada kuasa telepati.
“Err … Sebenarnya, kitaorang tak bincang lagi pun Tok Ayah. Lagipun, Ara
masih muda. Ingat nak tunggu dua, tiga tahun lagi” lega benar hati Ammara
apabila mendengar jawapan yang keluar dari mulut Imtiyaz. Kalaulah dibantainya
lelaki itu menjawab ‘Hujung minggu ni saya masuk meminang’, mahu meroyan Ammara
dibuatnya.
“Haahlah Toknya. Ara ni kan muda lagi. Biarlah dia matangkan diri dulu
sebelum jadi isteri orang. Nak pikul tanggungjawab sebagai isteri ni bukannya
mudah” lebar senyuman dibibir Ammara tatkala Nek Lijah menokok ayat.
“Hish! Muda apanya Mak Toknya oiii. Awak dulu masa kahwin dengan saya
umur berapa? Empat belas? Lima Belas? Ha, elok je pun pikul tanggungjawab.
Lagipun, awak ingat matang tu boleh diajar? Kalau dia kahwin, dah mula pikul
tanggungjawab, nanti kematangan tu datanglah sendiri” Tok Ayah tetap tak mahu
kalah.
“Betul tu Tok Ayah! Saya sokong seratus dua peratus!” Ammar tersengih
sambil memandang kearah Ammara yang
matanya sudah mula mengecil dan kulit muka sudah mula berubah warna. Dia buat
tak tahu saja. Air kopi dihirup selamba.
“Zaman sekarang bukan macam zaman kita dulu Ayah. Zaman sekarang ni, Mak
Ayah yang kena ikut kata anak-anak kalau dalam soal jodoh ni. Lagipun, zaman
Ayah dengan Mak dulu, umur dua belas tahun, anak-anak dara dah tahu buat semua
kerja rumah. Sekarang ni, umur dua puluh tahun baru nak belajar tanak nasi”
Encik Azman yang sedari tadi hanya sekadar memerhati dan mendengar akhirnya
turut menyampuk apabila melihat Imtiyaz terus terdiam tak bersuara. Dia tidak
mahu anak muda itu memberi jawapan dan membuat keputusan dalam keadaan tertekan
begitu.
“Yalah Tok Ayah. Kalau Tok Ayah nak tahu, Si Ara ni bukan tahu masak pun.
Kalau kahwin, mesti hari-hari makan kat kedai sajalah jawabnya” Ammar masih seronok
menggiat Ammara.
“Cakap tu elok sikit ye. Ara tahulah masak!” Ammara membangkang kata-kata
Abangnya. Mankin dia diam, mankin galak pula Ammar mengenakannya. Tak boleh
jadi! Dia wajib membalas serangan. Mana boleh hendak bertahan saja.
“Ha ye. Memang tahu masak. Masak air, maggi, telur … Semua tu memang Ara
handal!” Ammar menunjukkan kedua-dua ibu jarinya pada Ammara. Puan Saadiah,
Encik Azman, Imtiyaz, Tok Lan dan Nek Lijah sudah ketawa mengekek melihat
gelagat dua beradik itu.
“Alongggg!!!!!!!”
Tawa Ammar terus meletus melihat Ammara sudah bercekak pinggang sebelum
mencapai seketul keropok losong dan dicampakkan kearahnya namun sempat ditepis
dan terus termasuk ke dalam cawan kopi milik Imtiyaz.
Yang lain terdiam sesaat sebelum menyambung tawa membuatkan muncung
Ammara mankin mendepa dan wajahnya semakin mencuka.
0 comments:
Post a Comment