Mesej Poyo dari Adialuze

Assalammualaikum w.b.t

Bismillahirrahmannirrahim ...

Thanks for those that have the time to come by to this blog whether accidentally or intentionally. Thanks a bunch!

As an introduction, I'm a wife and a daughter to a wonderful husband and family that ALLAH have lend me. Syukur, Alhamdulillah ... I'm truly feel bless always ... 24 by 7.

To be a writer one should have the gift to write ... That what 'they' say. But for me, I'm writing because I love to write. Gifted or not, I will continue to write as long as ALLAH gave me the ideas an inspirations to do so ...

I do apologize for any error or discomfort feeling that cause by my writing ...

Please drop your comment for a better me as a writer ... and please do comment in a civilize way cause I believe we all yearn for love and peace not hatred and war.

HAPPY READING ^_^

-Aidaluze-

Sunday, April 9, 2023

GADIS CENGENG : BAB 25

 

    “ALAAA Mama … Bagilah Ara naik kereta Along jugak. Enc … Err … Tiyaz boleh je bawa kereta sorang-sorang. Tak payah la nak Ara temankan” Ammara sudah puas memujuk Puan Saadiah supaya membenarkannya pulang satu kereta dengan ahli keluarganya yang lain. Dia sungguh-sungguh tak mahu pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta lelaki itu. Lebih-lebih lagi hanya mereka berdua sahaja.

    Cukup-cukuplah baginya 3 hari 2 malam dia terpaksa menadah telinga dan mencekalkan hati tiap kali hal ehwal hubungannya dan Imtiyaz dibincangkan. Kalau dia pulang bersama Imtiyaz, alamatnya, hatinya akan terus dilanda resah dan gundahlah jawabnya. Apatah lagi, setelah sesi luahan perasaan oleh Imtiyaz tempohari di tepi laut. Ammara jadi sesak nafas apabila memikirkan yang lelaki itu betul-betul serius untuk memperisterikannya. Pasti nanti sepanjang perjalanan pulang, Imtiyaz akan terus-menerus memujuknya supaya lamaran tak rasminya diterima.

    Mengapa Imtiyaz memilih dia?? Sekali lagi soalan itu juga yang terlintas difikirannya. Soalan yang tuan punya badan sendiri pun tiada jawapannya.

    “Ara sayang, bukan ke kereta kamu ada di pejabat? Lagipun, balik nanti, Along terus tidur kat rumah Mama sebab esok dia dengan Kak Fatin masih lagi bercuti. Ara esok dah masuk kerja kan? Siapa nak hantar Ara pergi kerja kalau Ara naik dengan kami?” Puan Saadiah mengelus lembut kepala anak bongsunya. Kain baju yang sudah dilipat dimasukkan ke dalam beg pakaian.

    Ammara mendengus perlahan. Dia duduk bersila dengan wajah hampa sambil memerhatikan Mamanya berkemas.

    “Dah. Pergilah bersiap. Dah nak pukul sepuluh ni. Nanti kalau lambat bertolak, lambatlah kita sampai” Puan Saadiah memberi arahan apabila dilihatnya Ammara masih tidak berganjak dari tempat duduknya.

    Ammara bangkit dan dengan langkah malas, dia menapak menuju kebiliknya untuk bersiap apa yang patut. Bukan ada beg pakaian pun yang perlu dikemas. Setakat berdandan seringkas mungkin sudah memadai. Tak perlulah beriya-iya sangat. Bukan hendak kemana pun. Duduk dalam kereta sampai tiba di destinasi. Kalau ikut kepala selambanya, pakai kain batik dengan t-shirt pun sudah okey.

    “Bawa kereta tu hati-hati Am, Tiyaz. Jangan berlumba pula. Ingat! Kamu berdua tu bawa nyawa orang” untuk kali yang keberapa entah, Nek Lijah berpesan kepada Ammar dan Imtiyaz yang sedang sibuk menyusun beg dan segala jenis buah tangan yang dibekalkan oleh Mak Tok dan Tok Ayah ke dalam bonet kereta.

    ”Ha, kamu Tiyaz. Naik kereta berdua dengan si Ara tu jangan nak melencong kemana-mana pulak. Ammar, kamu bagi si Tiyaz tu memandu kat depan. Senang sikit nak diperhati. Orang muda zaman sekarang ni bukan boleh dibiarkan sangat. Kena juga pantau” tersengih-sengih Imtiyaz mendengar teguran Tok Ayah yang sedang duduk memerhatikan mereka di anak tangga bersama Mak Tok.

    “Ala … Tok Ayah tak payah risau lah. Si Ara tu boleh jaga diri. Silap haribulan, belum sempat Tiyaz nak sentuh, dah lebam biji mata kena penumbuk cucu Tok Ayah tu” Ammar menjeling kearah Ammara yang sedang duduk berkepit dengan Mak Toknya sambil tayang muka sedih. Kelihatan matanya masih basah dengan sisa airmata. Ammar tersenyum lucu dengan tahap  kecengengan Ammara yang tak pernah surut-surut dari dulu.

    Kata-kata Ammar disambut dengan deraian tawa. Ammara sudah tarik muka masam. Geram sungguh dengan Ammar yang tak sudah-sudah menyakatnya. Hendak dibalas dengan kata-kata, nanti balik-balik dia juga yang terkena. Baik diamkan saja.

    Jam menunjukkan pukul sebelas pagi barulah mereka semua bergerak pulang. Itupun setelah mendengar macam-macam lagi pesanan dan nasihat dari Nek Lijah dan Tok Lan.

    “Nanti, saya hantar awak balik ambil kain baju, lepas tu baru kita ke office ambil kereta awak” setengah jam selepas kereta meninggalkan perkarangan rumah Ayah Tok dan Mak Toknya, Imtiyaz bersuara tanpa memandang kearah Ammara.

    “Ha? Ambil baju? Nak buat apa?” Hairan Ammara dengan kata-kata yang lebih berupa arahan dari lelaki itu.

    “Malam ni awak tidur je rumah Papa dengan Mama. Esok pergi office dari sana. Along dengan Kak Fatin pun tidur sana kan?” Mata Ammara sudah mengecil mendengar jawapan Imtiyaz.

    Eh, eh dia ni. Dah pandai ber’Mama – Papa’ pulak. Eeiii! Tak malu! Ammara memprotes dalam hati. Wajah selamba Imtiyaz masih dalam pemerhatiannya.

    “Tak nak. Penat. Lagipun, kalau saya ke office dari rumah Papa dengan Mama, saya kena keluar awal. Kalau tak, jalan mesti jem” Ammara membuang pandang ke luar tingkap. Mata dipejamkan. Pura-pura hendak tidur supaya Imtiyaz berhenti bercakap. Bukan bercakap sebenarnya. Tapi, lebih kepada mengarah.

    No! You will do as I say. No argument!” Tegas kat-kata Imtiyaz membuatkan Ammara mencebik geram.

    Nooo … I will do anything as I want. Saya tidur kat rumah Along. Full stop!” Ammara berpeluk tubuh. Masih memandang ke luar. Malas hendak berbalas pandang dengan Imtiyaz yang pastinya sudah berangin dengannya. Lantaklah! Suka hati dialah nak tidur mana. Kenapa nak paksa-paksa pula? Aku bukannya bini dia pun. Huh! Bidas Ammara dalam hati.

    “Ok. Kalau macam tu, awak tidur rumah saya. Esok, kita pergi kerja sama-sama. Senang.”

    Pantas kepala Ammara berpusing mengadap Imtiyaz. Bulat matanya memandang kearah lelaki di sebelahnya itu.

    “Gila! Encik dah kenapa? Kita ni bukannya ada ikatan apa-apa ok! Nak sangat kena tangkap basah ke? Lagipun, daripada ikut Encik balik, baik saya berkhemah kat tepi jalan ni” Ammara menarik muka semasam-masamnya.

    Imtiyaz tergelak apabila terpandang wajah Ammara yang sudah merah padam. Semakin berbulu Ammara dibuatnya.

    “Habis tu, awak nak balik kat rumah Along tu nanti, bukan berdua-duaan dengan Fath ke? Atau sebenarnya awak lebih rela kena tangkap dengan dia dari kena dengan saya?” Nada suara Imtiyaz sudah berubah dingin.

    “Ya Allah! Apa yang Encik merepek ni? Ok. Fine. Saya balik rumah Papa dengan Mama. Puas hati? Dah. Saya nak tidur. Malas nak layan topik merapu Encik yang dah tahap kritikal ni. Huh!” Malas hendak memanjangkan isu yang sudah jadi entah apa-apa, Ammara akhirnya akur dengan arahan awal Imtiyaz. Mata terus dipejamkan rapat-rapat dengan wajah dipalingkan dari Imtiyaz.

    Segaris senyuman terbit dibibir Imtiyaz. Ya, Dia puas hati apabila Ammara akhirnya menurut kata-katanya.

    Dia bukannya apa. Hanya memikirkan kemungkinan Ammara dan Fath tinggal berdua-duaan sudah cukup membuatkan hatinya sakit. Kalau boleh, sebesar zarah pun dia tak mahu memberi ruang pada Fath untuk berbaik dengan Ammara.

    Melihatkan Ammara yang sudah memejamkan mata, Imtiyaz meneruskan pemanduan tanpa bersuara lagi.

    “ARA … Ammara … Bangun sayang. Kita dah sampai kat RnR Lanchang ni” Terasa bahunya digerakkan beserta suara lembut memanggil.  Perlahan-lahan matanya dibuka. Entah berapa lama dia tertidur langsung tidak disedarinya. Langsung lenanya tak terganggu. Ammara mengeliatkan badannya cuba melegakan sendi-sendi badan yang terasa lenguh kerana berbaring di atas tempat yang tidak seempuk dan seselesa tilam di rumah.

    “Jom kita makan Sayang. Boleh solat sekali. Lagipun dan nak masuk Asar ni. Boleh jamakkan je” pergerakan Ammara automatik terhenti apabila Imtiyaz menghabiskan ayatnya. Dia memandang kearah Imtiyaz yang sedang menanggalkan tali pinggang keledarnya dengan wajah tergamam.

    Betulkah apa yang didengarnya sebentar tadi? Lelaki di sebelahnya itu, memanggilnya Sayang? Mengigaukah dia? Sedang bermimpikah dia? Atau, Imtiyaz yang sedang mengigau? Isk! Confusenya dia!Ammara masih melopong dengan mata terkebil-kebil.

    Menyedari tiada jawapan yang diterima dari Ammara, Imtiyaz menoleh. Terasa mahu tergelak apabila wajah terkedu Ammara menyapa pandangan matanya. Comel sungguh!

    “Hei! Kenapa melopong ni?” Terasa bagai terkena kejutan elektrik apabila pipinya dielus sekali lalu oleh Imtiyaz. Lagi-lagi bila lelaki itu tersenyum kacak khas untuknya. Terus terasa nafasnya tersekat di salur esafagus.

    “Ara?” Melihat Ammara yang masih terkebil-kebil memandang kearahnya, Imtiyaz terus seronok hendak menyakat.

    “Kenapa ni Sayang? Haaa .. Abang tau. Tadi Sayang mimpikan Abang ke? Lepas tu, bangun-bangun terus nampak Abang lebih hot daripada biasa. Tu yang Sayang terkesima tengok Abang ni kan?” Seakan baru tersedar dari diulit mimpi, Ammara segera menayang muka sebal.

    “Euuuuwwww!!! Perasannya! Encik ni dah teroverdose ubat cap perasan lah saya rasa. Dan lagi satu, Encik tak payahlah nak ber ‘Abang-Sayang’ dengan saya ye. Rasa geli pula telinga saya mendengarkannya” tanpa berlengah lagi, Ammara terus keluar dari perut kereta dan bergegas menghampiri kereta Ammar yang diparkir tidak jauh dari kereta Imtiyaz.

    Imtiyaz ketawa sambil turut sekali turun dari kereta dan menurut langkah Ammara dari belakang. Seronok rasanya dapat mengusik gadis itu. Hilang rasa penatnya memandu tadi.

    Selesai menunaikan solat jamak Zohor-Asar dan mengalas perut seadanya, mereka meneruskan perjalanan.

    Kereta mula bergerak saja, Ammara terus memejamkan mata. Dia lebih rela memaksa matanya untuk tidur daripada terpaksa melayan Imtiyaz berbual. Bukan dia tidak kasihankan lelaki itu yang terpaksa memandu jauh-jauh begitu seorang diri, namun nanti kalau dilayan bersembang, pasti akan ada topik-topik yang berbangkit menyakitkan hati dan menyeksa perasaannya. Jadi, jalan paling selamat adalah dia tidur.

    “Ammara … Awak dah tidur ke?” Kedengaran suara garau Imtiyaz menyapa gegendang telinganya ketika lenanya baru hendak berlabuh.

    “Hurmmm …” Ammara menyahut perlahan. Tubuh masih mengadap kearah yang bertentangan dari Imtiyaz.

    “Kalau boleh awak pertimbangkan lah apa yang saya cakap dengan awak dekat tepi  pantai semalam ye. Saya betul-betul harap awak boleh terima lamaran saya” mata Ammara terbuka seluas-luasnya. Deretan pepohon hijau di tepi jalan dipandang kosong. Otaknya yang agak mamai cuba memproses kata-kata yang baru dilafazkan Imtiyaz.

    “Percayalah Ammara … Saya ikhlas nak memperisterikan awak” perlahan kata-kata itu dituturkan Imtiyaz. Ammara yang masih membelakanginya dipandang sekilas lalu.

    Ammara hanya diam. Langsung tidak memberikan sebarang respon. Membantah tidak, mengiyakan pun tidak. Otaknya ligat berputar. Sanggupkah dia bersuamikan lelaki terhangat dipasaran seperti Imtiyaz itu? Bagaimana jika nanti satu-persatu bekas kekasihnya muncul untuk menagih kasih lelaki itu semula? Cukup kuatkah hatinya hendak berhadapan dengan semua itu?

    Eh! Kenapa pula kau nak fikirkan pasal tu Ammara Safiyya oii?! Kau sukakan si Kasanova ni ke? Memanglah dia kacak, segak, kaya dan bergaya. Tapi, sanggup ke kau kalau esok-esok tiba-tiba dia nak kahwin lain? Laki macam ni mana cukup dengan sorang perempuan je. Entah-entah cukup kuota empat dia bagi kat kau! Kau nak ke??

    Ammara sudah mula fikirkan yang bukan-bukan. Berdialog dalam hati. Memang itulah kepakaran Ammara sejak dari dulu.

    “Oh pocot mak kau!!!” Terhambur latahan dari mulut Ammara apabila terasa pipinya dicubit. Segera dia bangkit dan menghalakan pandangan pada Imtiyaz dengan wajah berkerut. Tangannya mengosok-gosok pipi yang terasa juga sakitnya walau cubitan Imtiyaz tidak seberapa kuat pun.

    “Ooo … Tak tidur lagi rupanya. Diam ingatkan dah berlayar sampai mana tadi” Imtiyaz tersengih. Wajah garang Ammara langsung tak mendatangkan rasa gerun dalam hatinya. Mankin terhibur adalah. Hilang rasa mengantuk yang dirasainya tadi.

    “Saya tak nak kahwin dengan Encik! Muktamad!” tegas suara Ammara. Dia mengetap bibir. Geram apabila kata-katanya disambut dengan senyuman lebar Imtiyaz. Terus dia berpeluk tubuh sambil badannya diiringkan membelakangi Imtiyaz membuatkan lelaki itu tertawa kecil. Mankin sebal hati Ammara dibuatnya.

GADIS CENGENG : BAB 24

     

    TENANGNYA Ammara rasa saat itu. Duduk hanya beralaskan sepasang selipar getah sambil kaki dibenamkan ke dalam pasir putih yang hangat terasa menyelesakan. Laut hijau kebiruan yang terbentang luas di hadapan matanya menambahkan rasa damai dihati.

     “Kat sini rupanya awak. Penat saya cari keliling rumah” terasa tangkai ketenangannya tiba-tiba diragut sebaik saja suara garau itu menyapa pendengaran Ammara. Mata yang tadinya terpejam terus terbuka luas. 

    Imtiyaz menghenyakkan punggungnya tanpa alas di sebelah Ammara. Kedua belah tangan ditumpangkan ke atas lutut yang dibengkokkan sambil mata turut memandang ke arah hamparan lautan yang indah terbentang di hadapan mereka berdua. Terik matahari tidak begitu terasa memandangkan mereka dapat berteduh di bawah lindungan pohon rhu yang agak merendang.

    “Kenapa senyap je hari ni? Tadi masa sarapan pun awak tak banyak bercakap” Imtiyaz mengalih pandang pada Ammara yang masih diam tanpa kata. Pandangan gadis itu tidak berkalih dari memandang laut.

    “Kalau awak marah pasal apa yang jadi subuh tadi, saya minta maaf. Saya tak sengaja langgar awak” pandangannya masih tidak berganjak. Masih pada Ammara. Entah kenapa, sejak kejadian subuh tadi, perasaanya pada gadis itu semakin kuat. Mungkin kerana itulah kali pertama gadis itu ditatap tanpa hijab. Cantik. Malah dia rasakan kecantikan Ammara lebih menarik dari mana-mana wanita yang pernah didampinginya. Kecantikan yang mempunyai pesonanya sendiri.    

    Imtiyaz semakin yakin dengan perasaannya pada Ammara dan dia betul-betul nekad untuk memperisterikannya. Dia akan mencuba sehabis daya untuk membuat gadis itu setuju untuk mengahwininya.
 
    Kedengaran Ammara menarik nafas dalam sebelum dilepaskannya, panjang. Dia menunduk memandang kaki yang menguis-nguis pasir. Dia bukan marah pada Imtiyaz. Sebenarnya, dia malu. Ya. Malu yang teramat. Entah kenapa, tapi dia malu dan rasa bersalah sangat-sangat kerana lelaki itu telah melihat aurat yang sejak beberapa tahun ini cuba dijaganya sebaik mungkin dari dilihat lelaki ajnabi.
 
            “Kahwin dengan saya Ammara”
 
    Kaki yang menguis pasir terhenti serta-merta. Jantung sudah mula mengepam darah lebih laju dari biasa sehingga menyebabkan degupannya terasa berdetak kuat dan nafasnya seolah-olah tersekat di salur esafagus.
 
    “Saya ikhlas. Saya serius nak ambil awak sebagai isteri” lanjutan kata-kata dari Imtiyaz semakin membuatkan Ammara sesak nafas. Hendak pandang wajah Imtiyaz pun dia tak sanggup. Mata dipejamkan sedetik cuba mencari kekuatan untuk bersuara.
 
    “Kenapa saya?” Hendak mengeluarkan dua patah perkataan itu sudah cukup menyeksakan buat Ammara. Jawapan yang bakal diberikan oleh Imtiyaz pada soalan ringkasnya itu dinanti dengan jantung yang berdebar memandangkan ianya bakal dijadikan penentu samada dia akan menimbangkan atau tidak lamaran spontan lelaki itu.
 
    Giliran Imtiyaz menarik nafas panjang. Dalam kepala cuba mencantumkan bait-bait kata untuk diberi sebagai jawapan yang paling sempurna untuk Ammara.
 
    “Kenapa manusia jatuh cinta?” Imtiyaz menjawab soalan Ammara dengan soalan juga. Wajah Ammara dipandang lagi. Kali ini Ammara turut memandang kearahnya dan mata mereka bertatapan agak lama. Senyap antara mereka. Terasa seolah-olah masa terhenti namun deruan angin laut dan hempasan ombak didada pantai masih dapat didengari.
 
    Redup pandangan Imtiyaz benar-benar memukau mata dan hati Ammara. Rambut yang bergerak-gerak ditiup angin laut mempamerkan sisi santai lelaki itu. Dengan t-shirt putih dan berseluar pendek paras lutut, Imtiyaz masih nampak menarik dimata Ammara. Kekacakan dan kesegakan lelaki bernama Syed Imtiyaz Omar itu memang tak dapat disangkal lagi. Ammara mengakuinya.
 
    Tapi, adakah  dia boleh menerima lelaki itu sebagai suaminya? Ammara masih ragu-ragu. Mengingatkan tentang reputasi Imtiyaz yang memang terkenal sebagai kasanova membuatkan Ammara semakin dipagut rasa was-was.
 
    “Saya tak layak untuk Encik Imtiyaz” Panggilan kepada Imtiyaz sudah kembali kepada asal. Dalam keadaan macam ini, panggilan ‘Bos’ rasanya tak begitu sesuai. Ammara kembali membuang pandang kearah laut. Kedengaran keluhan halus dari mulut Imtiyaz.
 
    Sukar benar hendak memikat gadis di sebelahnya itu. Dari renungan matanya, Imtiyaz dapat merasa yang jauh disudut hati, Ammara juga punya rasa yang sama sepertinya. Tapi, tak tahu kenapa Ammara enggan mengakuinya. Mungkin kerana gadis itu sudah puas melihat sisi jahatnya yang suka berpoya-poya dengan ramai wanita.
 
    Ah. Silapnya juga. Suka sangat melayan perempuan sana-sini. Sekarang, bila dia sudah berjumpa dengan satu-satunya gadis yang mampu membuat dadanya bergetar hebat, segala aura memikatnya seakan tak berguna lagi. Ammara bukan seperti bekas-bekas kekasihnya yang mudah dipancing dengan wang ringgit.
 
    Nampak saja cengeng, tapi kepalanya boleh tahan juga kerasnya. Kalau orang kata hati perempuan sekeras kerak nasi, hati Ammara bukan kerak nasi biasa. Dah macam kerak hangit yang memang melekat di periuk! Tenyehlah macamana pun dan rendamlah berapa lama sekalipun. Memang tak tertanggal punya. Kesan hitamnya pasti akan kekal sampai bila-bila.
 
    “Saya tahu saya tak sempurna dan mungkin maksud awak, saya ni yang tak layak nak jadi suami awak. Kan?” Imtiyaz cuba memancing simpati Ammara.
 
    Taktik Imtiyaz nampak berjaya apabila riak wajah Ammara berubah. Serba-salah apabila Imtiyaz berkata begitu. Macamlah dia tu sempurna sangat. Tapi, bukan niatnya hendak memerli Imtiyaz. Dia benar-benar rasa diri tak layak nak digandingkan dengan lelaki sehebat Imtiyaz.
 
    Bukan saja dari golongan Syed-Syarifah, malah juga datang dari kalangan keluarga yang berharta, penampilannya pula kacak bergaya ditambah pula dengan latarbelakang akedemik yang cukup membanggakan. Cukup lengkap ciri-ciri lelaki idaman Malaya dalam dirinya. Siapalah dia kalau hendak berdamping dengan lelaki itu.
 
    “Bukan tu maksud saya. Betul! Saya rasa Encik Imtiyaz layak dapat pasangan hidup yang jauh lebih baik dari saya. Saya ni orang biasa je. Papa pun kerja biasa-biasa je. Mama pula tak kerja. Kami ni bukan ada darah bangsawan pun. Bila difikir-fikirkan, rasanya, pilihan awal Aunty Ana paling sesuai untuk Encik Imtiyaz” matanya sudah berkaca. Segera wajahnya dilarikan dari ruang pandangan Imtiyaz. Airmata yang menitik pantas diseka sebelum disedari oleh lelaki itu. Dia menangis bukan kerana sedih. Tapi, dah dia memang begitu. Pantang hati rasa tertekan sikit pasti ada airmata yang setia menemani.
 
    Who are you to decide? Jodoh pertemuan tu semua kerja Allah. So, you don’t have the right to say that” Imtiyaz sedikit terkesan dengan apa yang diluahkan oleh Ammara sebentar tadi. Selama ini, dengan siapapun dia berkawan, dia tak pernah sekalipun memandang pada pangkat dan darjat.
 
    Baginya, yang penting adalah keserasian dan keselesaan dalam menjalin hubungan. Kalau berkawan dengan anak raja sekalipun, kalau tak serasi dengan jiwa dan buat apapun serba tak kena, untuk apa meneruskan hubungan tersebut?
 
    Bahu Ammara dipaut dan tubuh yang berpaling darinya ditarik supaya mengadapnya. Ammara menundukkan kepala apabila tubuh mereka sudah berhadapan antara satu sama lain.
 
    Dagu runcing Ammara dipegang dan wajah yang nampak sungul itu diangkat supaya memandang kearahnya. Airmata yang meluncur laju pantas diseka oleh Imtiyaz. Dia tersenyum. Tersenyum bukan kerana suka melihat wajah gadis kesayangannya mendung seperti itu. Sekadar tersenyum untuk memberi isyarat yang dia tiada niat untuk memarahi Ammara.
 
    “Ammara sayang. Cuba awak fikir. Kalau saya pandang semua tu, at the first place, perlu ke saya suruh awak menyamar jadi girlfriend saya semata-mata tak nak kahwin dengan Hanim? Hurmm?” Kedua belah bahu Ammara digoncang perlahan. Seolah-olah mahu menyedarkan Ammara bahawa dia bukanlah jenis manusia yang terlalu memandang keduniaan semata.
 
    Wajah Ammara masih mendung.Dia membetulkan baju sejuk yang sedikit melorot. Hidung yang berair dikesat dengan belakang telapak tangan. Airmata yang bersisa turut dikesat. Pegangan tangan Imtiyaz yang di kedua belah bahunya dileraikan. Dia kembali menghalakan tubuhnya mengadap laut. Kedua belah lutut dipeluk rapat kedada.
 
    Imtiyaz sudah kematian akal. Kenapalah gadis bernama Ammara Safiyya itu begitu sukar diduga hatinya? Dah tahu begitu, kenapalah juga hatinya degil masih mahukan gadis itu sebagai teman hidupnya? Kalaulah lamaran tak rasmi itu disuarakan pada Suraya ke, Zima ke atau Hanim sekalipun, dia yakin seratus peratus yang jawapannya pasti ‘Ya’. Tak perlu ditanya berulang kali atau dipujuk-rayu dengan umpan yang macam-macam.
 
Honestly Ammara. Tell me. Kenapa awak tak boleh nak terima saya? Is it because of Fath?”
 
    Ammara terkedu apabila nama Fath disebut oleh Imtiyaz. Kenapa tiba-tiba persoalan itu yang ditanyakan? Apa yang Imtiyaz tahu tentang dia dan Fath? Kalaupun dia tahu, siapa tukang ceritanya? Along ke?  Ligat kepalanya memjana persoalan demi persoalan.
 
    “Err .. Saya nak balik. Nanti diaorang cakap apa pula bila sedar kita tak ada. Lagipun, ini kampung, bukan bandar. Nanti banyak pula mulut-mulut yang tak ada insuran bercerita yang bukan-bukan pasal kita. Saya taklah nanti, Tok Ayah dengan Mak Tok pula dapat malu sebab kita” Ammara sudah bangkit sambil menepuk-nepuk debu pasir yang melekat diseluarnya. Selipar disarungkan kekaki dan tanpa menunggu sebarang maklumbalas dari Imtiyaz, Ammara terus melangkah pergi. Soalan dan andaian Imtiyaz dibiarkan tanpa jawapan.
 
“ARA nak ikut, Ara nak ikuuuuttttt”
 
    “Hisshh anak dara ni. Merengek macam budak-budak” Puan Saadiah menegur anak gadisnya yang sedang menggedik manja dengan Abangnya. Ketika itu mereka sekeluarga sedang duduk santai di beranda sambil menikmati hidangan kopi panas dan keropok losong.
 
    “Biarlah. Bukan dengan sesiapa pun, dengan Abangnya juga” dan seperti biasa, pasti akan ada suara Nek Lijah membela cucu kesayangannya itu. Ammara tersenyum seronok dibela Mak Toknya.
 
    “Mak ni, suka sangat manjakan budak Ara ni” mulut Puan Saadiah sudah mula memuncung. Tok Lan dan Encik Azman hanya tersenyum memerhatikan gelagat wanita dari tiga generasi itu. Begitu juga yang lain. Tersenyum juga sambil menghirup kopi panas yang menyegarkan biji mata.
 
    “Ha. Bila kamu nak masuk meminang si Ara ni Tiyaz?” Ammara rasa macam keropok losong yang baru ditelan tersekat di celah kerongkong tatkala soalan mengejut dari Tok Lan itu diajukan terus kepada Imtiyaz. Tersedak Imtiyaz dibuatnya. Merah padam mukanya. Encik Azman yang duduk di sebelah Imtiyaz mengurut perlahan belakang badan lelaki itu. Wajah selamba Bapa Mertuanya dipandang sambil tersenyum. Itulah dia Tok Roslan aka Tok Lan. Cakapnya main lepas. Apa yang terdetik dikepala, itulah yang keluar dimulutnya. Encik Azman sudah faham benar.
 
    “Eh .. Tersedak pula dia. Tok baru tanya soalan mudah tu. Belum lagi Tok interbiu kamu macam-macam” daun sirih yang sudah siap digentel Nek Lijah dan disuakan padanya disambut.
     
    “Ishk Ayah ni. Ada ke tanya main redah je macam tu. Terkejut la budak tu dibuatnya. Tak ada mukadimah langsung. Nasib lah tak tersembur air kopi tu kat si Ara nun. Kalau tak, mandi air kopilah jawabnya” kata-kata Puan Saadiah membuatkan mereka semua tergelak kecuali Ammara. Terus saja dia menayang wajah cemberutnya.
 
    “Ha! Mula la tu buat muka” Ammar pantas menarik hidung mancung Ammara sehingga gadis itu mengaduh kesakitan. Mankin mencuka wajahnya. Bahu Ammar ditepuk kuat berkali-kali.
 
    “Adooiii! Sakitlah. Ganas betul. Hai Tiyaz .. Nasib kau lah dapat adik aku yang lasak macam jantan ni. Pandai-pandai kaulah nak lembutkan yee” Ammar terus mengusik adiknya.
 
    “Along!! Mak Tok … Tengoklah Along ni!” Ammara bingkas bangun dan terus menepek di sebelah Nek Lijah pula.
 
    “Ammar! Kamu ni kalau tak mengusik adik kamu, tak sah agaknya” Ammara menjelir lidah apabila Nek Lijah memarahi Ammar.
 
“Eleh. Mentang-mentanglah Mak Tok suka bela dia, bolehlah mengadu … “ Ammar menjuih bibir.
 
    “Eh, si Fatin mana Long? Lepas makan tadi terus tak nampak” Puan Saadiah yang baru menyedari ketiadaan Fatin bertanya.
 
    “Dia pening kepala Ma. Ada kat dalam bilik tu. Biarlah dia rehat. Penat agaknya tu” keropok losong yang telah dipotong-potong kecil dicapai dan terus dimasukkan ke dalam mulut.
 
    “Biasalah tu. Awal mengandung ni memang macam tu. Badan rasa letih saja. Belum lagi tekak asyik meloya. Petang tadi, Mak Tok nampak si Fatin tu kerap muntah. Itu yang lembik tu. Kesian Mak Tok tengokkan dia tu” Nek Lijah sibuk menokok sambil tangannya sibuk menggentel sehelai lagi daun sirih yang sudah diletak pinang dan kapur lalu dimasukkan ke dalam mulut.
 
    “Ha Tiyaz. Ayah Tok tanya tadi kamu tak jawab lagi. Bila kamu nak masuk meminang? Tak elok kawan lama-lama ni. Banyak maksiat boleh jadi. Zaman Tok dulu, tak payah tunggu nak bercinta, Mak Ayah dah masuk meminang. Nak tak nak, anak-anak semua kena terima saja. Tak boleh membantah langsung” Tok Ayah kembali semula kepada persoalan asalnya tadi. Imtiyaz kembali terkedu dan Ammara kembali dihurung resah. Mereka berpandangan sesama sendiri. Cuba berbincang dalam hati seolah-olah masing-masing ada kuasa telepati.
 
    “Err … Sebenarnya, kitaorang tak bincang lagi pun Tok Ayah. Lagipun, Ara masih muda. Ingat nak tunggu dua, tiga tahun lagi” lega benar hati Ammara apabila mendengar jawapan yang keluar dari mulut Imtiyaz. Kalaulah dibantainya lelaki itu menjawab ‘Hujung minggu ni saya masuk meminang’, mahu meroyan Ammara dibuatnya.
 
    “Haahlah Toknya. Ara ni kan muda lagi. Biarlah dia matangkan diri dulu sebelum jadi isteri orang. Nak pikul tanggungjawab sebagai isteri ni bukannya mudah” lebar senyuman dibibir Ammara tatkala Nek Lijah menokok ayat.
 
    “Hish! Muda apanya Mak Toknya oiii. Awak dulu masa kahwin dengan saya umur berapa? Empat belas? Lima Belas? Ha, elok je pun pikul tanggungjawab. Lagipun, awak ingat matang tu boleh diajar? Kalau dia kahwin, dah mula pikul tanggungjawab, nanti kematangan tu datanglah sendiri” Tok Ayah tetap tak mahu kalah.
 
    “Betul tu Tok Ayah! Saya sokong seratus dua peratus!” Ammar tersengih sambil  memandang kearah Ammara yang matanya sudah mula mengecil dan kulit muka sudah mula berubah warna. Dia buat tak tahu saja. Air kopi dihirup selamba.
 
    “Zaman sekarang bukan macam zaman kita dulu Ayah. Zaman sekarang ni, Mak Ayah yang kena ikut kata anak-anak kalau dalam soal jodoh ni. Lagipun, zaman Ayah dengan Mak dulu, umur dua belas tahun, anak-anak dara dah tahu buat semua kerja rumah. Sekarang ni, umur dua puluh tahun baru nak belajar tanak nasi” Encik Azman yang sedari tadi hanya sekadar memerhati dan mendengar akhirnya turut menyampuk apabila melihat Imtiyaz terus terdiam tak bersuara. Dia tidak mahu anak muda itu memberi jawapan dan membuat keputusan dalam keadaan tertekan begitu.
 
    “Yalah Tok Ayah. Kalau Tok Ayah nak tahu, Si Ara ni bukan tahu masak pun. Kalau kahwin, mesti hari-hari makan kat kedai sajalah jawabnya” Ammar masih seronok menggiat Ammara.
 
    “Cakap tu elok sikit ye. Ara tahulah masak!” Ammara membangkang kata-kata Abangnya. Mankin dia diam, mankin galak pula Ammar mengenakannya. Tak boleh jadi! Dia wajib membalas serangan. Mana boleh hendak bertahan saja.
 
    “Ha ye. Memang tahu masak. Masak air, maggi, telur … Semua tu memang Ara handal!” Ammar menunjukkan kedua-dua ibu jarinya pada Ammara. Puan Saadiah, Encik Azman, Imtiyaz, Tok Lan dan Nek Lijah sudah ketawa mengekek melihat gelagat dua beradik itu.
 
“Alongggg!!!!!!!”
 
    Tawa Ammar terus meletus melihat Ammara sudah bercekak pinggang sebelum mencapai seketul keropok losong dan dicampakkan kearahnya namun sempat ditepis dan terus termasuk ke dalam cawan kopi milik Imtiyaz.
 
    Yang lain terdiam sesaat sebelum menyambung tawa membuatkan muncung Ammara mankin mendepa dan wajahnya semakin mencuka.

Tuesday, February 14, 2023

GADIS CENGENG : BAB 23


“AAAAAHHHHHHH!!!!!”

    Jeritan yang tiba-tiba kedengaran membuatkan Imtiyaz terkejut dan terus terjaga dari tidurnya. Terasa bagai nyawa hampir melayang dari tubuh apabila jeritan yang boleh tahan nyaringnya itu menerjah ke dalam gegendang telinganya. Terpinga-pinga dia memandang kearah Ammara yang sudah bersorak keriangan di sebelahnya.

    “Good morning Bos!!” Penuh bersemangat Ammara mengucapkan kata-kata itu dengan senyuman lebar menghiasi wajah cerianya.

    Imtiyaz menegakkan semula kerusi kereta yang dibaringkan dan wajahnya diraup beberapa kali. Jam di dashboard dipandang. Baru pukul empat pagi.

    “Awak ni dah kenapa? Kena sampuk dengan jembalang laut ke apa?” Lancar saja mulutnya bersuara. Geram kerana lenanya diganggu dalam keadaan mengejut seperti itu. Berkerut-kerut dahinya memandang kearah Ammara yang masih menayang giginya.

    “Tak kisahlah Bos nak cakap apapun. Saya tak ambil hati pun. Tapi … Apa-apapun, saya nak ucap terima kasih banyak-banyak sebab bawa saya balik kampung!!” Ammara bersorak lagi kegembiraan.

    Imtiyaz terdiam. Kemudian dia baru tersedar dimana mereka sekarang. Malam tadi, sebaik sahaja Ammara sudah nyenyak dibuai mimpi, berpandukan aplikasi Waze di telefon bimbitnya, Imtiyaz terus mencari arah menuju ke Pantai Air Tawar, Besut, Terengganu. Entah kenapa, dia tak sanggup membiarkan Ammara keseorangan di rumah dan kemungkinan dia akan hanya ditemani oleh Fath menakutkannya.

    Oleh kerana itulah, dia lebih rela membawa Ammara pulang ke Besut daripada kembali ke rumah Ammar berseorangan.

    “Okay. Jom saya tunjukkan jalan ke rumah Nenek dengan Datuk saya. Lagipun, bahaya kalau kita tidur dalam kereta kat tepi jalan pagi-pagi buta macam ni Bos. Nanti tak pasal, kena tangkap basah … Eiiii … Tak pasal gelap masa depan kita Bos” sempat lagi Ammara memperli Imtiyaz tanpa sengaja. Dia begitu gembira apabila celik saja mata tadi, dia sudah ternampak papan tanda Pantai Air Tawar di hadapannya. Hampir saja tubuh Imtiyaz dipeluknya. Mujur dia hanya sempat menjerit sebelum lelaki itu tersedar dari tidurnya.

    Imtiyaz tersenyum juga akhirnya meligat gelagat Ammara yang saling tak tumpah seperti adiknya, Imdad, ketika mendapat hadiah permainan yang diidamkannya. Tanpa sebarang kata, kereta mula dipandu berdasarkan panduan yang diberikan oleh Ammara.

    Tadi, sewaktu sampai di kawasan berhampiran dengan laut itu, Ammara nampak sudah lena benar tidurnya. Tak sanggup dia hendak mengejutkannya. Memandangkan matanya juga sudah terasa berat semacam, dia terus mengambil keputusan untuk tidur dahulu. Langsung tidak terfikir yang mereka berada di kawasan kampung dan dalam keadaan tidur berdua di dalam kereta boleh mengundang Pegawai Pencegah Maksiat datang menyerbu. Nasib baik Ammara tersedar awal. Jika tidak, memang gelaplah masa depan mereka berdua jawabnya.

    Setelah lebih kurang dua ratus meter perjalanan, kereta Harrier yang dipandu Imtiyaz diarahkan Ammara agar dibelokkan ke halaman sebuah rumah separuh kayu dan separuh batu yang boleh tahan besarnya. 

    Sebaik sahaja brek tangan ditarik, tanpa menunggu lama, Ammara terus menyerbu keluar dan menaiki tangga batu rumah tersebut lantas pintu kayunya diketuk bertalu-talu berselang-seli dengan ucapan salam.

    “Waalaikummussalam … Siapa pagi-pagi buta ni … Ya Allah!! Ara!!! Kamu datang dengan siapa ni?! Ish! Kenapa nak balik tak bagi tahu?! Betuah punya budak! ” Riuh rendah di hadapan pintu rumah sebaik sahaja daun pintu terkuak. Suara Nek Lijah bergema lantang apabila melihat cucu kesayangannya sudah tercegat di hadapan pintu rumahnya dengan senyum lebar. Tubuh kecil itu dirangkul kemas sambil mulutnya tak henti-henti menyoal. Ammara hanya mengekek ketawa melihat kekecohan Neneknya itu.

    “Mak … Apa yang bising-bising pagi-pagi buta ni?” Kedengaran pula suara Puan Saadiah dari dalam rumah menegur.

    “Ya Allah! Ara? Kamu buat apa kat sini? Kamu datang dengan siapa ni? Naik apa?” Bulat mata Puan Saadiah sebaik sahaja terpandang susuk tubuh anak gadisnya di sebelah Nek Lijah.

    “Assalammualaikum”

    Kecepek!! Ammara menepuk dahinya. Hampir dia terlupa pada Imtiyaz. Kini pandangan Puan Saadiah dan Nek Lijah sudah tertumpu pada Imtiyaz yang baru saja menghulurkan salam dari kaki tangga. 

    “Waalaikummussalam … Eh, kamu pun ada sama ke Tiyaz? Kamu datang dari KL terus  ke sini ke? Berdua?  Ha Tiyaz? Kamu memang hantar Ara ni balik kampung ke?” Berlapis-lapis dahi Puan Saadiah dengan soalan yang tak putus-putus keluar dari mulutnya. Wajah Ammara dan Imtiyaz dipandang silih berganti.

    Ammara dan Imtiyaz berpandangan sesama sendiri sebelum sama-sama mengalih pandang pada Puan Saadiah yang masih nampak terkejut.

    “Kami ada meeting kat Kuantan Aunty. Habis meeting dalam pukul sepuluh malam, terus kami gerak ke sini. Bukan jauh pun” Imtiyaz akhirnya bersuara sambil mengaru-garu kening.

    “Subhanallah. Tak jauh kamu kata? Jadi kamu datang ni sehelai sepinggang la ni?” Puan Saadiah sudah menggeleng-gelengkan kepalanya.

    “Sudah la tu. Yang penting diaorang ni dah selamat sampai kan. Dah,dah. Marilah kita masuk. Sambung bersoal jawab tu kat dalam. Dok tercegat depan pintu ni buat apa” Nek Lijah pantas memintas kata sambil menarik tangan Ammara masuk ke dalam rumah. Imtiyaz dan Puan Saadiah menurut dari belakang.

    “Kenapa nak balik tak bagitau dulu? Main redah je. Nasib baik kami ada. Dibuatnya kami semua tak ada. Pergi rumah Mak Uda kamu kat Kota Bharu ke, tak melopong kamu dibuatnya?” Sebaik saja punggung masing-masing sudah mencecah sofa, tanpa menunggu lama, Puan Saadiah memuntahkan semula peluru berisi soalan kepada Ammara dan Imtiyaz.

    Ammara pandang Imtiyaz, Imtiyaz pandang Ammara. Kemudian, mereka berdua memandang kearah Puan Saadiah pula. Mulut bergerak-gerak tapi tak ada sebutir patah perkataan pun yang terkeluar. 

    “Ala Mama ni … Yang penting Ara dah selamat sampai kan? Bila tak dapat balik, Mama bising, ni dah balik pun Mama bising juga. Ish, tak faham la Ara” Ammara tayang muka cemberutnya. Sengaja tunjuk rajuknya supaya Puan Saadiah berhenti dari bertanyakan soalan yang dia sendiri tiada jawapannya.

    Manalah dia tahu kenapa tiba-tiba Imtiyaz boleh membawanya ke situ. Lelaki itu memang begitu. Kalau merancang apa-apa, mana pernah hendak berbincang dengannya dahulu. Tahu-tahu, keputusan sudah dibuat dan dia terpaksa menurut sahaja. Kalau selalunya dia sering tak puas hati dengan sebarang keputusan yang dibuat Imtiyaz, kali ini dia tak kisah. Yalah. Dapat balik kampung jumpa Mak Tok dengan Ayah Toknya. Memang tak ada complaint la! Kenapa Imtiyaz membawanya pulang ke kampung dia tak tahu dan dia tak kisah apa pun sebabnya. Yang penting, dia sudah selamat berada di situ.

    “Yela kamu ni Diah. Anak-anak dah selamat sampai, tak usah la nak dileterkan. Lagipun dah pukul berapa ni, bagilah diaorang ni berehat” Nek Lijah mengusap-ngusap bahu Ammara lembut. Kasihan dia apabila melihat wajah Ammara sudah berubah riak. Dia bukan boleh kalau Ammara tunjuk muka seperti itu. Memandangkan Ammara adalah satu-satunya cucu perempuan yang dia ada, memang layaklah kalau gadis itu menjadi kesayangannya sejak dari kecil lagi.

    “Hurmm … Mak ni memang tau. Suka sangat manjakan si Ara ni. Tu yang jadi cengeng semacam. Pantang kena tegur, mulalah buat muka” Puan Saadiah terpaksa juga mengalah. Kalau Nek Lijah dah bersuara, dia memang tak ada kuasa nak meneruskan leterannya.

    “Bagus juga diaorang ni balik. Dapat juga Mak Tok jumpa dengan bakal suami si Ara ni. Kalau tak, entah bila dapat jumpa” hilang serta-merta senyuman dibibir Ammara sebaik mendengar kata-kata Nek Lijah itu. 

Imtiyaz hanya tayang senyum ala-ala alim kucing. Menyampah Ammara melihatnya.

    “Dah lewat dah ni Mak. Marilah kita masuk tidur. Esok je la kita sambung cerita” Puan Saadiah sudah mula menguap. Jam dinding yang sudah menunjukkan hampir ke pukul lima pagi dipandang sekilas lalu.

     “ Ha yelah. Tiyaz, kamu tidurlah dalam bilik depan ni ya. Bilik ni memang Mak Tok simpan untuk tetamu pun” Nek Lijah memandang Imtiyaz sambil menunjukkan ke pintu bilik tidak jauh dari tempat mereka duduk.

    “Terima kasih Mak Tok. Maaflah kalau menyusahkan” Imtiyaz rasa serba-salah pula kerana terasa diri menyusahkan Nek Lijah.

    “Ish! Mana ada susah pun. Haaa … Dalam almari tu ada baju dengan kain pelekat, kamu gunalah ye. Buat macam rumah sendiri” tambah Nek Lijah lagi sebelum mereka semua bergerak masuk menuju ke bilik tidur masing-masing dan bertukar ucapan ‘Selamat Malam’ walhal sudah hendak masuk waktu subuh pun.

    Laungan azan yang sayup-sayup kedengaran membuatkan Ammara tersedar dari tidurnya yang singkat pagi itu. Terpisat-pisat dia bangun duduk dibirai katil.Mata yang masih terasa mengantuk yang teramat ditenyeh-tenyeh agar segala tahi mata yang bertindak sebagai gam dimatanya dapat dibersihkan.

    “Ara, bangun. Kita solat subuh jemaah” ketukan dipintu berserta suara Puan Saadiah membuatkan matanya segar. 

    “Ara! Bangun! Tok Ayah dengan Papa dah siap dah ni tunggu kita” sekali lagi Puan Saadiah menyeru apabila tiada jawapan didengar dari dalam bilik.

    “Ye Ma! Ara dah bangun ni” sahut Ammara pantas sebelum pintu bilik digegar lagi. Puan Saadiah memang begitu jika mengejutkan anak-anaknya. Selagi tidak disahut, selagi itulah dia akan terus memanggil dan mengetuk pintu.

Terpisat-pisat Ammara mencapai tuala dan pintu bilik dibuka. 

    “Mengantuk la Ma” mata yang bagai digam terpejam sambil dia bersandar di daun pintu. Puan Saadiah hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat anak gadisnya itu. Hendak dileter takut nanti didengari Nek Lijah dan dia pula yang dileter. 

    “Isk Budak ni. Dah. Pergi basuh muka sana. Nanti lepas ambil wudhuk, segar la mata tu. Nak lagi segar, mandi terus. Dah cepat sikit. Papa dengan Tok Ayah dah lama tunggu tu. Mama tunggu kat bilik solat. Jangan nak tidur pula dalam bilik air tu nanti” pipi Ammara ditepuk-tepuk sebelum Puan Saadiah yang sudah siap bertelekung itu berlalu ke bilik solat yang terletak di sebelah bilik tamu yang dihuni Imtiyaz.

    Dengan langkah yang masih terhuyung-hayang, Ammara bergerak keluar menuju ke bilik air yang terletak di bahagian dapur. 

Bedebuk!!!

    “Auuuwwww!!” Ammara sudah menyeringai kesakitan sambil menggosok-gosok punggungnya yang jatuh terduduk bak nangka busuk di atas lantai simen bertikar getah. Terus segar matanya mencari-cari gerangan siapakah yang penuh selamba merempuh bahunya dengan agak kuat tadi. Mujur tangga yang membawanya ke ruangan dapur sudah habis dituruni. Jika tidak mahu tergolek-golek dia jatuh.

    Melihat wajah Imtiyaz yang tercengang memandangnya dengan rambut yang masih basah, wajah Ammara terus mencuka.

    “Jalan tu lainkali pandang la depan. Bukan mendongak tengok atas. Huh!” Ammara mendengus sambil berusaha untuk bangun. Imtiyaz dilihatnya masih lagi berdiri kaku tidak jauh darinya dengan matanya tak putus memandang kearahnya.

    Hish Mamat ni dah kenapa? Kena sampuk dengan jin tanah ke? Berkerut-kerut dahi Ammara memandang kearah Imtiyaz. Pelik melihat Imtiyaz yang terpaku bagai dipukau saja lagaknya.

    “Awak dah kenapa?” Ammara mengaru-garu kepalanya. Eh … Errkkk!! Baru dia sedar yang dia tidak bertudung dan lebih membuatkan jantungnya seolah berhenti berdenyut apabila dia baru tersedar yang dia hanya mengenakan sehelai t-shirt labuh betul-betul di bawah paras lutut yang menampakkan sepasang betisnya yang putih melepak.

“Arggghhhhh!!!”

    Tanpa membuang masa, Ammara segera mencapai tuala yang sudah melorot di atas lantai untuk menutup rambutnya dan dia terus memecut laju memasuki bilik air. Tidak sanggup menunggu barang seminit lagi pun untuk mengadap renungan mata Imtiyaz padanya. Terasa kulit mukanya sudah membahang dengan kadar kepanasan yang luar biasa.

    “Ya Allah!Ammara!!! Macamanalah kau boleh lupa yang malaun tu ada kat rumah ni??!!” Sebaik saja pintu bilik air tertutup Ammara mula menepuk-nepuk pipinya memarahi kelalaian diri sendiri. Rasa tak mahu dah keluar dari situ. Kalau boleh, nak saja dia terbang pulang ke Putrajaya. Airmata sudah mula merembes membasahi pipi. 

 
ADIALUZEONLINENOVEL : WHERE DREAMS CAME TRUE Blogger Template by Ipietoon Blogger Template