RAYYAN dan Rania sudah setengah jam keluar untuk menjemput Mak dan Bapa Mertuaku dari
KLIA. Aku bersyukur kerana akhirnya mereka selamat juga kembali ke bumi
Malaysia setelah sebulan lebih menunaikan Haji.
Sedari
pagi tadi, selepas Rayyan dan Rania keluar, aku, Mak Som, Suryanti dan Bibik
Jannah sibuk membuat post mortem di serata ceruk di dalam banglo 3
tingkat ini bagi memastikan yang ianya berada dalam tahap kekemasan dan
kebersihan yang paling sempurna. Dari dalam rumah sampailah ke halaman
rumah. Habis semua kami periksa berulang-ulang kali.
Almaklumla.
Puan Sri Maria a.k.a Mak Mertua aku itu memang pantang kalau dilihatnya keadaan
rumah yang tak menepati standard kebersihan ISOnya. Mahu cair tahi
telinga kami nanti medengar bebelannya yang akan berpanjangan dari pagi sampai
malam.
Selesai
segalanya, kami beralih pula ke dapur untuk menyiapkan juadah hidangan
tengahari yang istimewa untuk kedua orang Mertuaku. Memandangkan yang mereka
sudah terlalu lama tidak menikmati masakan melayu, aku giat Mak Som dan Bibik
Jannah untuk membantuku menyiapkan beberapa juadah masakan kampung.
Masak
lemak cili api ikan keli bakar, kari kepala ikan, kerabu mangga udang, sotong
bersalut tepung, Kangkung udang tauchu, Sup ayam kampung, ulam ulaman dan juga
sambal belacan merupakan menu yang aku cadangkan. Mak Som dan Bibik Jannah
hanya bersetuju memandangkan mereka memang dari kampung dan senarai masakan
tersebut sememangnya menjadi kepakaran mereka.
Setelah
berhempas pulas menyiapkan juadah tengahari, akhirnya selesai juga kami bertiga
mengerjakannya bersama-sama. Jam sudah menunjukkan kepukul 12.30 tengahari. Aku
segera meminta Mak Som dan Bibik Jannah mengemas apa yang patut sementara aku
pergi membersihkan diri dahulu. Tak mahulah nanti bila Mak dan Bapa Mertuaku
sampai, aku menyambut mereka dengan perfume cap belacan dan bawang. Buat
malu saja nanti.
Selesai
mandi, aku mengenakan gaun labuh berlengan panjang berkain cotton warna cream
dan kukenakan selendang bercorak abstark gabungan pelbagai warna pastel
dikepala. Lip balm kuoleskan sedikit
kebibir agar tidak nampak terlalu pucat.
Sewaktu
aku menuruni tangga, kedengaran suara riuh rendah datang dari ruang tamu. Pasti
Bapa dan Ibu Mertuaku telah sampai.
"Haa
.. inipun dia orangnya" Puan Sri Maria menggamit aku untuk duduk di
sebelahnya setelah menyedari kehadiran aku di ruang tamu itu. Aku segera
menghampirinya lantas menyalami dan mencium keduabelah pipinya. Tangan Tan Sri
Rasydan juga kusalami dan cium sebelum mengambil tempat di sebelah Puan Sri
Maria. Rania nampak ceria dipangkuan Datuknya sambil membelek-belek gelang
tangan yang pastinya ole-ole buatnya dari Mekah.
"Nah.
Ni untuk Saf" Puan Sri Maria menghulurkan beg tangan kertas yang sederhana
besar kepadaku. "Terima Kasih Mama" Hulurannya kusambut. "Waaahh
... Cantiknya Ma" Sehelai jubah serba hitam yang terdapat sulaman penuh di
dada dan sekitar pergelangan tangan aku belek dengan rasa teruja sambil tubuh
Ibu Mertua kurangkul erat. Dia tersenyum senang melihat reaksiku.
Sewaktu
aku ingin menyimpan kembali jubah pemberian Puan Sri Maria kedalam beg kertas
itu, aku terperasan ada satu lagi beg plastik di dalamnya. Perlahan-lahan aku
keluarkan dan isinya kubuka.
"Ha.
Yang ni untuk kamu suami isteri" Puan Sri Maria yang nampak anggun dengan
imej bertudung litup bersuara sebaik sahaja dua biji buah yang tidak kuketahui
namanya sudah berada digenggamanku. Dia memandang aku dan Rayyan silih
berganti. Rayyan yang duduk di sebelah bapanya turut memanjangkan leher untuk
melihat buah yang aku pegang. Wajahku dipandang penuh tanda tanya. Keningnya
dinaikkan sedikit penuh persoalan. Aku hanya menjungkitkan bahu tanda tidak
tahu.
Puan
Sri Maria tertawa melihat gelagat kami berdua. "Korang berdua ni. Buah ni
pun korang tak tahu ke. Inilah buah zuriat" Buah yang seperti buah kelapa bentuknya dan
saiz cuma sebesar buah avacado itu kutatap lagi. Buah zuriat? Buah apa la pulak
ni? Aku bersoal jawab dalam hati.
"Inilah
buah yang orang kupas kulitnya dan rebus isinya lepas tu minum airnya kalau
nakkan zuriat" Bait kata-kata dari Bapa Mertuaku itu membuatkan mataku
sedikit terbeliak. Pantas wajah Rayyan kupandang. Dia hanya tersenyum sumbing.
Geram pula aku melihat reaksinya ketika itu. Mataku jengilkan padanya tanda
protes.
Terhambur
tawanya membuatkan yang lain juga turut sama ketawa. Rania yang tidak berapa
mengerti hanya memandang wajah kami semua silih berganti dengan dahi yang
berkerut. Aku mendengus geram. Puan Sri Maria menepuk pehaku lembut sambil
menggeleng-gelengkan kepalanya melihat telatahku.
MALAM
itu selesai menikmati makan malam, aku dan Puan Sri Maria terus menuju ke
Gazebo di luar rumah untuk menikmati angin malam.
"Sedar
tak sedar, dah 3 bulan rupanya Saf kahwin dengan Rayyan kan" Puan Sri
Maria memulakan bicara dan aku hanya menyambutnya dengan senyuman. Rania sudah
kutidurkan manakala Rayyan dan Tan Sri Rasydan pula sedang leka menonton
perlawanan Bolasepak diruang tamu. "Saf dengan Rayyan dah plan nak
kemana-mana ke untuk honeymoon korang nanti?" Pertanyaan Puan Sri
Maria membuatkan tangan yang baru hendak menyuapkan kurma Ajwa yang aku bawa
bersama ke dalam mulutku terhenti. Pantas wajahnya yang menanti jawapan aku
pandang.
"Err
.. Isk .. Tak payahlah nak berhoneymoon bagai Ma. Membazir je tu"
Suapan yang terhenti tadi aku teruskan. Kurma yang sepatutnya manis terasa
kelat pula ditekakku. "Eh. Apa pulak membazirnya. Bukan selalu pun dapat
pergi. Si Rayyan tu yelah. Selalu 'terbang' ke sana ke mari. Yang kamu ni tak
teringin ke?" Matanya tunak memandangku. Aku hanya tersengih macam kerang
busuk.
"Saf
bagitau je kat Mama, Saf teringin nak kemana. Paris? Rom? Venice? Biar Mama
yang uruskan semuanya" Tawaran dari Ibu Mertuaku yang sepatutnya
menggembirakan sesiapa sahaja yang bergelar 'Menantu' aku sambut dengan
senyuman hambar.
Bukannya
aku tak teringin hendak ke luar negara. Seingat aku, selama 23 tahun aku hidup
ni, paling jauh aku pernah pergi pun, hanya ke Medan, Indonesia. Itupun bersama
Umi dan Babah sewaktu aku berusia 18 tahun. Tapi, bila memikirkan aku terpaksa
pergi berdua dengan Rayyan Iskandar, hilang segala rasa teruja yang sepatutnya
ada.
"Saf.
Kenapa diam pulak ni?" Bahuku dirangkul lembut.
"Dia
malulah tu Ma" Suara yang tiba-tiba menyampuk dari arah belakang
membuatkan aku dan Puan Sri Maria berpusing serentak kearah datangnya suara
itu.
Kelihatan
Rayyan sedang melangkah tenang kearah kami dengan keduabelah tangannya
dimasukkan ke dalam poket seluar pendek yang dipakainya. Dia mengambil tempat
duduk di sebelahku. Aku mengesot kearah Puan Sri Maria sedikit untuk memberi
ruang kepadanya."Isk. Apa yang nak dimalukan. Saf kan dah jadi menantu
Mama" Pelukkan dibahuku semankin kemas. Matanya masih memandang kearahku.
"Err
... Tak payahlah sampai ke luar negara Ma. Kat dalam Malaysia pun dah ok"
Akhirnya aku bersuara. Geram pula kurasakan pada Rayyan yang tiba-tiba duduk
menempel di sebelahku dengan wajah selamba sambil tangannya leka membelek
iPhone di tangan. Entah apalah yang dibuatnya
sampai kadang-kadang aku nampak dia tersenyum sendiri.
"Peliklah
Saf ni. Mama offer pergi oversea pun tak mau" Berkerut dahi
Mak Mertuaku mendengar keputusanku. "Takdelah Ma. Saf tak sampai hati nak
tinggal Rania tu lama-lama. Kalau dalam Malaysia, senang sikit Saf nak balik
kalau ada apa-apa nanti" Aku memberikan alasan yang kurasakan wajar.
"Menantu
Mama dengan cucu Mama tu kan macam belangkas. Mana boleh nak berpisah
lama-lama. Nanti ada pulak yang demam rindu dibuatnya" Tergamam aku
dibuatnya apabila kurasakan tangan Rayyan sudah melingkari bahuku menggantikan
tangan Puan Sri Maria. Aku ditarik dekat dengannya membuatkan pandangan mataku
kini terfokus padanya. Dia tersenyum sambil mengenyitkan sebelah mata
membuatkan aku melarikan pandangan kearah Puan Sri Maria yang hanya tersenyum
memandang kami.
"Hmm
.. Kamu berdua bincanglah nak kemana. Mama ok je. Pasal Rania tu janganlah Saf
risau. Kalau setakat seminggu Saf pergi, rasanya Mama boleh lagi pujuk dia.
Oklah. Mama nak masuk tidur dulu. Mengantuk dah mata ni" Bahuku ditepuk
lembut sebelum Puan Sri Maria berlalu meninggalkan kami berdua di situ.
Setelah
memastikan yang kelibat Puan Sri Maria sudah tidak kelihatan, pautan tangan
Rayyan pada bahuku segera aku leraikan. Aku menginjakkan kedudukanku
menjauhinya sedikit. Dari ekor mata aku dapat lihat bibir Rayyan menyunggingkan
senyuman.
"Kenapa
duduk jauh sangat tu?" Dia kulihat sudah berpeluk tubuh sambil duduk
bersila dengan badan ditegakkan menghadap aku. "Saja. Panas." Aku
menjawab sambil mengibas-ngibaskan tangan kemuka. Maunya tak panas bila si dia
ni tiba-tiba melepek kat sebelah.
Terdengar
tawa Rayyan meledak mendengar jawapanku. Aku memandangnya dengan mata yang
sengaja aku kecilkan."Kenapa awak gelak?" Perubahan sikap Rayyan yang
secara tiba-tiba sekarang ini semankin
melemaskanku.
"Saf
ni peliklah. Punyalah sejuk macam ni, Saf kata panas?" Dia mengosok-gosokkan
keduabelah tangannya sambil membetulkan kolar baju sejuk Adidasnya yang dizip
hingga ke atas.
Eh,Eh
dia ni. Kalau dah sejuk sangat kenapa pandai sangat pakai seluar pendek. Aku
memprotes dalam hati. "Pasal honeymoon kita tu, Abang serahkan pada
Saf je la untuk buat keputusan" Rayyan bersuara setelah tawanya reda.
Ternyata panggilan 'abang' sudah agak sebati dipendengaranku. Cuma, untuk
mengungkapkannya, mungkin belum tiba masanya.
"Tak
payah pergi pun takpe" Aku menjawab perlahan, hampir berbisik. "Apa
Saf cakap? Cuba ulang semula. Abang tak dengarlah" Dia mendekatkan dirinya
denganku sehingga bahu kami bersentuhan. "Isk. Saya cakap, tak payah pergi
pun takpela. Saya tak kisah" Aku terus bangun dari tempat duduk. Niat
dihati ingin masuk ke dalam rumah kerana kesejukan malam mula terasa
memandangkan aku hanya mengenakan baju tidur berlengan pendek yang agak nipis
kainnya.
"Saf
nak kemana? Abang belum habis cakaplah" Tangan yang tiba-tiba dipaut dari
belakang membuatkan aku tersentak dan hilang imbangan badan lalu terduduk di
atas riba Rayyan. Tergamam aku dibuatnya. Begitu juga dengan dia. Denyutan
jantungnya yang semankin laju mengepam darah dapatku rasakan. Untuk seketika
itu, pandangan kami terpaku diantara satu sama lain.
"Err
... Ehhh .. Apa awak buat ni?!" Pantas aku bangun apabila aku menyedari
wajahnya semankin dekat dengan wajahku. "Saya masuk tidur dulu" Aku
terus berlalu meninggalkannya tanpa memandang kearahnya. Muka yang terasa
membahang segera aku larikan dari penglihatannya.
Ya
Allah! Nasib baik aku tersedar. Kalau
tak, tak tahulah apa yang bakal dilakukan oleh Rayyan tadi. Semankin laju
degupan jantungku apabila teringatkan wajah Rayyan yang berada hanya beberapa
inci dari wajahku seketika tadi. Mujur aku tiada penyakit jantung. Jika tidak,
tak merasalah aku untuk punya anak sendiri. Errr .. Eh? Anak sendiri? Aku dan
Rayyan? Cepat-cepat aku gelengkan kepala memikirkan kemungkinan itu. Seram!